Thursday 28 December 2017

Palestin ditawar ibu negara baharu

RAKYAT Palestin melontar batu ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Israel di Ramallah.

BAITULMUQADDIS - Semua pihak termasuk rak­yat Palestin diberi amaran supaya tidak me­nerima atau menyokong tawaran Amerika Syarikat (AS) kepada pihak berkuasa pentadbiran Pa­lestin supaya sebuah kawasan pinggir bandar, Abu Dis di Baitulmuqaddis dijadikan sebagai ibu negara alternatifnya.

Ketua Pergerakan Hamas, Ismail Haniya melabelkan keputusan Pre­siden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel merupakan usa­ha ‘terbesar’ kuasa besar dunia untuk menghancurkan perjuangan Pa­lestin.

Ismail yang dipetik Al-Jazeera, memberi amaran kepada semua pihak terbabit tanpa mengambil kira mereka dari Pa­lestin, komuniti Arab, beragama Islam atau antarabangsa supaya tidak me­laksanakan pelan AS bagi Timur Tengah yang belum lagi diterbitkan.

Ismail berkata: “AS menawarkan sebuah ibu negara baharu yang terletak jauh dari Baitulmuqaddis iaitu di Abu Dis dan sebuah jambatan yang dihubungkan dengan Masjid Al-Aqsa untuk memudahkan aktiviti beribadah.”

“Terdapat kuasa serantau yang berusaha membahagikan Tebing Barat kepada tiga seksyen, selain mewujudkan entiti politik di Semenanjung Gaza dengan kuasa (pentadbiran) sendiri,” kata Ismail ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin puak Palestin di Semenanjung Gaza semalam.

Katanya, terdapat tanda-tanda Israel akan mengambil ke­sempatan dengan memasukkan fakta-fakta versinya sendiri seperti rang undang-undang menyahudikan Baitulmuqaddis yang melalui proses pengundian esok.

Ismail menjelaskan, keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel secara tidak langsung mewujudkan risiko baharu yang boleh memberi kesan terhadap hubungan Palestin dengan Jordan.

Ismail berkata: “Saya sudah bercakap dengan Raja Jordan, Raja Abdullah mengenai kesan buruk yang boleh timbul daripada keputusan AS, projek pe­nempatan semula dan cadangan negara atau tanah air alternatif .

Beliau juga menggesa penduduk Palestin ‘meneruskan’ penentangan terhadap keputusan Trump dan bantahan oleh kumpulan-kumpulan gerakan di negara Arab dan Islam yang lain.

Ismail menambah isu politik dalaman antara Fatah dan Hamas perlu diselesaikan segera supaya kerajaan perpaduan Pa­lestin dapat mengutamakan isu-isu negara yang lebih besar.

Beliau memberi amaran bahawa rundingan damai yang ditandatangani di Mesir pada Oktober lalu berdepan kegagalan jika lambat dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...