Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...