Sunday, 22 October 2017

Papar wajah pemandu bersalah guna telefon bimbit – LLM

Seorang penunggang motosikal menggunakan telefon bimbit ketika menunggang di Jalan Tunku Ibrahim, Bandaraya Alor Setar, Kedah.

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mencadangkan agar gambar pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu disiarkan di laman sosial atau akhbar untuk menyedarkan mereka tentang bahaya perbuatan tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, jika kesalahan itu diulang sebanyak tiga kali, tindakan lebih keras perlu diambil iaitu gantung lesen memandu mereka.

Katanya, kaedah itu perlu dilakukan untuk membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin meningkat akibat kecuaian pemandu terlalu leka menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Menggunakan telefon bimbit ketika memandu memang berbahaya, jadi saya rasa dengan cara menyiarkan wajah-wajah pesalah ini di media akan dapat memberi kesedaran dan pengajaran kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia yang mendapati penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pemandu dan penunggang motosikal sudah menjadi satu trend pada ketika ini.

Noor Azmi berkata, pemandu atau penunggang tidak seharusnya menggunakan telefon bimbit ketika memandu walaupun menggunakan alat bebas tangan.

“Bagi saya penggunaan alat bebas tangan juga tidak selamat, jadi jika pemandu benar-benar mahu menjawab panggilan mereka haruslah berhentikan kenderaan terlebih dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Malaysia (PPJM), Hamdan Taha percaya isu itu dapat diatasi sekiranya rakyat diberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan ketika di jalan raya.

“Amat penting untuk semua organisasi, masyarakat dan pihak berkuasa bekerjasama untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pemandu seperti mengadakan kempen dan sebagainya.

“Pendidikan moral dalam silibus Sivik dan Kewarganegaraan haruslah ditekankan dalam kalangan pelajar dari peringkat awal supaya mereka menjadi insan yang bermoral dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...