Friday 10 November 2017

Sijil akademik wajib ada kod QR

UTeM antara beberapa IPTA di Malaysia yang meletakkan ciri keselamatan kod QR pada sijil akademik mereka bagi mengelakkan ia dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini menggunakan kod respons pantas (kod QR) pada sijil akademik masing-masing mulai pertengahan tahun hadapan sebagai satu usaha membendung isu pengeluaran sijil pengajian palsu yang berlaku ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui penggunaan kod keselamatan pada sijil akademik tersebut, ia membolehkan orang ramai terutama majikan menyemak maklumat graduan dengan lebih pantas melalui telefon pintar.

Beliau berkata, penggunaan kod QR itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menjadikan universiti awam di negara ini lebih digital dengan mewujudkan kampus tanpa tunai (cashless) dan tanpa kad (cardless).

“Ketika ini universiti awam telah mengambil tindakan supaya penggunaan sijil akademik palsu boleh dikesan dengan pantas. Penggunaan kod QR adalah salah satu daripada usaha untuk atasi masalah tersebut dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun depan.

“Setakat ini beberapa universiti awam yang telah mempunyai kod QR pada sijil akademik ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan beberapa universiti lain,” katanya ketika ditemui di kampus Universiti Teknologi Malaysia di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...