Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Friday, 9 March 2018

Seluar pegawai SPRM koyak bergelut tangkap polis

Anggota polis yang ditahan di Tampin Square dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sembilan terkoyak seluar ketika bergelut dengan anggota polis yang ditahan bersabit kes rasuah di kedai akuarium di Tampin Square, hari ini.

Sumber berkata, lans koperal polis berusia 36 tahun itu ditahan 2 petang berikutan membekalkan rokok kepada seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan di lokap antara 2 hingga 6 Mac lalu berikutan terbabit kes gaduh di Tampin.

"Suspek yang berkhidmat di balai berkenaan dipercayai membekalkan bahan larangan iaitu rokok dan menerima RM400.

“Bertindak atas aduan diterima, lapan pegawai SPRM negeri ke Tampin Square hari ini untuk menahannya," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di lokasi suspek enggan bekerjasama ketika empat pegawai SPRM cuba memberkasnya sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan seluar seorang pegawai SPRM terkoyak pada bahagian lutut.

Sementara itu, jurucakap SPRM Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.