Showing posts with label Law. Show all posts
Showing posts with label Law. Show all posts

Friday, 9 March 2018

Seluar pegawai SPRM koyak bergelut tangkap polis

Anggota polis yang ditahan di Tampin Square dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sembilan terkoyak seluar ketika bergelut dengan anggota polis yang ditahan bersabit kes rasuah di kedai akuarium di Tampin Square, hari ini.

Sumber berkata, lans koperal polis berusia 36 tahun itu ditahan 2 petang berikutan membekalkan rokok kepada seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan di lokap antara 2 hingga 6 Mac lalu berikutan terbabit kes gaduh di Tampin.

"Suspek yang berkhidmat di balai berkenaan dipercayai membekalkan bahan larangan iaitu rokok dan menerima RM400.

“Bertindak atas aduan diterima, lapan pegawai SPRM negeri ke Tampin Square hari ini untuk menahannya," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di lokasi suspek enggan bekerjasama ketika empat pegawai SPRM cuba memberkasnya sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan seluar seorang pegawai SPRM terkoyak pada bahagian lutut.

Sementara itu, jurucakap SPRM Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Tuesday, 27 February 2018

PATI monopoli perniagaan di Malaysia

DATUK SERI MUSTAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkila­ngan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Ketua Pengarahnya,­ Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga semalam yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang me­nyalahi udang-undang.

Menurut beliau, pihaknya mendapati premis yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya diberikan kepada penduduk tempatan tetapi sikap mereka mencari keuntungan segera telah menyewakan kepada warga asing untuk membuka perniagaan.

“Ini merupakan satu kesalahan apabila permit pekerjaan yang diberi telah disalah guna manakala warga tempatan juga cuba mengaut keuntungan menerima komisen dengan menyewakan premis mereka. Contohnya, minggu lalu kita menahan ramai warga asing yang menyewa premis dari warga tempatan di Taman Seri Muda, Shah Alam.

“Terdapat bebe­rapa lagi lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan haram seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Silang, Lembah Pudu, Jalan Petaling dan Pasar Borong Selayang. Jadi, kita gesa PBT serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil tindakan tegas bagi membendung isu tersebut daripada berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar memberitahu, setakat ini, Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas 41,542 warga asing dalam 3,499 serbuan di seluruh negara.

Jelas beliau, pihaknya menahan seramai 187 majikan yang didapati menyalahi undang-undang termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dari 1 Januari sehingga 25 Februari, sebanyak 7,705 PATI telah diusir ke negara mereka bukan dengan secara sukarela.

“Jabatan Imigresen akan terus melakukan operasi serta serbuan secara proaktif bertujuan mengesan warga asing dan pihak majikan yang masih tidak menghiraukan amaran yang diberi serta berterusan menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Saturday, 30 December 2017

Ujian sampel rambut mulai tahun depan - PDRM

Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standart (JIPS), Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (tengah) menyaksikan Penyerahan Tongkat Kuasa Jawatan Ketua Polis Pulau Pinang daripada Datuk Chuah Ghee Lye (kiri) kepada penggantinya, Datuk A. Thaiveegan (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan lagi proses pengambilan anggota baharu bermula tahun depan dengan mewajibkan ujian sampel rambut bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemohon.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, mekanisme baharu itu dijangka dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

"PDRM memandang serius isu dadah dalam kalangan pegawai dan anggota polis kerana sejak 2010 hingga November tahun ini, seramai 2,738 orang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Jadi, bermula tahun depan semua yang ingin menyertai pasukan (PDRM) akan menjalani ujian ini.

"Ujian ini membolehkan kita mengetahui adakah orang itu menggunakan dadah dalam tempoh lama, dengan mengambil sampel rambut untuk pengesahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk A.Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Datuk Chuah Ghee Lye yang bersara wajib.

Abdul Rahim berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati 25 peratus daripada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah mengambil bahan terlarang itu sebelum menyertai PDRM.

Sementara itu, beliau berkata sehingga November lepas, terdapat 10,607 pegawai dan anggota polis yang masih mengalami masalah hutang serius berbanding 15,478 orang pada awal tahun ini.

Mereka ini hanya menerima gaji bersih tidak sampai 40 peratus daripada gaji kasar dan kebanyakan yang terlibat berusia 30 hingga 35 tahun dan 50 hingga 55 tahun, katanya.

"Mulai tahun ini pegawai dan anggota polis hanya boleh berhutang menerusi koperasi PDRM sahaja dalam usaha kami mengurangkan jumlah mereka terlibat dalam keberhutangan," katanya. - BERNAMA

Friday, 1 December 2017

Anak saudara MB Selangor direman

EMPAT individu termasuklah anak saudara Menteri Besar Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes perlombongan pasir dan batu haram.

PUTRAJAYA – Anak saudara Menteri Besar Se­langor, Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, bersama tiga lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombo­ngan pasir dan batu haram di Selangor.

Perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Ainna Sherina Saipolamin bermula semalam hingga 6 Disember depan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Keempat-empat individu yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.40 pagi.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman ke atas empat individu terbabit selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Tambah beliau, seramai tujuh individu sudah diambil ketera­ngan oleh SPRM berhubung ke­giatan perlombongan haram itu.

Kelmarin, dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan dilaporkan ditahan kerana disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.

Wednesday, 29 November 2017

Duit persundalan sampai berkulat

SEBUAH sindiket pelacuran dipercayai telah menjalankan aktiviti persundalan mereka sejak lebih 10 tahun lalu di sebalik operasi pusat urut Hotel Promenade di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia mengesyaki aktiviti sindiket persundalan di Hotel Promenade di sini sudah beroperasi lebih 10 tahun ekoran penemuan kesan reput dan berkulat pada sebahagian wang tunai RM13.5 juta yang dirampas Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesan lumut dan berkulat terdapat pada sebahagian daripada wang tunai yang dijumpai dalam serbuan Ops Gegar itu.

“Walaupun sindiket pelacuran tersebut dikesan baru-baru ini, namun kami percaya kegiatan ini sudah lama dijalankan berikutan terdapat kesan kulat dan berlumut pada sebahagian wang tunai berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga beberapa ikat wang tunai disimpan di dalam kotak yang tertera perkataan tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini semalam.

Tuesday, 28 November 2017

Pemeriksaan wajib pendawaian elektrik setiap 10 tahun



PETALING JAYA: Semua rumah akan diwajib memeriksa pendawaian elektrik setiap 10 tahun mulai tahun depan.

Ketua Unit Pembangunan Keselamatan Elektrik Suruhanjaya Tenaga, Iffah Hannah Muluk, berkata peraturan itu akan berkuat kuasa di bawah pindaan kepada Peraturan Elektrik 1994.

"Sebelum ini kita tidak mempunyai peraturan seumpama itu. Oleh kerana kurangnya kesedaran mengenai keselamatan elektrikal, orang ramai tidak memeriksa pendawaian hinggalah sesuatu berlaku," katanya pada perbincangan keselamatan elektrik di Schneider Electrics di sini, pada Isnin.

Peraturan itu dibuat selepas berlaku beberapa insiden terutama yang membabitkan unit kediaman, yang menyebabkan kemalangan jiwa.

Sejak 2002, 914 kes kebakaran dilaporkan, 50.5 peratus daripadanya membabitkan rumah kediaman.

Bagi tahun ini, 49 kes dilaporkan dengan separuh daripadanya membabitkan kemalangan jiwa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Elektrikal dan Elektronik, Chew Shee Fuee, berkata kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan elektrik adalah rendah, dan ramai tidak menyedari bahawa badan mereka sendiri adalah konduktor elektrik.

Chew berkata, lambakan bahan-bahan elektrik tiruan dan yang tidak mempunyai sijil kelulusan terutama kabel dan 'charger' telefon amat membimbangkan dan kerana mudah berlaku 'kebocoran' elektrik yang akan menyebabkan renjatan dan kebakaran.

Beliau mengingatkan orang ramai agar menggunakan wayar sambungan untuk alat-alat elektrik bervoltan rendah sahaja.

"Jangan gunakan pada alat-alat utama seperti peti ais, oven dan mikrowave. Anda membahayakan nyawa orang-orang di rumah anda.

"Untuk lebih selamat, lucutkan plug pada semua alat-alat elektrik bila anda tidak menggunakannya bagi mengurangkan risiko kebakaran," katanya. - BERNAMA

Friday, 24 November 2017

Inspektor, koperal 'Kaki Paw' direman



EMPAT individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun ke atas ejen insurans di Rawang.

Sumber berkata, suspek terdiri tiga polis dan aktivis NGO ditahan susulan aduan mangsa berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 2 petang, 12 November.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 51 tahun berada di premis perniagaannya di Batu 17 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.

“Pengadu kata dia dikunjungi tiga lelaki. Memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek mendakwa kononnya polis mahu siasat mangsa susulan satu aduan berhubung syarikatnya.

“Dua daripada suspek kemudian arah pengadu tunjuk kad pengenalan dan duit yang disimpan di pejabatnya. Seorang lagi suspek menunggu di luar premis syarikat itu.

“Mangsa akur, menyerahkan kad pengenalan dan kira-kira RM4,000 kepada suspek. Mangsa kemudian diarahkan mengikut mereka ke balai polis,” katanya.

Jelasnya, mangsa kemudiannya meminta kebenaran untuk masuk semula ke pejabat untuk mengambil begnya sebelum mengikut suspek ke balai polis.

“Namun, ketika mangsa masuk ke pejabat kesemua suspek bertindak melarikan diri bersama kad pengenalan, telefon bimbit dan duitnya dengan menaiki kereta.

“Selepas mangsa membuat laporan, polis menahan empat suspek menerusi beberapa tangkapan berasingan sehingga semalam.

“Tiga anggota polis yang ditahan terdiri daripada Inspektor dan Koperal.

“Dua daripadanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Seorang lagi di IPD Gombak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, suspek berusia antara 30 tahun dan 34 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.

“Tempoh reman semalam. Tapi, disambung sehingga Ahad ini. Dua anggota IPD Dang Wangi terbabit direman empat hari sehingga Sabtu ini.

“Seorang lagi suspek disambung reman lima sehingga Isnin depan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,” katanya.

Sunday, 19 November 2017

AES baharu kesan pemandu guna telefon bimbit

Ab Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR .– Kementerian Pengangkutan akan mengkaji pemasangan teknologi baharu di setiap kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai langkah penguatkuasaan untuk mengesan kesalahan pemandu yang menggunakan te­lefon bimbit ketika memandu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, perkara itu dilihat penting dalam usaha membendung kesalahan tersebut yang kini menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya.

Katanya, pemasangan tek­nologi itu akan mening­katkan lagi fungsi kamera AES selain untuk mengesan kesalahan pemanduan me­lebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Jelas beliau, kementeriannya akan bekerjasama de­ngan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengkaji perkara tersebut termasuk cadangan-cadangan lain seperti meningkatkan ka­dar hukuman yang akan dikenakan terhadap pesalah.

“Kementerian akan menilai untuk meningkatkan fungsi kamera AES untuk mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kenapa masih ada pemandu yang berani menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah kerana mereka menyedari penguatkuasaan yang ada tidak cukup untuk mengesan kesalahan mereka. Oleh itu kamera AES dilihat mungkin boleh berperanan un­tuk mengatasi ma­salah ini,” katanya ketika dihubungi Ming­guan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Ketua Pe­ngarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid mencadang­kan agar hukuman bagi kesalahan menggunakan te­lefon bimbit ketika memandu perlu dipinda selari de­ngan perkemba­ngan pesat penggunaan peranti itu termasuk aplikasi popular seperti WhatsApp.

Tambah Ab. Aziz, Kementerian Pengangkutan me­nyarankan setiap pengguna mematuhi peraturan jalan raya untuk keselamatan diri sendiri dan orang lain, tetapi akan sentiasa menilai keperluan untuk mempertingkat tahap penguatkuasaan selaras dengan perkembangan semasa.

Timbalan menteri itu mengakui penggunaan te­lefon bimbit yang semakin meluas menjadi antara cabaran baharu yang dihadapi oleh pihak berkuasa dan sehubungan itu kaedah-ka­edah terkini untuk membendung kesalahan tersebut akan diperhalusi.

“Mungkin terdapat kelemahan dari segi penguatkuasaan untuk mengesan kesalahan seperti ini (menggunakan telefon bimbit). Oleh itu kaedah pengesanan kesalahan juga perlu dipermo­denkan termasuk menggunakan kamera AES untuk mengesan pemandu yang menggunakan te­lefon bimbit semasa memandu,” katanya.

Sunday, 12 November 2017

Tujuh anggota polis diserang

Lokasi kejadian.

POLIS melepaskan empat das tembakan amaran apabila sekumpulan lelaki warga China menyerang sepasukan anggota polis di Jalan Abaraham Off Jalan Khoo Teik Ee, Kuala Lumpur, malam tadi.

Sekumpulan warga China itu bertindak sedemikian apabila sekumpulan tujuh anggota polis hendak memeriksa satu premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi, pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata maklumat awal kegiatan perjudian itu diterima anggota preman ketika melakukan rondaan.

“Sebaik tiba di lokasi iaitu di depan rumah, antara 20 hingga 30 lelaki disyaki warga China berada di premis itu. Cubaan anggota untuk melakukan pemeriksaan dihalang dan mereka turut diserang.

“Untuk mempertahankan diri, mereka terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara sementara menunggu bantuan tiba ke lokasi,” katanya.

Shaharudin berkata, semua suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 147/353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurutnya, polis difahamkan terdapat kira-kira 200 pekerja kontrak warga China mendiami kawasan berkenaan dan siasatan terperinci ke atas kegiatan judi itu masih dilakukan.

Saturday, 11 November 2017

Peguam kudung didakwa pecah amanah

TUAH (kanan) yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kirinya dituduh melakukan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Melaka semalam.

MELAKA – Seorang peguam yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM47,431.79 lapan tahun lalu.

Tertuduh, Tuah Atan, 57, yang juga penerima Anugerah Tokoh Warga Istimewa Maal Hijrah 1430H Negeri Melaka pada tahun 2008 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal sejak dilahirkan didakwa tidak menyerahkan wang berjumlah RM47,431.79 kepada dua individu.

Tuah yang merupakan lulusan Universiti Malaya dan peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri.

Tuesday, 7 November 2017

Pegawai, anggota polis obes tidak dinaikkan pangkat

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

KANGAR - Pegawai dan anggota polis yang tidak melepasi ujian jisim berat badan (BMI) serta kecergasan tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, peraturan melalui Program Trim and Fit itu bakal dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2018.

"Kita telah mempromosikan perkara ini lebih dua tahun dan semua lebih 100,000 pegawai dan anggota polis terlibat dalam program ini tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Ini bagi menggalakkan budaya sihat dan aktiviti riadah bagi pegawai dan anggota polis," katanya di Mess Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam Program High Profile Policing Ketua Polis Perlis dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias.

Saturday, 4 November 2017

Timbalan Pengarah JKKP ditahan SPRM


JOHOR BAHRU - Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Operasi) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM negeri pada pukul 11 malam tadi.


“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM8,000 daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat petroleum. 


“SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM40,444 dan SG$1,613 selain beberapa dokumen berkaitan dalam serbuan yang dibuat di tiga lokasi berbeza,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Wednesday, 1 November 2017

Kerajaan pantau aktiviti Zakir Naik

Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memantau aktiviti dijalankan oleh penceramah terkenal, Zakir Naik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan akan diambil sekiranya Zakir didapati terlibat dengan terrorisme.

"Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak pernah melanggar undang-undang dan peraturan,"

Menurutnya, kerajaan juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada India berhubung dakwaan terrorisme.

"Tiada alasan dari segi peruntukan undang-undang untuk menahan atau menangkap Zakir," katanya.

Berhubung dengan isu kewarganegaraan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasil semakan di Jabatan Pendaftaran Negara mendapati tiada rekod permohonan dikemukakan.

"Untuk makluman, tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada warga India itu sebagaimana dilaporkan," katanya.

Terdahulu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan menyatakan status kewarganegaraan dan rasionalnya layanan istimewa yang diberikan.

Zahid berkata, pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kepada Zakir dilakukan mengikut prosedur berdasarkan pemilikan Permit Masuk dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Tuesday, 31 October 2017

Ustaz Haslin, Mufti Menk dilarang masuk Singapura

Ustaz Haslin Baharim dan Mufti Menk.

SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) tidak akan membenarkan Ustaz Haslin Baharim untuk memasuki republik ini.

Seorang lagi yang tidak dibenarkan ialah Ismail Menk yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk.

Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Dalam kenyataan di laman webnya, MHA berkata, peme­rintah mendapat maklumat bahawa mereka berceramah di atas sebuah kapal persiaran yang belayar dan kembali ke Singapura dari 25 hingga 29 Nov lalu.

Ismail Menk dan Haslin sebelum ini ditolak permohonan Pas Kerja Pelbagai mereka bagi berceramah di Singapura, katanya.

Menurut kementerian itu, Ismail Menk diketahui berce­ramah ajaran yang memisah dan memecah-belah.

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” katanya.

Haslin pula telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai ‘menyeleweng’. – Bernama

Monday, 30 October 2017

Polisi baharu usia kereta di Malaysia

KERAJAAN kini dalam proses kajian mengenai polisi jangka hayat kenderaan di Malaysia.

IPOH – Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir melakukan kajian polisi baharu bagi jangka hayat kenderaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian itu yang turut mengandungi cadangan pemberian insentif bagi menukar kenderaan lama kepada baharu, perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

“Kita tidak letakkan jangkaan tempoh untuk laksanakan polisi ini kerana kita tahu ia membabitkan pelbagai perkara selain perlu meminda undang-undang pengangkutan terutamanya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, kita memahami kebimbangan rakyat kerana semakin 'berusia' kenderaan itu, semakin banyak isu atau masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen MCA Perak 2017 di sini semalam.

Thursday, 26 October 2017

Tempatkan pekerja asing di kuarters guru langgar polisi

Datuk Seri Mahdzir Khalid

BENTONG - Kementerian Pendidikan akan menyerahkan kepada Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset untuk meneliti dan mengambil sebarang tindakan terhadap sebuah syarikat yang menempatkan warga asing di bangunan yang sepatutnya dikhaskan untuk kakitangan pendidikan di Klian Intan, Pengkalan Hulu, Gerik, Perak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian telah menjalankan siasatan berhubung kes itu dan syarikat berkenaan iaitu Jasa Timah Intan Sdn Bhd didapati telah melanggar syarat penyewaan kuarters berkenaan dengan menjadikannya sebagai kediaman pekerja asing.

“Untuk kuarters guru yang telah lama, baik berada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah, mengikut polisi kementerian ia dibenarkan disewakan kepada pihak swasta mahupun perseorangan dengan syarat tidak boleh menempatkan warga asing.

“Dalam kes Kuarters Rumah Guru (KRG) SK Kelian Intan, kementerian telah meluluskan penyewaan kepada syarikat berkenaan setelah dimaklumkan bahawa ia akan digunakan untuk penginapan kepada pekerja syarikat itu.

“Bagaimanapun, syarikat itu tidak memaklumkan secara khusus bahawa pekerjanya adalah pekerja asing dan sudah tentu perkara ini tidak dibenarkan kerana ia bertentangan dengan polisi kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mesej Dari Penjara peringkat Zon Timur di Penjara Bentong di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Jamaluddin Saad.

Jelas Mahdzir, kuarters berkenaan tidak berpenghuni sejak 31 Disember 2008 dan berikutan itu, kementerian telah meluluskan permohonan penyewaan daripada syarikat berkenaan bermula tarikh 1 Oktober sehingga 30 September 2019  dengan kadar RM1,760 sebulan.

“Kita membenarkannya untuk disewakan memandangkan ia telah tidak berpenghuni sejak sekian lama disebabkan tiada permintaan daripada warga kementerian sendiri, justeru untuk mengelakkan bangunan itu dalam keadaan terbiar dan rosak akibat tidak diselenggara, kita buka ia untuk disewa dengan polisi tertentu,” katanya.

Difahamkan walaupun surat tawaran untuk penyewaan kuarters berkenaan telah dikeluarkan kepada syarikat itu, namun surat perjanjian penyewaan masih belum ditandatangani.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini mendesak supaya kementerian  menyiasat isu kuarters itu yang dijadikan asrama pekerja asing.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak dilaporkan berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kuarters terbabit disediakan kerajaan untuk kemudahan pegawai pendidikan atau penjawat awam sahaja.

Sementara itu, Mahdzir berkata kementerian akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha untuk memberikan kesedaran kepada pelajar terutama di kawasan panas (yang mempunyai banyak kes pelanggaran disiplin dan jenayah libatkan pelajar).

“Kita akan memberi pemahaman kepada mereka bahawa sesuatu perbuatan yang dilakukan mesti berpandukan kepada kehidupan normal, jangan buat sesuatu yang melanggar undang-undang negara kerana ia boleh memberi akibat yang buruk kepada diri sendiri.

“Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan program seperti Mesej Dari Penjara ini dan ia akan diperluaskan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan panas,” katanya. – Bernama

Wednesday, 25 October 2017

GST bukan untuk bayar 1MDB

PERANCANGAN ekonomi kerajaan telah membolehkan GST Malaysia dilaksanakan hanya pada kadar enam peratus.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan yang menyatakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperlukan bagi membayar untuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Perdana Menteri menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan besar menerusi kenyataannya bertajuk Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia yang dikeluarkan semalam.

Najib berkata, 1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang. Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk Tiada Lagi Perjanjian Pilih Kasih,” kata beliau.

Tuesday, 24 October 2017

Cikgu tidak terbeban, kerja tak sampai 45 jam

Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR - Waktu mengajar guru dan membuat urusan di sekolah tidak mencecah 45 jam seminggu, sekaligus bukan faktor utama untuk dikaitkan sebagai bebanan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, guru di negara ini tidak terbeban dengan waktu bekerja hakiki sebagaimana peraturan yang ditetapkan agensi antarabangsa.

“Mengikut laporan International Level Organization (ILO) seseorang itu bekerja dia tidak boleh melebihi daripada 45 jam, dan daripada jumlah yang kita kira, waktu mengajar guru dan waktu-waktu lain (berada di sekolah) itu tidak sampai 45 jam seminggu.

“Cuma barangkali ada perkara yang disebut oleh yang berhormat (YB) ada kaitan antara guru itu dan kerja bukan hakiki,” katanya kepada Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Idris Ahmad (Pas - Bukit Gantang), di sini, semalam.

Idris meminta kementerian menjelaskan adakah bebanan tugasan guru di sekolah membuatkan golongan itu tidak cukup masa mendekati pelajar sehingga mengakibatkan pelajar terjerumus dalam masalah displin.

Menurut Mahdzir, kementerian boleh menyatakan spesifik jumlah tugasan yang dibuat guru selain mengajar sepenuhnya dalam bilik darjah, terutama membuat kerja masukkan data.

“Perkara ini akan diambil kira oleh kementerian dan kita akan perhalusinya,”katanya.

Mengulas lanjut berkaitan masalah displin pelajar, Mahdzir berkata, empat masalah paling serius yang berlaku dalam kalangan murid dan pelajar sekolah ketika ini adalah membabitkan gangsterisme, penyalah gunaan dadah, buli dan ponteng sekolah.

Katanya, kementerian mempunyai 5.1 juta pelajar di seluruh negara, hanya 442 pelajar dibuang sekolah kerana terlibat dalam masalah displin.

“Meskipun jumlah itu kecil, kementerian tidak pernah melihat perkara itu remeh, bahkan kami sentiasa berusaha membendung penularan masalah displin dengan kerjasama guru dan masyarakat.

"Ia membabitkan agensi seperti Polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Katanya, apa jua tindakan yang diambil seboleh-bolehnya tidak akan sampai sehingga pelajar dibuang sekolah.

Sunday, 22 October 2017

Papar wajah pemandu bersalah guna telefon bimbit – LLM

Seorang penunggang motosikal menggunakan telefon bimbit ketika menunggang di Jalan Tunku Ibrahim, Bandaraya Alor Setar, Kedah.

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mencadangkan agar gambar pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu disiarkan di laman sosial atau akhbar untuk menyedarkan mereka tentang bahaya perbuatan tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, jika kesalahan itu diulang sebanyak tiga kali, tindakan lebih keras perlu diambil iaitu gantung lesen memandu mereka.

Katanya, kaedah itu perlu dilakukan untuk membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin meningkat akibat kecuaian pemandu terlalu leka menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Menggunakan telefon bimbit ketika memandu memang berbahaya, jadi saya rasa dengan cara menyiarkan wajah-wajah pesalah ini di media akan dapat memberi kesedaran dan pengajaran kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia yang mendapati penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pemandu dan penunggang motosikal sudah menjadi satu trend pada ketika ini.

Noor Azmi berkata, pemandu atau penunggang tidak seharusnya menggunakan telefon bimbit ketika memandu walaupun menggunakan alat bebas tangan.

“Bagi saya penggunaan alat bebas tangan juga tidak selamat, jadi jika pemandu benar-benar mahu menjawab panggilan mereka haruslah berhentikan kenderaan terlebih dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Malaysia (PPJM), Hamdan Taha percaya isu itu dapat diatasi sekiranya rakyat diberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan ketika di jalan raya.

“Amat penting untuk semua organisasi, masyarakat dan pihak berkuasa bekerjasama untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pemandu seperti mengadakan kempen dan sebagainya.

“Pendidikan moral dalam silibus Sivik dan Kewarganegaraan haruslah ditekankan dalam kalangan pelajar dari peringkat awal supaya mereka menjadi insan yang bermoral dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya.

Friday, 20 October 2017

Siasat KP SPRM: Pasukan khas pantau siasatan ditubuh

KERATAN video di YouTube yang disebarkan oleh pihak tertentu mendakwa seorang lelaki didakwa Dzulkifli bercuti dengan seorang wanita di Bali.

JABATAN Peguam Negara (AGC) sudah menubuhkan pasukan petugas khas Isnin lalu untuk memantau secara lebih dekat siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan lain berkaitan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tindakan itu dibuat memandangkan tuduhan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM amat serius dan boleh menjejaskan integriti beliau.

"Pada masa sama, AGC ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Sejajar dengan amalan terbaik dalam polisi pendakwaan, kami juga akan memastikan siasatan tidak akan menghalang pemberi maklumat atau saksi yang berwibawa untuk tampil bagi membantu siasatan supaya kebenaran akan terbukti.

"AGC juga akan memastikan Peguam Negara atas kapasitinya sebagai pendakwa raya seperti yang peruntukan mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan akan menjalankan budi bicaranya mengenai perkara ini, seperti dalam semua perkara lain, dengan bijak dan sesuai dengan undang-undang sama ada undang-undang prosedural atau substantif.

"AGC berpegang teguh untuk menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu dikeluarkan berikutan AGC menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan media berkaitan laporan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pada 17 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan akan menyiasat laporan mengenai rakaman video mendakwa seorang pegawai kanan SPRM mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin sama seperti laporan polis lain.

Laporan berhubung dakwaan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 10 Oktober lalu.

Harian Metro hari ini melaporkan Dzulkifli tidak akan tunduk pada serangan peribadi terhadapnya, sebaliknya berjanji akan terus memerangi rasuah di negara ini tanpa belas kasihan dan takut.

Beliau dipetik berkata, tuduhan itu sedikit pun tidak menggoyahkan semangat semangatnya untuk bekerja.

Dzulkifli dilaporkan berkata, beliau sudah menghubungi Fuzi berhubung kes itu dan polis akan menjalankan tindakan lanjut.

Malah, katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Keruak turut menasihatinya supaya tidak tunduk terhadap taktik kotor terbabit.

Sejak tahun lalu, SPRM giat membongkar skandal rasuah di negara ini dengan yang terbaru ialah penyelewengan peruntukan projek Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan RM1.5 bilion.

SPRM dijangka membuat lebih banyak tangkapan membabitkan kehilangan RM7.5 bilion peruntukan untuk 350 projek pembangunan antara 2009 hingga 2015.

Ketika ini, aset serta akaun bank berjumlah RM170 juta milik syarikat berkaitan projek itu sudah dibekukan.