DATUK SERI MUSTAFAR ALI |
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkilangan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga semalam yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang menyalahi udang-undang.
Menurut beliau, pihaknya mendapati premis yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya diberikan kepada penduduk tempatan tetapi sikap mereka mencari keuntungan segera telah menyewakan kepada warga asing untuk membuka perniagaan.
“Ini merupakan satu kesalahan apabila permit pekerjaan yang diberi telah disalah guna manakala warga tempatan juga cuba mengaut keuntungan menerima komisen dengan menyewakan premis mereka. Contohnya, minggu lalu kita menahan ramai warga asing yang menyewa premis dari warga tempatan di Taman Seri Muda, Shah Alam.
“Terdapat beberapa lagi lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan haram seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Silang, Lembah Pudu, Jalan Petaling dan Pasar Borong Selayang. Jadi, kita gesa PBT serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil tindakan tegas bagi membendung isu tersebut daripada berleluasa,” katanya.
Dalam pada itu, Mustafar memberitahu, setakat ini, Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas 41,542 warga asing dalam 3,499 serbuan di seluruh negara.
Jelas beliau, pihaknya menahan seramai 187 majikan yang didapati menyalahi undang-undang termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dari 1 Januari sehingga 25 Februari, sebanyak 7,705 PATI telah diusir ke negara mereka bukan dengan secara sukarela.
“Jabatan Imigresen akan terus melakukan operasi serta serbuan secara proaktif bertujuan mengesan warga asing dan pihak majikan yang masih tidak menghiraukan amaran yang diberi serta berterusan menyalahi undang-undang,” tegasnya.