Showing posts with label Trending. Show all posts
Showing posts with label Trending. Show all posts

Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Tuesday, 27 February 2018

PATI monopoli perniagaan di Malaysia

DATUK SERI MUSTAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkila­ngan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Ketua Pengarahnya,­ Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga semalam yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang me­nyalahi udang-undang.

Menurut beliau, pihaknya mendapati premis yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya diberikan kepada penduduk tempatan tetapi sikap mereka mencari keuntungan segera telah menyewakan kepada warga asing untuk membuka perniagaan.

“Ini merupakan satu kesalahan apabila permit pekerjaan yang diberi telah disalah guna manakala warga tempatan juga cuba mengaut keuntungan menerima komisen dengan menyewakan premis mereka. Contohnya, minggu lalu kita menahan ramai warga asing yang menyewa premis dari warga tempatan di Taman Seri Muda, Shah Alam.

“Terdapat bebe­rapa lagi lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan haram seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Silang, Lembah Pudu, Jalan Petaling dan Pasar Borong Selayang. Jadi, kita gesa PBT serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil tindakan tegas bagi membendung isu tersebut daripada berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar memberitahu, setakat ini, Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas 41,542 warga asing dalam 3,499 serbuan di seluruh negara.

Jelas beliau, pihaknya menahan seramai 187 majikan yang didapati menyalahi undang-undang termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dari 1 Januari sehingga 25 Februari, sebanyak 7,705 PATI telah diusir ke negara mereka bukan dengan secara sukarela.

“Jabatan Imigresen akan terus melakukan operasi serta serbuan secara proaktif bertujuan mengesan warga asing dan pihak majikan yang masih tidak menghiraukan amaran yang diberi serta berterusan menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Saturday, 13 January 2018

Malaysia dilanda cuaca sejuk

Petikan status facebook Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan beberapa kawasan di negara ini terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Menurutnya, cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk Monsun Timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang me­landa beberapa negeri di Semenanjung sejak kelmarin.

“Cuaca sejuk ini berlaku ter­utamanya di kawasan pedalaman dan daratan.

“Stesen meteorologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu mini­mum 21 darjah Celsius dan maksimum 25 darjah Celsius berban­ding suhu biasa bermula 30 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Saturday, 6 January 2018

Facebook mahu kaji 
mata wang kripto

Mark Zuckerberg

NEW YORK – Facebook Inc. merancang untuk mengkaji lebih lanjut terhadap potensi mata wang kripto yang sedang giat didagangkan di seluruh dunia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata, beliau optimis terhadap mata wang kripto pada 2018 dan mahu melihat aspek positif serta negatif mata wang digital berkenaan.

Katanya, enkripsi dan mata wang kripto antara trend utama yang mengambil kuasa daripada sistem berpusat dan meletakkannya kembali ke dalam tangan rakyat.

“Walau bagaimanapun, trend ini datang dengan risiko dan menjadi lebih sukar untuk dikawal.

“Saya berminat untuk pergi lebih mendalam dan mengkaji aspek-aspek positif dan negatif teknologi ini, dan cara terbaik untuk menggunakan mereka dalam perkhidmatan kami,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

Bukan hanya Zuckerberg meluahkan minat terhadap trend ini, Naib Presiden Produk Pesanan Facebook, David Marcus telah menyertai lembaga pengarah Coinbase Inc., antara bursa mata wang kripto terbesar tahun lalu.

“Saya telah terlibat dengan mata wang kripto sejak 2012 dan saya telah menyaksikan bagaimana Coinbase memberi akses kepada aset kelas baharu ini,” jelasnya. – AGENSI

Monday, 1 January 2018

Buruh haram Malaysia di Korea Selatan

SEORANG buruh haram Malaysia melakukan kerja di sebuah ladang di Korea Selatan.
​​​​​​​
KUALA LUMPUR - Masalah buruh haram Malaysia di luar negara yang sebelum ini berlaku di Australia mula merebak ke Korea Selatan kerana negara itu menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pengilangan dan perkhidmatan dan tidak hanya tertumpu kepada perladangan semata-mata.

Bermula pertengahan tahun ini, trend kemasukan buruh haram itu didapati melonjak dengan ketara, antaranya disumbangkan oleh peranan ejen yang agresif dan berlumba-lumba merekrut pekerja melalui media sosial khususnya Facebook.

Ejen-ejen berkenaan mempromosikan perkhidmatan tanpa rasa takut termasuk dengan menularkan video yang mempamerkan kemewahan pendapatan bagi menarik perhatian bakal buruh haram kerana setakat ini belum ada tindakan kon­krit daripada pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti mereka.

Pada masa ini terdapat dua ejen utama di negara ini yang dikenal pasti aktif ‘menyeludup’ buruh ha­ram, satu daripadanya dikendalikan oleh dua beradik manakala satu lagi diuruskan oleh dua beranak.

Dua ejen itu dikatakan membawa masuk sekurang-kurangnya dua kumpulan buruh haram sebulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 20 orang.

Bayaran yang dikenakan mereka pula ialah kira-kira RM3,000 kepada RM4,000 bergantung kepada ejen.

Lokasi pilihan untuk bekerja ialah kawasan yang jauh dari pusat bandar Seoul seperti Hanam-si, Suwon dan Mugeok yang dianggap lebih selamat daripada agensi penguatkuasaan.

Sumber Mingguan Malaysia memberitahu, buruh haram Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dengan yang paling muda ditemuinya ialah 16 tahun manakala paling tua kira-kira 50 tahun.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka adalah golongan yang kali pertama ke luar negara dan tidak mengambil berat soal peraturan visa yang tidak membenarkan mereka bekerja.

“Kelompok kedua adalah rakyat Malaysia yang pernah bekerja secara haram di ladang-ladang buah atau sayuran di Australia sehingga disenarai hitam oleh imigresen negara itu,” katanya.

Katanya, trend kebanjiran buruh haram secara mendadak itu kini sudah berada dalam perhatian pihak berkuasa Korea Selatan yang mula mengetatkan penguatkuasaan mereka termasuk di lapangan terbang yang menjadi pintu masuk.

“Pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad memang nampak dengan ketara muka-muka orang Malaysia jika ke Itaewon yang kini menjadi markas pertemuan mereka,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu buruh haram di Korea Selatan walaupun berpeluang meraih pendapatan lumayan kira-kira RM2,000 seminggu sentiasa terdedah dengan manipulasi oleh majikan sendiri.

Katanya, antara prosedur operasi standard (SOP) majikan ialah menahan sebahagian gaji pertama iaitu kira-kira RM2,000 sebagai deposit supaya tidak melarikan diri dan jumlah itu hanya dibayar selepas mereka bekerja mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Ada juga kes majikan sendiri yang membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga buruh ha­ram ditangkap dan dengan cara itu mereka tidak perlu membayar gaji.

“Sebagai buruh haram, mereka tidak akan dilindungi oleh peruntukan undang-undang buruh dan majikan akan sentiasa mempu­nyai kelebihan dan ejen-ejen pula bertindak lepas tangan jika masalah sedemikian berlaku” katanya.

Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

Saturday, 7 October 2017

Lebih 60 syarikat disiasat kes songlap dana RM1.5 bilion



KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Azam Baki berkata, dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion peruntukan kerajaan Pusat diselewengkan daripada sebuah kementerian yang diamanahkan untuk melaksanakan projek di Sabah sejak 2009 hingga 2015.

Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada jumlah RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan melalui sebuah kementerian untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah.

“Projek berkenaan adalah berkaitan dengan air, elektrik dan jalan raya dan mungkin ada projek-projek berkenaan tidak sempurna dibuat atau mungkin tidak betul dibuat.

“Kami juga melihat terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes ini. Kemungkinan kontraktor terlibat memberi rasuah kepada pihak-pihak tertentu,” kata beliau di sini semalam.

Monday, 18 September 2017

Geng Budak Jahat Keramat popular

Kereta lama di tempat letak kenderaan di Taman Tasik Datuk Keramat turut menjadi lokasi melepas gian tujuh remaja ditahan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata penduduk di sekitar Jalan Keramat Hujung di sini mengenali ketujuh-tujuh remaja digelar Geng Budak Jahat Keramat yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sehingga meragut nyawa 21 pelajar dan dua gurunya pada Khamis lalu.

Penduduk sekitar memang mengelar kumpulan remaja lelaki itu sebagai Geng Budak Jahat Keramat ekoran sikap mereka yang gemar melepak hampir setiap malam di Taman Tasik Datuk Keramat untuk merokok, menghidu gam dan membuat bising ikut suka hati.

Kedudukan Taman Tasik Datuk Keramat dan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kira-kira 50 meter.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Izwani berkata, dia dan penduduk lain terkejut apabila wajah ketujuh-tujuh remaja yang ditahan polis dan tular di laman sosial itu merupakan individu dikenali mereka dengan gelaran Geng Budak Jahat Keramat.

Wednesday, 13 September 2017

Malaysia ‘juara’ guna WhatsApp

Pengguna internet kerap menggunakan WhatsApp kerana ia lebih mudah dan cepat.

KUALA LUMPUR – Laporan The Digital News Report 2017 mendapati pengguna internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak­ berkata, menurut laporan itu juga, media sosial lain yang popular di Malaysia ialah Facebook iaitu sebanyak 58 peratus pengguna, YouTube (26 peratus) dan WeChat serta Instagram (masing-masing 13 peratus).

Menurutnya, laporan itu turut menyatakan rakyat Malaysia mendapatkan berita menerusi media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak (45 peratus), televisyen (54 peratus) dan radio (15 peratus).

“Selain itu, peranti utama yang digunakan adalah telefon pintar iaitu sebanyak 65 peratus, kompu­ter 45 peratus dan tablet 18 peratus,” katanya dalam catatan terbaru di laman blog www.sskeruak.blogspot.my semalam.

Salleh memberitahu, kajian lain yang dibuat oleh organisasi berbeza, TNS Global juga mendapati Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp de­ngan jumlah 77 peratus, diikuti Facebook Messenger (41 peratus).

Wednesday, 6 September 2017

Bukan Rohingya sahaja ditindas

PELARIAN Rohingya dari negeri Rakhine bergerak menuju ke sempadan Bangladesh untuk mencari perlindungan semalam.

BANGKOK – Penindasan sistematik terhadap penduduk minoriti Islam semakin meningkat di seluruh Myanmar dan tidak terhad kepada negeri Rakhine di mana keganasan baharu menyaksikan hampir 90,000 orang Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia Myanmar semalam.

“Kerajaan baharu selepas peralihan kepada sistem demokrasi dipengaruhi prejudis dan sentimen terhadap penduduk Islam apabila mereka dianggap sebagai orang asing di Myanmar, negara yang majoriti rakyatnya beragama Buddha,” kata Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) dalam laporannya.

Laporan itu dibuat berdasarkan 350 temu bual di lebih 46 buah bandar dan kampung selama lebih lapan bulan sejak Mac 2016.

Pihak berkuasa Myanmar menafikan mengamalkan diskriminasi dan berkata, pasukan keselamatan di Rakhine memperjuangkan kempen sah bagi memerangi pengganas yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA).

Selain penduduk Muslim Rohingya, BHRN turut membuat kajian tentang orang Islam berbilang etnik di Myanmar susulan keganasan kaum dalam tahun 2012 dan 2013.

Menurut laporan berkenaan, ramai orang Islam daripada etnik berbeza dinafikan hak untuk kad pengenalan, manakala akses ke masjid dan surau turut disekat di beberapa kawasan.

Sekurang-kurangnya 21 buah kampung di serata Myanmar mengisytiharkan kawasan mereka ‘zon larangan orang Islam’ dan disokong oleh pihak berkuasa.

Di negeri Rakhine pula, laporan BHRN tertumpu kepada pengasingan ketara antara penduduk Islam dan komuniti Buddha serta larangan perjalanan terhadap etnik Rohingya sekali gus menafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Berpuluh-puluh ribu orang Islam Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh sejak 25 Ogos lalu apabila pemberontak ARSA menyerang lebih 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera.

Serangan balas tentera Myanmar dan pertempuran yang berterusan meragut sekurang-kurangnya 400 nyawa setakat ini. – Reuters

Sunday, 2 July 2017

Mufti Perlis & Wilayah Jahil, Guna Mitos Haramkan Homoseksual – Ahmad Salami



Kuala Lumpur – Seorang bekas pelajar Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Salami mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh SS Mufti Perlis dan SS Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharamkan perbuatan Homoseksual.

Beliau mengatakan kedua-dua Mufti terbabit mengambil pendekatan “borong”  atau hentam keromo dengan mengulang siar kembali stigma dan mitos atas diskusi kompleks yang perlukan perbincangan secara akademik. Kenyataan itu dikeluarkan selepas isu kenyataan Homoseksual tidak dilarang dalam al Quran yang dikeluarkan oleh saudara Afiq M Noor. 

Ahmad Salami menggambarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua Mufti terbabit sebagai petanda kurang baik. Sewajarnya kedua-dua mufti ini mengambil kira pelbagai elemen hujah seperti perkembangan pendapat ulama kontemporari, aspek ilmu psikologi, ilmu seksualiti (SOGIE), sampel buah fikir komuniti minoriti seksual, aktivis sosial, termasuk juga kajian sains semasa yang gagal dibahaskan dalam mengeluarkan hukum berkenaan isu homoseksualiti ini. 

“Dalam surah An-Nahl dan Al-Anbiya, Allah berfirman: Maka bertanyalah kepada ahl az-zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui. Bukankah Allah menyuruh supaya merujuk pihak yang pakar dalam bidangnya jika kurang arif? pesan beliau kepada dua Mufti terbabit.

Alumni Sekolah Demokrasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ini juga kesal kerana kedua-dua Mufti terbabit tidak membezakan antara perbuatan liwat dan perlakuan homoseksual. Meletakkan isu Homoseksual ini sepertimana isu khilafiyah lain, Alumni Sekolah Demokrasi ini turut menggesa supaya perkara homoseksual ini diraikan dengan kepelbagaian pemikiran. “Usah pelik jika penafian dan kejahilan berterusan sesetengah agamawan berinteraksi menyebabkan masyarakat awam mencemuh keilmuan institusi keagamaan.” tambah beliau. 

Beliau yang kini aktif bersama Komuniti Muslim Universal (KMU), NGO yang merupakan cabang Malaysia kepada Muslims For Progressive Values di bawah Zuriani Khalid (Ani Zonneveld) menambah, “Pada pandangan saya, kenyataan mufti pada Hari Sedunia Menolak Homofobia dan Transfobia adalah tidak wajar.”

Monday, 29 May 2017

Harga barang naik bulan puasa

Ab. GHANI (kiri) bertanya sesuatu kepada seorang peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengesahkan harga beberapa barangan mentah termasuk daging, ayam dan ikan semakin mahal pada bulan Ramadan berbanding sebelum ini.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya mendapati terdapat peningkatan beberapa harga barangan mentah termasuk da­ging, ayam dan ikan yang dikesan berlaku di negeri ini.

“Penentuan harga barangan yang semakin mahal mempunyai hubung kait dengan agensi lain dan kenaikan harga barangan tersebut tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab KPDNKK semata-mata.

“Jika ada kenaikan harga barangan keperluan harian mesti ada agensi lain turut memantau iaitu seperti bekalan ikan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, daging di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar manakala sayur-sayuran serta buah-buahan tertakluk di bawah Lembaga Pemasaran Kemajuan Pertanian Persekutuan,” katanya.

Ab. Ghani berkata demikian selepas beliau bersama beberapa pegawai dan anggota KPDNKK melakukan pemeriksaan harga barangan di Pasar Siti Khadijah di sini semalam.

Tuesday, 16 May 2017

Bercerai untuk kahwin kekasih lama semakin menjadi trend



KUALA TERENGGANU: Kadar perceraian pada usia senja di negeri ini semakin meningkat dan membimbangkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan. Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh, berkata trend perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun.

"Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus. "Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal. "Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. 

Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin," katanya selepas Program Derma Darah JHEAT di sini, semalam. 

Katanya, sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah kisah silam iaitu apabila seorang daripada pasangan hadir ke perjumpaan semula (reunion) dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp. 

"Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab. "Tetapi, trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti," katanya.

Mohd Ariffin berkata, pasangan seharusnya tidak terburu-buru mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian.

Saturday, 1 April 2017

Kerajaan tidak tutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang



KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan menutup Kedutaan Malaysia di Korea Utara meskipun selepas kes pembunuhan warga negara itu, Kim Jong-nam telah berakhir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut berharap tindakan yang sama akan diambil oleh Korea Utara.

"Kerajaan tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara, maka status itu kekal," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.

Friday, 24 March 2017

Kemampuan beli rumah semakin merosot

SHAIK Abdul Rasheed Abdul Ghaffour ketika di majlis ucaptama forum 'Taklimat Gabenor Bank Negara' yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) serta Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kemampuan membeli rumah dalam kalangan rakyat semakin merosot susulan peningkatan harga yang lebih pantas berbanding tahap pendapatan isi rumah di negara ini. 

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata ia berdasarkan Laporan BNM 2016 yang dikeluarkan kelmarin dan situasi itu diburukkan oleh aliran pasaran perumahan masa ini.

Berdasarkan pemerhatian, katanya, pemaju lebih cenderung melancarkan projek perumahan dalam segmen rumah bukan mampu milik. "Ia merujuk kepada rumah berharga RM500,000 ke atas. 

Sejak tahun 2012 hingga 2014, harga rumah meningkat dengan mendadak dan mengatasi purata pendapatan isi rumah. "Sebagai contoh, di Kuala Lumpur, median harga rumah meningkat 19.2 peratus dalam tempoh itu berbanding jumlah pendapatan isi rumah yang hanya meningkat 14.2 peratus. "Ini menyebabkan kebanyakan hartanah tidak terjual terdiri merangkumi rumah bukan mampu milik," katanya pada ucaptama forum 'Taklimat Gabenor Bank Negara' yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) serta Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya di sini, hari ini. 

Forum itu turut menampilkan barisan ahli panel termasuk Pengarah Urusan Penyelidikan Guard Capital Management di Hong Kong, Dr Donald P Hanna; Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam dan Ketua Ekonomi RHB Research Institute, Lim Chee Sing. Ia dipengerusikan oleh Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Tan Sri Dr Mohd Munir Majid. Forum bertujuan membincangkan mengenai isu ekonomi yang berlaku di negara ini. 

Mengulas lanjut, Shaik Abdul Rasheed berkata, ada beberapa langkah boleh diambil bagi mengatasi isu peningkatan yang tidak selari antara harga rumah dan pendapatan isi rumah itu. Dalam jangka pendek, katanya, pihak terbabit perlu membuat imbangan semula terhadap bekalan rumah yang lebih mampu dimiliki. "Untuk penyelesaian jangka panjang, tahap pendapatan isi rumah perlu dinaikkan bagi memastikan pemilikan rumah boleh direalisasikan," katanya.

Thursday, 23 March 2017

Kontrak perolehan pertahanan negara bernilai RM3.8 bilion dimeterai pada LIMA '17


LANGKAWI - Hari ketiga Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) menyaksikan kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) perolehan bernilai RM3.8 dimeterai.

Kontrak terbesar ialah bagi pembelian empat buah kapal misi pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dengan firma Boustead Naval Shipyard (BNS) bernilai RM1.1 bilion.

Ini merupakan projek usahasama antara kerajaan Malaysia dan China secara rundingan terus dengan BNS.

Turut dimeterai ialah Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf 10 pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan peluru berpandu pesawat Sukhoi SU-30MKM dan senggaraan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Ketiga-tiga LOI ini bernilai kira-kira RM532 juta.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pagi tadi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tuesday, 7 March 2017

Wanita Malaysia ketagih WhatsApp, FB?

Wanita lebih tertarik kepada internet berbanding fesyen.
Singapura: Berbanding wanita di negara rantau Asia Pasifik lain yang dikuasai jenama peruncitan industri fesyen, wanita Malaysia sebaliknya lebih didominasi jenama internet dalam senarai 10 jenama utama.

Whatsapp, Google dan Facebook berada di kedudukan teratas indeks Penilaian Persepsi Wanita di Malaysia, malah mengatasi nama besar seperti Toyota dan iPhone di tangga keempat dan kelima.

Itu adalah hasil tinjauan 'YouGov's BrandIndex' yang menjejaki persepsi jenama harian dalam kalangan wanita yang diumumkan hari ini, bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia, esok.

Lima jenama lain ialah Lazada (platform beli-belah dalam talian), Honda (automotif), Rexona (penjagaan diri), Youtube (platform media sosial) serta Dettol (penjagaan diri).

YouGov adalah firma penyelidikan pemasaran antarabangsa berasaskan internet dan berpejabat di United Kingdom dengan cabang operasinya di Eropah, Amerika Utara, Asia Barat dan Asia Pasifik.

Menurut YouGov, kedudukan senarai itu berdasarkan kiraan markah atau Penilaian Persepsi bagi setiap jenama dalam kalangan responden wanita selama 12 bulan sehingga Januari 2017.

Kiraan itu berdasarkan soalan "Adakah anda mempunyai sebarang tanggapan negatif atau positif mengenai jenama?" dan disaring agar membabitkan hanya kalangan wanita berusia 18 tahun ke atas.

Pemarkahan antara 100 sehingga -100 itu dikumpul dengan mengetepikan maklum balas negatif daripada positif dan markah sifar menandakan persamaan maklum balas positif dan negatif.

YouGov BrandIndex mengendalikan temu bual dengan ribuan pengguna setiap hari meliputi lebih enam juta temu bual setahun.

Responden pula dipilih daripada panel dalam talian membabitkan lima juta pengguna di 32 negara.

Di Malaysia misalnya, YouGov BrandIndex meliputi 250 jenama.

Tuesday, 7 February 2017

Lindsay Lohan kongsi pengalaman berpuasa Ramadan

LINDSAY Lohan (kiri) di samping peminat.

JEDDAH: Pelakon Hollywood, Lindsay Lohan berkata bersolat, berpuasa dan mendengar bacaan al-Quran memberi ketenangan kepadanya. 

Baru-baru ini, dalam temu bual dengan Shoaib Rashid, pengacara rancangan hiburan TV Arab, Siwar Shoaib, pelakon Mean Girls itu menceritakan pengalamannya bersolat seperti umat Islam dan puasa selama tiga hari pada Ramadan yang lalu.

"Saya pernah berpuasa selama tiga hari dengan rakan di Kuwait. Memang susah tetapi ia bagus. Perasaan yang amat menyenangkan," katanya. 

Pelakon berusia 30 tahun ini juga memberitahu sudah membaca 15 laman al-Quran dan berlatih menulis beberapa ayat dalam bahasa Arab, malah mendengar bacaan ayat menerusi aplikasi telefon bimbit.

 Ketika ditanya jika beliau berasa sesuatu yang istimewa ketika membawa al-Quran, Lohan menjawab: "Saya rasa tenang." Mengenai kisah beliau memegang al-Quran dan menjadi viral di media sosial baru-baru ini, 

Lohan berkata bukan niatnya untuk berbuat begitu, sebaliknya beliau berasakan kitab itu 'memberi ketenangan dan rasa selamat.' Lohan meluahkan rasa kecewa terhadap peminat di negaranya yang mengutuknya selepas aksinya itu menjadi viral. 

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Shoaib berkata kepada Lohan: " Terima kasih Lindsay, dengan izin Tuhan, moga bertemu kamu di syurga." Lohan menjawab dengan berjenaka: "Harap tidak mati terlalu awal." - AGENSI

Tuesday, 24 January 2017

Sambung bayar, cari bala

Datuk Nadzim Johan.
Kuala Lumpur: Sambung bayar umpama mencari bala. Perumpamaan itu diberikan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu sambung bayar kenderaan yang merekodkan kerugian lebih RM1 juta sepanjang tahun lalu.

Ia membabitkan kaedah bayaran bulanan kepada bank tanpa menukar nama menyebabkan pemilik kenderaan mengalami kerugian selepas syarikat jualan kereta terpakai 'gulung tikar' dan gagal dikesan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, aduan isu berkenaan semakin meningkat kebelakangan ini selepas pengadu berdepan kemungkinan muflis akibat kegagalan pihak ketiga membayar ansuran.

"Rekod kita mendapati ia semakin meningkat. Pembeli asal menyerahkan kereta kepada syarikat jualan, namun tanpa pengetahuan mereka, ia diserahkan kepada pihak ketiga secara sambung bayar.

"Bagaimanapun, mereka gagal membayar dan beban itu ditanggung pemilik seperti disenarai hitamkan. Ada juga kes syarikat sudah tutup dan enggan bertanggungjawab kerana kenderaan diserahkan kepada orang lain," katanya pada sidang media hari ini.

Saturday, 14 January 2017

Hantaran perlu munasabah – Mufti

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.
PIHAK keluarga perempuan sebenarnya tidak boleh terlalu bergantung dengan wang hantaran yang dihadiahkan oleh pihak lelaki, sebaliknya wajar menggunakan simpanan sendiri untuk mengadakan kenduri perkahwinan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad (gambar) berkata, tindakan segelintir keluarga perempuan menetapkan jumlah hantaran yang terlalu tinggi terhadap pihak lelaki adalah tidak munasabah.

“Kita sedia maklum dalam Islam, hanya mas kahwin yang wajib dibayar oleh pihak lelaki kepada pengantin perempuan.

“Namun kebanyakan pihak keluarga meminta hantaran tinggi atas alasan mahu menampung perbelanjaan kos kenduri di sebelah keluarga perempuan sehingga ada yang terlalu membebankan pihak lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Beliau berkata, tidak wajar apabila ada yang menetapkan wang hantaran sehingga RM50,000 dengan alasan kos perbelanjaan majlis yang semakin meningkat.

Mohd. Yusof menambah, perbincangan terperinci dan kata sepakat antara keluarga perlu ada bagi mengelakkan masalah ketika majlis berlangsung.

“Elak buat bajet sendiri untuk meletakkan nilai hantaran kerana perkara ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati keluarga kedua-dua pihak. Pastikan pasangan pengantin berbincang bersama keluarga semasa rombongan merisik tentang nilai wang hantaran yang ditetapkan.

“Kita mempunyai adat. Ambil peluang untuk berbincang nilai wang hantaran yang dipersetujui kedua-dua belah pihak agar majlis perkahwinan sempurna,” katanya.

Berkahwin bukan untuk sehari. Peruntukan untuk hidup berumahtangga sehingga akhir hayat lebih utama daripada mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang dengan kos yang membebankan.