KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar pihak-pihak tertentu yang lebih mahu melihat negara tertinggal di belakang dengan mengkritik segala tindakan kerajaan membawa masuk pelaburan dari luar negara.
Perdana Menteri menegaskan, beliau bagaimanapun tidak akan mempedulikan sebarang kritikan tersebut malah ‘mengalu-alukan’ pihak berkenaan untuk berkempen menggunakan modal itu jika mereka mahu pembangunan Malaysia tertangguh.
Kata beliau, sesetengah orang berfikir adalah lebih baik memiliki syarikat yang rugi, tetapi 100 peratus milik Malaysia berbanding mempunyai pegangan lebih kecil dalam sebuah syarikat, tetapi mampu mendapat akses kepada pasaran lebih besar.
“Saya ingin bertanya, yang mana satukah pilihan itu akan memberi lebih kekayaan dan mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat? Jawapannya sangat jelas.
“Kepada mereka yang mengkritik bahawa tindakan ini sangat keterlaluan, terlalu cepat dan terlalu drastik, saya ingin memberitahu, jika kamu mahu menangguhkan pembangunan Malaysia, jika kamu ingin lihat negara kita tertinggal, jadi teruskan berkempen dengan modal itu.
“Saya tidak akan sekali-kali meminta maaf demi memudahkan kemasukan pelaburan ke negara ini. Usaha ini adalah demi kepentingan semua rakyat termasuk rakan-rakan kita dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pembukaan rasmi China Contruction Bank (Malaysia) Bhd., di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...