Saturday 17 June 2017

SPRM bakal berkas lebih ramai pemaju hartanah

ABDUL AZIZ ABAN


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangkakan menahan lebih ramai pemaju hartanah kerana didapati menyeleweng kuota bumiputera dalam urusan jual beli perumahan di Pulau Pinang.

Tindakan tegas itu bakal dilakukan susulan penahanan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah kerana dipercayai memalsukan perjanjian jual dan beli (S&P) dengan menyeleweng kuota bumiputera pembelian kondominium di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Lelaki berusia 47 tahun itu diberkas ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang semalam disusuli de­ngan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran syarikat berkenaan kira-kira pukul 6.50 petang bagi membantu siasatan.

Pengarah urusan itu dikatakan berbuat demikian bagi mengurangkan jumlah sumbangan yang diperoleh daripada pelepasan kuota bumiputera yang perlu dibayar oleh pemaju kepada kerajaan negeri.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam kes pemalsuan S&P dengan menggunakan 20 penama sebagai pembeli kuota bumiputera unit kediaman tersebut.

“Mereka dikatakan telah membayar sejumlah wang kepada seorang individu iaitu ‘ejen’ bagi mendapatkan salinan kad pengenalan daripada mana-mana orang yang kononnya sebagai pembeli bumiputera bagi projek perumahan tersebut. Setiap kad pengenalan yang diperoleh akan dibayar lebih kurang RM3,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, sumber mendedahkan, berkaitan kes berkenaan, sebanyak 80 unit kediaman dibuka untuk penjualan di bawah kuota bumiputera yang harga rumahnya antara RM1 juta hingga RM1.5 juta.

“Mereka palsukan S&P sebelum menjualnya kepada bukan bumiputera, perkara seumpama ini dilihat disyaki dilakukan oleh semua pemaju di Pulau Pinang bagi mengaut keuntungan.

“Selain itu juga, terdapat 60 unit lagi untuk bumiputera yang tidak terjual dan pemaju se­ngaja memohon kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mereka beri pelepasan unit tersebut dijual kepada bukan bumiputera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan SPRM turut merakamkan ke­terangan daripada 20 saksi sehingga kini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita juga telah mendapat perintah tahanan reman terhadap pasangan terbabit selama empat hari mulai hari ini sehingga 19 Jun ini mengikut Seksyen 16(b)(a) Akta SPRM 2009,” jelasnya.

Perintah tahanan reman ke atas dua individu berkenaan dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Majistret, Ahmad Tajudin Zain kira-kira pukul 11.10 pagi ini.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...