Showing posts with label Politic. Show all posts
Showing posts with label Politic. Show all posts

Sunday, 5 May 2019

Rakyat boleh tanam padi waktu malam-Tun M


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang kini mencecah tujuh juta.

Selain itu katanya, kerajaan turut merancang pembinaan kilang yang mampu membina rumah sebagai sebahagian inisiatif tersebut.

“Kita sedang fikir sama ada kita boleh alih waktu kerja daripada siang hari kepada malam. Memanglah gelap, tapi orang kaya boleh main golf waktu malam, mungkin kita boleh tanam padi waktu malam sebab siang panas. Ini boleh kurangkan tekanan.

“Di sesetengah negara bila datang bulan puasa, mereka tidur siang dan malam bekerja. Jadi ia bukan sesuatu luar biasa. Sekarang ada lampu LED, tidak guna elektrik yang banyak.Ini antara langkah kerajaan yang sedang berusaha wujudkan banyak pekerjaan,” katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Makan Malam Tautan Muhibbah Parlimen Segambut 2019 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)di sini hari ini. 

Tuesday, 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Wednesday, 3 January 2018

Rakyat muak dengan kerajaan, pembangkang

Mohamad Ezam Mohd Nor

SHAH ALAM - Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan wujud fenomena luar biasa sedang berlaku menjelang PRU14.

Katanya, ia adalah suasana di mana rakyat dan pengundi semakin tidak bermaya untuk berdepan dengan pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Rata-rata daripada mereka suarakan rasa muak dengan politik hari ini. Mereka kecewa dan menyampah bukan sahaja dengan pihak sebelah sini atau sana tetapi dengan kedua-duanya.

“Ini bukan fenomena biasa. Biasanya pengundi dan rakyat akan menyokong atau tidak. Menyokong salah satu daripada dua pihak. Kali ini kelihatan mereka tidak menyokong kedua-duanya seolah-olah keliru dan ini bahaya buat negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut disebabkan oleh krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara pada hari ini.

“Tetapi dalam yang sama rakyat juga masih belum dapat mengalihkan atau menggantikan keyakinan itu kepada pihak lain. Kita tersimpul dalam satu kekusutan politik dan ia mesti dileraikan.

“Politik adalah soal keyakinan terhadap satu kepimpinan. Soalnya sekarang, tidak ada satu pun kepimpinan yang diyakini oleh rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sudah hilang kepercayaan rakyat dengan pelbagai isu melingkarinya dan tiada jalan untuk beliau meraih sokongan dan keyakinan lagi,” katanya.

Menyentuh soal pembangkang, Mohamad Ezam berkata, mereka masih terkial-kial meraih keyakinan rakyat untuk menyokong mereka.

“Inilah kekusutannya kerana pembangkang juga tidak diyakini. Cuma mereka belum lagi di hujung jalan seperti Najib dan pasukannya. Pembangkang masih boleh merai keyakinan rakyat dengan syarat mereka perlu jujur meleraikan kekusutan ini.

“Apabila saat memilih semakin hampir, perkara pokok bagi pengundi ialah keyakinan kepada pentadbiran baru. Bukan lagi soal keburukan pentadbiran sedia ada. Soalnya ialah apa kebaikan dan keupayaan pentadbiran baru itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks politik negara ini, rakyat mahu tahu individu mana yang akan memimpin pentadbiran baharu dan ia penting bagi meraih keyakinan rakyat.

“Pakatan Harapan (Harapan) dilihat masih kusut dalam soal ini. Sosok yang memimpin tidak jelas, malah masih berkisar kepada tokoh-tokoh lama. Benar mereka adalah sosok hebat, berjasa dan teruji tetapi dalam masa sama mereka membawa bersama cerita dan kisah lalu. Di sinilah kekusutannya dan inilah yang perlu dileraikan.

“Agenda pembaharuan perlu dilihat, dibawa dan dijulang oleh muka-muka baharu dan muda Harapan kerana punyai ramai pemimpin muda yang mampu menjulang perubahan. Mereka siap sedia menjadi panglima perang dan mengurus kejayaan,” katanya.

Tambahnya, tokoh-tokoh besar pembangkang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah wajar memberi laluan kepada pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan Salahuddin Ayub.

“Tokoh-tokoh besar kekal aktif di dalam perjuangan dan negara masih memerlukan kepakaran serta pengalaman mereka.

“Mereka perlu memberi kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda mengepalai perjuangan Harapan yang berani berubah. Ini penting dalam memberi mesej jelas kepada golongan muda negara yang mahukan perubahan bahawa Harapan benar-benar satu gagasan perubahan,” katanya.

Monday, 20 November 2017

Anak Husam Musa ditahan miliki dadah

AHMAD SHAFI dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam untuk direman.

KOTA BHARU : Anak lelaki Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa ditahan polis kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda seberat kira-kira 20 gram kelmarin.

Ahmad Syafi, 29, ditangkap di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan selepas bergelut secara agresif dengan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, anak Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.

Siswazah universiti itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Sunday, 5 November 2017

Kuasai perang media sosial

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat Kebangsaan di dewan Tun Razak PWTC.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menggesa tentera siber UMNO menguasai perang maya melalui media sosial bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Presiden UMNO berkata, perkara itu amat mustahak memandangkan PRU-14 bakal tiba tidak lama lagi.

“Pada hari ini, sumber maklumat yang paling besar dan berpengaruh adalah media sosial. Sesuatu berita sama ada benar, tidak benar atau separuh benar boleh tersebar meluas dalam sekelip mata jika kita tidak bertindak cepat, tepat dan tular.

“Kita mesti berubah dan memenuhi setiap ruang yang ada. Jika UMNO tidak bersedia, kita akan terasa bahangnya,” kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Friday, 3 November 2017

Adun DAP didakwa tumbuk teman wanita



SEORANG Adun DAP dari Perak didakwa menumbuk dan menipu teman wanitanya seperti ditular dalam satu blog, kelmarin.

Blog tersebut, iaitu 'Dr MiM' yang menulis dalam bahasa Melayu bertajuk Skandal! Adun Pukul Teman Wanitanya mendedahkan, Adun tersebut yang telah berkahwin dan memiliki anak, didakwa terlibat melakukan penipuan dan menumbuk teman wanitanya.

"Yang inklusif dan utamakan rakyat, kita dikejutkan dengan tindakan seorang Adun yang berlaku zalim dengan menumbuk teman wanitanya," demikian petikan perenggan pertama dalam blog berkenaan.

Seterusnya, blog itu menulis lagi, "Kita difahamkan Adun DAP di negeri Perak ini telah membuat laporan polis pada 30 Oktober lalu. Beliau mendakwa telah pergi ke rumah teman wanitanya untuk berbincang, tetapi berlaku salah faham dan beliau memaki teman wanitanya. Beliau keluar rumah tersebut selepas itu.

"Bagaimanapun, laporan polis Adun DAP itu berlainan dengan laporan polis yang dibuat oleh teman wanitanya. Wanita itu menjelaskan, Adun DAP itu telah datang ke rumah untuk berbincang tapi beliau  ditipu oleh Adun tersebut. Malah, Adun DAP itu telah mencederakannya dengan menumbuk pipi wanita tersebut.

"Wanita itu juga melaporkan bahawa beberapa barangan miliknya telah hilang termasuk dokumen-dokumen penting dan juga wang tunai," tulis blog itu.

Walaupun blog tersebut tidak menyebut identiti sebenar Adun terbabit, ramai pihak yang mendakwa Adun yang dimaksudkan ialah Adun Bercham, Cheong Chee Khing.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh Oriental Daily, Chee Khing menafikan dakwaan itu kerana sekiranya beliau terbabit dengan kes memukul dan menipu wanita, sudah lama beliau ditahan pihak polis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming enggan mengulas kes tersebut apabila dihubungi wartawan akhbar tersebut.

Saturday, 28 October 2017

Catalonia isytihar merdeka daripada Sepanyol

Puluhan ribu penduduk Catalonia berhimpun di luar perkarangan parlimen di Barcelona bagi menunggu pengisytiharaan kemerdekaan wilayah itu daripada Sepanyol.

MADRID – Ahli Parlimen Catalonia memutuskan untuk mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol semalam ketika Madrid berikrar akan ‘memulihkan undang-undang’ dan memusnahkan usaha pemisahan tersebut.

Parlimen rantau ber­kenaan di Barcelona meluluskan resolusi untuk mengisytiharkan Catalonia sebuah negara republik yang merdeka ketika beribu-ribu aktivis prokemerdekaan berhimpun di luar bangunan Parlimen.

Usul kemerdekaan itu diluluskan dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi menentang dengan dua ahli Parlimen tidak hadir.

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memberikan tidak balas segera dengan me­minta semua rakyat Sepanyol supaya bertenang.

“Undang-undang akan kembali pulih di Catalonia,” katanya di laman Twitter sejurus selepas keputusan kontroversi itu.

Dewan tinggi Parlimen Sepanyol dan Senat mengadakan sidang berasingan pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) untuk membincangkan pengaktifan Artikel 155 perlembagaan Sepanyol bagi memboleh­kan kerajaan pusat menguasai Catalonia.

Rajoy menggesa barisan senator melaksanakan pemerintahan langsung di Catalonia, namun wujud keraguan sama ada warga tempatan akan mematuhi arahan Madrid.

Krisis itu mengundng perpecahan dalam kalangan penduduk Catalonia dan mencetuskan kebimbangan di Sepanyol. Ia mendorong banyak perniagaan keluar dari rantau mewah itu dan mengakibatkan Eropah khuatir masalah Catalonia akan menghidupkan sentimen pemisahan di benua itu.

Rajoy memerlukan kelulusan Dewan Senat yang dikuasai parti pimpinannya, Parti Rakyat untuk memecat kerajaan Catalonia dan melaksanakan pemerintahan langsung Madrid di wilayah autonomi tersebut. – REUTERS

Sunday, 8 October 2017

SPRM tidak ada kuasa siasat dana politik

Datuk Seri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan badan tersebut tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat individu atau parti politik yang terlibat dalam penerimaan dana politik.

Memetik laporan NST Online, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini, memang tiada lagi undang-undang di Malaysia yang memberi garis panduan bagi mengawal isu berkenaan.

“Parlimen belum lagi meluluskan undang-undang yang memberikan panduan kepada parti politik atau ahli politik mengenai penerimaan dana politik. Akta SPRM 2009 juga tidak meliputi kesalahan yang berkaitan dengan politik wang.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan mengetuai Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan me­ngenai Pembiayaan Politik untuk mengkaji undang-undang menge­nai pembiayaan politik,” katanya.

Azam berkata, beliau percaya bahawa rang undang-undang mengenai pembiayaan politik boleh dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Beliau berkata de­mikian bagi mengu­las kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini yang menuntut Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan berikutan ‘kegagalannya’ untuk mene­mukan rasuah RM1 bilion yang diterima oleh beliau daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ulasan Azam itu turut disiar­kan oleh Buletin Utama TV3 malam tadi.

Bagaimanapun Azam berkata, suruhanjaya itu tidak akan me­nyiasat perkara itu berikutan tidak menerima sebarang laporan.

“Ia bukan isu sama ada kita tahu atau tidak. Isu ini muncul di media sosial tetapi tiada siapa yang membuat laporan.

“Tetapi, apa yang kita tahu, ia bukan satu kesalahan di bawah undang-undang kita dan itulah sebabnya kami tidak membuka kertas penyiasatan mengenai perkara itu,” katanya.

Dakwaan itu dibuat oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin dalam satu catatannya baru-baru ini bertajuk “Mahathir menyuap Kit Siang RM1 bilion untuk menjadi Pengerusi Pakatan”.

Raja Petra mendakwa, sebagai balasan untuk pelantikan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, Kit Siang tidak akan bersuara terhadap skandal pertukaran wang asing Bank Negara, yang berlaku semasa jawatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dakwanya lagi, perjanjian itu juga melibatkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang sepatutnya dibenarkan bertanding di kerusi parlimen ‘selamat’ dalam pilihan raya umum akan datang.

Raja Petra juga mendakwa Kit Siang mempunyai RM750 juta setakat ini dan baki akan dibayar apabila pencalonan Mukhriz di­sahkan.

Menurut laporan media bulan lalu, undang-undang untuk menga­wal pembiayaan politik yang dinamakan Akta Derma dan Perbelanjaan Politik, akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Seng Kuan berkata, ini adalah kerana sifat kompleks yang memerlukan usaha yang luas dari jawatankuasa perundingan kebangsaan mengenai pembiayaan politik.

Thursday, 5 October 2017

Tiada individu 'H' kerja di Pejabat Perdana Menteri


SHAH ALAM - Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad memaklumkan Pejabat Perdana Menteri tidak mempunyai seorang pegawai seperti dinamakan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, individu berkenaan juga tidak berkhidmat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penasihat kanan seperti mana yang didakwa.

“Pejabat Perdana Menteri tidak mempunyai seorang pegawai bernama sedemikan berkhidmat dengan perdana menteri,” jawabnya ringkas kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Syed Saddiq mendedahkan, beliau diumpan RM5 juta oleh penasihat kanan Najib untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dengan biasiswa RM400,000.

Tawaran termasuk dana untuk beliau memulakan sekolah debat bakal diketuainya di seluruh negara.

Dalam satu wawancara bersama Sinar Harian kelmarin, Syed Saddiq turut mendedahkan beliau mengenai individu tersebut, namun tidak pernah bersua. Sebaliknya, dia bertemu dengan beberapa orang tengah yang cuba memujuk beliau untuk meninggalkan Bersatu.

Tambahnya, pelbagai kaedah digunakan oleh orang tengah itu untuk meyakinkan dirinya bahawa pemberian wang berjumlah RM5 juta sebagai geran bagi membina sekolah-sekolah debat di negara ini, bukan rasuah sebaliknya salah satu cara membantu rakyat.

Thursday, 28 September 2017

Pendaftaran pemilih secara dalam talian, media sosial tidak sah



PUTRAJAYA - Pendaftaran pemilih secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan dan tidak sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah.

Sejak kebelakangan ini, katanya, terdapat pihak menyebarkan maklumat kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya menghantar gambar kad pengenalan MyKad mereka ke nombor talian telefon tertentu dan mereka akan didaftarkan segera sebagai pemilih.

"SPR ingin menegaskan bahawa kaedah itu adalah tidak dibenarkan dan tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hashim menegaskan, bahawa kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR.

Mereka perlu membawa bersama MyKad yang asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang tersebut, katanya. - Bernama

Tuesday, 29 August 2017

'Melayu paling teruja hendak mengundi'



SHAH ALAM - Dapatan kajian yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan mengenai mood rakyat menjelang PRU14 mendapati kaum Melayu paling teruja untuk mengundi dalam PRU berkenaan.

Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, berdasarkan dapatan kajian pihaknya mendapati sebanyak 72 peratus kaum Melayu teruja untuk mengundi dalam PRU14.

"Sementara itu kaum Cina paling tidak teruja untuk mengundi, tetapi tak pasti mereka hendak mengundi parti mana," katanya dalam perbahasan di Forum Survei Malaysia 2017, yang diadakan di IDE, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya lagi, kaum India berada di kedudukan kedua dengan 70 peratus teruja untuk mengundi pada PRU14 ini.

Dalam pada itu, Redzuan ketika mengulas mengenai keadaan semasa kini, jelasnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Jelasnya ini, berdasarkan mood baik yang dialami Malaysia kini iaitu, semangat membara Sukan SEA yang kini menunjukkan prestasi nagara yang sangat memberangsangkan serta perpecahan dalam kalangan  pembangkang.

"Bila Najib akan panggil PRU? Ada dua keadaan. Pertama apabila mood semangat Sukan SEA lebih-lebih lagi apabila perlawanan akhir bola sepak Malaysia lawan Thailand nanti.

"Kedua pula ketika pembangkang berpecah dan bertelagah. Kalau ada dua gabungan ini, ia waktu terbaik untuk panggil PRU. Tak perlu tunggu tahun depan," ujar beliau lagi.

Sunday, 21 May 2017

Parti Harapan Malaysia ditubuhkan saingi PKR

JOHARI MUSA (kiri) menunjukkan logo Parti Harapan Malaysia dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Penyokong-penyokong PKR yang kecewa dengan sikap barisan kepemimpinan parti itu bertindak menubuhkan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Harapan Malaysia (PHM).

Bekas Pengerusi Kelab Akar Umbi PKR Malaysia, Johari Musa ketika mengumumkan perkara itu berkata, tujuan utama penubuhan PHM adalah untuk menggantikan PKR yang kini dilihat semakin rosak teruk akibat sikap semua kepemimpinannya.

Kata beliau, PHM serius memperjuangkan amalan politik serta demokratik tulen dan akan menyertai Gagasan Sejahtera bersama Pas pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keadaan juga tidak seperti dahulu apabila ada ahli yang bersuara melahirkan kekecewaan atau beri cadangan, mereka akan dianggap sebagai pengkhianat parti dan dipecat sama seperti yang berlaku kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Johari yang juga bekas Ketua PKR Cabang Lembah Pantai menjangkakan lebih 35 peratus ahli PKR bersetuju untuk menyertai PHM dan sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar parti tersebut.

Jelas beliau, kebanyakan ahli PKR menganggap parti itu kini menjadi orang suruhan kepada DAP dan sanggup mengkhianati hubungan baik dengan Pas.

“Ahli PKR sendiri yang mendesak supaya PHM ditubuhkan untuk menggantikan parti tersebut kerana mereka sudah tidak sabar untuk keluar PKR.

“Sehubungan itu, kami berharap Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan meluluskan penubuhan PHM dengan segera memandangkan kelulusan permohonan sudah tertangguh sejak 6 Disember 2016,” ujarnya sambil memberitahu permohonan penubuhan PHM telah dibuat kepada ROS pada 2015.

Johari turut memaklumkan bahawa satu lagi sidang akhbar akan diadakan selepas penubuhan PHM diluluskan untuk mengumumkan presiden parti.

Tuesday, 21 March 2017

Pemimpin kanan DAP kena reman

CHI SING (dua dari kiri) dan Soon Teck direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dipercayai membabitkan pajakan tanah di Mahkamah Majistret Melaka semalam.
MELAKA – Dua ahli perniagaan terma­suk seorang pe­mimpin kanan DAP Melaka ditahan reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes penipuan pajakan tanah di Kelantan dengan anggaran kerugian bernilai RM976,300.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Analia Kamaruddin terhadap Wong Chi Sing, 54, dan Chua Soon Teck, 29, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua mereka yang memakai baju lokap polis berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.30 pagi.

Tuesday, 14 March 2017

Rugi putus hubungan KL-Pyongyang

Dr Chandra Muzaffar

KEMATIAN seorang lelaki warga Korea-Utara yang disahkan sebagai Kim Jong-nam, iaitu abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un  mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara.

Ketegangan semakin memuncak apabila kedua-dua negara mengeluarkan arahan tidak membenarkan warganegara Malaysia atau Korea Utara keluar negara masing-masing. 

Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar mengulas lanjut hubungan Malaysia-Korea Utara dengan perkembangan terbaru ini.

S: Bagaimana Dr melihat perkembangan ketegangan di antara Malaysia dengan Korea Utara. 

J: Hubungan Malaysia dan Korea Utara sangat tegang ketika ini. Ada beberapa faktor yang perlu diselesaikan untuk menamatkan ketegangan diplomatik ini. Satu, mengenai sekatan oleh Pyongyang terhadap rakyat Malaysia keluar dari negara itu, begitu juga larangan keluar oleh Malaysia terhadap rakyat Korea Utara di negara ini. Seterusnya, penyelesaian kes siasatan pembunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di negara ini pada 13 Februari lalu. Malaysia perlu memujuk Korea Utara menerima siasatan kes pembunuhan itu yang mengikut undang-undang, seterusnya membantu untuk mencari dalang kepada kes pembunuhan itu. Saya percaya kes ini mengambil masa dan tidak boleh diselesaikan dalam jangka pendek, beberapa bulan atau dalam tahun ini. Ia bergantung kepada isu lebih besar, siapa yang lebih bertanggungjawab dan berperanan untuk selesaikan isu ini. Krisis ini hanya boleh diselesaikan dengan cepat jika Korea Utara memberikan kerjasama, tidak terus berdegil dan tidak mahu mendapatkan khidmat mana-mana pihak untuk penyelesaian dalam kes ini. 

S: Malaysia dan Korea Utara mempunyai hubungan unik sebelum ini. Sejak 2003, Malaysia membuka kedutaannya di Korea Utara sedangkan kebanyakan negara mengelak untuk menjalin hubungan dengan negara itu yang dikenakan enam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Boleh Dr jelaskan mengenai hubungan kedua-dua negara? 

J: Ya memang benar, Malaysia dan Korea Utara ada hubungan yang unik. Ada hubungan diplomatik, perdagangan, pendidikan, budaya dan pelancongan. Hubungan Korea Utara dengan Malaysia sangat baik berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara. Kebanyakan negara mempertimbangkan untuk mengadakan hubungan dengan Korea Utara berikutan beberapa sekatan dikenakan Majlis Keselamatan PBB terhadap negara itu. Hubungan Malaysia dengan Korea Utara terjalin kerana menjadi dasar Malaysia sejak dulu untuk berbaik dengan mana-mana negara kerana amalkan sikap berkecuali. 

S: Jika ketegangan semakin memuncak, perlukah Malaysia putuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara? 

J: Saya berpandangan hubungan Malaysia dan Korea Utara perlu diteruskan. Jika tiada hubungan diplomatik, ia hanya akan merugikan kedua-dua negara, lebih penting lagi ketika ini masih ada rakyat kita yang menjadi 'tebusan' di Korea Utara. Kita tidak boleh bersikap seperti negara lain yang meminggirkan negara berkenaan hanya kerana sikap Korea Utara dalam isu di Semenanjung Korea, kedegilannya dalam senjata nuklear dan ujian peluru berpandu. 

S: Bagaimana ketegangan hubungan ini dapat dipulihkan dan perlukan pihak ketiga untuk membantu? 

J: Saya sangat percaya perlunya pihak ketiga untuk membantu menyelesaikan ketegangan yang berlaku ketika ini. Dalam hal ini, China satu-satu yang boleh membantu kerana negara itu mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan kedua-dua negara. Ketika ini, saya melihat kedua-dua negara mengakui ada saluran rundingan. Malah, ada tanda positif, dengan jaminan keselamatan terhadap rakyat kita di Korea Utara begitu juga di pihak Malaysia membabitkan warga Korea Utara. Hanya rundingan yang dapat meredakan ketegangan kedua-dua negara. 

S: Malaysia mengesahkan kematian seorang lelaki warga Korea-Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin negara itu, Kim Jong-un. Adakah ini membantu menyelesaikan lebih cepat apa yang berlaku di antara Malaysia dan Korea Utara? 

J: Apa yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia ketika ini memenuhi semua tuntutan perundangan dan peraturan berkaitan jenayah. Bermula daripada kes kematian, bedah siasat dan pengesahan sebab kematian dan pengesahan siapa yang dibunuh, semuanya mengikut saluran  yang betul. Korea Utara kena mengakui ini, bukan menidakkan apa yang sudah dibuat Malaysia dalam menyelesaikan kes berkenaan. Lagipun, Malaysia sangat berhati-hati menangani kes ini tanpa menuduh mana-mana pihak bertanggungjawab. Malaysia kena berhati, bersikap tunggu dan lihat serta jangan terburu-buru. Lebih penting jangan terpengaruh dengan emosi dan sentimen atau tekanan pihak lain. Apa yang Malaysia lakukan ketika ini adalah kebimbangan mengenai keselamatan warganegara dan orang asing di lapangan terbang. 

S: Apakah langkah seterusnya perlu diambil Malaysia jika ketegangan ini dapat diredakan dan bagaimana dengan masa depan hubungan kedua-dua negara selepas ini. 

J:  Perkara utama yang perlu difikirkan selepas hubungan yang tegang ini diperbaiki adalah bagaimana Malaysia dapat memainkan peranannya memujuk Korea Utara berkaitan sekatan Majlis Keselamatan PBB dan sikap  negara itu dalam hal berkaitan di Semenanjung Korea, senjata nuklear dan percubaan peluru berpandu mereka.   

Korea Utara bertindak agresif kerana dikenakan pelbagai sekatan. Ada enam sekatan dikenakan kepada Korea Utara. Malaysia pernah menjadi tuan rumah untuk perbincangan enam negara dikenali six party talk antara 2003 hingga 2008. Bermakna Malaysia ada peranannya dan dipercayai enam negara ini dalam perbincangan isu membabitkan Korea Utara. Enam negara terbabit adalah China, Amerika Syarikat, Russia, Korea Selatan, Korea Utara dan Jepun. Malaysia jangan bersikap seperti negara lain yang berterusan mahu sekatan diteruskan kepada Korea Utara. Untuk menangani Korea Utara perlu pendekatan yang lembut, berhati-hati dan penuh kepercayaan. Hentikan provokasi sebaliknya teruskan rundingan di meja perbincangan.

Friday, 27 January 2017

Jamal sahut cabaran Mohamed Azmin serah katil ke pusat pemindahan banjir


SABAK BERNAM - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sedia menyahut cabaran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta beliau menghantar set katil di pusat pemindahan banjir yang dibuka di daerah Sabak Bernam.


Beliau berkata, bagi tujuan itu set katil tersebut akan dihantar Pusat Pemindahan Banjir Dewan Parit Baru, dekat sini petang ini.


“Saya menerima pandangan menteri besar tersebut. Saya sentiasa menerima pandangan-pandangan baik dan akan hantar katil ini ke pusat banjir di sana pukul 4.30 ini. Saya akan berikan di sana nanti” katanya di sini hari ini.


Difahamkan, selain set katil Jamal turut akan menyediakan aiskrim untuk diberikan kepada anak-anak mangsa banjir.

Wednesday, 11 January 2017

Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

Tan Sri Adenan Satem.
KUCHING - Negeri Sarawak mengumumkan esok sebagai cuti umum sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri juga mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula esok.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang, manakala semua acara rasmi akan ditangguhkan buat sementara waktu.

"Jenazah Allahyarham (Adenan) akan dibawa dari kediaman rasminya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri untuk majlis penghormatan terakhir oleh pemimpin kenamaan dan rakyat pada pukul 10.30 pagi esok.

"Selepas itu, jenayah Allahyarham akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini sebentar tadi.

Abang Johari menambah, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir esok untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dalam nada sedih, Abang Johari turut menyifatkan kematian Adenan sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.

"Semasa hayat, beliau merupakan seorang pemimpin yang bijaksana dan cukup dekat di hati rakyat," katanya.

Sebelum ini, Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan di sini pada pukul 1.20 petang ini.

Monday, 26 December 2016

Pakatan Harapan tiada pilihan

Mat Suhaimi Shafiei

SHAH ALAM - Kerjasama politik melibatkan semua parti perlu terus dimantapkan.

Adun Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei berkata, ia juga mesti diuruskan dengan kadar segera dan dimeterai bersama semua parti.

"Itulah harapan kebanyakan rakyat hasil kajian oleh beberapa pihak seperti Institut Darul Ehsan dan Merdeka Centre baru-baru ini.

"Pakatan Harapan tidak ada banyak pilihan, sama ada suka atau tidak kesatuan sesama parti politik ini perlu dibuat  bagi meyakini rakyat.

"Pandangan masyarakat masih berkisar tentang semangat bekerjasama dan tolak ansur semua parti bagi mengambil alih Putrajaya," katanya diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang tiada masalah berkongsi pentas bersama PKR dan Bersatu.

Menurut Suhaimi, buat masa ini tiada harapan ekonomi negara akan pulih, ringgit kembali stabil dan pandangan negara luar kembali tinggi pada Malaysia dengan kepimpinan negara sekarang.

"Jadi apa yang diutarakan oleh beliau (Iskandar) sangat penting bagi membuka ruang kerjasama yang lebih luas di kalangan pimpinan politik nasional dan memungkinkan berlakunya perubahan ekonomi dan pentadbiran negara. "Perbezaan pandangan di peringkat nasional harus dikecilkan segera dan kembali memikirkan masalah ekonomi negara yang sangat tenat," katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan di kalangan pimpinan  dalam negeri ini semakin kurang dan jika ada ia perlu diuruskan secara dalaman.

"Apa pun kepimpinan setiap parti harus berhati-hati dengan usaha pihak tertentu melaga-lagakan kepimpinan Pakatan Harapan.

"Contohnya baru-baru ini dakwaan yang mengatakan saya menyekat Amanah dari bertanding di Selangor. Ia hanya satu dakyah dan pimpinan Amanah harus menyelidik dahulu sebelum memberi maklum balas," katanya.

Monday, 19 December 2016

PKR sedia serah kerusi kepada Bersatu

Mohamed Azmin ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelancaran program pengangkutan awam sekali seminggu (PPASS) di Foyer pejabat SUK Selangor, pagi tadi.
SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia berunding bagi memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu bersikap terbuka dan perkara itu merupakan salah satu bentuk kerjasama dalam Pakatan Harapan melalui perbincangan dan rundingan untuk mencapai persefahaman bersama.

“Saya dah berbincang perkara ini dengan pimpinan PKR beberapa tempoh lalu dan kita harus ambil sikap terbuka kerana ketika PKR baru dibentuk dahulu pun, kita tak ada kerusi.

“Kita dapat kerusi dari DAP dan Pas... jika mereka tak bagi pada 1999, kita tak akan ada di sini pada hari ini.

“Jadi sekarang, saya kira giliran kita pula untuk menyumbang, bersikap terbuka dan lebih bertanggungjawab untuk berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan termasuk Bersatu,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi itu tertakluk kepada strategi dan faktor keupayaan untuk menang (winnability) seperti perjanjian yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan dan Bersatu.

Sebelum ini, Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju membentuk kerjasama berlandaskan peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963, di mana pimpinan setiap parti setuju untuk meletakkan satu calon sahaja di setiap kawasan dalam PRU 14 nanti.

“Kerjasama ini juga tidak spesifik kepada sesebuah negeri sahaja walaupun ketika ini,kita Pakatan Harapan sudah menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pada masa yang sama, Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin mempunyai kekuatan terutama di selatan Semenanjung seperti Johor dan Melaka.

“Apa pun, pembahagian kerusi ini masih belum diputuskan dan perkara ini masih dalam rundingan dan penilaian buat masa ini. Lagi pun, ini soal strategi, kita tak boleh nak bincangkan soal strategi secara terbuka,” katanya.

Saturday, 17 December 2016

Kerajaan tidak jual kedaulatan kepada China


KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan pembangkang yang mendakwa kerajaan 'menjual' kedaulatan negara apabila memeterai perjanjian pelaburan dengan kerajaan dan syarikat dari China baru-baru ini. 

Perdana Menteri berkata, tuduhan seumpama itu adalah tidak adil kerana pelaburan berkenaan sebenarnya memberi manfaat besar kepada rakyat seperti pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km). 

"Mereka kata kita jual kedaulatan negara kepada China, tetapi dahulu bila Dasar Pandang Ke Timur (diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pelaburan Jepun di Malaysia...tiada pula isu itu (menjual kedaulatan negara).

"Ia sama sahaja sebenarnya dan mewujudkan pekerjaan serta mengembangkan ekonomi negara, berpegang kepada dasar keadilan ia harus memberi manfaat kepada semua.

"Kita hendak pastikan semua syarikat tempatan mendapat manfaat dari kontraktor kelas A ke F bukan sahaja untuk syarikat besar tetapi orang biasa, projek ECRL itu saya yakin mampu tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga negeri di pantai timur," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang tahun ke 31 Gabungan Persatuan Cina Pahang (GBCP) di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Pahang, Tan Sri Pheng Yin Huah.

Saturday, 26 November 2016

Anak timbalan menteri ditangkap

Firdaus (dalam bulatan) antara 11 individu yang ditahan polis semalam.
KUALA LUMPUR – Anak lelaki kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Firdaus Tajuddin, 34, bersama sembilan individu lain yang dipercayai terlibat dalam insiden kekecohan di kawasan bangunan Parlimen ditahan polis semalam.

Selain mereka, seorang wanita berusia 54 tahun menyerah diri di Balai Polis Sentul sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 11 orang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Menurut Amar, selain Firdaus yang merupakan anak kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd. Rahman, individu lain yang ditangkap polis ialah Mohd. Rizal Shafie, 37, Ariffin Mohamed Ali, 32, Hasnah Md. Razali 68 dan Erwan Halmi, 36.

“Enam lagi ialah Sapiah Aini Sulaiman, 34, Norfirdaus Ahmad Zanian, 30, Azmir Ahmad, 41, Mohd. Saffek Mohd. Salleh, 28, Mohd. Faizal Saidina Omar, 34 dan terakhir yang menyerah diri, Norbaiti Taha,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.