Saturday, 30 December 2017

Ujian sampel rambut mulai tahun depan - PDRM

Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standart (JIPS), Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (tengah) menyaksikan Penyerahan Tongkat Kuasa Jawatan Ketua Polis Pulau Pinang daripada Datuk Chuah Ghee Lye (kiri) kepada penggantinya, Datuk A. Thaiveegan (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan lagi proses pengambilan anggota baharu bermula tahun depan dengan mewajibkan ujian sampel rambut bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemohon.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, mekanisme baharu itu dijangka dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

"PDRM memandang serius isu dadah dalam kalangan pegawai dan anggota polis kerana sejak 2010 hingga November tahun ini, seramai 2,738 orang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Jadi, bermula tahun depan semua yang ingin menyertai pasukan (PDRM) akan menjalani ujian ini.

"Ujian ini membolehkan kita mengetahui adakah orang itu menggunakan dadah dalam tempoh lama, dengan mengambil sampel rambut untuk pengesahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk A.Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Datuk Chuah Ghee Lye yang bersara wajib.

Abdul Rahim berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati 25 peratus daripada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah mengambil bahan terlarang itu sebelum menyertai PDRM.

Sementara itu, beliau berkata sehingga November lepas, terdapat 10,607 pegawai dan anggota polis yang masih mengalami masalah hutang serius berbanding 15,478 orang pada awal tahun ini.

Mereka ini hanya menerima gaji bersih tidak sampai 40 peratus daripada gaji kasar dan kebanyakan yang terlibat berusia 30 hingga 35 tahun dan 50 hingga 55 tahun, katanya.

"Mulai tahun ini pegawai dan anggota polis hanya boleh berhutang menerusi koperasi PDRM sahaja dalam usaha kami mengurangkan jumlah mereka terlibat dalam keberhutangan," katanya. - BERNAMA

Thursday, 28 December 2017

Palestin ditawar ibu negara baharu

RAKYAT Palestin melontar batu ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Israel di Ramallah.

BAITULMUQADDIS - Semua pihak termasuk rak­yat Palestin diberi amaran supaya tidak me­nerima atau menyokong tawaran Amerika Syarikat (AS) kepada pihak berkuasa pentadbiran Pa­lestin supaya sebuah kawasan pinggir bandar, Abu Dis di Baitulmuqaddis dijadikan sebagai ibu negara alternatifnya.

Ketua Pergerakan Hamas, Ismail Haniya melabelkan keputusan Pre­siden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel merupakan usa­ha ‘terbesar’ kuasa besar dunia untuk menghancurkan perjuangan Pa­lestin.

Ismail yang dipetik Al-Jazeera, memberi amaran kepada semua pihak terbabit tanpa mengambil kira mereka dari Pa­lestin, komuniti Arab, beragama Islam atau antarabangsa supaya tidak me­laksanakan pelan AS bagi Timur Tengah yang belum lagi diterbitkan.

Ismail berkata: “AS menawarkan sebuah ibu negara baharu yang terletak jauh dari Baitulmuqaddis iaitu di Abu Dis dan sebuah jambatan yang dihubungkan dengan Masjid Al-Aqsa untuk memudahkan aktiviti beribadah.”

“Terdapat kuasa serantau yang berusaha membahagikan Tebing Barat kepada tiga seksyen, selain mewujudkan entiti politik di Semenanjung Gaza dengan kuasa (pentadbiran) sendiri,” kata Ismail ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin puak Palestin di Semenanjung Gaza semalam.

Katanya, terdapat tanda-tanda Israel akan mengambil ke­sempatan dengan memasukkan fakta-fakta versinya sendiri seperti rang undang-undang menyahudikan Baitulmuqaddis yang melalui proses pengundian esok.

Ismail menjelaskan, keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel secara tidak langsung mewujudkan risiko baharu yang boleh memberi kesan terhadap hubungan Palestin dengan Jordan.

Ismail berkata: “Saya sudah bercakap dengan Raja Jordan, Raja Abdullah mengenai kesan buruk yang boleh timbul daripada keputusan AS, projek pe­nempatan semula dan cadangan negara atau tanah air alternatif .

Beliau juga menggesa penduduk Palestin ‘meneruskan’ penentangan terhadap keputusan Trump dan bantahan oleh kumpulan-kumpulan gerakan di negara Arab dan Islam yang lain.

Ismail menambah isu politik dalaman antara Fatah dan Hamas perlu diselesaikan segera supaya kerajaan perpaduan Pa­lestin dapat mengutamakan isu-isu negara yang lebih besar.

Beliau memberi amaran bahawa rundingan damai yang ditandatangani di Mesir pada Oktober lalu berdepan kegagalan jika lambat dilaksanakan.

Wednesday, 27 December 2017

Wanita buta ramal 2018 China kuasai dunia, atasi AS

VANGA popular dengan pelbagai ramalan kejadian besar dunia.

SOFIA, Bulgaria – Seorang wanita buta dari Bulgaria meramalkan China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia pada tahun 2018.

Menurut beberapa individu yang mempercayai kuasa ghaib, Baba Vanga yang turut dikenali sebagai ‘Nostradamus dari Balkan’ itu membuat ramalan sehingga abad ke-51 sebelum dia meninggal dunia.


Selain itu, Vanga meramalkan satu bentuk tenaga baharu akan ditemui di planet Zuhrah pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pihak yang membuat perancangan menghantar misi penerokaan ke Zuhrah sekali gus menunjukkan penemuan tenaga baharu di planet itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Tukang tilik buta tersebut sempat meramalkan beberapa perkara besar yang akan mengubah dunia sebelum mati pada tahun 1996 ketika berusia 85 tahun.

Kejadian besar yang pernah diramalkan ialah mengenai ‘dua burung besi’ yang menyerang AS iaitu merujuk kepada serangan 9/11 pada tahun 2001, kehadiran militan Daesh di Eropah dan peristiwa Brexit.

Antara perkara lain diramalkan wanita tua itu adalah penduduk dunia akan kelaparan menjelang tahun 2028, koloni di planet Marikh mempunyai kuasa nuklear pada 2256 dan Bumi tidak akan berpenghuni pada tahun 2341.– AGENSI

Tuesday, 26 December 2017

AS kurangkan bajet PBB

Donald Trump
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Amerika Syarikat (AS) berjaya memotong bajet Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak AS$285 juta (RM1.16 bi­lion) tidak lama selepas Presiden AS, Donald Trump mengugut berbuat demikian jika badan dunia itu menolak keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, keputusan bersejarah itu bertujuan untuk menjadikan badan dunia tersebut supaya lebih cekap dalam pe­ngurusan dan tidak berbelanja secara berlebihan.

Perhimpunan Agung PBB menerima anggaran bajet sebanyak AS$5.39 bilion (RM22 bilion) bagi tahun 2018-2019.

Jumlah itu mengalami pe­ngurangan sedikit berbanding AS$5.4 bilion (RM22.02 bilion) seperti yang diminta oleh Setia­usaha Agung PBB, Antonio Guterres.

AS merupakan penyumbang utama kepada bajet PBB dengan menyediakan 22 peratus daripada bajet keseluruhan.

“Kami tidak akan membenarkan kemurahan hati rakyat Amerika diambil kesempatan dan tidak diteliti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Haley berkata, badan dunia itu sebelum ini dikenali dengan ketidakcekapan selain berbelanja lebih.

Friday, 22 December 2017

Shahrir akui FELDA 'hilang' status tiga aset tanah

PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR: "Saya tidak faham bagaimana tanah milik FELDA boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (FELDA)," kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dilantik sebagai Pengerusi FELDA, 6 Januari lalu.

Beliau yang mengakui agensi itu 'kehilangan' tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak di sini, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak FELDA yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Katanya, keseluruhan kawasan milik FELDA itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama FELDA, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 bernilai keseluruhan lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.

"Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi," katanya dalam pertemuan bersama wartawan.

Beliau mengesahkan tanah FELDA bertukar tangan apabila wartawan menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.

Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi FELDA.

Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan FELDA tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.

"Lembaga Pengarah FELDA terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu," katanya.

Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Shahrir mengulas, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata: "Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi," katanya.

Friday, 15 December 2017

NASA: Sistem solar baharu ditemukan

Ilustrasi NASA yang membandingkan antara planet yang ada dalam sistem solar sekarang dengan planet dalam Kepler 90.

MIAMI - Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) memaklumkan penemuan sistem solar yang mempunyai banyak planet dikenali sebagai Kepler 90.

Agensi berkenaan memaklumkan penemuan itu adalah hasil bantuan kecerdasan buatan (AI) dan teleskop Kepler miliknya.

Walau bagaimanapun agensi itu memberitahu, tiada planet dalam sistem planet kelapan itu yang boleh didiami.

Kepler 90 dipercayai merupakan sistem solar terbesar berbanding sistem solar yang ada sekarang. - AFP

Monday, 11 December 2017

Melayu akan bebaskan Baitulmaqdis - Sheikh Nawaf

PENGERUSI Kesatuan Ulama Palestin Luar Negara, Sheikh Dr Nawaf Takruri ketika membentangkan Topik " Kesan Balfour & Realiti Masa Kini" pada Forum Antarabangsa MyAQSA 100 Tahun Musibah Balfour di Masjid Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR: Saya percaya bangsa Melayu akan membebaskan Masjid Al Aqsa. Perkara ini akan berlaku, Insya Allah," kata Presiden Kesatuan Ulama Luar Negara Palestin, Sheikh Dr Nawaf Takruri.

Sheikh Nawaf berkata, Malaysia sentiasa berada di belakang Palestin memperjuangkan kebebasan dan hak umat Islam tanpa kompromi.

Katanya, beliau yakin Malaysia akan mara sebagai mujahidin (pejuang) bersama bala tentera untuk memperjuangkan nasib Baitulmaqdis yang diiktiraf Presiden Amerika Syarikat sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah itu.

"Seperti mana pejuang Salahuddin Al Ayubi, dia bawa bala tenteranya disertai orang bukan Arab untuk membebaskan Baitulmaqdis.

"Di bawah pimpinan Sultan Abdul Hamid, Turki menaungi Masjid Al Aqsa. Insya Allah, akan berlaku bangsa Melayu membebaskan Masjid Al Aqsa," katanya.

Beliau menjawab soalan mengenai saluran untuk berjihad ketika menjadi panel Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Panel lain ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin At-Takiri, dan Ketua Unit Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, Salahudin Datuk Hidayat Shariff.

Sesi berkenaan dihoskan Felo MyAqsa, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa.

Ketika ditanya hubungan politik Amerika Syarikat dengan negara-negara Arab, Sheikh Nawaf berkata Malaysia perlu berpegang teguh kepada pendirian membebaskan Baitulmaqdis dan mengutamakan masa depan Islam walau berdepan pelbagai cabaran.

"Pemimpin Arab hari ini lebih menjaga kepentingan dan kedudukan masing-masing, bukannya kemaslahatan dan kesucian umat Islam," katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata rakyat Malaysia perlu menyatakan solidariti membebaskan Baitulmaqdis melalui doa, bantuan kewangan dalam pelbagai cara termasuk ketenteraan dan ekonomi sehingga musibah itu berakhir.

"Kita tidak ajak rakyat kita ke Palestin tetapi wajib buat dengan doa, bantuan kewangan dan prihatin dalam isu ini. Kalau orang protes, orang bising, kita tidak ambil perhatian, maksudnya kita tidak prihatin nasib saudara kita.

"Bangkit bermusim sudah jadi adat rakyat kita, tetapi kesedaran kena sentiasa ada. Waktu sedar kita kena bangkit berpanjangan, bukan bangkit sehari diam setahun. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta bangkitkan isu ini sehingga berakhir," katanya.

Sementara itu, Salahudin mahu Malaysia menggunakan pentas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mencabar Perjanjian Balfour yang dilihat sebagai retorik politik kuasa-kuasa besar.

"Sampai sekarang Malaysia, satu-satunya negara yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Jadi cara terbaik adalah OIC mencabar Perjanjian Balfour di mahkamah antarabangsa atau negara Islam bergabung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perjuangkan isu ini. Itu lebih baik," katanya.

Friday, 8 December 2017

Empat Bangla kuasai KLIA

Gambar kecil, pendatang warga Bangladesh baru tiba di KLIA.
Kuala Lumpur: Empat sindiket utama dari Dhaka, Bangladesh diketuai individu dikenali sebagai Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom dipercayai paling aktif menyeludup migran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 2010.

Malah mereka ini dianggap Raja KLIA kerana dipercayai turut menguasai urusan imigresen dan boleh dikatakan mengenali setiap pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di pintu masuk utama negara itu.

Keempat-empat dalang utama ini saling mengenali antara satu sama lain termasuk juga ejen mereka yang berada di Malaysia.

Namun masing-masing hanya menjalankan kegiatan mereka tanpa mengganggu yang lain.

Sumber memberitahu, sindiket penyeludupan migran ini terutama membabitkan warga Bangladesh di KLIA sudah bertapak agak lama.

Wednesday, 6 December 2017

Tambang bas sekolah dijangka naik

MOHD. ROFIK

IPOH – Kadar tambang bas sekolah sesi persekolahan tahun depan dijangka naik antara RM10 hingga RM20.

Presiden Gabungan Persatuan Peng­usaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, kenaikan itu akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung peng­usa­ha termasuk alat ganti dan kos penyelenggaraan.

Menurutnya, harga mi­nyak tidak menentu ketika ini juga turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi pengusaha bas sekolah.

Katanya, alat ganti kenderaan juga mengalami ke­naikan harga antara 50 hingga 80 peratus se­per­ti bateri dahulu RM300 sekarang men­cecah lebih RM500.

“Jadi kami tidak menolak kemungkinan akan ada pengusaha bas sekolah berbuat demikian untuk membolehkan mereka terus bernafas dan terus memberi perkhidmatan.

“Dijangka berlaku kenaikan kadar tambang sebanyak RM10 di luar bandar manakala sebanyak RM20 di kawasan bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Ke-6 di Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Ipoh Perak, Rokiah Yeop.

Mohd. Rofik berkata, sejak Janua­ri 2015, Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) menyerahkan ke­pu­tusan memutuskan caj tambang bas sekolah kepada pengusaha dan Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru.

Katanya, persatuan itu mempunyai seramai 18,890 ahli di seluruh negara dan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 20,000 ahli selepas pembaharuan lesen pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rofik turut mencadangkan kepada kerajaan agar tempoh tamat bagi lesen bas, insurans, cukai jalan dan tempoh pemeriksaan Puspakom diselaraskan kepada setahun untuk memudahkan pengusaha bas terlibat membuat pembayaran secara serentak.

Monday, 4 December 2017

Fenomena pancuran meteor geminids di Port Dickson


PORT DICKSON -  Balai Cerap Teluk Kemang membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat fenomena pancuran meteor 'geminids'  dari perkarangan balai itu mulai 13 Disember ini.

Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang, Muzamir Mazlan berkata,  orang ramai boleh melihat fenomena itu bermula jam 11.30 malam selama tiga hari mulai tarikh tersebut.

"Fenomena ini dinamakan hujan meteor 'geminids' kerana titik asal permulaannya daripada buruj Gemini di langit pada sebelah Utara dan dijangka sebanyak dua meteor akan muncul setiap satu minit.

"Saya menjemput orang ramai sempena musim cuti persekolahan ini untuk melihat fenomena tersebut di sini dengan hanya mata kasar – tanpa memerlukan teleskop," katanya ketika ditemui Bernama.

Muzamir berkata hujan meteor pada kali ini juga sangat sesuai dilihat kerana cahaya bulan sangat kurang disebabkan bulan sabit ataupun dipanggil bulan tua.

Beliau berkata, berikutan fenomena alam ini, pihaknya akan menganjurkan pertandingan fotografi untuk para pengunjung dengan yuran penyertaan serendah RM10.

Pertandingan menawarkan hadiah utama RM300.

“Para pengunjung boleh menghayati fenomena hujan meteor ini sambil mengambil gambar.

“Mereka yang menyertai pertandingan ini perlu menghantar satu gambar terbaik dengan syarat hanya diambil di perkarangan balai cerap," katanya.

Sementara itu, bagi merancakkan lagi kemeriahan menyaksikan hujan meteor di langit Port Dickson, hotel Klana Beach Resort, milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, yang terletak berhadapan Balai Cerap itu menawarkan pakej istimewa buat pelanggan yang menginap di situ dalam tempoh tersebut.

Pengurusnya Che Dzarudin Che Omar berkata pelanggan di hotel mereka bukan sahaja boleh melihat keindahan pantai dan suasana matahari terbenam malah boleh melihat angkasa lepas menggunakan teleskop yang disediakan di balai cerap.

Che Dzarudin berkata bagi pelanggan berkenaan, mereka berpeluang memasuki balai cerap secara percuma, sedangkan orang awam yang ingin memasuki balai itu dikenakan bayaran RM25 seorang.

“Kami mendapat respon yang sangat baik kerana tempahan bilik sudah penuh selepas dua minggu tempahan dibuka,” katanya. - Bernama

Sunday, 3 December 2017

Ditahan polis kerana stokin busuk

Seorang lelaki ditangkap di India kerana "menyebabkan gangguan" selepas dia menanggalkan kasut dan stokin dan meletakkannya di laluan dalam bas.

NEW DELHI: Sepasang stokin busuk menyebabkan seorang lelaki ditahan Polis India kerana mencetuskan rasa kurang senang penumpang lain dalam sebuah bas.

Menurut polis, tindakan lelaki itu menanggalkan kasut dan stokin dan meletakkannya di laluan dalam bas ketika dalam perjalanan dari Himachal Pradesh ke New Delhi menyebabkan rasa marah penumpang lain.

Mereka yang kurang senang mengarahkan lelaki itu mengalihkan atau membuang stokin terbabit.

Bagaimanapun, lelaki itu berdegil hingga mencetuskan salah faham sehingga memaksa pemandu bas berhenti di balai polis di daerah Una, Himachal Pradesh.

Ketua Polis Una, Sanjeev Gandhi berkata, bas itu terpaksa berhenti beberapa kali kerana masalah bau yang kurang menyenangkan sebelum sampai ke balai polis.

"Lelaki itu ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin," kata Gandhi. - AFP

Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

Friday, 1 December 2017

Anak saudara MB Selangor direman

EMPAT individu termasuklah anak saudara Menteri Besar Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes perlombongan pasir dan batu haram.

PUTRAJAYA – Anak saudara Menteri Besar Se­langor, Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, bersama tiga lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombo­ngan pasir dan batu haram di Selangor.

Perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Ainna Sherina Saipolamin bermula semalam hingga 6 Disember depan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Keempat-empat individu yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.40 pagi.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman ke atas empat individu terbabit selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Tambah beliau, seramai tujuh individu sudah diambil ketera­ngan oleh SPRM berhubung ke­giatan perlombongan haram itu.

Kelmarin, dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan dilaporkan ditahan kerana disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.