PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad |
KUALA LUMPUR: "Saya tidak faham bagaimana tanah milik FELDA boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (FELDA)," kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dilantik sebagai Pengerusi FELDA, 6 Januari lalu.
Beliau yang mengakui agensi itu 'kehilangan' tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak di sini, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak FELDA yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Katanya, keseluruhan kawasan milik FELDA itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama FELDA, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 bernilai keseluruhan lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.
"Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi," katanya dalam pertemuan bersama wartawan.
Beliau mengesahkan tanah FELDA bertukar tangan apabila wartawan menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.
Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi FELDA.
Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan FELDA tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.
"Lembaga Pengarah FELDA terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu," katanya.
Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.
Shahrir mengulas, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.
Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata: "Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...