KUALA LUMPUR – Empat pelajar Malaysia terpilih menerima tajaan melanjutkan pengajian ke akademi tentera di Amerika Syarikat (AS) bagi sesi pengambilan tahun ini.
Pemangku Duta AS di negara ini, Edgard Kagan berkata, dua daripada mereka, Wan Kamal Fitri Wan Kamal, 19, dan P.M. Sayniish, 19, akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera AS (USMA) di West Point, New York, Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 18, ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland manakala Muhammad Salihin Mohd. Sabri, 19, melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado.
“Seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dan tiga orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima tajaan penuh masing-masing bernilai RM2 juta untuk membiayai pembelajaran dan mengikuti latihan di akademi-akademi yang terpilih itu.
“Saya tidak fikir ada negara yang mempunyai lebih daripada empat orang pegawai kadet layak ke akademi ketenteraan dengan tajaan penuh dalam satu tahun dan saya sangat kagum dengan prestasi calon-calon di Malaysia yang sangat dedikasi, berkualiti serta berkebolehan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis menghargai keempat-empat pelajar itu di sini, hari ini.
Empat pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga dalam bidang ketenteraan itu merupakan antara 50 pelajar antarabangsa bertuah yang layak menerima tajaan tersebut.
Sementara itu, Sayniish berkata, kejayaannya melanjutkan pelajaran ke akademi berprestij berkenaan didedikasi kepada mendiang bapa saudaranya, Mejar C. Kayamboo yang terkorban dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, tahun lalu.
“Walaupun agak gemuruh kerana pertama kali akan ke AS, tetapi saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menimba sebanyak mana pengalaman dan ilmu untuk dibawa balik dan dipraktikkan di Malaysia kelak,” katanya.
Muhammad Salihin pula memberitahu, penerimaannya ke USAFA umpama sudah selangkah untuk menjadi seperti idolanya yang juga merupakan bapa saudaranya, bekas Panglima TUDM, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz.
“Sejak umur lapan tahun, saya sudah bercita-cita menjadi seorang juruterbang tetapi saya mula mahu menjadi juruterbang TUDM apabila menginjak umur enam belas tahun dengan menjadikan bapa saudara sebagai inspirasi,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Kamal Fitri menjelaskan, dia ingin mewarisi darah ketenteraan bapanya yang merupakan anggota TUDM.
“Sebagai seorang anak tentera, saya sudah didedahkan dengan dunia ketenteraan sejak kecil dan itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bidang ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...