Showing posts with label Service Provider. Show all posts
Showing posts with label Service Provider. Show all posts

Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Wednesday, 6 December 2017

Tambang bas sekolah dijangka naik

MOHD. ROFIK

IPOH – Kadar tambang bas sekolah sesi persekolahan tahun depan dijangka naik antara RM10 hingga RM20.

Presiden Gabungan Persatuan Peng­usaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, kenaikan itu akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung peng­usa­ha termasuk alat ganti dan kos penyelenggaraan.

Menurutnya, harga mi­nyak tidak menentu ketika ini juga turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi pengusaha bas sekolah.

Katanya, alat ganti kenderaan juga mengalami ke­naikan harga antara 50 hingga 80 peratus se­per­ti bateri dahulu RM300 sekarang men­cecah lebih RM500.

“Jadi kami tidak menolak kemungkinan akan ada pengusaha bas sekolah berbuat demikian untuk membolehkan mereka terus bernafas dan terus memberi perkhidmatan.

“Dijangka berlaku kenaikan kadar tambang sebanyak RM10 di luar bandar manakala sebanyak RM20 di kawasan bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Ke-6 di Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Ipoh Perak, Rokiah Yeop.

Mohd. Rofik berkata, sejak Janua­ri 2015, Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) menyerahkan ke­pu­tusan memutuskan caj tambang bas sekolah kepada pengusaha dan Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru.

Katanya, persatuan itu mempunyai seramai 18,890 ahli di seluruh negara dan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 20,000 ahli selepas pembaharuan lesen pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rofik turut mencadangkan kepada kerajaan agar tempoh tamat bagi lesen bas, insurans, cukai jalan dan tempoh pemeriksaan Puspakom diselaraskan kepada setahun untuk memudahkan pengusaha bas terlibat membuat pembayaran secara serentak.

Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

Sunday, 1 October 2017

Cubaan sabotaj litar sepang

SURAT tuntutan palsu yang tular di media sosial semalam kononnya Haas menuntut ganti rugi akibat kemalangan pemandu pasukan itu pada sesi latihan GP Malaysia di Sepang kelmarin.

KONTROVERSI surat tuntutan palsu bernilai AS$295,000 (RM1.3 juta) yang dibuat ke atas pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menimbulkan perasaan kurang se­nang pada perlumbaan terakhir saingan Grand Prix (GP) Malaysia sekali gus menyentap emosi peminat sukan Formula Satu (F1) semalam.

Awal pagi semalam, satu surat rasmi tular di laman sosial apabila pasukan Haas menuntut kerugian AS$295,000 ekoran kemalangan pelumbanya, Romain Grosjean melanggar penutup longkang di selekoh ke-13 pada sesi latihan kedua kelmarin.

Insiden tersebut menyebabkan jentera pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut rosak teruk, namun pelumba kelahiran Switzerland itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (gambar kecil) menyelar berita tersebut dan menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta yakin ada segelintir pihak berniat untuk mencalarkan nama Malaysia.

Katanya, SIC tidak menerima sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan yakin kenyataan palsu itu timbul untuk merosakkan suasana perlumbaan terakhir F1 di Sepang.

“Apa yang saya ketahui surat tersebut adalah palsu kerana sehingga kini kami tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Kita peka dengan isu keselamatan dan FIA telah melakukan pemeriksaan secara rasmi sejak Khamis lalu. Kami te­lah mengikut segala arahan keselamatan yang diberikan dan FIA sangat berpuas hati sebelum mereka mengesahkan litar ini selamat digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, sejak insiden tersebut berlaku SIC telah melakukan pemeriksaan semula di litar sepanjang 5.543 kilometer yang bernilai RM400 juta tersebut.

“Kami telah melakukan pemeriksaan semula di setiap selekoh dan sejak malam semalam (kelmarin) kami telah mengarahkan pembaikan semula penutup longkang di selekoh. Saya rasa tiada isu yang menyatakan perlumbaan ini perlu dibatalkan,” ujarnya.

Pada sesi kelayakan semalam, kira-kira 27,000 penonton membanjiri saingan terakhir F1 di Sepang dan Razlan yakin kehadiran penonton akan meningkat pada aksi final hari ini.

Wednesday, 13 September 2017

Malaysia ‘juara’ guna WhatsApp

Pengguna internet kerap menggunakan WhatsApp kerana ia lebih mudah dan cepat.

KUALA LUMPUR – Laporan The Digital News Report 2017 mendapati pengguna internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak­ berkata, menurut laporan itu juga, media sosial lain yang popular di Malaysia ialah Facebook iaitu sebanyak 58 peratus pengguna, YouTube (26 peratus) dan WeChat serta Instagram (masing-masing 13 peratus).

Menurutnya, laporan itu turut menyatakan rakyat Malaysia mendapatkan berita menerusi media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak (45 peratus), televisyen (54 peratus) dan radio (15 peratus).

“Selain itu, peranti utama yang digunakan adalah telefon pintar iaitu sebanyak 65 peratus, kompu­ter 45 peratus dan tablet 18 peratus,” katanya dalam catatan terbaru di laman blog www.sskeruak.blogspot.my semalam.

Salleh memberitahu, kajian lain yang dibuat oleh organisasi berbeza, TNS Global juga mendapati Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp de­ngan jumlah 77 peratus, diikuti Facebook Messenger (41 peratus).

Wednesday, 21 June 2017

Premis sembelih, proses ayam guna logo halal palsu diserbu

Antara bungkusan ayam yang menggunakan logo halal palsu yang dirampas Jaipk dalam serbuan di sebuah premis di Segari, Lumut semalam.

LUMUT – Sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Batu 11, Segari di sini yang didapati menggunakan logo halal palsu dalam produk kelua­rannya diserbu Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) awal pagi semalam.

Malah, proses penyembelihan ayam di premis tersebut turut meragukan apabila pemeriksaan mendapati kerja-kerja penyembelihan ayam di premis itu dijalankan tiga lelaki warga asing dari Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaipk, Yusri Abdul Rani berkata, premis tersebut turut menggunakan pek yang mempu­nyai logo halal palsu tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Thursday, 1 June 2017

Tempoh menunggu giliran haji 50 tahun



BALIK PULAU – Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha bagi memendekkan tempoh menunggu bagi jemaah untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah daripada 89 tahun kepada 50 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Gambar) berkata, tempoh berkenaan boleh dipendekkan berdasarkan peningkatan jumlah kuota jemaah negara ini yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Sebelum ini, kita terima kuota 27,900 jemaah haji dan tempoh me­nunggu mengambil masa 120 tahun namun ia menjadi lebih singkat kepada 89 tahun apabila kuota meningkat kepada 30,200 orang.

“Kita menyasarkan tempoh itu dipendekkan kepada 50 tahun atau ke bawah kerana jika diizinkan Allah, kuota jemaah haji negara ini boleh mencapai hingga 35,000 ke 40,000 bagi setiap musim,” katanya sambil menambah sehingga kini terdapat 2.5 juta orang pendeposit di TH.

Abdul Azeez berkata demikian selepas program Ziarah Kasih Ramadan 2017 bagi kawasan Parlimen Balik Pulau di sini semalam.

Thursday, 25 May 2017

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

KESIBUKAN Terminal Pukal Lekir (LBT), satu-satunya pintu masuk bekalan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak meningkat setiap kali kapal Panamax berlabuh.

Panamax membawa muatan arang batu berkapasiti 75,000 tan metrik.

Ada ketikanya, kapal bersaiz Capemax yang membawa muatan 140,000 tan metrik turut berlabuh di LBT.

Sebaik sampai, kerja memunggah 75,000 tan metrik arang batu import yang kebanyakannya dari Kalimantan perlu diselesaikan dalam tempoh 57 jam atau 2.37 hari.

Tempoh yang perlu bagi menyiapkan pemunggahan kapal Capemax yang bermuatan 140,000 tan metrik adalah 98 jam atau 4.08 hari.

Semuanya untuk memastikan bekalan arang batu ke stesen jana kuasa terbesar di Malaysia itu tidak tergendala bagi memenuhi keperluan empat loji tenaga iaitu Manjung 1, Manjung 2, Manjung 3 dan Manjung 4.

Sebanyak 80 peratus daripada pemilikan LBT dikuasai oleh Integrax Berhad yang menjadi anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2016. Baki 20 peratus dimiliki oleh Malakoff Berhad.

Pengarah Urusan Integrax Berhad, Mohammad Zahir Ismail berkata, pengendalian jeti sepanjang 2.7 kilometer itu perlu dilakukan dengan sempurna terutamanya bagi memastikan aktiviti melabuhkan kapal sentiasa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Bekalan


“Semua peralatan termasuk kren yang memunggah arang batu keluar dari kapal dan conveyor line yang membawa arang batu ke loji tenaga perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi memastikan bekalan yang dihantar tidak terputus,” katanya.

Sebanyak 10 juta tan metrik arang batu setahun diperlukan bagi keempat-empat loji tenaga di SJSAS dan ia dijangka bertambah kepada 13 juta tan metrik setahun apabila Manjung 5 beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini.

SJSAS yang dimiliki oleh TNB Janamanjung Sdn. Bhd., (anak syarikat milik penuh TNB) kini menjana 3,100 megawatt (MW).

Tenaga elektrik itu disalurkan ke Grid Nasional dan boleh dimanfaatkan sehingga seramai enam juta pengguna.

Keupayaan terpasang (installed capacity) keseluruhan di SJSAS selepas siapnya projek Manjung 5 adalah 4,100 MW.

Beroperasi selama 24 jam, kerja mengangkut dan memunggah di LBT boleh dijalankan daripada dua buah kapal dengan serentak dalam tiga syif.

Setiap syif mempunyai sehingga 11 orang pekerja termasuk pengendali bilik kawalan, pengendali kren dan anggota sokongan.

“Buat masa ini, sebanyak 100 hingga 120 kapal berlabuh di LBT setiap tahun dan kami bekerja selama 24 jam sepanjang 365 hari.

“Bilangan kapal dijangka meningkat sehingga 150 buah apabila projek Manjung 5 siap sepenuhnya,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, Integrax Berhad turut membantu pihak stesen bagi mengenal pasti isu utama dalam sistem penghantaran arang batu sedia ada.

Ia turut mengemukakan cadangan penambahbaikan dan pelaksanaan bagi memastikan tahap keboleharapan keseluruhan sistem sentiasa berada pada tahap yang tinggi supaya proses penghantaran arang batu ke stesen tidak terjejas.

Katanya, Integrax merancang untuk meningkatkan kapasiti LBT bagi meluaskan potensinya menarik lebih banyak bisnes berkaitan arang batu selari dengan langkah TNB menggiatkan aktiviti bisnes tidak dikawal selia (non-regulated) yang tidak tertakluk kepada tarif elektrik.

Peningkatan kapasiti itu membolehkan Integrax memberikan perkhidmatan serantau seperti terminal-terminal luar negara yang membekalkan arang batu di rantau masing-masing antaranya EMO Terminal, Rotterdam, Belanda dan Idemitsu, Jepun.

“Buat masa ini, kami juga pernah dan mampu mengendalikan kapal-kapal yang membawa barangan pukal terutamanya pemindahan antara kapal ke kapal lain,” katanya.

Selain LBT, Integrax juga memegang 50 peratus kepentingan dalam Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Lumut Port.

Kedua-dua terminal itu berada pada kedudukan strategik untuk memberikan perkhidmatan di rantau Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. – Bernama

Monday, 15 May 2017

Virus agensi Amerika punca WannaCry



SERANGAN siber ‘WannaCry’ yang menimbulkan kekecohan global sejak Jumaat lalu, menggunakan Eternal Blue yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat yang didakwa dicuri, lapor Financial Times.

Malware itu yang sudah menjangkiti ratusan ribu komputer di 150 negara, mengeluarkan poster merah "Oops, your files have been encrypted!" dan menuntut bayaran melalui bitcoin sebanyak AS$300, dinaikkan kepada AS$600 jika enggan dan fail dalam komputer akan dimusnahkan beberapa jam kemudian.

WannaCry menjangkiti rangkaian komputer dengan bantuan Eternal Blue yang membolehkan malware merebak melalui perkongsian data atau fail.


Setakat ini belum diketahui pihak yang melakukan serangan itu namun agensi keselamatan di Britain percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah.

Pengarah Teknikal Symantec Security Response, Vikram Thakur, berkata hanya seorang dalam suatu pertubuhan atau syarikat klik dan seluruh rangkaian komputer akan dijangkiti.

Menurut AP, setakat ini, serangan siber itu sudah melumpuhkan sistem komputer rangkaian hospital Britain, sistem kereta api Jerman serta Kementerian Dalam Negeri Russia manakala Bloomberg melaporkan FedEx dan Nissan turut terjejas.

Bagaimanapun, Hitachi dan Nissan menyatakan walaupun terkena serangan itu, namun ia tidak menjejaskan operasi perniagaan

Ransomware ialah serangan virus yang mengunci komputer dan pemilik perlu membayar wang tebusan untuk membukanya.

Agensi berita China melaporkan 29,372 institusi terjejas membabitkan ratusan ribu komputer manakala Pusat Penyelarasan Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Jepun melaporkan 2,000 komputer di 600 lokasi di Jepun terjejas.

Menurut agensi berita China, Xinhua, kira-kira 15 peratus URL di negara itu dijangkiti dan sudah menjejaskan universiti dan kolej, sistem kereta api, pos, stesen minyak, hospital serta kompleks beli belah.

Serangan itu menjejaskan komputer di kilang, bank, agensi kerajaan dan sistem pengangkutan di banyak negara, termasuk Russia, Ukraine, Brazil, Sepanyol, India dan Jepun.

Friday, 17 March 2017

Penggodam Korea Utara serang 31 negara

SYMANTEC Corp. mendedahkan Lazarus terlibat dalam serangan penggodaman di 31 buah negara sejak 2009.
BOSTON – Sebuah kumpulan penggodam Korea Utara dikenali sebagai Lazarus dipercayai terlibat dalam aktiviti penggodaman di 31 buah negara termasuk serangan terhadap Bank Bangladesh dan Sony Entertainment.

Firma keselamatan siber, Sy­mantec Corp. (Symantec) dalam satu laporan yang didedahkan berkata, mereka menemukan empat bukti digital menunjukkan Lazarus menggunakan perisian untuk menyebarkan virus dan kemudiannya menggodam sistem komputer pihak yang disasarkan.

“Kami pasti Lazarus berta­nggungjawab dalam semua se­­ra­ngan itu,” kata Penyelidik Symantec, Eric Chien dalam satu temu bual baru-baru ini.

Symantec sebelum ini menyi­a­sat kes penggodaman di bank-bank Poland yang dijangkiti virus bulan lalu namun ketika itu mereka tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Lazarus.

Menurut Symantec, virus itu telah diprogramkan untuk menye­rang 104 organisasi ter­tentu di 31 buah negara.

Kes penggodaman terbesar yang ditemukan oleh Symantec adalah di Poland, diikuti Amerika Syarikat (AS), Mexico, Brazil dan Chile.

Selain itu Symantec berkata, Lazarus menggunakan pendekatan yang lebih canggih untuk menyerang sasaran mereka berban­ding sebelum ini.

“Itu merupakan satu perkembangan yang merisaukan kerana Lazarus menggunakan teknologi lebih canggih,” kata Ketua Eksekutif Trail of Bits, Dan Guido.

Lazarus sebelum ini didakwa terlibat dalam beberapa siri penggodaman sejak 2009, termasuk melibatkan kecurian wang tunai berjumlah AS$81 juta (RM359 juta) daripada Bank Bangladesh tahun lalu.

Namun, kerajaan Korea Uta­ra menafikan Lazarus terlibat dalam serangan penggodaman itu, seperti didakwa oleh pegawai-pegawai di Washington, Seoul dan firma-firma ke­selamatan lain. – REUTERS

Thursday, 2 February 2017

TM antara syarikat paling teruk dimaki oleh Netizen


KEBIASAANNYA, ramai di antara kita menggunakan sambungan internet di rumah melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia. Baik Streamyx mahupun Unifi kedua-dua produk sambungan internet ini sudah tidak asing lagi dikalangan pengguna warga tempatan. 

Namun, dalam kerancakan penyedia perkhidmatan komunikasi di Malaysia yang sering bersaing bagi mempromosi produk dan perkhidmatan mereka timbul pula isu-isu yang menyebabkan rasa ketidakpuasan hati pengguna terhadap prestasi perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini.

Antara isu-isu tersebut ialah seperti prestasi kelajuan internet tidak seperti yang dijanjikan ketika promosi, yuran langganan bulanan yang mahal dan sambungan internet yang tidak stabil serta sering putus-putus.

Setelah diteliti, syarikat Telekom Malaysia (TM) adalah antara syarikat yang paling teruk dikecam dan dikritik hebat oleh pelanggan mereka mengenai prestasi perkhidmatan pembekalan internet di laman rasmi perkongsian video Youtube mereka.



Antara luahan ketidakpuasan hati pelanggan terhadap prestasi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM.
Sebagai sebuah syarikat utama bagi penyediaan rangkaian perkhidmatan internet di Malaysia, harapannya agar TM dapat memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini dapat diperbaiki di masa hadapan.  Tambahan pula, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan sepatutnya berbaloi dengan apa yang telah dibayar oleh pengguna kepada mereka.

Friday, 13 January 2017

Jumlah pegawai penyiasat polis perlu ditambah

KETUA Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

PUTRAJAYA: Jumlah pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ditambah bagi meningkatkan kecekapan penyiasatan sekali gus mempercepatkan perbicaraan kes jenayah di mahkamah. 

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, berkata kesulitan timbul apabila seorang pegawai penyiasat perlu menghadiri perbicaraan untuk lebih daripada satu kes dalam masa yang sama.

Katanya, perkara seumpama itu kebanyakannya berlaku di Selangor, yang mana seorang Pegawai Penyiasat perlu menghadiri sehingga tiga perbicaraan kes jenayah di mahkamah berbeza serta perlu menyelesaikan tugas siasatan. 

"Sehubungan itu, saya berharap PDRM khususnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mengambil perhatian berhubung isu ini dan menambah bilangan Pegawai Penyiasat yang bertugas. 

"Kita cuba untuk mempercepatkan perbicaraan kes, tetapi beberapa kekangan dihadapi. Bukan saja pengawai penyiasat kurang malah pegawai kimia dan peguam yang mengendalikan kes jenayah juga tidak ramai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. 

Selain itu, katanya jumlah pegawai kimia yang bertanggungjawab membuat analisis bagi kes jenayah di mahkamah juga harus ditambah kerana berlaku pertindihan kes seperti mana pegawai penyiasat.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui faktor kekurangan peguam yang mengendalikan kes jenayah juga kurang menyebabkan perbicaraan kes jenayah mengambil masa yang lama justeru mencadangkan supaya Majlis Peguam memainkan peranan menggalakkan lebih ramai peguam muda menceburi bidang itu.

Wednesday, 28 December 2016

Sikap pencarum KWSP habiskan simpanan membimbangkan


BANGI - Sikap pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menghabiskan wang simpanan dalam tempoh singkat semakin membimbangkan, kata Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP cawangan Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof.

Beliau berkata, rata-rata ahli KWSP yang telah mencapai usia persaraan menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun sedangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 75 tahun. 

"Lebih membimbangkan apabila terdapat kes yang mana pesara mengeluarkan 70 peratus wang simpanan mereka dan tidak sampai 30 hari telah menghabiskan wang tersebut, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. 

Justeru itu, Nornisah menasihati orang ramai khususnya bakal pesara supaya bijak dalam mengurus kewangan dan merancang perbelanjaan dengan sebaiknya bagi meneruskan keberlangsungan hidup di hari tua. 

"Bagi ahli yang memerlukan penjelasan atau bantuan khidmat nasihat boleh merujuk kepada pegawai RAS yang bertauliah di cawangan KWSP berhampiran. "Di sini, kami akan memberikan nasihat dan pandangan dalam membantu ahli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP," katanya. 

Katanya lagi, RAS juga dapat memberi bimbingan pengurusan simpanan persaraan supaya ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama, dan berupaya membiayai sara hidup semasa persaraan. Nornisah menjelaskan, pencarum KWSP perlu mempunyai Simpanan Asas iaitu satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 ketika berumur 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan.

Jumlah ini diambil selaras dengan pencen minimum untuk sektor awam iaitu RM950 sebulan untuk jangka masa 20 tahun iaitu dari umur 55 tahun kepada 75 tahun bersamaan dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia iaitu 75 tahun. 

Beliau berkata, setakat tahun lalu, sebanyak 65 peratus daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan RM50,000 ke bawah. Tambah beliau, terdapat empat fasa usia yang sesuai untuk membuat perancangan kewangan bagi memastikan persaraan yang selesa atau mencukupi. 

"Fasa pertama di usia 20-an, amat digalakkan membuat simpanan wang pada usia ini dan perlu mempunyai amalan menyimpan yang mana ahli boleh membuat pembahagian wang simpanan kepada beberapa bahagian penting seperti aset, pendidikan anak, dan juga persaraan. 

"Peringkat usia 30-an merupakan masa yang sesuai untuk menilai kembali kerja yang dilakukan sama ada setimpal atau tidak, golongan dalam umur ini seharusnya sudah mampu untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi pembelian rumah. Waktu ini adalah yang terbaik untuk merancang persaraan sekiranya tidak melakukannya pada umur 20-an," katanya. 

Nornisah berkata, pada fasa 40-an, ahli yang sudah berkeluarga seharusnya lebih fokus membuat simpanan pendidikan anak-anak dan lebih serius dalam simpanan persaraan dan perlu menilai semua pengurusan kredit supaya tidak terbeban dengan hutang. Katanya pada fasa terakhir iaitu di usia 50-an, ahli digalakkan meneruskan simpanan dan tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi untuk mengembangkan kekayaan. - BERNAMA

Tuesday, 27 December 2016

Warga Malaysia bekerja di luar negara layak mencarum SP1M


BANGI: Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara termasuk Singapura layak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) sebagai tabungan di hari tua. 

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP Cawangan Johor, Faizal Abu Al-Ashari, berkata kemudahan itu diberi kepada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah bagi mendaftar sebagai pencarum KWSP untuk membuat simpanan dan menikmati keselesaan apabila mencapai umur persaraan.

Ia sekali gus menyangkal persepsi bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak berkelayakan untuk membuat simpanan dengan KWSP. 

"Sebenarnya mereka masih boleh menyimpan dengan KWSP. SP1M diperkenal untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara," katanya.

Faizal berkata, tiada jumlah tetap dikenakan untuk skim berkenaan yang mana pencarum KWSP boleh membuat caruman antara RM50 hingga RM60,000 setahun pada bila-bila masa mengikut kemampuan dan akan menerima dividen tahunan sama seperti pencarum lain mengikut kadar semasa. 

Pendaftaran boleh dibuat di KWSP dengan mengisi borang khas dan bayaran sama ada di kaunter KWSP, ejen bank iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional serta secara 'dalam talian' di Maybank atau Public Bank. 

Selain SP1M, mereka yang berminat dan berkelayakan boleh membuat simpanan peribadi melalui kaedah simpanan caruman sukarela. Setakat tahun lalu, sejumlah 65 peratus daripada pencarum KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah, yang mana kebanyakan ahli menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam jangka masa tiga hingga lima tahun. 

Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan merancang untuk persaraan, RAS bertindak untuk memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada pencarum KWSP secara percuma. RAS adalah khidmat pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara dan merupakan inisiatif di bawah Kecemerlangan Keselamatan Sosial, Pelan Perancangan Strategik KWSP 2013-2017.

Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Ogos lalu, sejumlah 17,805 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat nasihat RAS secara bersemuka di cawangan KWSP. RAS Cawangan Johor dibuka secara rasmi pada Oktober tahun lalu. Sejumlah 1,500 ahli telah tampil ke cawangan kami bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan simpanan mereka. - BERNAMA

Friday, 23 December 2016

Coklat Toblerone, Daim tiada sijil halal


Putrajaya: Coklat jenama Daim dan Toblerone disahkan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Bahagian Hab Halal, JAKIM menerusi kenyataannya yang dimuat naik pada Facebook (FB) hari ini.

Dalam kenyataan itu, Bahagian Hab Halal, JAKIM menasihati pengguna terutama supaya bijak dalam membeli dan memilih produk.

"Jadilah pengguna yang bijak dengan membeli produk mempunyai logo halal Malaysia atau logo halal luar negara diiktiraf JAKIM.

"Untuk mengetahui produk mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta badan pensijilan dan logo halal luar negara diiktiraf JAKIM boleh melayari www.halal.gov.my," katanya.

Thursday, 15 December 2016

Penggodam curi satu bilion data pengguna Yahoo

YAHOO dedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013.
WASHINGTON: Yahoo mendedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013, angka yang berlainan dengan pendedahannya sebelum ini iaitu 500 juta. 

Ia dianggap satu kejutan bagi firma internet terawal itu apabila Yahoo mengesahkan angka itu berdasarkan penyiasatannya selepas berlaku pencerobohan terhadap data miliknya. 

"Yahoo percaya ia dilakukan pihak ketiga (penggodam) pada Ogos 2013, yang mencuri data untuk lebih satu bilion pengguna kami," kata Yahoo dalam satu kenyataan hari ini. Yahoo berkata kes berkenaan adalah berlainan dengan angka pendedahannya sebelum ini pada 22 September lalu. 

Laporan itu muncul ketika Yahoo dalam proses menjual aset operasi terasnya kepada Verizon dengan nilai AS$4.8 bilion. Pendedahan pada September itu juga memberi kesan kepada proses penjualan kepada Verizon yang kemungkinan nilai berkenaan diturunkan. 

Pada November, Yahoo mendedahkan hasil sebahagian siasatannya terhadap kebocoran data mengenai wujudnya pihak ketiga yang mendakwa memiliki data pengguna Yahoo. Menggunakan pakar forensik luaran, Yahoo kemudian mengesahkan ia adalah data pengguna sebenar namun gagal mengenal pasti penceroboh yang dianggap sebagai pencuri data dari firma berkenaan. 

Data pengguna yang dicuri itu membabitkan maklumat yang mengandungi nama, alamat email, nombor telefon, tarikh lahir dan 'algoritma' kata laluan pengguna. 

Yahoo bagaimanapun mengesahkan penggodam gagal memperoleh kata laluan untuk memasuki teks, data kad pembayaran dan maklumat akaun bank. - AFP

Sunday, 11 December 2016

Syarat baharu jadi bodyguard di Malaysia

Syarat baharu jadi pengawal peribadi perlu jalani latihan khas dan ditauliah polis.
KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, semua pengawal peri­badi atau bodyguard diwajibkan menjalani latihan khas dan ditauliah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, latihan itu akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen membawa dan menggunakan senjata api oleh pengawal peribadi pada setiap tahun.

“Langkah ini perlu diadakan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Certified Security Guards (CSG) Siri 38/2016 di sini semalam.

Alwi berkata, latihan itu juga bertujuan bagi meningkatkan kawal selia dan kualiti pengawal peribadi dan memastikan semua pengawal keselamatan di negara ini dilengkapi latihan sewajarnya.

Pada majlis itu, seramai 408 pengawal keselamatan menamatkan latihan CSG yang diadakan selama enam hari di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini bermula Isnin lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengawal Peribadi (BGM), Basri Ali berkata, pihaknya menyambut baik keputusan KDN menetapkan syarat baharu pengambilan pengawal peribadi di bawah seliaan PDRM bermula tahun depan. 

Thursday, 8 December 2016

Laporan pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi tidak benar - Kementerian Luar

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri.

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri dengan ini mengesahkan bahawa laporan mengenai pembatalan kadar baru visa Arab Saudi yang tersebar di dalam media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah TIDAK BENAR.

Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi telah menyemak perkara ini dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Disember 2016 tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baru visa negara itu yang telah berkuat kuasa pada 1 Muharram 1437H iaitu bersamaan 2 Oktober 2016.

Oleh yang demikian, pihak media serta orang ramai dipohon agar tidak mudah percaya kepada maklumat-maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi Kerajaan negara terbabit.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan lalu telah dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baru tersebut adalah - untuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (RM2,364). - Bernama

Sunday, 27 November 2016

Pengawal peribadi sebagai satu karier


DARI jauh, kelihatan sebuah kereta Proton Perdana menyusur masuk ke parkir sebuah pusat komersial di suatu kawasan terpencil. Pemilik kereta itu merupakan seorang ahli perniagaan terkenal yang ingin menyelesaikan beberapa urusan penting berkaitan di tempat itu.

Ditemani lima lelaki berbadan tegap, berjaket kulit dan berkaca mata hitam, dia keluar dari kereta menuju ke sebuah pejabat. Tanpa disedari lelaki itu dan pengawalnya, ada sepasang mata yang berdendam dengan lelaki itu sedang menunggu untuk menyerangnya.

Bersenjatakan sebilah parang, lelaki tadi menunggu ahli perniagaan tersebut dan kumpulan pengawal peribadinya melalui tempat yang dirancang sebelum membuka langkah untuk menyerang mereka.

Namun, serangan mengejut itu berjaya dipatahkan oleh dua orang pengawal peribadinya yang tangkas menangkis serangan itu sementara dua orang lagi dengan pantas menarik ahli perniagaan itu dan berlari memasuki keretanya. Pengawal lain pula berundur secara taktikal ke dalam kereta sebelum beredar dari tempat itu.

Jika tidak kerana tindakan pantas dan kecekapan pengawal periba­dinya, ahli perniagaan itu sudah pasti mengalami nasib malang akibat dise­rang sekumpulan penjahat tadi.

Simulasi itu antara latihan yang perlu dilalui bagi mempraktikkan kaedah dan teknik yang diajar sebelum menjadi pengawal peribadi atau bodyguard.

Tugas menjadi seorang bodyguard bukanlah semudah yang disang­ka. Mungkin ramai daripada kalangan masyarakat yang masih beranggapan bahawa menjadi penga­wal peribadi hanya memerlukan badan yang sasa dan karakter sebagai kaki pukul. Namun, stereotaip itu ternyata salah jika melihat sendiri kepada latihan yang harus dijalani.

Hakikatnya, seseorang yang berminat untuk menjadi pengawal peribadi memerlukan lebih daripada sekadar tubuh yang kuat dan imej yang ganas. Keikhlasan dan kejujuran dalam bekerja lebih penting memandangkan menjadi pengawal peribadi bermakna tanggungjawab melindungi nyawa, harta benda dan kepentingan orang yang dijaga terletak di bahu mereka.

Modul latihan


Menceritakan mengenai latihan yang perlu dilalui oleh pelatih pengawal peribadi, Pengarah Latihan Security Training Services, Afrol Faizal Chew Abdullah, 53, berkata, banyak kemahiran dan ilmu yang perlu diketahui dan dikuasai untuk menjadi pengawal peribadi, antaranya penggunaan senjata, seni membela diri, komunikasi dan konsep-konsep kawalan.

“Terdapat dua kaedah yang perlu dikuasai pengawal peribadi dalam mengendalikan tugas mereka iaitu pengunduran dan bertahan.

“Pengawal peribadi tidaklah menye­rang pihak yang mengancam sebaliknya hanya memberikan perlindungan kepada prinsipal mereka,” katanya ketika ditemui oleh kru Jurnal di pejabatnya di Cheras, Selangor baru-baru ini.


Afrol berkata, terdapat empat modul yang diajarkan kepada pelatih pengawal peribadi dalam kursus selama tujuh hari itu yang dikendalikan olehnya.

“Kita bermula dengan modul pembinaan di mana fizikal, kemahiran mental, karakter dan imej mereka dibina sepanjang kursus itu. Kemudian mereka akan diberi pemahaman mengenai undang-undang, peraturan dan garis panduan antara pengawal peribadi dengan majikan serta mengenali bentuk-bentuk ancaman.

“Perkara ini penting kerana ia memisahkan pengawal profesional daripada pengawal yang bersikap seperti kumpulan kongsi gelap,” ujarnya dengan nada tegas.

Modul ketiga pula ialah pelaksanaan teknik dan taktik serta kawalan pergerakan. Kaedah itu digunakan bagi mengawasi majikan di dalam dan luar kenderaan atau bangunan.

Modul terakhir ialah tindak balas yang mengajar pelatih bagaimana untuk bertindak terhadap masalah yang diberikan dan mengatasi ancaman.

Katanya, peserta kursus berlainan pada setiap siri, namun dia tidak mengambil lebih daripada 20 peserta untuk memaksimumkan kualiti pengajaran.

Afrol yang merupakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia menggunakan modul dan silibus yang menyerupai latihan UTK di mana antara tugas unit itu ialah untuk mengawal keselamatan orang kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga pemimpin luar negara yang datang ke negara ini.

Berbekalkan pengalaman selama 13 tahun dalam pasukan khas itu, tidak hairanlah jika sijil yang dikeluarkan Afrol mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Dia yang telah melatih penga­wal peribadi sejak 2010 itu berkata, bukan mudah ingin mencari calon-calon yang layak untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.

Kecerdasan minda


Bercerita lanjut, dia berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sepanjang kursus sebelum seseorang itu layak diberi sijil sebagai pengawal peribadi.

“Terdapat beberapa ujian fizikal, mental, daya tahan dan kekuatan berkumpulan yang perlu dipenuhi oleh pelatih.

“Jurulatih juga akan melihat bagaimana seseorang itu bertindak terhadap permasalahan yang diberi dan komitmen yang ditunjukkan. Dari situ kita dapat mengesan siapa yang benar-benar layak untuk diiktiraf menjadi pengawal periba­di,” jelasnya.

Menurutnya, ramai antara pelatihnya merupakan orang awam, namun tidak kurang juga daripada kalangan bekas anggota polis atau tentera yang berhenti tanpa pencen.

Seorang peserta kursus itu, Mohd. Azahari Ruslan, 30, menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi pelatih pengawal peribadi kepada kru Jurnal.

“Sepanjang tempoh latihan, kami didedahkan dengan perancangan dan pelaksanaan teknik yang diperlukan bagi seorang pe­ngawal peribadi. Selain itu, kami diajar silibus yang sesuai dengan ancaman-ancaman terkini.
KEMAHIRAN menggunakan senjata api perlu dimiliki oleh pengawal peribadi.
“Sebenarnya, kecerda­san minda merupakan kunci kepada kerjaya pengawal peribadi yang berjaya. Ini kerana, seseorang yang ditugaskan menjaga nyawa orang lain perlu mempunyai res­pon yang cepat terhadap sesuatu situasi.

“Dalam situasi cemas, pengawal mempunyai dua saat untuk membuat sesuatu keputusan sebelum bertindak,” jelasnya yang bercadang untuk mengikuti kursus-kursus tambahan bagi memantapkan kemahirannya dalam bidang itu.

Azahari yang merupakan bekas anggota polis trafik menyertai kursus itu pada Oktober lalu bersama 17 peserta lain.

Akuinya, latihan yang diberikan seperti rentas halangan dan membuka pasang senjata dengan mata tertutup memang mencabar daya tahannya, namun itulah lumrah yang perlu dilalui sebelum menggalas amanah yang bakal diberikan majikan.

Selain daripada teknik umum yang perlu dikuasai oleh pengawal peribadi, terdapat juga kemahiran lain berkaitan dengan aktiviti yang diminati oleh majikan mereka yang perlu dikuasai mereka.

“Umpamanya, jika majikan itu minat selam skuba, pengawalnya juga perlu menguasai teknik-teknik berkaitan bagi menyelamatkan majikannya itu sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini semasa menyelam,” tambah Azahari.

Seorang pengawal peribadi yang mempunyai kemahiran asas boleh mendapat gaji permulaan sebanyak RM3,500, manakala mereka yang bersenjata boleh mendapat gaji asas antara RM8,000 ke RM9,000. Pengawal peribadi dibayar berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki mereka dan gaji mereka boleh mencecah sehingga RM20,000 sebulan.

Wednesday, 12 October 2016

Facebook kembangkan platform M-dagang

KUALA LUMPUR: Facebook Inc, pengendali rangkaian sosial Facebook, meneruskan komitmen membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia meneroka pasaran maya menerusi platform perdagangan mudah alihnya, M-dagang.

Pengarah Negara - Malaysia, Nicole Tan, berkata M-dagang adalah platform berpotensi kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan menerusi media sosial terkemuka itu yang kini memiliki lebih 19 juta akaun di negara ini. 

"Lebih 19 juta akaun di Malaysia. Lebih 13 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setiap hari. Lebih 13 juta mengakses Facebook setiap bulan menerusi peranti mudah alih dan 6.5 juta pengguna aktif Instagram sebulan. 

"Ia data menarik dan PKS atau syarikat perniagaan berskala besar perlu mengubah aktiviti pemasaran kepada M-dagang yang memiliki potensi besar untuk mereka mengembangkan perniagaan," katanya kepada media selepas sesi 'Mobile Moves Commerce' di Malaysia menerusi Facebook dan Instagram di sini, hari ini. 

Nicole berkata, berdasarkan data yang diperoleh Facebook, perniagaan mudah alih berkembang 300 peratus berbanding e-dagang tahun ini, sekali gus membuktikan peranti mudah alih mengubah cara rakyat meneroka dan berhubung dengan perniagaan. 

Katanya, sebanyak 94 peratus rakyat Malaysia meninjau produk dan jenama menerusi Facebook dan tiga daripada lima rakyat Malaysia membuat pembelian selepas meninjau promosi yang ditawarkan menerusi rangkaian sosial itu. 

Beliau berkata, dengan pertumbuhan pesat budaya mudah alih di Malaysia yang menyaksikan satu daripada dua rakyat negara ini memiliki telefon mudah alih, ia sudah tentu membuka ruang kepada syarikat berkaitan meneroka peluang menerusi M-dagang. 

"Dengan kebanyakan rakyat Malaysia memperuntukkan lebih tiga jam sehari melayari internet, ia pasti sesuatu yang amat berpotensi kepada syarikat menggunakan platform kami untuk mempromosi dan 'menjual' produk," katanya. 

Info: 

* 1.7 bilion pengguna global menggunakan Facebook sebulan 
* 1 bilion guna Messenger sebulan 
* 1 bilion guna aplikasi Whatsapp sebulan 
* Sebahagian rakyat Malaysia peruntuk lebih tiga jam sehari melayari internet