BILIONAIR nombor satu Arab Saudi, Putera Al-Waleed turut memiliki Hotel Savoy di London. |
RIYADH – Seramai 11 putera dan berpuluh-puluh bekas menteri kerajaan ditangkap beberapa jam selepas Arab Saudi menubuhkan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Pegawai kerajaan itu berkata, Putera Al-Waleed bin Talal yang merupakan antara orang paling kaya di dunia adalah antara mereka yang diberkas.
Menurut majalah Forbes, Putera Al-Waleed, 62, memiliki aset bernilai lebih AS$17 bilion (RM72 bilion) dan berada di tangga ke-45 senarai bilionair dunia setakat Mei lalu. Beliau merupakan orang paling kaya di Arab Saudi dan Asia Barat.
Putera itu memiliki beberapa buah firma di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat termasuk Kingdom Holding yang disenaraikan di Bursa Saham Arab Saudi.
Kingdom Holding mempunyai saham dalam firma Lyft yang memiliki media sosial Twitter selain pegangan dalam rangkaian hotel Four Seasons, Hotel George V di Paris dan Hotel Savoy di London.
Putera itu dilaporkan pernah membeli sebuah kapal layar milik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada tahun 1991.
Laporan penahanan Putera Al-Waleed sekiranya disahkan, akan mencetuskan kejutan kepada komuniti perniagaan di Arab Saudi dan luar negara.
Sumber sama memberitahu, selain Putera Al-Waleed, pihak berkuasa turut menangkap bekas menteri kewangan, Ibrahim Al- Assaf.
Ketua pasukan elit Pengawal Kebangsaan Arab Saudi dan komander tentera lautnya turut ditukar dalam pemecatan berprofil tinggi tersebut.
Stesen televisyen kerajaan, Al Arabiya melaporkan, badan pencegah rasuah itu telah menahan seramai 11 putera, empat menteri semasa dan 10 bekas menteri.
Menurut Al Arabiya, kesemua mereka ditahan berkaitan siasatan kes lama seperti banjir besar yang mengakibatkan kemusnahan di bandar Jeddah pada tahun 2009.
Sumber aviasi memberitahu agensi berita AFP bahawa pasukan keselamatan turut menyekat jet-jet peribadi di Jeddah daripada berlepas bagi mengelakkan individu berprofil tinggi melarikan diri ke luar negara.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud turut melantik dua menteri baharu kelmarin bagi menerajui portfolio utama iaitu keselamatan dan ekonomi.
Putera Miteb bin Abdullah digantikan sebagai ketua Pengawal Kebangsaan Arab Saudi oleh Khaled bin Ayyaf, manakala Menteri Ekonomi, Adel Fakieh dipecat dan tempatnya diambil alih oleh Mohammed Al-Tuwaijri.
Perkembangan mengejutkan itu berlaku beberapa jam selepas Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik di timur laut ibu kotanya, Riyadh selepas misil itu dilancarkan dari Yemen.
Terdahulu, Raja Salman mengeluarkan dekri bahawa suruhanjaya pencegahan rasuah itu dipengerusikan oleh anak lelaki baginda, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Putera berumur 32 tahun itu yang dikenali sebagai MBS berikrar akan membanteras gejala rasuah di peringkat tertinggi.
Suruhanjaya tersebut diberikan kuasa meluas untuk melakukan siasatan, mengeluarkan waran tangkap, menyekat perjalanan dan membekukan aset suspek.
Pada Jun tahun ini, MBS dilantik untuk memangku tugas Raja Salman selepas pemerintah Arab Saudi itu memecat bekas Putera Mahkota, Muhammad bin Nayef. – Reuters/AFP/Agensi
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...