CHE MOHD. RAHIM JUSOH |
KOTA BHARU - Rakyat beragama Islam di negeri ini yang berpakaian tidak menutup aurat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, hukuman tersebut termaktub mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.
Jelasnya, mengikut enakmen berkenaan, memakai seluar pendek paras atas lutut dan perempuan yang berseluar serta berbaju ketat, berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab berpakaian.
Bagaimanapun katanya, undang-undang tersebut hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.
“Undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam memakai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat.
“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dengan bukan Islam di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Lim Guan Seng.
Pada 25 September lalu, seorang pemuda diberi notis arahan menghadiri sesi kaunseling kerana memakai seluar pendek di tempat terbuka.
Lelaki itu yang ditahan ketika dalam perjalanan ke gelanggang futsal diarahkan hadir ke sesi kaunseling tersebut pada minggu depan bersama 10 lagi individu, termasuk empat perempuan yang didapati melakukan kesalahan berpakaian tidak sopan.
Mengulas lanjut Che Mohd. Rahim berkata, tindakan juga tidak akan terlepas terhadap mereka yang bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut.
“Bagaimanapun setakat ini, tidak ada lagi tindakan diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan tersebut.
“Peraturan tersebut bukan untuk menghukum, sebaliknya ingin memberi kesedaran supaya mereka lebih bersopan dalam adab berpakaian. Setakat ini, dua orang telah dikenakan denda berhubung kesalahan tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...