Friday 24 November 2017

Inspektor, koperal 'Kaki Paw' direman



EMPAT individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun ke atas ejen insurans di Rawang.

Sumber berkata, suspek terdiri tiga polis dan aktivis NGO ditahan susulan aduan mangsa berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 2 petang, 12 November.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 51 tahun berada di premis perniagaannya di Batu 17 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.

“Pengadu kata dia dikunjungi tiga lelaki. Memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek mendakwa kononnya polis mahu siasat mangsa susulan satu aduan berhubung syarikatnya.

“Dua daripada suspek kemudian arah pengadu tunjuk kad pengenalan dan duit yang disimpan di pejabatnya. Seorang lagi suspek menunggu di luar premis syarikat itu.

“Mangsa akur, menyerahkan kad pengenalan dan kira-kira RM4,000 kepada suspek. Mangsa kemudian diarahkan mengikut mereka ke balai polis,” katanya.

Jelasnya, mangsa kemudiannya meminta kebenaran untuk masuk semula ke pejabat untuk mengambil begnya sebelum mengikut suspek ke balai polis.

“Namun, ketika mangsa masuk ke pejabat kesemua suspek bertindak melarikan diri bersama kad pengenalan, telefon bimbit dan duitnya dengan menaiki kereta.

“Selepas mangsa membuat laporan, polis menahan empat suspek menerusi beberapa tangkapan berasingan sehingga semalam.

“Tiga anggota polis yang ditahan terdiri daripada Inspektor dan Koperal.

“Dua daripadanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Seorang lagi di IPD Gombak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, suspek berusia antara 30 tahun dan 34 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.

“Tempoh reman semalam. Tapi, disambung sehingga Ahad ini. Dua anggota IPD Dang Wangi terbabit direman empat hari sehingga Sabtu ini.

“Seorang lagi suspek disambung reman lima sehingga Isnin depan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...