Tuesday, 30 January 2018

Robot 'bunuh' pekerjaan manusia

ROBOT android mengambil alih tugas manusia menjaga kaunter pertanyaan di sebuah hotel di Tokyo, Jepun.

PLATFORM kecerdasan buatan (AI) dan penghasilan ro­bot-robot canggih sebenarnya telah membunuh banyak peluang pekerjaan dan bakal memberi kesan yang lebih besar kepada kehidupan manusia.

Perkara itu merupakan salah satu isu besar yang hangat dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos minggu lalu.

Ikon global China yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma mengakui perkara itu dan menyuarakan kebimbangannya mengenai perkembangan yang dilihat semakin bergerak ke arah yang lebih negatif.

Kebangkitan AI bukan hanya untuk berinteraksi atau memudahkan tugas seharian sebalik­nya telah memanipulasi kehidupan manusia dan menjadikan kita semakin lemah.

Benar kata Jack Ma, teknologi harus sentiasa memberikan peluang baharu kepada manusia dan bukan pula merampasnya.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan manusia itu sendiri menggunakan teknologi dan keprihatinan golongan berkuasa untuk tidak terlalu rakus mengejar keuntungan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku.

Di Davos, kebimbangan me­ngenai gergasi internet yang merompak sejumlah besar data peribadi secara haram atau untuk tujuan berkongsi dengan pihak berkuasa turut dibahaskan.

Rata-rata bersetuju bahawa sikap masyarakat yang terlalu mudah menyerah dan mendedahkan segalanya di rangkaian sosial dan enjin carian menjadi pe­nyumbang utama kepada masalah tersebut.

Namun Davos menjadi saksi persetujuan unik daripada gergasi dunia digital yang sebelum ini sering menolak pengawasan yang terlalu banyak oleh pihak kerajaan atas alasan cuba menghalang inovasi.

Pengasas Salesforce, sebuah syarikat perkhidmatan awam utama, Marc Benioff yang sebelum ini lantang menyuarakan pendapatnya turut akur bahawa perlu wujud lebih banyak peraturan dalam sektor itu.

Ramai pengkritik dan pemerhati menyifatkan perubahan pendirian itu sebagai sesuatu yang amat positif terhadap masa depan keselamatan data peribadi setiap individu.

Pihak berkuasa pengawal seliaan di Eropah telah mengeluh selama bertahun-tahun ba­hawa syarikat-syarikat digital be­sar tidak bertindak balas ketika mereka dipanggil dalam sebarang siasatan mengenai penyelewe­ngan atau kebocoran data peribadi pengguna.

Namun Zvika Krieger yang mengetuai projek digital untuk penganjuran forum ekonomi tersebut yakin perkembangan itu mungkin menyaksikan syarikat-syarikat berkenaan menjawab panggilan mereka dan bekerjasama dalam usaha memastikan dunia digital terus memperkasa keupayaan manusia dan bukan sebaliknya. - REUTERS

Wednesday, 24 January 2018

Kebangkitan semula tentera Jepun di Asia

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berdiri tengah, meninjau perbarisan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF).


JEPUN mempunyai bala tentera yang digeruni, lengkap dengan persenjataan serba canggih berbanding negara-negara lain di Asia lain semasa Tokyo terlibat dalam Perang Dunia Kedua beberapa dekad lalu.

Malah, siapa sangka, tentera Nippon juga memiliki dua buah kapal perang paling besar di dunia iaitu Yamato dan Mushashi. 

Kapal seberat 72,000 tan dan panjang lebih 260 meter itu menjadi simbol kekuatan  armada Jepun di laut.

Malah, Jepun ketika itu setanding dengan Amerika Syarikat (AS)  apabila mempunyai bukan satu atau dua tetapi 10 buah kapal pengangkut pesawat. Kapal induknya, Shinano adalah antara yang paling besar ketika itu. 

Umum juga  tahu bahawa letupan dua bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menjadi titik noktah cita-cita imperialisme Tokyo.

Selepas negara itu diduduki tentera AS dalam tahun 1945 hingga 1952, Jepun mendapatkan semula kemerdekaannya. Namun, tenteranya  yang kuat suatu masa dahulu hanya tinggal sejarah.

Di bawah perlembagaan pasca perang yang digubal, Jepun dilarang daripada melancarkan perang, manakala pada tahun 1954, tentera Jepun berwajah baharu dinamakan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) ditubuhkan. 

Jika dilihat pada namanya, tentera baharu itu hanya sekadar memenuhi syarat sebuah negara yang merdeka dan dipenuhi dengan kekangan. Rakyat Jepun amnya, sudah jelik dengan perang dan kuasa tentera Asia yang dahulunya gah ibarat harimau yang hilang taring. 

Sejak penubuhannya, JSDF bukan sahaja pasukan tentera yang tidak digeruni, malah tidak pernah menyertai sebarang pertempuran.

Dari aspek perlembagaan, tiada halangan untuk Jepun muncul semula sebagai kuasa tentera utama seperti beberapa dekad lalu, namun rakyat dan pemimpinnya memberi tumpuan untuk memacu negara itu untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia.

Namun, perkembangan di Asia termasuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sehingga menceroboh sempadan wilayah Jepun dan keberanian China dalam isu tuntutan bertindih membuka mata Tokyo bahawa ia tidak selamanya boleh bergantung kepada pakatan pertahanan dengan AS.

Jepun sebenarnya mempunyai teknologi dan kepakaran jika ia mahu mempersenjatai semula angkatan tenteranya. Negara itu mempunyai lebih 300,000 askar termasuk pasukan  simpanan, hampir 3,000 kereta kebal dan perisai, lebih 200 artileri, kira-kira 100 peluru berpandu, hampir 1,700 pesawat tentera, 129 kapal dan 17 kapal selam. 

Jepun juga mempunyai dua buah kapal induk, Izumo dan Kaga yang berselindung di sebalik nama kapal pengangkut helikopter. Tokyo merancang mengubah suai kedua-dua kapal itu untuk fungsi sebenarnya, sebagai pangkalan bergerak untuk pesawat tempur. 

Dari aspek peluru berpandu pula termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Jepun tidak memilikinya, namun, harus diingat, Tokyo mampu  melancarkan roket dan satelit sendiri ke angkasa lepas. 

Ia bermakna Tokyo hanya memerlukan masa beberapa bulan sahaja untuk mengubah suai teknologi itu untuk menghasilkan ICBM sendiri.

Perkembangan semasa di Semenanjung Korea dan Laut Timur mendorong kebangkitan semula angkatan tentera Jepun. Dasar pasif yang sinonim dengan JSDF juga akan dirombak menjelang tahun 2020.

Perkembangan itu bakal menyaksikan sebuah kuasa tentera baharu akan muncul di rantau Asia selain China, India, Pakistan dan Korea Utara. 

Kebangkitan semula itu sedikit sebanyak akan mengubah status quo di rantau itu, sama ada ke arah kestabilan ataupun sebaliknya.  

Kredit: Wan Azhar Wan Abdullah

Monday, 22 January 2018

Satu peratus golongan hartawan terus bolot kekayaan

SATU peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu.

PARIS: Satu peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu, manakala orang miskin atau separuh penduduk dunia tidak menerima apa-apa, kata Oxfam hari ini.

Laporan baharu badan kebajikan itu turut mendapati kekayaan kalangan hartawan meningkat enam kali lebih pantas berbanding pekerja biasa sejak 2010.

Selain itu, seorang hartawan baharu muncul setiap dua hari di antara Mac 2016 dan Mac 2017.

Oxfam menggunakan penemuannya untuk memberi gambaran terhadap ekonomi global yang menyaksikan segolongan kecil mengumpul lebih banyak kekayaan ketika ratusan juta penduduk berdepan kesukaran meneruskan hidup dengan gaji yang rendah.

"Lonjakan jumlah hartawan bukan petunjuk ekonomi yang baik, ia adalah gejala sistem ekonomi yang gagal," kata pengarah eksekutif Oxfam, Winnie Byanyima dalam kenyataannya.

Oxfam juga menekankan nasib pekerja wanita yang mendapat gaji lebih rendah berbanding lelaki dan sering mendapat bayaran paling rendah serta tiada jaminan.

Katanya, sembilan daripada 10 hartawan adalah lelaki.

Laporan bertajuk "Reward Work, not Wealth," menggunakan data Credit Suisse untuk membandingkan pulangan eksekutif kanan dan pemegang saham berbanding pekerja biasa.

Ia mendapati, bayaran ketua eksekutif lima jenama fesyen terkemuka dunia selama empat hari adalah sama dengan pendapatan sepanjang hayat seorang pekerja pakaian di Bangladesh. - AFP

Wednesday, 17 January 2018

Pekerja asing jadi faktor gaji rendah di Malaysia

Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Punca mengapa masih ada 50 peratus rakyat Malaysia yang bergaji di bawah RM1,703 adalah kerana pengaruh pekerja asing.

Perkara itu dimaklumkan Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, apa yang dilihat hari ini, negara tiada dasar yang jelas seperti negara lain di mana kemasukan pekerja asing akan mempengaruhi gaji rakyat dalam negara.

“Kita ambil contoh seperti Singapura, jika hendak ambil pekerja luar, syarikat perlu memastikan tiada rakyatnya yang hendak bekerja barulah ambil pekerja luar.

“Hendak ambil orang luar, syaratnya juga adalah pembayaran gaji adalah sama. Di Malaysia tiada, misalnya, pekerja tempatan dibayar RM2,000, tetapi pekerja asing RM700. Di sini dilihat berapa ramai orang kita digantikan dengan orang luar,” katanya ketika Live Facebook bersama Sinar Harian.

Berhubung pemantauan terhadap isu pekerja asing ini, beliau tidak pasti sejauh mana perkara itu dilihat oleh pihak berwajib.

Yusof bagaimanapun mengakui tahap ekonomi yang masih rendah adalah kesan daripada dasar terdahulu.

“Ini kerana dalam ekonomi, dasar hari ini akan memberi kesan pada negara lima tahun akan datang,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilihat hari ini, ekonomi negara dilihat sihat daripada luarannya, tapi dalamannya agak parah.

“Antara beberapa yang pengaruhinya iaitu isu agihan pendapatan, isu pekerjaan dan gaji..yang mana kalau dibiarkan akan menjadi parah,” katanya.

Saturday, 13 January 2018

Malaysia dilanda cuaca sejuk

Petikan status facebook Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan beberapa kawasan di negara ini terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Menurutnya, cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk Monsun Timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang me­landa beberapa negeri di Semenanjung sejak kelmarin.

“Cuaca sejuk ini berlaku ter­utamanya di kawasan pedalaman dan daratan.

“Stesen meteorologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu mini­mum 21 darjah Celsius dan maksimum 25 darjah Celsius berban­ding suhu biasa bermula 30 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Saturday, 6 January 2018

Facebook mahu kaji 
mata wang kripto

Mark Zuckerberg

NEW YORK – Facebook Inc. merancang untuk mengkaji lebih lanjut terhadap potensi mata wang kripto yang sedang giat didagangkan di seluruh dunia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata, beliau optimis terhadap mata wang kripto pada 2018 dan mahu melihat aspek positif serta negatif mata wang digital berkenaan.

Katanya, enkripsi dan mata wang kripto antara trend utama yang mengambil kuasa daripada sistem berpusat dan meletakkannya kembali ke dalam tangan rakyat.

“Walau bagaimanapun, trend ini datang dengan risiko dan menjadi lebih sukar untuk dikawal.

“Saya berminat untuk pergi lebih mendalam dan mengkaji aspek-aspek positif dan negatif teknologi ini, dan cara terbaik untuk menggunakan mereka dalam perkhidmatan kami,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

Bukan hanya Zuckerberg meluahkan minat terhadap trend ini, Naib Presiden Produk Pesanan Facebook, David Marcus telah menyertai lembaga pengarah Coinbase Inc., antara bursa mata wang kripto terbesar tahun lalu.

“Saya telah terlibat dengan mata wang kripto sejak 2012 dan saya telah menyaksikan bagaimana Coinbase memberi akses kepada aset kelas baharu ini,” jelasnya. – AGENSI

Friday, 5 January 2018

Makan waktu sama setiap hari cegah nyanyuk

MAKAN pada waktu yang tetap turut meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan jantung.

CALIFORNIA - Kajian oleh pakar kesihatan di California mendapati makan pada waktu yang sama setiap hari boleh membantu melawan penyakit dementia atau nyanyuk.

Menurut portal Mail Online, penemuan terbaharu itu diterbitkan dalam jurnal eNeuro baru-baru ini.

Menurut kajian itu, makan pada waktu yang tetap akan meningkatkan ekspresi gen di bahagian otak yang berkaitan dengan kawalan badan sekali gus mengurangkan risiko pe­nyakit Huntington (HD) yang merupakan salah satu gejala dementia.

Kebiasaan seperti itu juga meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan jantung, yang kedua-duanya mempunyai kaitan de­ngan HD.

Penyelidik percaya penemuan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup bagi mereka yang menghidap penyakit yang tidak dapat diubati itu.

Penulis kajian tersebut, Profesor Christopher Colwell dari The University of California berkata, HD adalah penyakit yang dise­babkan oleh genetik dan sehingga kini masih tiada penawar.

“Perubahan gaya hidup bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup tetapi juga menangguhkan perkembangan penyakit untuk pesakit HD,” katanya.

HD memberi kesan kepada hampir 30,000 orang di Amerika Syarikat (AS) dan sekurang-kurangnya 6,700 di United Kingdom (UK).

Wednesday, 3 January 2018

Rakyat muak dengan kerajaan, pembangkang

Mohamad Ezam Mohd Nor

SHAH ALAM - Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan wujud fenomena luar biasa sedang berlaku menjelang PRU14.

Katanya, ia adalah suasana di mana rakyat dan pengundi semakin tidak bermaya untuk berdepan dengan pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Rata-rata daripada mereka suarakan rasa muak dengan politik hari ini. Mereka kecewa dan menyampah bukan sahaja dengan pihak sebelah sini atau sana tetapi dengan kedua-duanya.

“Ini bukan fenomena biasa. Biasanya pengundi dan rakyat akan menyokong atau tidak. Menyokong salah satu daripada dua pihak. Kali ini kelihatan mereka tidak menyokong kedua-duanya seolah-olah keliru dan ini bahaya buat negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut disebabkan oleh krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara pada hari ini.

“Tetapi dalam yang sama rakyat juga masih belum dapat mengalihkan atau menggantikan keyakinan itu kepada pihak lain. Kita tersimpul dalam satu kekusutan politik dan ia mesti dileraikan.

“Politik adalah soal keyakinan terhadap satu kepimpinan. Soalnya sekarang, tidak ada satu pun kepimpinan yang diyakini oleh rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sudah hilang kepercayaan rakyat dengan pelbagai isu melingkarinya dan tiada jalan untuk beliau meraih sokongan dan keyakinan lagi,” katanya.

Menyentuh soal pembangkang, Mohamad Ezam berkata, mereka masih terkial-kial meraih keyakinan rakyat untuk menyokong mereka.

“Inilah kekusutannya kerana pembangkang juga tidak diyakini. Cuma mereka belum lagi di hujung jalan seperti Najib dan pasukannya. Pembangkang masih boleh merai keyakinan rakyat dengan syarat mereka perlu jujur meleraikan kekusutan ini.

“Apabila saat memilih semakin hampir, perkara pokok bagi pengundi ialah keyakinan kepada pentadbiran baru. Bukan lagi soal keburukan pentadbiran sedia ada. Soalnya ialah apa kebaikan dan keupayaan pentadbiran baru itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks politik negara ini, rakyat mahu tahu individu mana yang akan memimpin pentadbiran baharu dan ia penting bagi meraih keyakinan rakyat.

“Pakatan Harapan (Harapan) dilihat masih kusut dalam soal ini. Sosok yang memimpin tidak jelas, malah masih berkisar kepada tokoh-tokoh lama. Benar mereka adalah sosok hebat, berjasa dan teruji tetapi dalam masa sama mereka membawa bersama cerita dan kisah lalu. Di sinilah kekusutannya dan inilah yang perlu dileraikan.

“Agenda pembaharuan perlu dilihat, dibawa dan dijulang oleh muka-muka baharu dan muda Harapan kerana punyai ramai pemimpin muda yang mampu menjulang perubahan. Mereka siap sedia menjadi panglima perang dan mengurus kejayaan,” katanya.

Tambahnya, tokoh-tokoh besar pembangkang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah wajar memberi laluan kepada pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan Salahuddin Ayub.

“Tokoh-tokoh besar kekal aktif di dalam perjuangan dan negara masih memerlukan kepakaran serta pengalaman mereka.

“Mereka perlu memberi kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda mengepalai perjuangan Harapan yang berani berubah. Ini penting dalam memberi mesej jelas kepada golongan muda negara yang mahukan perubahan bahawa Harapan benar-benar satu gagasan perubahan,” katanya.

Monday, 1 January 2018

Buruh haram Malaysia di Korea Selatan

SEORANG buruh haram Malaysia melakukan kerja di sebuah ladang di Korea Selatan.
​​​​​​​
KUALA LUMPUR - Masalah buruh haram Malaysia di luar negara yang sebelum ini berlaku di Australia mula merebak ke Korea Selatan kerana negara itu menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pengilangan dan perkhidmatan dan tidak hanya tertumpu kepada perladangan semata-mata.

Bermula pertengahan tahun ini, trend kemasukan buruh haram itu didapati melonjak dengan ketara, antaranya disumbangkan oleh peranan ejen yang agresif dan berlumba-lumba merekrut pekerja melalui media sosial khususnya Facebook.

Ejen-ejen berkenaan mempromosikan perkhidmatan tanpa rasa takut termasuk dengan menularkan video yang mempamerkan kemewahan pendapatan bagi menarik perhatian bakal buruh haram kerana setakat ini belum ada tindakan kon­krit daripada pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti mereka.

Pada masa ini terdapat dua ejen utama di negara ini yang dikenal pasti aktif ‘menyeludup’ buruh ha­ram, satu daripadanya dikendalikan oleh dua beradik manakala satu lagi diuruskan oleh dua beranak.

Dua ejen itu dikatakan membawa masuk sekurang-kurangnya dua kumpulan buruh haram sebulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 20 orang.

Bayaran yang dikenakan mereka pula ialah kira-kira RM3,000 kepada RM4,000 bergantung kepada ejen.

Lokasi pilihan untuk bekerja ialah kawasan yang jauh dari pusat bandar Seoul seperti Hanam-si, Suwon dan Mugeok yang dianggap lebih selamat daripada agensi penguatkuasaan.

Sumber Mingguan Malaysia memberitahu, buruh haram Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dengan yang paling muda ditemuinya ialah 16 tahun manakala paling tua kira-kira 50 tahun.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka adalah golongan yang kali pertama ke luar negara dan tidak mengambil berat soal peraturan visa yang tidak membenarkan mereka bekerja.

“Kelompok kedua adalah rakyat Malaysia yang pernah bekerja secara haram di ladang-ladang buah atau sayuran di Australia sehingga disenarai hitam oleh imigresen negara itu,” katanya.

Katanya, trend kebanjiran buruh haram secara mendadak itu kini sudah berada dalam perhatian pihak berkuasa Korea Selatan yang mula mengetatkan penguatkuasaan mereka termasuk di lapangan terbang yang menjadi pintu masuk.

“Pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad memang nampak dengan ketara muka-muka orang Malaysia jika ke Itaewon yang kini menjadi markas pertemuan mereka,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu buruh haram di Korea Selatan walaupun berpeluang meraih pendapatan lumayan kira-kira RM2,000 seminggu sentiasa terdedah dengan manipulasi oleh majikan sendiri.

Katanya, antara prosedur operasi standard (SOP) majikan ialah menahan sebahagian gaji pertama iaitu kira-kira RM2,000 sebagai deposit supaya tidak melarikan diri dan jumlah itu hanya dibayar selepas mereka bekerja mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Ada juga kes majikan sendiri yang membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga buruh ha­ram ditangkap dan dengan cara itu mereka tidak perlu membayar gaji.

“Sebagai buruh haram, mereka tidak akan dilindungi oleh peruntukan undang-undang buruh dan majikan akan sentiasa mempu­nyai kelebihan dan ejen-ejen pula bertindak lepas tangan jika masalah sedemikian berlaku” katanya.