Showing posts with label Security. Show all posts
Showing posts with label Security. Show all posts

Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Friday, 9 March 2018

Seluar pegawai SPRM koyak bergelut tangkap polis

Anggota polis yang ditahan di Tampin Square dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sembilan terkoyak seluar ketika bergelut dengan anggota polis yang ditahan bersabit kes rasuah di kedai akuarium di Tampin Square, hari ini.

Sumber berkata, lans koperal polis berusia 36 tahun itu ditahan 2 petang berikutan membekalkan rokok kepada seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan di lokap antara 2 hingga 6 Mac lalu berikutan terbabit kes gaduh di Tampin.

"Suspek yang berkhidmat di balai berkenaan dipercayai membekalkan bahan larangan iaitu rokok dan menerima RM400.

“Bertindak atas aduan diterima, lapan pegawai SPRM negeri ke Tampin Square hari ini untuk menahannya," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di lokasi suspek enggan bekerjasama ketika empat pegawai SPRM cuba memberkasnya sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan seluar seorang pegawai SPRM terkoyak pada bahagian lutut.

Sementara itu, jurucakap SPRM Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Tuesday, 27 February 2018

PATI monopoli perniagaan di Malaysia

DATUK SERI MUSTAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkila­ngan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Ketua Pengarahnya,­ Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga semalam yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang me­nyalahi udang-undang.

Menurut beliau, pihaknya mendapati premis yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya diberikan kepada penduduk tempatan tetapi sikap mereka mencari keuntungan segera telah menyewakan kepada warga asing untuk membuka perniagaan.

“Ini merupakan satu kesalahan apabila permit pekerjaan yang diberi telah disalah guna manakala warga tempatan juga cuba mengaut keuntungan menerima komisen dengan menyewakan premis mereka. Contohnya, minggu lalu kita menahan ramai warga asing yang menyewa premis dari warga tempatan di Taman Seri Muda, Shah Alam.

“Terdapat bebe­rapa lagi lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan haram seperti di Jalan Bukit Bintang, Jalan Silang, Lembah Pudu, Jalan Petaling dan Pasar Borong Selayang. Jadi, kita gesa PBT serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil tindakan tegas bagi membendung isu tersebut daripada berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafar memberitahu, setakat ini, Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas 41,542 warga asing dalam 3,499 serbuan di seluruh negara.

Jelas beliau, pihaknya menahan seramai 187 majikan yang didapati menyalahi undang-undang termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Dari 1 Januari sehingga 25 Februari, sebanyak 7,705 PATI telah diusir ke negara mereka bukan dengan secara sukarela.

“Jabatan Imigresen akan terus melakukan operasi serta serbuan secara proaktif bertujuan mengesan warga asing dan pihak majikan yang masih tidak menghiraukan amaran yang diberi serta berterusan menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Monday, 1 January 2018

Buruh haram Malaysia di Korea Selatan

SEORANG buruh haram Malaysia melakukan kerja di sebuah ladang di Korea Selatan.
​​​​​​​
KUALA LUMPUR - Masalah buruh haram Malaysia di luar negara yang sebelum ini berlaku di Australia mula merebak ke Korea Selatan kerana negara itu menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pengilangan dan perkhidmatan dan tidak hanya tertumpu kepada perladangan semata-mata.

Bermula pertengahan tahun ini, trend kemasukan buruh haram itu didapati melonjak dengan ketara, antaranya disumbangkan oleh peranan ejen yang agresif dan berlumba-lumba merekrut pekerja melalui media sosial khususnya Facebook.

Ejen-ejen berkenaan mempromosikan perkhidmatan tanpa rasa takut termasuk dengan menularkan video yang mempamerkan kemewahan pendapatan bagi menarik perhatian bakal buruh haram kerana setakat ini belum ada tindakan kon­krit daripada pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti mereka.

Pada masa ini terdapat dua ejen utama di negara ini yang dikenal pasti aktif ‘menyeludup’ buruh ha­ram, satu daripadanya dikendalikan oleh dua beradik manakala satu lagi diuruskan oleh dua beranak.

Dua ejen itu dikatakan membawa masuk sekurang-kurangnya dua kumpulan buruh haram sebulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 20 orang.

Bayaran yang dikenakan mereka pula ialah kira-kira RM3,000 kepada RM4,000 bergantung kepada ejen.

Lokasi pilihan untuk bekerja ialah kawasan yang jauh dari pusat bandar Seoul seperti Hanam-si, Suwon dan Mugeok yang dianggap lebih selamat daripada agensi penguatkuasaan.

Sumber Mingguan Malaysia memberitahu, buruh haram Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dengan yang paling muda ditemuinya ialah 16 tahun manakala paling tua kira-kira 50 tahun.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka adalah golongan yang kali pertama ke luar negara dan tidak mengambil berat soal peraturan visa yang tidak membenarkan mereka bekerja.

“Kelompok kedua adalah rakyat Malaysia yang pernah bekerja secara haram di ladang-ladang buah atau sayuran di Australia sehingga disenarai hitam oleh imigresen negara itu,” katanya.

Katanya, trend kebanjiran buruh haram secara mendadak itu kini sudah berada dalam perhatian pihak berkuasa Korea Selatan yang mula mengetatkan penguatkuasaan mereka termasuk di lapangan terbang yang menjadi pintu masuk.

“Pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad memang nampak dengan ketara muka-muka orang Malaysia jika ke Itaewon yang kini menjadi markas pertemuan mereka,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu buruh haram di Korea Selatan walaupun berpeluang meraih pendapatan lumayan kira-kira RM2,000 seminggu sentiasa terdedah dengan manipulasi oleh majikan sendiri.

Katanya, antara prosedur operasi standard (SOP) majikan ialah menahan sebahagian gaji pertama iaitu kira-kira RM2,000 sebagai deposit supaya tidak melarikan diri dan jumlah itu hanya dibayar selepas mereka bekerja mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Ada juga kes majikan sendiri yang membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga buruh ha­ram ditangkap dan dengan cara itu mereka tidak perlu membayar gaji.

“Sebagai buruh haram, mereka tidak akan dilindungi oleh peruntukan undang-undang buruh dan majikan akan sentiasa mempu­nyai kelebihan dan ejen-ejen pula bertindak lepas tangan jika masalah sedemikian berlaku” katanya.

Saturday, 30 December 2017

Ujian sampel rambut mulai tahun depan - PDRM

Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standart (JIPS), Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (tengah) menyaksikan Penyerahan Tongkat Kuasa Jawatan Ketua Polis Pulau Pinang daripada Datuk Chuah Ghee Lye (kiri) kepada penggantinya, Datuk A. Thaiveegan (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan lagi proses pengambilan anggota baharu bermula tahun depan dengan mewajibkan ujian sampel rambut bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemohon.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, mekanisme baharu itu dijangka dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

"PDRM memandang serius isu dadah dalam kalangan pegawai dan anggota polis kerana sejak 2010 hingga November tahun ini, seramai 2,738 orang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Jadi, bermula tahun depan semua yang ingin menyertai pasukan (PDRM) akan menjalani ujian ini.

"Ujian ini membolehkan kita mengetahui adakah orang itu menggunakan dadah dalam tempoh lama, dengan mengambil sampel rambut untuk pengesahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk A.Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Datuk Chuah Ghee Lye yang bersara wajib.

Abdul Rahim berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati 25 peratus daripada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah mengambil bahan terlarang itu sebelum menyertai PDRM.

Sementara itu, beliau berkata sehingga November lepas, terdapat 10,607 pegawai dan anggota polis yang masih mengalami masalah hutang serius berbanding 15,478 orang pada awal tahun ini.

Mereka ini hanya menerima gaji bersih tidak sampai 40 peratus daripada gaji kasar dan kebanyakan yang terlibat berusia 30 hingga 35 tahun dan 50 hingga 55 tahun, katanya.

"Mulai tahun ini pegawai dan anggota polis hanya boleh berhutang menerusi koperasi PDRM sahaja dalam usaha kami mengurangkan jumlah mereka terlibat dalam keberhutangan," katanya. - BERNAMA

Friday, 8 December 2017

Empat Bangla kuasai KLIA

Gambar kecil, pendatang warga Bangladesh baru tiba di KLIA.
Kuala Lumpur: Empat sindiket utama dari Dhaka, Bangladesh diketuai individu dikenali sebagai Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom dipercayai paling aktif menyeludup migran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 2010.

Malah mereka ini dianggap Raja KLIA kerana dipercayai turut menguasai urusan imigresen dan boleh dikatakan mengenali setiap pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di pintu masuk utama negara itu.

Keempat-empat dalang utama ini saling mengenali antara satu sama lain termasuk juga ejen mereka yang berada di Malaysia.

Namun masing-masing hanya menjalankan kegiatan mereka tanpa mengganggu yang lain.

Sumber memberitahu, sindiket penyeludupan migran ini terutama membabitkan warga Bangladesh di KLIA sudah bertapak agak lama.

Wednesday, 29 November 2017

Duit persundalan sampai berkulat

SEBUAH sindiket pelacuran dipercayai telah menjalankan aktiviti persundalan mereka sejak lebih 10 tahun lalu di sebalik operasi pusat urut Hotel Promenade di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia mengesyaki aktiviti sindiket persundalan di Hotel Promenade di sini sudah beroperasi lebih 10 tahun ekoran penemuan kesan reput dan berkulat pada sebahagian wang tunai RM13.5 juta yang dirampas Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesan lumut dan berkulat terdapat pada sebahagian daripada wang tunai yang dijumpai dalam serbuan Ops Gegar itu.

“Walaupun sindiket pelacuran tersebut dikesan baru-baru ini, namun kami percaya kegiatan ini sudah lama dijalankan berikutan terdapat kesan kulat dan berlumut pada sebahagian wang tunai berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga beberapa ikat wang tunai disimpan di dalam kotak yang tertera perkataan tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini semalam.

Sunday, 12 November 2017

Tujuh anggota polis diserang

Lokasi kejadian.

POLIS melepaskan empat das tembakan amaran apabila sekumpulan lelaki warga China menyerang sepasukan anggota polis di Jalan Abaraham Off Jalan Khoo Teik Ee, Kuala Lumpur, malam tadi.

Sekumpulan warga China itu bertindak sedemikian apabila sekumpulan tujuh anggota polis hendak memeriksa satu premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi, pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata maklumat awal kegiatan perjudian itu diterima anggota preman ketika melakukan rondaan.

“Sebaik tiba di lokasi iaitu di depan rumah, antara 20 hingga 30 lelaki disyaki warga China berada di premis itu. Cubaan anggota untuk melakukan pemeriksaan dihalang dan mereka turut diserang.

“Untuk mempertahankan diri, mereka terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara sementara menunggu bantuan tiba ke lokasi,” katanya.

Shaharudin berkata, semua suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 147/353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurutnya, polis difahamkan terdapat kira-kira 200 pekerja kontrak warga China mendiami kawasan berkenaan dan siasatan terperinci ke atas kegiatan judi itu masih dilakukan.

Friday, 10 November 2017

Sijil akademik wajib ada kod QR

UTeM antara beberapa IPTA di Malaysia yang meletakkan ciri keselamatan kod QR pada sijil akademik mereka bagi mengelakkan ia dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini menggunakan kod respons pantas (kod QR) pada sijil akademik masing-masing mulai pertengahan tahun hadapan sebagai satu usaha membendung isu pengeluaran sijil pengajian palsu yang berlaku ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui penggunaan kod keselamatan pada sijil akademik tersebut, ia membolehkan orang ramai terutama majikan menyemak maklumat graduan dengan lebih pantas melalui telefon pintar.

Beliau berkata, penggunaan kod QR itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menjadikan universiti awam di negara ini lebih digital dengan mewujudkan kampus tanpa tunai (cashless) dan tanpa kad (cardless).

“Ketika ini universiti awam telah mengambil tindakan supaya penggunaan sijil akademik palsu boleh dikesan dengan pantas. Penggunaan kod QR adalah salah satu daripada usaha untuk atasi masalah tersebut dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun depan.

“Setakat ini beberapa universiti awam yang telah mempunyai kod QR pada sijil akademik ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan beberapa universiti lain,” katanya ketika ditemui di kampus Universiti Teknologi Malaysia di sini semalam.

Tuesday, 7 November 2017

Pegawai, anggota polis obes tidak dinaikkan pangkat

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

KANGAR - Pegawai dan anggota polis yang tidak melepasi ujian jisim berat badan (BMI) serta kecergasan tidak akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, peraturan melalui Program Trim and Fit itu bakal dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2018.

"Kita telah mempromosikan perkara ini lebih dua tahun dan semua lebih 100,000 pegawai dan anggota polis terlibat dalam program ini tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Ini bagi menggalakkan budaya sihat dan aktiviti riadah bagi pegawai dan anggota polis," katanya di Mess Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam Program High Profile Policing Ketua Polis Perlis dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias.

Sunday, 29 October 2017

ATM terima aset ketenteraan baharu

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
PALOH - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima lebih 20 aset baharu menerusi pembentangan bajet 2018 yang diumumkan semalam bagi meningkatkan kesiapsiagaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menyambut baik dan berpuas hati dengan peruntukan RM14 bilion yang diumumkan bagi dimanfaatkan untuk melaksanakan perolehan aset-aset baharu serta menyelenggara dan menaik taraf aset sedia ada di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Menteri Tugas- Tugas Khas berkata, bagi perolehan aset baharu, TDM akan menerima enam helikopter 'Light Attack' (MD 530-G), meriam 155mm Self Propelled Howitzer, meriam 105mm Pack Howitzer dan peralatan khas bagi Getup Gerak Khas (GGK).

"Perolehan aset dan kelengkapan latihan GGK ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani ancaman keselamatan semasa terutamanya ancaman militan Daesh.

"Bagi TLDM, akan menerima enam Littioral Combat Ship (LCS) dan empat Littoral Mission Ship (LMS) yang mana masing-masing masih di dalam proses pembinaan.

"Kapal kelas kelima yang dirancang untuk diperolehi di bawah program Transformasi 15-to-15 ini pula adalah Multi Role Support Ship (MRSS) yang mana saya telah arah TLDM untuk mengkaji perolehan kapal tersebut.

"Manakala bagi TUDM, kerajaan telah meluluskan perolehan empat unit pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang akan digunakan untuk mengawasi perairan negara termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka di bawah program Malacca Straits Patrol," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Task Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Paloh.

Selain itu, Hishamuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan menggunakkan peruntukkan sebanyak RM22 juta untuk menaiktaraf pos kawalan sedia ada serta membina 18 pos kawalan baharu di sempadan Sabah, Sarawak dengan Kalimantan.

Katanya, penaiktarafan itu melibatkan lima POS kawalan sedia ada yang dinaik taraf menjadi POS Gabungan, iaitu dua di Sabah (Pos Saliliran dan Pos Serudong) serta tiga di Sarawak (Pos Kandie, Pos Tebedu dan Pos Serikin).

"Inisiatif ini diharap mampu memantapkan lagi tahap keselamatan di Sabah dan Sarawak serta menangani ancaman keselamatan semasa," katanya.

Saturday, 28 October 2017

Anggota RELA dakwa dipukul Datuk Seri

KETUA Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan kecederaan yang dialami anggota RELA yang didakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri'.

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri' ketika sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, pagi semalam.

Salah seorang daripada mangsa, Melvin Cheong Mun Khai,19, berkata kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu bermula ketika dia yang melakukan kawalan bersama rakannya, Leong Jiun Jie,21, meminta Datuk Seri berusia 28 tahun untuk mengalih kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Mun Khai mendakwa, teguran itu menyebabkan lelaki berkenaan naik berang sebelum dia bertindak menepuk meja dan memaki hamun mereka.

"Seorang rakan, Lee Weng Poh, 27, yang turut bertugas ketika itu datang dan cuba meleraikan keadaan tetapi, dia ditampar lelaki itu.

"Datuk Seri itu turut memukul dan menendang kami selain mengugut akan mengapa-apakan kami selepas ini," katanya.

Mereka ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Mun Khai berkata, kejadian mengakibatkan mereka masing-masing cedera bengkak di mata kiri selain sakit di beberapa bahagian badan.

Katanya, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Ampang bagi membolehkan tindakan lanjut diambil polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

"Kita juga sedang menyiasat bagi mengenal pasti suspek serta pengesahan berhubung status Datuk Seri itu," katanya dalam satu kenyataan.

Sunday, 1 October 2017

Cubaan sabotaj litar sepang

SURAT tuntutan palsu yang tular di media sosial semalam kononnya Haas menuntut ganti rugi akibat kemalangan pemandu pasukan itu pada sesi latihan GP Malaysia di Sepang kelmarin.

KONTROVERSI surat tuntutan palsu bernilai AS$295,000 (RM1.3 juta) yang dibuat ke atas pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menimbulkan perasaan kurang se­nang pada perlumbaan terakhir saingan Grand Prix (GP) Malaysia sekali gus menyentap emosi peminat sukan Formula Satu (F1) semalam.

Awal pagi semalam, satu surat rasmi tular di laman sosial apabila pasukan Haas menuntut kerugian AS$295,000 ekoran kemalangan pelumbanya, Romain Grosjean melanggar penutup longkang di selekoh ke-13 pada sesi latihan kedua kelmarin.

Insiden tersebut menyebabkan jentera pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut rosak teruk, namun pelumba kelahiran Switzerland itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (gambar kecil) menyelar berita tersebut dan menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta yakin ada segelintir pihak berniat untuk mencalarkan nama Malaysia.

Katanya, SIC tidak menerima sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan yakin kenyataan palsu itu timbul untuk merosakkan suasana perlumbaan terakhir F1 di Sepang.

“Apa yang saya ketahui surat tersebut adalah palsu kerana sehingga kini kami tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Kita peka dengan isu keselamatan dan FIA telah melakukan pemeriksaan secara rasmi sejak Khamis lalu. Kami te­lah mengikut segala arahan keselamatan yang diberikan dan FIA sangat berpuas hati sebelum mereka mengesahkan litar ini selamat digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, sejak insiden tersebut berlaku SIC telah melakukan pemeriksaan semula di litar sepanjang 5.543 kilometer yang bernilai RM400 juta tersebut.

“Kami telah melakukan pemeriksaan semula di setiap selekoh dan sejak malam semalam (kelmarin) kami telah mengarahkan pembaikan semula penutup longkang di selekoh. Saya rasa tiada isu yang menyatakan perlumbaan ini perlu dibatalkan,” ujarnya.

Pada sesi kelayakan semalam, kira-kira 27,000 penonton membanjiri saingan terakhir F1 di Sepang dan Razlan yakin kehadiran penonton akan meningkat pada aksi final hari ini.

Wednesday, 2 August 2017

6 pegawai kastam disyaki pengedar dadah



Kuala Lumpur : Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kelmarin dan semalam kerana disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan.

Difahamkan, semua suspek ditahan di lokasi berbeza sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut sumber, semua suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah untuk geng itu.

"Kesemua suspek direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Monday, 10 July 2017

Hapuskan RM800 untuk PATI tak masuk akal

INDONESIA meminta kerajaan Malaysia menghapuskan denda RM800 yang dianggap membebankan PATI untuk pulang ke negara masing-masing.

KUALA LUMPUR – Gesaan Indonesia supaya kerajaan Malaysia menghapuskan kompaun sebanyak RM800 untuk setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap Jabatan Imigresen disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, permintaan republik negara itu ketika Malaysia sedang membersihkan kebanjiran PATI itu seolah-olah cuba menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Menurut beliau, adalah tidak adil buat kerajaan dan rakyat negara ini selaku pembayar cukai untuk menanggung kos PATI di pusat tahanan dan kos pengurusan penghantaran pulang.

"Permintaan Indonesia tidak adil sama sekali malah menambahkan lagi beban Malaysia.

"Perbelanjaan mengusir PATI menelan belanja besar dan wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Saturday, 8 July 2017

Terdapat keperluan wujud dua Timbalan Ketua Polis Negara



BATU PAHAT – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan dua jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) terutamanya dalam menangani ancaman keganasan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Ne­geri berkata, keputusan tersebut akan diumumkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bakal diadakan nanti sama ada meluluskan atau menolak cadangan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara pada masa ini ialah Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

“Saya tidak menolak, tidak mengesahkan atau tidak mahu menafikan analisis (berkenaan jawatan dua Ke­tua Polis Negara) yang dibuat melalui akhbar mengenai keperluan wujudkan dua jawatan tersebut.

“Bagaimanapun, memang terdapat keperluan untuk mewujudkan satu lagi Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya pada sidang akhbar selepas me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini semalam. 

Thursday, 25 May 2017

Cetak wang palsu RM10,000 sehari

WAN RUKMAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada wang palsu RM100 yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Sindiket pencetakan dan pengedaran wang palsu yang aktif sejak setahun lalu tumpas dalam tempoh sembilan jam setelah enam individu terma­suk ketua mereka diberkas dalam tiga serbuan ber­asingan dekat sini kelmarin.

Penahanan kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu melibatkan empat lelaki dan dua wanita dilakukan bermula pukul 2.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Kesemua mereka ditahan di hotel bajet dan rumah di sekitar Bukit Tinggi di Klang, Taman Kandis di Shah Alam dan Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sela­ngor, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, semasa serbuan terhadap tiga lokasi terbabit didapati mereka sedang giat mencetak wang kertas palsu bernilai RM100 dan RM20.

Katanya, ini berikutan penemuan tiga set bara­ngan dan peralatan men­cetak serta wang palsu yang telah siap diproses bernilai RM12,500.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini mempunyai kepakaran tinggi berikutan wang kertas yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi.

“Mereka mampu meng­hasilkan kira-kira RM10,000 wang palsu dalam satu hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Tuesday, 23 May 2017

Bot KD Perdana hilang ditemui

Jenis bot yang dinaiki oleh sembilan anggota TLDM.

JOHOR BAHRU – Sebuah bot dinaiki oleh sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang sejak Sabtu lalu di perairan Sedili, Kota Tinggi dekat sini akhirnya ditemui di timur perairan Kuantan, Pahang semalam.

Bot itu berjaya dikesan oleh sebuah kapal dagang selepas terputus hubungan selama 51 jam dengan kapal KD Perdana.

Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, bot berkenaan telah dikesan oleh kapal dagang pada kedudukan kira-kira 90 batu nautika di timur perairan Kuantan pada pukul 4 petang semalam.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, sebuah pesawat Beechcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia telah dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk melakukan tinjauan.

“Kesemua kru dalam keadaan baik dan selamat,” ujar Ahmad Kamarulzzaman dalam laman Twitternya malam tadi.

Monday, 15 May 2017

Virus agensi Amerika punca WannaCry



SERANGAN siber ‘WannaCry’ yang menimbulkan kekecohan global sejak Jumaat lalu, menggunakan Eternal Blue yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat yang didakwa dicuri, lapor Financial Times.

Malware itu yang sudah menjangkiti ratusan ribu komputer di 150 negara, mengeluarkan poster merah "Oops, your files have been encrypted!" dan menuntut bayaran melalui bitcoin sebanyak AS$300, dinaikkan kepada AS$600 jika enggan dan fail dalam komputer akan dimusnahkan beberapa jam kemudian.

WannaCry menjangkiti rangkaian komputer dengan bantuan Eternal Blue yang membolehkan malware merebak melalui perkongsian data atau fail.


Setakat ini belum diketahui pihak yang melakukan serangan itu namun agensi keselamatan di Britain percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah.

Pengarah Teknikal Symantec Security Response, Vikram Thakur, berkata hanya seorang dalam suatu pertubuhan atau syarikat klik dan seluruh rangkaian komputer akan dijangkiti.

Menurut AP, setakat ini, serangan siber itu sudah melumpuhkan sistem komputer rangkaian hospital Britain, sistem kereta api Jerman serta Kementerian Dalam Negeri Russia manakala Bloomberg melaporkan FedEx dan Nissan turut terjejas.

Bagaimanapun, Hitachi dan Nissan menyatakan walaupun terkena serangan itu, namun ia tidak menjejaskan operasi perniagaan

Ransomware ialah serangan virus yang mengunci komputer dan pemilik perlu membayar wang tebusan untuk membukanya.

Agensi berita China melaporkan 29,372 institusi terjejas membabitkan ratusan ribu komputer manakala Pusat Penyelarasan Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Jepun melaporkan 2,000 komputer di 600 lokasi di Jepun terjejas.

Menurut agensi berita China, Xinhua, kira-kira 15 peratus URL di negara itu dijangkiti dan sudah menjejaskan universiti dan kolej, sistem kereta api, pos, stesen minyak, hospital serta kompleks beli belah.

Serangan itu menjejaskan komputer di kilang, bank, agensi kerajaan dan sistem pengangkutan di banyak negara, termasuk Russia, Ukraine, Brazil, Sepanyol, India dan Jepun.

16 pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman disyaki lindungi sindiket dadah

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rombakan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan 16 pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang dipercayai melindungi sindiket dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang melindungi atau bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Katanya, pihaknya turut melancarkan operasi mengesan pegawai dan anggota polis yang turut terbabit melindungi sindiket berkenaan.

"Mereka ini dipercayai ada hubungan dengan pengedar dadah serta membocorkan maklumat dan operasi polis.

"Kita pandang serius sekiranya ada pembabitan pegawai dan anggota polis yang melindungi atau berkawan baik dengan mana-mana sindiket dadah. Tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan diambil," katanya selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2017 di Kem Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Noor Rashid berkata, setakat ini seramai 16 pegawai kanan dan anggota jabatan itu ditahan dan disiasat mengikut SOSMA.

"Mereka ditahan mengikut SOSMA selama 28 hari kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket itu.

“Setakat ini kita kenal pasti pegawai kanan dan anggota dan perkara ini masih dalam siasatan untuk mengesan serta membuat tangkapan lanjut," katanya.