Thursday 2 November 2017

Doktor muda HSNZ ditemui mati

Deretan gerai jualan makanan di Pasar Malam Kuala Ibai iaitu lokasi seorang pegawai perubatan HSNZ dipercayai membeli makanan sebelum mengalami keracunan dan ditemui mati di dalam bilik rumah sewanya kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ditemui mati dalam bilik rumah sewanya di Kampung Nyiur Sepohon di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Muaz Mohd. Sabri, 30, ditemui kira-kira pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil selepas anak pemilik rumah sewa berkenaan berjaya membuka pintu bilik tersebut.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari yang lalu.

Menurut anak pemilik rumah berkenaan, Hakim Mat Lazim, 32, dia dimaklumkan bahawa mangsa mengalami keracunan makanan selepas memakan juadah yang dibeli di sebuah pasar malam di Kuala Ibai.

Katanya, pasar malam berkenaan dibuka setiap hari Rabu pada waktu malam.

“Saya difahamkan tunang mangsa yang turut bertugas sebagai seorang pegawai perubatan di HSNZ terpaksa ditahan beberapa hari di wad untuk rawatan kerana turut mengalami keracunan makanan.

“Bagaimanapun, arwah yang enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengambil keputusan untuk berehat di bilik sewanya sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...