Thursday, 15 June 2017

Kerajaan tak campur isu harumanis

Harumanis mengalami penurunan harga mendadak selepas buah tersebut gagal dipasarkan secara meluas di luar Perlis.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak akan campur tangan dalam isu kejatuhan harga harumanis kerana tidak mahu ditafsir sebagai cuba mensabotaj pasaran buah yang dianggap eksklusif milik negeri Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu para petani harumanis di Perlis pernah dianggap sebagai cubaan untuk mensa­botaj pasaran buah tersebut.

“Jadi kementerian menye­rahkan kepada kebijaksanaan pihak yang me­ngusahakan tanaman dan pasaran buah harumanis di Perlis dalam menentukan harga kerana mereka lebih mengetahui mengenai produk pertanian itu daripada pihak lain.

“Kalau ada pihak tertentu yang datang minta bantuan daripada kementerian, kita akan bantu tetapi pernah FAMA cuba promosi menggunakan saluran online malang­nya agensi itu turut dihentam kerana buah tersebut dikatakan tidak patut dijual pada harga murah kepada pengguna,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis pengagihan bubur lambuk kepada kakitangan kementerian dan sumbangan kepada asnaf di Walkway MOA di sini semalam.

Menurut beliau, sejak insiden itu, kementerian tidak lagi akan campur tangan me­ngenai harga buah harumanis kerana tidak mahu disalah anggap dalam hal produk keluaran yang dianggap sebagai eksklusif negeri Perlis.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...