Showing posts with label Economics. Show all posts
Showing posts with label Economics. Show all posts

Friday, 5 October 2018

Duit gaji cepat habis


SAYA selalu kesempitan wang. Walaupun bekerja, duit habis kerana membayar hutang rumah, kereta dan pelbagai komitmen dalam masa singkat. Kadang-kadang majikan lewat membayar gaji menyebabkan saya mengalami kesukaran. Saya mohon petua, apakah ada amalan menarik rezeki dan bagaimana boleh menjadikan doa seseorang itu mudah diterima Allah SWT?

Shahrin, Johor

PETUA yang saya boleh berikan adalah memperbanyakkan istighfar. Jadikan istighfar sebagai pembuka pintu rezeki kerana ia jaminan daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Nuh, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”

Mengapa Nabi Nuh meminta kaumnya beristighfar? Jawapannya, kerana kaumnya ketika itu banyak melakukan maksiat dan kafir terhadap Allah sehingga menyebabkan Allah tidak menurunkan mereka hujan dalam jangka masa yang panjang.

Bahkan, kemarau teruk melanda kaumnya menyebabkan wanita menjadi mandul. Disebabkan itu, mereka pergi kepada Nabi Nuh untuk meminta nasihat apa yang patut mereka lakukan.

Nabi Nuh akhirnya memberikan nasihat supaya mereka beristighfar kepada Allah SWT daripada dosa maksiat, syirik dan kekafiran mereka.

Al-Quran juga menyarankan ketika kita merasakan pintu rezeki seakan tertutup supaya menghadapinya dengan berusaha membuka pintu rezeki dengan istighfar kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 3 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu (daripada perbuatan syirik) dan bertaubat kepada-Nya (Jika kamu mengerjakan demikian), nescaya Dia akan memberi nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) kepadamu sampai waktu yang ditentukan dan (di akhirat pula) Dia akan memberikan kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal soleh) akan pahala kelebihan itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru haranya).”

Kisah Imam Ahmad boleh dijadikan pendorong. Diceritakan, pada akhir hayatnya, beliau tiba-tiba teringin untuk ke salah satu kota Baghdad, pada hal beliau tidak ada sebarang hajat dan keperluan untuk ke sana.

Beliau bergerak ke kota Baghdad sehinggalah sempat solat Isyak berjemaah di salah sebuah masjid di sana. Pada malam itu, beliau membuat keputusan untuk berehat dan tidur di masjid berkenaan.

Tiba-tiba siak masjid datang dan tidak mengizinkan Imam Ahmad tidur di dalam masjid. Siak masjid itu tidak mengenali wajah Imam Ahmad walaupun beliau ulama terkenal.

Beliau disuruh keluar lalu siak mengunci pintu masjid. Kemudian Imam Ahmad mengambil keputusan untuk berbaring di tepi masjid. Tiba-tiba datang lagi siak masjid tadi menghalau Imam Ahmad dalam keadaan marah-marah.

Beliau ditolak-tolak sehingga ke jalanan. Peristiwa itu disaksikan seorang penjual roti yang sedang membuat adunan. Penjual roti itu tinggal bersebelahan dengan masjid.

Dia pun memanggil Imam Ahmad dan mengajak menginap di rumahnya. Imam Ahmad duduk di belakang penjual roti itu dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai musafir.

Penjual roti itu tidak berkata apa-apa sekiranya Imam Ahmad tidak bertanya. Dia hanya meneruskan kerjanya membuat adunan roti. Tetapi Imam Ahmad memperhatikan penjual roti itu lidahnya sentiasa menyebut “Astaghfirullah” sama ada ketika meletakkan garam, memecahkan roti, mencampurkan gandum dan sebagainya.

Imam Ahmad bertanya: “Sudah berapa lama kamu membuat sebegini?” Penjual roti itu menjawab: “Sudah 30 tahun iaitu sejak saya mula-mula bekerja membuat roti.”

Imam Ahmad bertanya: “Apa hasilnya daripada perbuatan kamu ini?” Penjual roti itu menjawab: “Tidak ada hajat yang saya minta melainkan Allah SWT pasti memakbulkannya.”

Lalu penjual roti itu berkata: “Cuma satu hajat yang aku pohon belum dikabulkan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah hajat yang kamu pohon itu?”

Penjual roti itu menjawab: “Saya memohon supaya Allah mempertemukan saya dengan Imam Ahmad.”

Imam Ahmad bertakbir dan berkata: “Allahuakbar, Allah datangkan saya jauh dari Baghdad pergi ke Bashrah, bahkan sampai ditolak-tolak oleh tukang siak masjid hingga ke jalanan kerana istighfarmu.”

Penjual roti itu terkejut dan memuji Allah apabila dia mengetahui di hadapannya ialah Imam Ahmad. Begitulah besarnya kelebihan istighfar.

*Penulis ialah pendakwah

Tuesday, 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Saturday, 26 May 2018

Pembayaran BR1M sebelum Aidilfitri



KUALA LUMPUR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dibayar kepada penerima bulan hadapan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menerusi laman Twitter rasminya hari ini, beliau berkata bantuan kewangan itu akan diberi nama baharu.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai bantuan itu akan diumumkan minggu depan.

"Sepertimana yang diarahkan oleh (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad)  @chedetofficial, BR1M (yang akan diberikan nama lain) akan dibayar pada bulan Jun sebelum Hari Raya Aidilfitri," kata Lim dalam catatan itu.

Perdana  Menteri sebelum ini memaklumkan pemberian BR1M yang diteruskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerimanya. - Bernama

Tuesday, 30 January 2018

Robot 'bunuh' pekerjaan manusia

ROBOT android mengambil alih tugas manusia menjaga kaunter pertanyaan di sebuah hotel di Tokyo, Jepun.

PLATFORM kecerdasan buatan (AI) dan penghasilan ro­bot-robot canggih sebenarnya telah membunuh banyak peluang pekerjaan dan bakal memberi kesan yang lebih besar kepada kehidupan manusia.

Perkara itu merupakan salah satu isu besar yang hangat dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos minggu lalu.

Ikon global China yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma mengakui perkara itu dan menyuarakan kebimbangannya mengenai perkembangan yang dilihat semakin bergerak ke arah yang lebih negatif.

Kebangkitan AI bukan hanya untuk berinteraksi atau memudahkan tugas seharian sebalik­nya telah memanipulasi kehidupan manusia dan menjadikan kita semakin lemah.

Benar kata Jack Ma, teknologi harus sentiasa memberikan peluang baharu kepada manusia dan bukan pula merampasnya.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan manusia itu sendiri menggunakan teknologi dan keprihatinan golongan berkuasa untuk tidak terlalu rakus mengejar keuntungan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku.

Di Davos, kebimbangan me­ngenai gergasi internet yang merompak sejumlah besar data peribadi secara haram atau untuk tujuan berkongsi dengan pihak berkuasa turut dibahaskan.

Rata-rata bersetuju bahawa sikap masyarakat yang terlalu mudah menyerah dan mendedahkan segalanya di rangkaian sosial dan enjin carian menjadi pe­nyumbang utama kepada masalah tersebut.

Namun Davos menjadi saksi persetujuan unik daripada gergasi dunia digital yang sebelum ini sering menolak pengawasan yang terlalu banyak oleh pihak kerajaan atas alasan cuba menghalang inovasi.

Pengasas Salesforce, sebuah syarikat perkhidmatan awam utama, Marc Benioff yang sebelum ini lantang menyuarakan pendapatnya turut akur bahawa perlu wujud lebih banyak peraturan dalam sektor itu.

Ramai pengkritik dan pemerhati menyifatkan perubahan pendirian itu sebagai sesuatu yang amat positif terhadap masa depan keselamatan data peribadi setiap individu.

Pihak berkuasa pengawal seliaan di Eropah telah mengeluh selama bertahun-tahun ba­hawa syarikat-syarikat digital be­sar tidak bertindak balas ketika mereka dipanggil dalam sebarang siasatan mengenai penyelewe­ngan atau kebocoran data peribadi pengguna.

Namun Zvika Krieger yang mengetuai projek digital untuk penganjuran forum ekonomi tersebut yakin perkembangan itu mungkin menyaksikan syarikat-syarikat berkenaan menjawab panggilan mereka dan bekerjasama dalam usaha memastikan dunia digital terus memperkasa keupayaan manusia dan bukan sebaliknya. - REUTERS

Monday, 22 January 2018

Satu peratus golongan hartawan terus bolot kekayaan

SATU peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu.

PARIS: Satu peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu, manakala orang miskin atau separuh penduduk dunia tidak menerima apa-apa, kata Oxfam hari ini.

Laporan baharu badan kebajikan itu turut mendapati kekayaan kalangan hartawan meningkat enam kali lebih pantas berbanding pekerja biasa sejak 2010.

Selain itu, seorang hartawan baharu muncul setiap dua hari di antara Mac 2016 dan Mac 2017.

Oxfam menggunakan penemuannya untuk memberi gambaran terhadap ekonomi global yang menyaksikan segolongan kecil mengumpul lebih banyak kekayaan ketika ratusan juta penduduk berdepan kesukaran meneruskan hidup dengan gaji yang rendah.

"Lonjakan jumlah hartawan bukan petunjuk ekonomi yang baik, ia adalah gejala sistem ekonomi yang gagal," kata pengarah eksekutif Oxfam, Winnie Byanyima dalam kenyataannya.

Oxfam juga menekankan nasib pekerja wanita yang mendapat gaji lebih rendah berbanding lelaki dan sering mendapat bayaran paling rendah serta tiada jaminan.

Katanya, sembilan daripada 10 hartawan adalah lelaki.

Laporan bertajuk "Reward Work, not Wealth," menggunakan data Credit Suisse untuk membandingkan pulangan eksekutif kanan dan pemegang saham berbanding pekerja biasa.

Ia mendapati, bayaran ketua eksekutif lima jenama fesyen terkemuka dunia selama empat hari adalah sama dengan pendapatan sepanjang hayat seorang pekerja pakaian di Bangladesh. - AFP

Wednesday, 17 January 2018

Pekerja asing jadi faktor gaji rendah di Malaysia

Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Punca mengapa masih ada 50 peratus rakyat Malaysia yang bergaji di bawah RM1,703 adalah kerana pengaruh pekerja asing.

Perkara itu dimaklumkan Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, apa yang dilihat hari ini, negara tiada dasar yang jelas seperti negara lain di mana kemasukan pekerja asing akan mempengaruhi gaji rakyat dalam negara.

“Kita ambil contoh seperti Singapura, jika hendak ambil pekerja luar, syarikat perlu memastikan tiada rakyatnya yang hendak bekerja barulah ambil pekerja luar.

“Hendak ambil orang luar, syaratnya juga adalah pembayaran gaji adalah sama. Di Malaysia tiada, misalnya, pekerja tempatan dibayar RM2,000, tetapi pekerja asing RM700. Di sini dilihat berapa ramai orang kita digantikan dengan orang luar,” katanya ketika Live Facebook bersama Sinar Harian.

Berhubung pemantauan terhadap isu pekerja asing ini, beliau tidak pasti sejauh mana perkara itu dilihat oleh pihak berwajib.

Yusof bagaimanapun mengakui tahap ekonomi yang masih rendah adalah kesan daripada dasar terdahulu.

“Ini kerana dalam ekonomi, dasar hari ini akan memberi kesan pada negara lima tahun akan datang,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilihat hari ini, ekonomi negara dilihat sihat daripada luarannya, tapi dalamannya agak parah.

“Antara beberapa yang pengaruhinya iaitu isu agihan pendapatan, isu pekerjaan dan gaji..yang mana kalau dibiarkan akan menjadi parah,” katanya.

Wednesday, 6 December 2017

Tambang bas sekolah dijangka naik

MOHD. ROFIK

IPOH – Kadar tambang bas sekolah sesi persekolahan tahun depan dijangka naik antara RM10 hingga RM20.

Presiden Gabungan Persatuan Peng­usaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, kenaikan itu akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung peng­usa­ha termasuk alat ganti dan kos penyelenggaraan.

Menurutnya, harga mi­nyak tidak menentu ketika ini juga turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi pengusaha bas sekolah.

Katanya, alat ganti kenderaan juga mengalami ke­naikan harga antara 50 hingga 80 peratus se­per­ti bateri dahulu RM300 sekarang men­cecah lebih RM500.

“Jadi kami tidak menolak kemungkinan akan ada pengusaha bas sekolah berbuat demikian untuk membolehkan mereka terus bernafas dan terus memberi perkhidmatan.

“Dijangka berlaku kenaikan kadar tambang sebanyak RM10 di luar bandar manakala sebanyak RM20 di kawasan bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Ke-6 di Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Ipoh Perak, Rokiah Yeop.

Mohd. Rofik berkata, sejak Janua­ri 2015, Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) menyerahkan ke­pu­tusan memutuskan caj tambang bas sekolah kepada pengusaha dan Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru.

Katanya, persatuan itu mempunyai seramai 18,890 ahli di seluruh negara dan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 20,000 ahli selepas pembaharuan lesen pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rofik turut mencadangkan kepada kerajaan agar tempoh tamat bagi lesen bas, insurans, cukai jalan dan tempoh pemeriksaan Puspakom diselaraskan kepada setahun untuk memudahkan pengusaha bas terlibat membuat pembayaran secara serentak.

Thursday, 23 November 2017

Untung FGV meningkat



FELDA Global Ventures Bhd (FGV) mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM170 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, berbanding RM44 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, pencapaian terbabit adalah peningkatan sebanyak 100 peratus yang disumbangkan oleh sektor perladangan, logistik dan lain-lain (LO).

Beliau berkata, prestasi kukuh berkenaan disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi sebanyak 10 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak tiga peratus kepada 3.07 juta tan.

"Kita melihat pencapaian cemerlang ini adalah bersandarkan kepada harga MSM yang tinggi, untung daripada syarikat kerjasama dan margin tinggi daripada perniagaan baja.

"Selain itu, sektor LO mencatatkan keuntungan berikutan peningkatan jumlah tan dalam operasi pengangkutan selari dengan kenaikan jumlah pengeluaran MSM," katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan suku ketiga FGV di Kuala Lumpur hari ini.

Lembaga Pengarah FGV juga mengumumkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham kepada 3.648 juta saham biasa di bawah sistem peringkat tunggal bagi suku tahun berakhir 30 September 2017 berjumlah RM182.41 juta dan dijangka dibayar pada 28 Disember ini.

Wednesday, 22 November 2017

Harga runcit petrol, diesel turun


KUALA LUMPUR - Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 dan RON97 turun lapan sen masing-masing kepada RM2.30 dan RM2.58 seliter berkuat kuasa tengah malam ini hingga 29 November.

Harga runcit diesel pula turun dua sen kepada RM2.23 seliter, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini.

Bagi minggu sebelum ini dari 16 November - 22 November, harga runcit mingguan petrol RON95 ialah RM2.38 seliter, RON97 RM2.66 seliter dan diesel RM2.25 seliter. - Bernama

Wednesday, 15 November 2017

Kerajaan pertimbang BR1M tambahan jika pendapatan daripada minyak meningkat

Pemberian BR1M tambahan itu adalah bagi meringankan beban masyarakat berpendapatan rendah berikutan peningkatan harga minyak.

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tambahan sekiranya peningkatan harga minyak memberikan pendapatan tambahan kepada kerajaan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Katanya, pemberian BR1M tambahan itu adalah bagi meringankan beban masyarakat berpendapatan rendah berikutan peningkatan harga minyak.

"Kerajaan ambil maklum peningkatan harga minyak ini dan kalau peningkatan ini menyebabkan kerajaan dapat lebihan pendapatan yang boleh kita sumbangkan kepada masyarakat berpendapatan rendah seperti penerima BR1M, kemungkinan besar kita boleh mempertimbangkan BR1M tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri itu menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berkenaan pertambahan hasil kerajaan berikutan peningkatan harga minyak.
Bagaimanapun, katanya, pemberian BR1M tambahan berkenaan adalah bersifat tidak kekal.

Menurutnya, bagi peningkatan setiap dolar US bagi satu tong harga minyak mentah dunia, kerajaan akan mendapat pendapatan tambahan kira-kira RM300 juta.

Menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) berkaitan impak sistem apungan harga minyak, Johari berkata, sejak diperkenalkan, impak sistem berkenaan kepada pengguna hanya berjumlah satu sen.

"Sejak kita apungkan, ada 12 kali turun dengan jumlah 74 sen dan 19 kali naik berjumlah 75 sen. Jumlah impak keseluruhan satu sen," katanya.
Menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) dan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) berkaitan wang tidak dituntut, Johari berkata, sejak 1977 sehingga September lepas, jumlah wang tidak dituntut yang direkodkan ialah RM9.06 bilion.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, RM1.64 bilion telah dibayar balik kepada pemilik dan RM1.46 bilion dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan. - Bernama

Wednesday, 8 November 2017

Harga runcit petrol, diesel naik


KUALA LUMPUR - Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 naik 7 sen kepada RM2.31 seliter manakala RON97 naik 6 sen kepada RM2.60 seliter berkuat kuasa tengah malam ini hingga 15 November depan.

Harga runcit diesel pula naik 3 sen kepada RM2.20 seliter, demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini.

Bagi minggu sebelum ini iaitu dari 1 November hingga 8 November, harga runcit mingguan RON95 ialah RM2.24 seliter, RON97 RM2.54 seliter dan diesel RM2.17 seliter. - Bernama

Friday, 27 October 2017

Pangkor udoh bebas cukai yeop!

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini.

Beliau berkata, walaupun pengecualian cukai itu tidak termasuk barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor namun ia tetap satu rahmat buat masyarakat di negeri ini khususnya pulau peranginan berkenaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengisytiharan itu yang menunjukkan keprihatinan beliau dengan apa yang disuarakan pemimpin di peringkat negeri.

"Perincian produk berkaitan yang akan diketengahkan di pulau itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan dijangka dimulakan awal tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, walaupun rokok, minuman keras dan kenderaan tidak dikecualikan cukai namun potensi lain masih boleh diketengahkan di pulau peranginan itu.

"Dalam konteks bebas cukai tidak semestinya hanya dalam dua atau tiga item sahaja. Ada item lain seperti aksesori, pakaian, coklat, pinggan mangkuk atau barangan lain yang boleh dilihat semula," katanya selepas program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Manjung hari ini.

Zambry turut menyifatkan ia sebagai satu pengumuman bersejarah bagi rakyat negeri ini dan membuktikan janji manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sudah dikotakan oleh Perdana Menteri.

"Ini menjadi mercu tanda bagi pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan di negeri ini selain meningkatkan pengunjung ke pulau Pangkor,” katanya.

Wednesday, 25 October 2017

GST bukan untuk bayar 1MDB

PERANCANGAN ekonomi kerajaan telah membolehkan GST Malaysia dilaksanakan hanya pada kadar enam peratus.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan yang menyatakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperlukan bagi membayar untuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Perdana Menteri menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan besar menerusi kenyataannya bertajuk Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia yang dikeluarkan semalam.

Najib berkata, 1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang. Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk Tiada Lagi Perjanjian Pilih Kasih,” kata beliau.

Thursday, 12 October 2017

Gaji minimum baharu diumum tahun hadapan



PUTRAJAYA - Gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan akan diumumkan pada tahun hadapan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Langkah itu adalah bagi merapatkan jurang gaji minimum swasta agar ia dapat diselaraskan, yang mana kadar gaji minimum bulanan pekerja di Semenanjung Malaysia adalah RM1,000 manakala RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan, katanya.

Beliau berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MGPN) sudah mula menyediakan perancangan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum 2016 bagi membolehkan kerajaan menetapkan kadar gaji minimum baharu selaras dengan perkembangan sosio ekonomi semasa negara.

"Kita tahu perintah gaji minimum hendaklah dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun. Proses kajian semula ini untuk melihat kepada keupayaan majikan membayar gaji merupakan satu tanggungjawab yang sangat mencabar dalam memastikan dasar gaji minimum memenuhi semua objektif.

Dengan penubuhan kumpulan penyelidik gaji dan gaji minimum ini, ia akan memberi kesan positif bagi membolehkan kerajaan menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi kepada pekerja di seluruh negara.

Penguat kuasaan gaji minimum adalah aspek penting untuk memberi manfaat kepada warta pekerja terutama golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40," katanya. - Bernama

Wednesday, 11 October 2017

Kerajaan mungkin ubah dasar



KULAI – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pengambilan 100 peratus pekerja asing oleh syarikat yang menjalankan aktiviti eksport bagi segmen pengeluaran supaya dapat memenuhi permintaan semasa dan masa hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bagi syarikat yang berdaya saing, penambahan kapasiti pengeluaran sentiasa diperlukan untuk mereka mempertingkatkan daya saing di peringkat global.

“Saya rasa syarikat seperti ini wajar dibantu untuk meningkatkan lagi taraf sebagai juara bukan sahaja di peringkat Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat V.S Industry Bhd. di Kawasan Perindustrian Senai dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai terdapat permohonan daripada syarikat yang menjalankan eksport termasuk V.S Industry untuk mengambil pekerja asing bagi memenuhi tempahan dan permintaan pelanggan.

Tuesday, 10 October 2017

Eksport durian cecah RM150 juta

Badruddin (dua dari kanan) bersama Ahmad (tiga dari kanan) menunjukkan buah durian untuk dieksport ke luar negara di Ibu Pejabat FAMA di Selayang semalam.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian­ Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai eksport buah-buahan segar ke pasaran luar negara meningkat lebih RM700 juta tahun ini dengan China dan Singapura sebagai pengimport utama. 

Nilai eksport tahun lalu kira-kira RM600 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, jumlah berkenaan dijangka meningkat apabila Kanada dan Korea Selatan menjadi negara terbaharu yang turut menunjukkan minat untuk membawa masuk buah-buahan segar termasuk durian.

“Pasaran di China bukan sahaja meliputi buah-buahan segar malah durian sejuk beku dan produk berasaskan durian.

“Nilai eksport durian sahaja dijangka meningkat sehingga RM150 juta berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM74.3 juta. Bagaimanapun sasaran eksport berkenaan bergantung kepada hasil pengeluaran pokok yang banyak dipe­ngaruhi oleh cuaca,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Saturday, 30 September 2017

'Penjualan Plus Malaysia mungkin beri rakyat masalah'



KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta kerajaan menolak cadangan Maju Holdings Sdn Bhd untuk membeli Plus Malaysia Bhd, yang 51 peratus sahamnya dikuasai oleh UEM Group Berhad dan 49 peratus lagi dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Di dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden Perkasa Datuk Ruhanie Ahmad berkata kerajaan harus menolaknya demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, Menteri Kewangan Kedua Datuk  Seri Johari Abdul Ghani telah berkata bahawa aset strategik ini dikhuatiri mungkin akhirnya jatuh ke tangan entiti asing, sekiranya Maju Holdings gagal membayar pinjaman yang digunakan untuk pembelian tersebut.

"Penjualan aset ini mungkin menimbulkan masalah kepada rakyat selaku pengguna seluruh rangkaian lebuh raya tersebut dan (mungkin) merugikan para pencarum KWSP,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Maju Holdings Sdn Bhd membuat tawaran lebih daripada RM36 bilion untuk mengambil alih Plus Malaysia Bhd. - Bernama

Tuesday, 26 September 2017

Harga minyak cecah paras tertinggi sejak Julai 2015



NEW YORK: Harga minyak dunia melonjak lebih tiga peratus dengan Brent mencecah paras tertingginya dalam tempoh lebih dua tahun.

Peningkatan itu didorong beberapa faktor, terutama perakuan pengeluar minyak utama dunia bahawa pasaran global kini dalam proses kembali seimbang selain ancaman Turki untuk menyekat minyak daripada rantau Kurdistan Iraq ke pelabuhannya.

Kontrak penanda aras antarabangsa, Brent bagi November naik AS$2.16, atau 3.8 peratus kepada AS$59.02 setong iaitu paras tertingginya sejak Julai 2015.

Dagangan bagi kontrak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) bagi November pula naik AS$1.56, atau tiga peratus kepada AS$52.22 setong iaitu paras tertingginya sejak April.

Jurang antara WTI dan Brent semakin meluas kepada AS$6.61, iaitu paras paling ketara sejak Ogos 2015.

Turki dalam pengumumannya berkata ia akan melaksanakan pemotongan bekalan menerusi saluran paip yang membawa minyak dari utara Iraq ke pasaran global.

Ia sekali gus memberi kesan lebih besar kepada rantau Kurdish yang bergelut menjayakan referendum kemerdekaannya.

Kerajaan Iraq tidak mengiktiraf referendum itu dan meminta campur tangan negara asing untuk memberi tekanan dengan menghentikan import minyak Kurdish.

"Sekiranya saranan boikot ini berjaya sekitar 500,000 tong minyak mentah akan berkurangan setiap hari daripada pasaran minyak global," kata Commerzbank dalam notanya. - Reuters

Monday, 11 September 2017

Rakyat mahu GST turun jadi 4%


SHAH ALAM - Cadangan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan atau kadarnya dikurangkan antara yang dikemukakan rakyat negara ini menerusi laman sesawang https://bajet2018.najibrazak.com.

Pandangan supaya kerajaan menurunkan GST daripada enam peratus kepada empat peratus  antara cadangan daripada pengguna yang mendapat sokongan tertinggi bagi kategori kos sara hidup.

Cadangan daripada pengguna bernama Faraniza di laman web berkenaan turut disokong oleh 140 pelayar lain menerusi butang suka. 

Alasan supaya kadar itu diturunkan adalah supaya dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Ia antara cadangan yang menerima sokongan tertinggi daripada pelayar di bahagian kos sara hidup laman sesawang berkenaan, yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan input, maklum balas dan cadangan rakyat bagi membentuk bajet tahunan negara.

Bagi pengguna laman web itu Mohd Yazid Abd Rahim, dia berpendapat pemansuhan atau penurunan GST enam peratus kepada dua peratus akan disambut baik rakyat negara ini.

Katanya, ia selaras dengan slogan kerajaan iaitu rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Menurut Wendy Dorothy pula, GST perlu dimansuhkan kerana ia antara punca peningkatan kos sara hidup.

“Sebelum GST diperkenalkan, rakyat berpendapatan rendah mampu membeli berbanding sekarang. Diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Menurut Muhammad Firdaus Amran, dia mencadangkan kepada kerajaan supaya GST dimansuhkan dan digantikan dengan cukai yang lebih mesra rakyat.

“Sebagai contoh cukai yang hanya dikenakan kepada mereka tertentu sahaja bukan keseluruhan rakyat dan ini satu cukai yang boleh dianggap tidak mesra rakyat kerana semua tidak kira pesara, orang kurang upaya, suri rumah, warga emas terpaksa bayar GST,” katanya.

Manakala bagi Mohamed Ibrahim, GST perlu dimansuhkan dan bagi mengimbanginya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga perlu dihentikan.

“Ini kerana BR1M diberikan hanya kepada golongan tertentu dan GST pula dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, terdapat juga cadangan agar kelengkapan bayi seperti susu formula, lampin pakai buang dan makanan bayi usia 6 tahun dan ke bawah tidak dikenakan GST kerana terdapat keluarga mempunyai anak ramai dan jarak antara adik beradik yang rapat.

Sebelum ini Najib  menyatakan GST penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara keseluruhannya.

Jelasnya, harga minyak rendah menyebabkan penyusutan pendapatan yang boleh  menjejaskan negara.

Friday, 2 June 2017

‘Saya tidak akan minta maaf’ - PM



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar pihak-pihak tertentu yang lebih mahu melihat negara tertinggal di belakang dengan mengkritik segala tindakan kerajaan membawa masuk pelaburan dari luar negara.

Perdana Menteri menegaskan, beliau bagaimanapun tidak akan mempedulikan sebarang kritikan tersebut malah ‘mengalu-alukan’ pihak berkenaan untuk berkempen menggunakan modal itu jika mereka mahu pembangunan Malaysia tertangguh.

Kata beliau, sesetengah orang berfikir adalah lebih baik memiliki syarikat yang rugi, tetapi 100 peratus milik Malaysia berbanding mempunyai pegangan lebih kecil dalam sebuah syarikat, tetapi mampu mendapat akses kepada pasaran lebih besar.

“Saya ingin bertanya, yang mana satukah pilihan itu akan memberi lebih kekayaan dan mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat? Jawapannya sangat jelas.

“Kepada mereka yang mengkritik bahawa tindakan ini sangat keterlaluan, terlalu cepat dan terlalu drastik, saya ingin memberitahu, jika kamu mahu menangguhkan pembangunan Malaysia, jika kamu ingin lihat negara kita tertinggal, jadi teruskan berkempen dengan modal itu.

“Saya tidak akan sekali-kali meminta maaf demi memudahkan kemasukan pelaburan ke negara ini. Usaha ini adalah demi kepentingan semua rakyat termasuk rakan-rakan kita dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pembukaan rasmi China Contruction Bank (Malaysia) Bhd., di sini hari ini.