PUTRAJAYA - Gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan akan diumumkan pada tahun hadapan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Langkah itu adalah bagi merapatkan jurang gaji minimum swasta agar ia dapat diselaraskan, yang mana kadar gaji minimum bulanan pekerja di Semenanjung Malaysia adalah RM1,000 manakala RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, katanya.
Beliau berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MGPN) sudah mula menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 bagi membolehkan kerajaan menetapkan kadar gaji minimum baharu selaras dengan perkembangan sosio ekonomi semasa negara.
"Kita tahu perintah gaji minimum hendaklah dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun. Proses kajian semula ini untuk melihat kepada keupayaan majikan membayar gaji merupakan satu tanggungjawab yang sangat mencabar dalam memastikan dasar gaji minimum memenuhi semua objektif.
Dengan penubuhan kumpulan penyelidik gaji dan gaji minimum ini, ia akan memberi kesan positif bagi membolehkan kerajaan menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi kepada pekerja di seluruh negara.
Penguat kuasaan gaji minimum adalah aspek penting untuk memberi manfaat kepada warta pekerja terutama golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...