Showing posts with label Agricultural. Show all posts
Showing posts with label Agricultural. Show all posts

Sunday, 5 May 2019

Rakyat boleh tanam padi waktu malam-Tun M


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang kini mencecah tujuh juta.

Selain itu katanya, kerajaan turut merancang pembinaan kilang yang mampu membina rumah sebagai sebahagian inisiatif tersebut.

“Kita sedang fikir sama ada kita boleh alih waktu kerja daripada siang hari kepada malam. Memanglah gelap, tapi orang kaya boleh main golf waktu malam, mungkin kita boleh tanam padi waktu malam sebab siang panas. Ini boleh kurangkan tekanan.

“Di sesetengah negara bila datang bulan puasa, mereka tidur siang dan malam bekerja. Jadi ia bukan sesuatu luar biasa. Sekarang ada lampu LED, tidak guna elektrik yang banyak.Ini antara langkah kerajaan yang sedang berusaha wujudkan banyak pekerjaan,” katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Makan Malam Tautan Muhibbah Parlimen Segambut 2019 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)di sini hari ini. 

Tuesday, 10 October 2017

Eksport durian cecah RM150 juta

Badruddin (dua dari kanan) bersama Ahmad (tiga dari kanan) menunjukkan buah durian untuk dieksport ke luar negara di Ibu Pejabat FAMA di Selayang semalam.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian­ Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai eksport buah-buahan segar ke pasaran luar negara meningkat lebih RM700 juta tahun ini dengan China dan Singapura sebagai pengimport utama. 

Nilai eksport tahun lalu kira-kira RM600 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, jumlah berkenaan dijangka meningkat apabila Kanada dan Korea Selatan menjadi negara terbaharu yang turut menunjukkan minat untuk membawa masuk buah-buahan segar termasuk durian.

“Pasaran di China bukan sahaja meliputi buah-buahan segar malah durian sejuk beku dan produk berasaskan durian.

“Nilai eksport durian sahaja dijangka meningkat sehingga RM150 juta berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM74.3 juta. Bagaimanapun sasaran eksport berkenaan bergantung kepada hasil pengeluaran pokok yang banyak dipe­ngaruhi oleh cuaca,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Thursday, 15 June 2017

Kerajaan tak campur isu harumanis

Harumanis mengalami penurunan harga mendadak selepas buah tersebut gagal dipasarkan secara meluas di luar Perlis.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak akan campur tangan dalam isu kejatuhan harga harumanis kerana tidak mahu ditafsir sebagai cuba mensabotaj pasaran buah yang dianggap eksklusif milik negeri Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu para petani harumanis di Perlis pernah dianggap sebagai cubaan untuk mensa­botaj pasaran buah tersebut.

“Jadi kementerian menye­rahkan kepada kebijaksanaan pihak yang me­ngusahakan tanaman dan pasaran buah harumanis di Perlis dalam menentukan harga kerana mereka lebih mengetahui mengenai produk pertanian itu daripada pihak lain.

“Kalau ada pihak tertentu yang datang minta bantuan daripada kementerian, kita akan bantu tetapi pernah FAMA cuba promosi menggunakan saluran online malang­nya agensi itu turut dihentam kerana buah tersebut dikatakan tidak patut dijual pada harga murah kepada pengguna,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis pengagihan bubur lambuk kepada kakitangan kementerian dan sumbangan kepada asnaf di Walkway MOA di sini semalam.

Menurut beliau, sejak insiden itu, kementerian tidak lagi akan campur tangan me­ngenai harga buah harumanis kerana tidak mahu disalah anggap dalam hal produk keluaran yang dianggap sebagai eksklusif negeri Perlis.

Wednesday, 14 June 2017

Tamak punca harumanis tak laku

Petani harumanis mendakwa berlaku lambakan buah tersebut sehingga rosak di atas pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelak serangan penyakit.

KUALA LUMPUR – Perbuatan sesetengah pihak di Perlis yang cuba mengawal bisnes buah harumanis dengan menetapkan harga terlalu mahal menjadi punca utama buah tersebut gagal dipasarkan secara meluas di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di negara ini.

Lebih memburukkan, tindakan pihak-pihak tersebut telah menyebabkan berlakunya lambakan harumanis di Perlis sehingga ada buah yang menjadi busuk di pokok dan terpaksa dibakar.

Difahamkan, harga semasa yang ditetapkan pengusaha harumanis sekitar RM15 hingga RM30 sekilogram dan jika buah itu dibawa dan dijual di ibu kota sudah tentu ia terpaksa dijual lebih mahal sekali ganda.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, dengan harga yang mahal diperoleh daripada pengusaha harumanis di Perlis, adalah sukar untuk buah tersebut dijual secara meluas di Kuala Lumpur.

Katanya, jika dijual di pasaran Kuala Lumpur, buah harumanis perlu bersaing dengan buah mangga import lain yang jauh lebih murah berbanding buah ikon negeri utara itu.

Monday, 12 June 2017

Petani terpaksa bakar harumanis

Musa (dua dari kanan) dan isterinya, Zainab Hasim (kanan) melayan pelanggan yang datang ke ladang mereka untuk membeli harumanis di Santan, Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR – Para petani harumanis di Perlis mengalami kerugian besar berjuta-juta ringgit pada tahun ini kerana berlaku lambakan buah dan penurunan mendadak harga harumanis yang memaksa sesetengah mereka membakar hasil ladang masing-masing untuk mengelakkan ancaman penyakit.

Malah lebih buruk, buah harumanis yang dipetik terpaksa dijual pada harga serendah RM10 sekilogram kepada peraih dan RM15 kepada pembeli akibat lambakan di pasaran pada bulan puasa selain faktor kelemahan pemasaran.

Fenomena itu cukup mengejutkan kepada pengusaha ladang harumanis berbanding zaman kemuncak pada tahun 2015 apabila seorang petani mampu mengaut untung dengan menjual harumanis pada harga RM50 sekilogram.

Menurut seorang pekebun, Musa Darus, 75, dia tidak menyangka tahun ini merupakan ujian terbesar bagi dirinya dan pengusaha lain kerana permintaan merosot teruk lebih 70 peratus sehingga menyebabkan banyak buah terbiar busuk di pokok.

Musa berkata, 133 pokok mempelam harumanisnya mengeluarkan hasil kira-kira lima tan (5,000 kilogram) tahun ini, namun malangnya 2.5 tan terpaksa dibiarkan busuk di pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelakkan penyakit yang mengancam pokok lain.

Friday, 19 May 2017

Malaysia dan Indonesia beri amaran kepada EU

Najib menanam pokok kelapa sawit sambil diperhatikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (dua dari kanan) di Ladang Tennamaram di Kuala Selangor semalam.

KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada mana-mana negara khususnya negara Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit mungkin berdepan tindak balas dari Malaysia dan Indonesia.

Najib berkata, beliau telah berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila baru-baru ini supaya Malaysia dan Indonesia melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit ke negara EU bagi meyakinkan mereka bahawa dakwaan negatif terhadap minyak sawit adalah tidak berasas.

“Kita juga mesti beritahu pada mereka Malaysia dan Indonesia bukan negara yang tiada kemampuan.

“Kita juga beli banyak produk dari negara mereka dan sesiapa yang memboikot minyak sawit mungkin berdepan dengan tindak balas dari Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram di sini semalam.

Dalam pada itu, Najib turut menggariskan lima anjakan transformasi dalam memastikan masa depan industri sawit menjadi lebih cemerlang untuk tempoh 100 tahun akan datang.

Tuesday, 2 August 2016

Ketum bakal tingkat pendapatan


Pasir Mas: Penanaman pokok ketum di negara ini bakal meningkatkan pendapatan pekebun kecil melebihi RM1,000 sebulan bagi satu hektar berbanding RM150 hingga RM200 untuk tanaman kelapa sawit dan getah.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jika kerajaan bersetuju, pihaknya akan melaksanakannya bagi membantu pekebun kecil.

Katanya, permintaan untuk tanaman itu sudah ada dari Amerika Syarikat dan Eropah untuk kegunaan pada musim sejuk.

"Mereka memberi tempoh dalam sebulan ini dan jika Malaysia tidak mampu membekalkan, negara berkenaan akan meminta dari negara lain.

"RISDA hanya mahu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, di samping hasil menoreh getah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasminan Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan 2016 di TSB Sg Keladi, To' Uban, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pokok ketum boleh dituai dalam masa enam bulan sahaja.

Tuesday, 26 July 2016

RISDA mahu eksport ketum

Datuk Zahidi Zainul Abidin
Kuala Nerus: RISDA akan memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran menanam pokok ketum berikutan mendapat permintaan tinggi daripada syarikat farmasi di luar negara.

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan merayu untuk mendapatkan kelulusan itu bagi tujuan eskport sahaja.

Menurutnya, daun ketum mendapat permintaan tinggi dari Amerika Syarikat dan Eropah kerana tanah di negara ini lebih sesuai bagi tanaman itu.

Katanya, di luar negara, tumbuhan berkenaan didakwa mempunyai nilai perubatan tinggi, terutama ketika musim sejuk.

"Buat masa ini kita tidak mampu memenuhi permintaan mereka kerana daun ketum menyalahi undang-undang negara ini.

"Jika ia dapat memberi hasil kepada pekebun, tidak salah kerajaan memberi kebenaran dengan syarat untuk tujuan eksport sahaja," katanya selepas majlis Konvensyen GAP RISDA Negeri Terengganu 2016 di sini, hari ini.