Showing posts with label Cyber War. Show all posts
Showing posts with label Cyber War. Show all posts

Sunday, 5 November 2017

Kuasai perang media sosial

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat Kebangsaan di dewan Tun Razak PWTC.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menggesa tentera siber UMNO menguasai perang maya melalui media sosial bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Presiden UMNO berkata, perkara itu amat mustahak memandangkan PRU-14 bakal tiba tidak lama lagi.

“Pada hari ini, sumber maklumat yang paling besar dan berpengaruh adalah media sosial. Sesuatu berita sama ada benar, tidak benar atau separuh benar boleh tersebar meluas dalam sekelip mata jika kita tidak bertindak cepat, tepat dan tular.

“Kita mesti berubah dan memenuhi setiap ruang yang ada. Jika UMNO tidak bersedia, kita akan terasa bahangnya,” kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Monday, 22 May 2017

Korea Utara miliki tentera siber

Seorang petugas memantau serangan siber ransomware di pejabat Agensi Keselamatan dan Internet Korea, Seoul pada 15 Mei lalu.


PYONGYANG – Agensi perisikan utama Korea Utara mempunyai pasukan khas dinamakan Unit 180 yang dipercayai melancarkan sebilangan serangan siber pa­ling nekad dan berjaya, kata beberapa pembelot Pyongyang, pihak berkuasa dan pakar keselamatan internet.

Kim Heung-kwang yang merupakan bekas profesor sains di Korea Utara tetapi berpaling tadah ke Korea Selatan pada tahun 2004 berkata, serangan siber oleh Pyongyang bertujuan untuk mengumpulkan wang dan dilakukan oleh Unit 180.

Unit itu adalah sebahagian daripada Biro Pengintipan Awam, agensi perisikan luar negara utama Korea Utara.

“Unit 180 menggodam institusi kewangan dengan menceroboh dan mengeluarkan wang daripada akaun-akaun bank,” kata Heung-kwang kepada agensi berita Reuters.

Heung-kwang sebelum ini berkata, beberapa bekas pelajarnya telah menyertai tentera siber negara komunis itu.

“Penggodam-penggodam ini bergerak ke luar negara untuk mencari lokasi yang mempunyai perkhidmatan internet lebih baik daripada Korea Utara untuk menyem­bunyikan jejak mereka,” ujarnya.

Dia menambah, penggodam-penggodam Korea Utara menyamar sebagai pekerja cawa­ngan syarikat Korea Uta­ra di luar negara termasuk syarikat usaha sama di China dan Asia Tenggara.

“Korea Utara melakukan serangan siber melalui negara ketiga untuk menutup sumber sebenar serangan,” kata Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Ahn Chong-ghee dalam komen bertulis kepada Reuters.

Sejak beberapa tahun lalu, Korea Utara dipersalahkan berhubung banyak serangan siber, sebahagian besarnya terhadap rangkaian kewangan di Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan puluhan negara lain.

Penyelidik keselamatan siber juga menyatakan bahawa mereka menemui bukti teknikal yang boleh mengaitkan Korea Utara dengan serangan siber global, WannaCry ransomware.

Serangan siber itu menjejaskan lebih 300,000 komputer di 150 buah negara pada bulan ini.

Pyongyang bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak munasabah.– Reuters

Monday, 15 May 2017

Virus agensi Amerika punca WannaCry



SERANGAN siber ‘WannaCry’ yang menimbulkan kekecohan global sejak Jumaat lalu, menggunakan Eternal Blue yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat yang didakwa dicuri, lapor Financial Times.

Malware itu yang sudah menjangkiti ratusan ribu komputer di 150 negara, mengeluarkan poster merah "Oops, your files have been encrypted!" dan menuntut bayaran melalui bitcoin sebanyak AS$300, dinaikkan kepada AS$600 jika enggan dan fail dalam komputer akan dimusnahkan beberapa jam kemudian.

WannaCry menjangkiti rangkaian komputer dengan bantuan Eternal Blue yang membolehkan malware merebak melalui perkongsian data atau fail.


Setakat ini belum diketahui pihak yang melakukan serangan itu namun agensi keselamatan di Britain percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah.

Pengarah Teknikal Symantec Security Response, Vikram Thakur, berkata hanya seorang dalam suatu pertubuhan atau syarikat klik dan seluruh rangkaian komputer akan dijangkiti.

Menurut AP, setakat ini, serangan siber itu sudah melumpuhkan sistem komputer rangkaian hospital Britain, sistem kereta api Jerman serta Kementerian Dalam Negeri Russia manakala Bloomberg melaporkan FedEx dan Nissan turut terjejas.

Bagaimanapun, Hitachi dan Nissan menyatakan walaupun terkena serangan itu, namun ia tidak menjejaskan operasi perniagaan

Ransomware ialah serangan virus yang mengunci komputer dan pemilik perlu membayar wang tebusan untuk membukanya.

Agensi berita China melaporkan 29,372 institusi terjejas membabitkan ratusan ribu komputer manakala Pusat Penyelarasan Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Jepun melaporkan 2,000 komputer di 600 lokasi di Jepun terjejas.

Menurut agensi berita China, Xinhua, kira-kira 15 peratus URL di negara itu dijangkiti dan sudah menjejaskan universiti dan kolej, sistem kereta api, pos, stesen minyak, hospital serta kompleks beli belah.

Serangan itu menjejaskan komputer di kilang, bank, agensi kerajaan dan sistem pengangkutan di banyak negara, termasuk Russia, Ukraine, Brazil, Sepanyol, India dan Jepun.

Sunday, 14 May 2017

Serangan siber jejas 100 negara

KENDERAAN polis turut berada di Hospital Southport, Britain berikutan serangan siber yang menjejaskan operasi rangkaian organisasi di bawah NHS kelmarin.

SETTLE – Hampir 100 buah negara dan syarikat multinasional terkemuka dilanda serangan siber ransomware yang dipercayai menggunakan peralatan perisikan Agensi Keselamatan Negara, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Press Trust of India (PTI).

Serangan siber pertama dilaporkan dari Sweden, Britain dan Perancis, tetapi negara-negara seperti Rusia dan Taiwan dikatakan berdepan serangan yang teruk, lapor media AS.

Pasukan Kesediaan Kecemasan Komputer AS (USCERT) di bawah Jabatan Keselamatan Negara memberitahu, ia me­nerima beberapa laporan virus perisian tebusan WannaCry dari beberapa negara di seluruh dunia. Ia bagaimanapun tidak menamakan negara terlibat.

Di Britain, kesemua 45 hospital dan organisasi di bawah rangkaian Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) lumpuh malam kelmarin akibat serangan siber itu.

Rusia dipercayai menjadi negara paling teruk terkesan terhadap serangan virus tersebut dengan komputer di Kementerian Dalam Negeri dan syarikat rangkaian telefon kedua terbesar, Megafon turut menjadi sasaran.

Serangan itu turut melumpuhkan operasi syarikat logistik antarabangsa, FedEx selepas sistem Windows mereka dicerobohi, manakala gergasi teknologi, Microsoft memberitahu, pihaknya menyedari laporan virus tersebut dan masih mengkaji sejauh mana keadaannya.

Malah, mesin tiket dan komputer di stesen kereta api di Jerman turut terjejas termasuk syarikat-syarikat di Sepanyol se­perti Telefonica, Iberdrola dan Gas Natural.

Ransomware adalah sejenis malware berbahaya yang me­nyerang komputer, ia akan meminta wang bayaran antara AS$300 (RM1,304) hingga AS$600 (RM2,608) kepada pemilik komputer tersebut sekiranya ingin mendapatkan semula akses.

Bagaimanapun, USCERT memberitahu organisasi yang terlibat agar tidak membayar wang tebusan kerana sukar dijamin mereka mendapat akses semula selepas pembayaran dibuat.

“Perisian WannaCry mungkin mengeksploitasi kelemahan dalam Server Message Block 1.0,” ujar kenyataan USCERT.

Pakar mengatakan, penyerang siber menggunakan kod yang dibangunkan oleh Agensi Ke­selamatan Negara AS yang bocor di dalam talian bulan lalu oleh kumpulan misteri yang digelar Shadow Brokers. – Agensi

Friday, 17 March 2017

Penggodam Korea Utara serang 31 negara

SYMANTEC Corp. mendedahkan Lazarus terlibat dalam serangan penggodaman di 31 buah negara sejak 2009.
BOSTON – Sebuah kumpulan penggodam Korea Utara dikenali sebagai Lazarus dipercayai terlibat dalam aktiviti penggodaman di 31 buah negara termasuk serangan terhadap Bank Bangladesh dan Sony Entertainment.

Firma keselamatan siber, Sy­mantec Corp. (Symantec) dalam satu laporan yang didedahkan berkata, mereka menemukan empat bukti digital menunjukkan Lazarus menggunakan perisian untuk menyebarkan virus dan kemudiannya menggodam sistem komputer pihak yang disasarkan.

“Kami pasti Lazarus berta­nggungjawab dalam semua se­­ra­ngan itu,” kata Penyelidik Symantec, Eric Chien dalam satu temu bual baru-baru ini.

Symantec sebelum ini menyi­a­sat kes penggodaman di bank-bank Poland yang dijangkiti virus bulan lalu namun ketika itu mereka tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Lazarus.

Menurut Symantec, virus itu telah diprogramkan untuk menye­rang 104 organisasi ter­tentu di 31 buah negara.

Kes penggodaman terbesar yang ditemukan oleh Symantec adalah di Poland, diikuti Amerika Syarikat (AS), Mexico, Brazil dan Chile.

Selain itu Symantec berkata, Lazarus menggunakan pendekatan yang lebih canggih untuk menyerang sasaran mereka berban­ding sebelum ini.

“Itu merupakan satu perkembangan yang merisaukan kerana Lazarus menggunakan teknologi lebih canggih,” kata Ketua Eksekutif Trail of Bits, Dan Guido.

Lazarus sebelum ini didakwa terlibat dalam beberapa siri penggodaman sejak 2009, termasuk melibatkan kecurian wang tunai berjumlah AS$81 juta (RM359 juta) daripada Bank Bangladesh tahun lalu.

Namun, kerajaan Korea Uta­ra menafikan Lazarus terlibat dalam serangan penggodaman itu, seperti didakwa oleh pegawai-pegawai di Washington, Seoul dan firma-firma ke­selamatan lain. – REUTERS

Tuesday, 26 July 2016

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Papa Gomo


PUTRAJAYA - Blogger Papa Gomo harus membayar ganti rugi RM800,000 kepada bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas permohonan terakhirnya untuk mengetepikan saman itu ditolak.

Ini adalah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Wan Muhammad Azri Wan Deris, juga dikenali sebagai Papa Gomo, bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan pada 4 Disember tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.   

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum menolak permohonan untuk kebenaran merayu itu dengan kos RM10,000 selepas mendapati permohonan perayu tidak mempunyai merit.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujahan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar dan Amran Aminuddin yang mewakili Wan Muhammad Azri.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada plaintif berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Pada 21 Mac 2013, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013. - Bernama

Wednesday, 13 July 2016

Google keluar amaran 4,000 serangan siber oleh kerajaan


WASHINGTON – Seorang eksekutif kanan anak syarikat Google, Alphabet Inc kelmarin mengumumkan bahawa firmanya menghantar maklumkan kepada pelanggan tentang 4,000 serangan siber didalangi kerajaan pada setiap bulan.

Bercakap pada satu persidangan majalah Fortune di Aspen Colorado, Timbalan Presiden Kanan Google yang juga ahli lembaga pengarah Alphabet, Diane Greene menyebut angka itu semasa bercakap tentang keupayaan keselamatan Google.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut kerajaan-kerajaan yang terlibat.

Enjin carian internet utama itu yang membangunkan sistem mudah alih Android mempelopori usaha memaklumkan pengguna tentang intipan kerajaan. Langkah itu disusuli Microsoft Corp dan firma internet lain.

Google sebelum ini memberitahu bahawa pihaknya mengeluarkan puluhan ribu amaran selang setiap beberapa bulan, manakala pelanggannya mengambil tindakan susulan seperti menambah baik sistem keselamatan peranti mereka. – Reuters

Wednesday, 25 May 2016

Gaji 'penggodam topi putih' lindungi sistem kerajaan


KUALA LUMPUR 25 Mei - Kerajaan boleh menggaji penggodam beretika atau dikenali sebagai `penggodam topi putih’ untuk mencegah sistem komputer yang digunakan terutama oleh agensi strategik disabotaj atau digodam penjenayah siber.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, itu antara langkah proaktif yang perlu dilakukan kerajaan bagi menangani masalah itu selain melantik pegawai yang lebih berintegriti untuk mengendalikan sistem-sistem berkenaan.

“Kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif dan berkesan bagi mencegah masalah ini yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan negara.

“Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini termasuk melantik penggodam beretika kerana mereka mempunyai kepakaran dalam menangani isu ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam percaya wujud perbuatan sabotaj di peringkat dalaman melibatkan pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) menyebabkan sistem itu tergendala hampir setiap hari.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti kelemahan sistem itu menjadi antara punca Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dibolosi sindiket pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia.

Seorang lagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pemeriksaan lebih terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang masalah atau kelemahan yang dihadapi sistem di bawah kelolaan kerajaan.

“Agensi kerajaan perlu lebih berwaspada terhadap ancaman siber. Jika wujud sebarang kepincangan terhadap sistem kerajaan, penggodam akan mempunyai ruang dan peluang untuk menggodam sistem kita.

“Proses audit yang lebih teliti perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kepada permasalahan ini dan sekali gus mencari formula berkesan bagi mencegah sebelum menjadi lebih serius,” jelasnya.