Showing posts with label Scandal. Show all posts
Showing posts with label Scandal. Show all posts

Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Friday, 3 November 2017

Adun DAP didakwa tumbuk teman wanita



SEORANG Adun DAP dari Perak didakwa menumbuk dan menipu teman wanitanya seperti ditular dalam satu blog, kelmarin.

Blog tersebut, iaitu 'Dr MiM' yang menulis dalam bahasa Melayu bertajuk Skandal! Adun Pukul Teman Wanitanya mendedahkan, Adun tersebut yang telah berkahwin dan memiliki anak, didakwa terlibat melakukan penipuan dan menumbuk teman wanitanya.

"Yang inklusif dan utamakan rakyat, kita dikejutkan dengan tindakan seorang Adun yang berlaku zalim dengan menumbuk teman wanitanya," demikian petikan perenggan pertama dalam blog berkenaan.

Seterusnya, blog itu menulis lagi, "Kita difahamkan Adun DAP di negeri Perak ini telah membuat laporan polis pada 30 Oktober lalu. Beliau mendakwa telah pergi ke rumah teman wanitanya untuk berbincang, tetapi berlaku salah faham dan beliau memaki teman wanitanya. Beliau keluar rumah tersebut selepas itu.

"Bagaimanapun, laporan polis Adun DAP itu berlainan dengan laporan polis yang dibuat oleh teman wanitanya. Wanita itu menjelaskan, Adun DAP itu telah datang ke rumah untuk berbincang tapi beliau  ditipu oleh Adun tersebut. Malah, Adun DAP itu telah mencederakannya dengan menumbuk pipi wanita tersebut.

"Wanita itu juga melaporkan bahawa beberapa barangan miliknya telah hilang termasuk dokumen-dokumen penting dan juga wang tunai," tulis blog itu.

Walaupun blog tersebut tidak menyebut identiti sebenar Adun terbabit, ramai pihak yang mendakwa Adun yang dimaksudkan ialah Adun Bercham, Cheong Chee Khing.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh Oriental Daily, Chee Khing menafikan dakwaan itu kerana sekiranya beliau terbabit dengan kes memukul dan menipu wanita, sudah lama beliau ditahan pihak polis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming enggan mengulas kes tersebut apabila dihubungi wartawan akhbar tersebut.

Friday, 20 October 2017

Siasat KP SPRM: Pasukan khas pantau siasatan ditubuh

KERATAN video di YouTube yang disebarkan oleh pihak tertentu mendakwa seorang lelaki didakwa Dzulkifli bercuti dengan seorang wanita di Bali.

JABATAN Peguam Negara (AGC) sudah menubuhkan pasukan petugas khas Isnin lalu untuk memantau secara lebih dekat siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan lain berkaitan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tindakan itu dibuat memandangkan tuduhan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM amat serius dan boleh menjejaskan integriti beliau.

"Pada masa sama, AGC ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Sejajar dengan amalan terbaik dalam polisi pendakwaan, kami juga akan memastikan siasatan tidak akan menghalang pemberi maklumat atau saksi yang berwibawa untuk tampil bagi membantu siasatan supaya kebenaran akan terbukti.

"AGC juga akan memastikan Peguam Negara atas kapasitinya sebagai pendakwa raya seperti yang peruntukan mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan akan menjalankan budi bicaranya mengenai perkara ini, seperti dalam semua perkara lain, dengan bijak dan sesuai dengan undang-undang sama ada undang-undang prosedural atau substantif.

"AGC berpegang teguh untuk menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu dikeluarkan berikutan AGC menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan media berkaitan laporan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pada 17 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan akan menyiasat laporan mengenai rakaman video mendakwa seorang pegawai kanan SPRM mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin sama seperti laporan polis lain.

Laporan berhubung dakwaan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 10 Oktober lalu.

Harian Metro hari ini melaporkan Dzulkifli tidak akan tunduk pada serangan peribadi terhadapnya, sebaliknya berjanji akan terus memerangi rasuah di negara ini tanpa belas kasihan dan takut.

Beliau dipetik berkata, tuduhan itu sedikit pun tidak menggoyahkan semangat semangatnya untuk bekerja.

Dzulkifli dilaporkan berkata, beliau sudah menghubungi Fuzi berhubung kes itu dan polis akan menjalankan tindakan lanjut.

Malah, katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Keruak turut menasihatinya supaya tidak tunduk terhadap taktik kotor terbabit.

Sejak tahun lalu, SPRM giat membongkar skandal rasuah di negara ini dengan yang terbaru ialah penyelewengan peruntukan projek Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan RM1.5 bilion.

SPRM dijangka membuat lebih banyak tangkapan membabitkan kehilangan RM7.5 bilion peruntukan untuk 350 projek pembangunan antara 2009 hingga 2015.

Ketika ini, aset serta akaun bank berjumlah RM170 juta milik syarikat berkaitan projek itu sudah dibekukan.

Friday, 13 October 2017

Polis siasat dakwaan skandal pegawai kanan SPRM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima aduan mengenai seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada hubungan sulit dengan isteri orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima pihaknya.

"Ada (laporan polis), kita akan ambil langkah-langkah siasatan.

"Macam biasalah.. bila ada laporan (laporan polis), we will look into it (kita akan siasat)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi enggan mengulas lanjut.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan, ada individu membuat laporan polis selepas menonton satu klip video di YouTube membabitkan pegawai kanan SPRM dan wanita terbabit.

Pengadu mendakwa hubungan sulit itu menyebabkan rumah tangga wanita yang mempunyai dua anak itu musnah dan bercerai dengan suaminya pada 28 September lalu.