PERMAINAN Honour of Kings yang diminati Wu. |
BEIJING - Seorang gadis di China hilang penglihatan mata kanannya selepas bermain permainan Honour of Kings di telefon bimbitnya selama 24 jam tanpa henti.
Channel News Asia melaporkan, Wu Xiaojing bukan nama sebenar beliau merupakan peminat tegar permainan perang secara dalam talian dan menghabiskan masa sepanjang hari pada 1 Oktober dengan permainan berkenaan.
Berdasarkan laporan akhbar The Paper, gadis berusia 21 tahun itu kemudiannya hilang penglihatan mata kanannya secara tiba-tiba pada sebelah malam.
Wu didapati mengalami retinal artery occlusion, masalah kesihatan berkaitan retina mata yang sering dialami warga emas dan jarang berlaku kepada golongan belia dan ia dipercayai berpunca daripada ketegangan mata yang teruk.
Wu yang bekerja dalam bidang kewangan dipetik sebagai berkata, dia mula ketagih bermain permainan Honour of Kings pada awal tahun ini dan pada setiap hujung minggu, dia akan bangun seawal pukul 6 pagi dan mula bermain permainan tersebut.
“Saya akan tidur sebentar pada pukul 4 petang dan kemudiannya makan sesuatu dan terus bermain sehingga pukul 1 atau dua pagi.
“Malah, adakalanya saya lupa untuk pergi ke tandas atau ke bilik air,” katanya.
Wu mengaku bahawa ibu bapanya ada memberi amaran tentang bahaya bermain permainan video secara berlebihan dengan mendakwa dia boleh menjadi buta.
“Saya sering berkata kepada diri sendiri bahawa ini adalah pusingan terakhir saya bermain permainan ini tetapi saya sukar untuk berhenti,” katanya.
Wu kini dirawat di hospital sementara doktor cuba menyelamatkan penglihatannya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...