Showing posts with label Sports. Show all posts
Showing posts with label Sports. Show all posts

Thursday, 9 November 2017

FAM bakal wujud Divisyen Empat

PRESIDEN FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) pelaksanaan liga masih dalam perancangan dan mahu lebih banyak pasukan terbabit.

JOHOR BAHRU: Inisiatif baru yang sedang dirancang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menyaksikan saingan Liga Divisyen Empat diperkenalkan dalam usaha memberi pendedahan kepada pemain muda.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pelaksanaan liga yang masih di dalam perancangan itu membabitkan lebih banyak pasukan daripada liga komuniti serta pemain bawah 19 tahun.

"Kami akan tambahkan lagi pasukan untuk bermain dalam Piala FA dan mekanisme pembabitan pasukan akan diperhalusi. Kami juga akan adakan satu liga yang mana 26 atau 27 pasukan yang bersaing pada saingan Liga Divisyen Empat.

"Liga ini akan membabitkan pasukan komuniti dan peniaga kecil yang mempunyai kelab sendiri. Tapi syarat penyertaannya adalah mereka perlu sekurang-kurangnya ada empat pemain bawah 19 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan World Leagues Forum (WLF) di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, ia juga salah satu saluran baik dalam menambah lebih banyak pasukan sekali gus merealisasikan usaha pembangunan struktur liga yang lebih kompetitif.

Mengulas mengenai barisan pemain kendalian Bojan Hodak sama ada perlu dikekalkan dan dihantar berlatih di luar negara, Tunku Ismail dilihat kurang bersetuju dengan langkah itu memandangkan barisan pemain harus beraksi di peringkat tertinggi terutama dalam Liga Super atau Liga Perdana.

"Pada saya, mereka (pemain muda) perlu bermain dalam liga kompetitif negara dan liga itu membabitkan saingan sedia ada. Mana ada negara-negara luar buat macam itu (menghantar satu pasukan berlatih di luar negara).

"Ini menguntungkan ejen yang menguruskan tiket dan hotel. Lebih baik mereka bermain pada saingan kompetitif sedia ada," katanya.

Tunku Ismail juga berpuas hati dengan pencapaian anak didik Hodak yang layak ke pusingan akhir Bawah 19 Tahun Piala AFC di Indonesia selain skuad Bawah 23 kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan bersaing di China tahun depan.

"Mereka bermain baik, sangat bagus. Saya akan memberi fokus kepada pemain muda kerana mereka adalah pemain yang harus diberi tumpuan untuk pembangunan bola sepak negara," katanya.

Thursday, 19 October 2017

Demi Malaysia tercinta

FAIZAL Saari memuat naik gambar dia selepas aksi menentang Pakistan di laman sosial miliknya.

KUALA LUMPUR - Demi negara, hilang gigi tidak mengapa.

FAIZAL Saari memuat naik gambar dia selepas aksi menentang Pakistan di laman sosial miliknya.
Itu pengorbanan buat penyerang sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari yang kehilangan empat gigi ketika aksi menentang Pakistan dalam saingan Super 4, Piala Asia di Dhaka Bangladesh, semalam.

Dalam perlawanan tersebut Faizal disiku pemain lawan di mulut hingga menyebabkan pendarahan sebelum dibawa keluar padang selama 10 minit bagi mendapatkan rawatan.

“4 batang gone (hilang) sebab apa, sebab kami main bukan untuk duit...sweet memory.

“Sedap juga makan siku,” kata Faizal dalam laman sosial tengah malam tadi.

Sewaktu aksi tersebut Malaysia meraih kemenangan 3-2 ke atas Pakistan dan hari ini dijadual menentang India.

Friday, 13 October 2017

Tunku Ismail guris hati peminat

Tunku Ismail (dua dari kiri) menghadiri dialog bersama penyokong JDT di JDT Cafe, Dataran Bandaraya Johor Bahru malam kelmarin.

KUALA LUMPUR – Para peminat bola sepak tanah air terguris dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang secara sinis menganggap skuad bola sepak kebangsaan sebagai ‘bukan pasukan negaranya’.

Menurut mereka, sebagai Presiden FAM yang dipilih oleh ahli-ahli gabungan persatuan bola sepak di Malaysia, Tunku Ismail perlu mempertahankan dan membangunkan mutu bola sepak negara selain tidak menganggap diri baginda tiada kaitan dengan sukan tersebut yang mengalami kemerosotan besar sejak awal tahun ini.

Pada sesi soal jawab bersama wakil-wakil media di JDT Cafe, Johor Bahru malam kelmarin, baginda bertitah: “Pasukan negara anda semua, not my negara (bukan negara saya). I’m from Johor, you know (Saya berasal dari Johor, anda tahu).”

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, titah Tunku Ismail itu mengguris hati peminat sukan tempatan kerana baginda dipilih menjadi Presiden FAM ke­rana diyakini mengetahui formula untuk memperkasakan bola sepak tanah air.

Menurutnya, beliau menganggap titah Tunku Ismail itu di luar jangkaan penyokong-penyokong bola sepak negara, ditambah dengan kenyataan baginda bahawa jawatan sebagai Presiden FAM merupakan kerja sambilan sahaja.

Sunday, 1 October 2017

Cubaan sabotaj litar sepang

SURAT tuntutan palsu yang tular di media sosial semalam kononnya Haas menuntut ganti rugi akibat kemalangan pemandu pasukan itu pada sesi latihan GP Malaysia di Sepang kelmarin.

KONTROVERSI surat tuntutan palsu bernilai AS$295,000 (RM1.3 juta) yang dibuat ke atas pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menimbulkan perasaan kurang se­nang pada perlumbaan terakhir saingan Grand Prix (GP) Malaysia sekali gus menyentap emosi peminat sukan Formula Satu (F1) semalam.

Awal pagi semalam, satu surat rasmi tular di laman sosial apabila pasukan Haas menuntut kerugian AS$295,000 ekoran kemalangan pelumbanya, Romain Grosjean melanggar penutup longkang di selekoh ke-13 pada sesi latihan kedua kelmarin.

Insiden tersebut menyebabkan jentera pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut rosak teruk, namun pelumba kelahiran Switzerland itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (gambar kecil) menyelar berita tersebut dan menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta yakin ada segelintir pihak berniat untuk mencalarkan nama Malaysia.

Katanya, SIC tidak menerima sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan yakin kenyataan palsu itu timbul untuk merosakkan suasana perlumbaan terakhir F1 di Sepang.

“Apa yang saya ketahui surat tersebut adalah palsu kerana sehingga kini kami tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Kita peka dengan isu keselamatan dan FIA telah melakukan pemeriksaan secara rasmi sejak Khamis lalu. Kami te­lah mengikut segala arahan keselamatan yang diberikan dan FIA sangat berpuas hati sebelum mereka mengesahkan litar ini selamat digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, sejak insiden tersebut berlaku SIC telah melakukan pemeriksaan semula di litar sepanjang 5.543 kilometer yang bernilai RM400 juta tersebut.

“Kami telah melakukan pemeriksaan semula di setiap selekoh dan sejak malam semalam (kelmarin) kami telah mengarahkan pembaikan semula penutup longkang di selekoh. Saya rasa tiada isu yang menyatakan perlumbaan ini perlu dibatalkan,” ujarnya.

Pada sesi kelayakan semalam, kira-kira 27,000 penonton membanjiri saingan terakhir F1 di Sepang dan Razlan yakin kehadiran penonton akan meningkat pada aksi final hari ini.

Wednesday, 5 July 2017

Kepakaran Anak Malaysia bantu Huddersfield ke saingan EPL

Firdaus Maasar (kiri) mengambil data daripada seorang pemain Huddersfield Town untuk tujuan profil fisiologi.

SEREMBAN – Seorang anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab bola sepak Huddersfield Town FC layak ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Firdaus Maasar, 31, yang merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi di Liverpool John Moores University (LJMU) terlibat dalam mengetuai pengurusan profil fisiologi pemain utama kelab itu musim lalu.

Antara tugasnya termasuklah melakukan penilaian terhadap tindak balas laktat dan pengambilan oksigen secara maksimum dalam kalangan pemain kelab berkenaan.

Hasil kepakarannya membantu skuad bimbingan ketua jurulatih David Wagner itu muncul sebagai salah satu daripada tiga kelab dari Liga Kejuaraan menempah tempat dalam EPL musim depan yang dijadual bermula 12 Ogos ini.



Firdaus berkata, dia berasa gembira kerana turut sama membantu melonjakkan semula kelab itu ke saingan utama Liga Inggeris selepas hampir 45 tahun tersingkir ke liga bawahan.

Ujarnya, ia merupakan pe­ngalaman berharga dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Perkhidmatan Prestasi kelab itu, Dr. John Iga baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu kelab itu layak ke EPL pada musim akan datang,” katanya ketika dihubungi menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Huddersfield menempah tempat ke saingan EPL selepas mengatasi Reading 4-3 menerusi sepakan penalti penentuan dalam playoff. Kelab itu menyertai juara Liga Kejuaraan, Newcastle United dan Brighton & Hove Albion yang akan beraksi dalam liga termahal dunia itu.

Firdaus berkata, semasa di Huddersfield dia bekerjasama dengan petugas kelab dalam menyusun jadual, melatih pelajar sains sukan dalam pengambilan data, melakukan ujian fisiologi dan menyediakan analisis data pemain secara terperinci untuk kegunaan kelab berkenaan.

“Untuk musim baharu, se­mua­nya masih di peringkat pe­rancangan dan kalau Huddersfield mahu menggunakan khid­mat saya, sudah tentu saya bersedia,” katanya yang juga salah seorang petugas dalam mengendalikan latihan kecergasan untuk kelab Liverpool sejak 2015.

Mengulas mengenai tugasnya bersama Liverpool pula, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia kini sedang membuat persediaan untuk latihan pramusim kelab itu yang dijadual bermula Rabu ini.

Dia ditugaskan membantu Jabatan Sains Sukan Liverpool sebagai sebahagian daripada program pengajiannya di LJMU sekali gus membolehkannya me­nyalurkan kepakaran kepada kelab bimbingan Jurgen Klopp itu atau kelab lain di Eropah.

“Pada masa ini pemain Liver­pool masih bercuti dan saya akan menjalankan penilaian kecergasan pemain akademi dan skuad utama apabila mereka melaporkan diri nanti. Saya juga akan menyediakan analisis kecergasan mereka untuk digunakan jurulatih bagi merancang sesi latihan,” katanya.

Tuesday, 25 October 2016

Perlumbaan F1 mungkin dihentikan

BILANGAN penonton yang menyaksikan perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang semakin merosot sejak 2014.
KUALA LUMPUR – Nasib perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka diketahui akhir minggu ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Beliau berkata, mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan pemegang saham utama SIC iaitu Kementerian Kewangan pada Khamis ini.

“Jualan tiket F1 telah merosot sejak 2014. Sebaliknya, lumba motosikal Malaysia (MotoGP) nampaknya lebih berjaya dari segi menarik penonton dan potensi kesan limpahannya,” katanya pada majlis taklimat media di sini semalam.

Razlan, bagaimanapun berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai pemberhentian F1 di Malaysia kerana SIC mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

“Penarikan diri secara sementara daripada F1 (selepas 2018) mungkin memberi manfaat kepada negara. Ketika ini, sesetengah pihak menyatakan produk itu (F1) tidak lagi menarik kerana ia dikuasai satu pasukan.

“Laporan awal untuk perlumbaan terakhir F1 juga menunjukkan jumlah penonton di Malaysia adalah yang terendah dalam sejarah,” katanya dengan menambah, F1 Singapura juga dilaporkan mencatat penurunan 20 peratus dalam jualan tiket.

Razlan membayangkan yang SIC akan memberi tumpuan untuk membangunkan MotoGP.

Saturday, 22 October 2016

TMJ cari jurulatih Sepanyol untuk Harimau Malaysia


MESKIPUN belum memberi kata putus sama ada akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini berada di Madrid demi untuk bola sepak negara.

Tunku Ismail menjelaskan jemputan yang diterima beliau ke Persidangan ‘World Football Summit’ punyai sebab yang tertentu khusus untuk membantu pasukan bola sepak kebangsaan.

Menurut Tunku Ismail, beliau sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan namun tidak boleh melakukan apa-apa kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini.

“Apabila pengurusan baru mengambil alih FAM tahun hadapan, tiga objektif utama akan terus dilaksanakan.

“Pertama, pelantikan jurulatih baharu dari Sepanyol, keduanya adalah duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan ketika memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya menerusi kemas kini status di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Ogos lalu, TMJ menolak ‘formula’ yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil alih Presiden FAM dengan alasan mahu mengelak wujudnya konflik kepentingan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Pengerusi FMLLP sehingga perbincangan lanjut diadakan.

Mengulas lanjut, TMJ memberitahu, jurulatih yang dicari bukan sahaja untuk pasukan utama negara tetapi juga di peringkat belia.

“Jurulatih baharu ini akan terapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan,” tambahnya lagi.

Tunku Ismail dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia 2016 bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan bola sepak di Madrid, Sepanyol yang akan bermula pada 27-28 Oktober ini.

Seminar ini turut dihadiri oleh nama-nama besar dalam arena bola sepak dunia seperti Juventus, Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Manchester United, AC Milan dan banyak lagi.

Sunday, 17 July 2016

Moto3: Khairul Idham juarai GP Jerman

Khairul Idham Pawi menjulang trofi kemenangan selepas meraih kejuaraan Moto3 di Grand Prix Jerman.
SACHSENRING, JERMAN: Lagu negaraku sekali lagi berkumandang di kejohanan antarabangsa apabila pelumba negara, Khairul Idham Pawi meraih kejuaraan Moto3 di Grand Prix Jerman, sebentar tadi. 

Ia adalah kejuaraan kedua buat pelumba mewakili Honda Team Asia berusia 17 tahun itu yang sebelum ini unggul di Grand Prix Argentina, April lalu.

Khairul Idham yang turut digelar Super KIP sebelum itu memulakan perlumbaan di petak ke-20. 

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pasukan kerana sentiasa bekerja keras untuk saya, tapi di sini (Jerman) sedikit sukar buat saya, banyak 'drama' saya alami dan saya terselamat dari terjatuh. 

"Saya berikan sedikit tekanan, dan saya cakap OK, mungkin saya perlu bertenang, uruskan masa sehingga tamat perlumbaan, untuk semua orang yang menyokong saya, keluarga saya, rakan saya dan saya harap kamu semua menikmatinya," kata Khairul Idham sejurus tamat perlumbaan.


Tuesday, 7 June 2016

Persiap diri berkayak ke Gaza

PENDAYUNG solo jalani latihan menerusi ekspedisi ke Kedah bermula semalam hingga 5 Julai.
Johor Bahru: Ekspedisi dayungan solo dari Malaysia ke Gaza, Palestin yang dijadualkan pada 2018 dianggap satu ekspedisi paling hebat dilaksanakan pendayung solo negara membabitkan jarak 17,000 kilometer (km).

Misi solo terbabit digalas Nadzeri Mustaffa, 52, dengan tempoh ekspedisi dijangka mengambil masa lebih setahun.

Nadzeri berkata, bagi mempersiapkan diri menempuh Ramadan ketika berada di negara terbabit, dia memilih menjalani latihan menerusi misi kelimanya bermula semalam dan berakhir pada 5 Julai ini.

Bapa kepada tiga anak itu memulakan ekspedisi Dayungan Solo Ramadan dan Tahun Melawat Kedah 2016 dari Jeti Jabatan Perikanan Johor Bahru, di sini, ke Tanjung Chali, Alor Setar membabitkan jarak 1,000 km.

Beliau berkata, ekspedisi kali ini bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016, selain sebagai latihan bagi persediaan menjalankan misi dayungan dari Malaysia ke Gaza. -myMetro


Sunday, 24 April 2016

TMJ rancang beli AC Milan

TMJ merancang untuk membeli AC Milan.
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin mencipta satu lagi sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air sekiranya hasratnya membeli kelab Itali, AC Milan menjadi kenyataan.

Cadangan itu dinyatakan TMJ dalam temubual eksklusif bersama media Singapura, The Straits Times Jumaat lalu, namun tetap menjelaskan betapa fokus utamanya kini tetap kepada Johor Darul Ta'zim (JDT). 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perlu melihat dulu keadaan sebelum membuat sebarang keputusan untuk melakukan pelaburan besar buat kelab Itali yang diminatinya sejak kecil itu. 

"Saya merancang untuk membeli AC Milan, tetapi kita lihat macam mana keadaannya dulu. Saya suka Milan dan meminati kelab Itali itu sejak kecil. Tapi, fokus utama saya tetap kepada JDT. "Tapi, sekiranya saya boleh melabur untuk kelab bola sepak di Eropah, ia sudah pasti di AC Milan," kata TMJ yang turut menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan. 

TMJ kini sedang berusaha gigih untuk menjadikan JDT sebagai salah satu kelab yang digeruni lebih-lebih lagi dengan kemudahan latihan terbaharu yang dijangka menelan belanja RM15 juta dan stadium baharu berkapasiti 40,000 tempat duduk. Apapun, jika cadangan itu benar-benar menjadi kenyataan, TMJ bakal menjadi individu kedua yang melabur di kelab Itali selepas jutawan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad membeli kelab Serie B, Bari FC 1908. 

AC Milan kini dimiliki bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang mana dikatakan sudah memberi isyarat untuk menjual kelab berkenaan. Selain itu, TMJ turut menjelaskan betapa beliau berharap dapat bekerjasama dengan kelab gergasi Itali itu pada masa hadapan. 

"Kita sangat berharap dapat menjalinkan kerjasama antara JDT dan AC Milan pada masa hadapan. Sama ada ia kolaborasi secara terus atau sekadar sumbangan kecil dari kelab berkenaan," katanya. -BH

Thursday, 14 April 2016

KJ sedia berdebat dengan TMJ

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk berbahas dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaysia sejak kebelakangan ini.

Tanpa mendedahkan tarikh dan tempat debat berkenaan, Khairy berkata beliau sanggup berdebat dengan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim itu sekiranya ia dapat meningkatkan semula prestasi skuad kebangsaan yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak selepas jatuh dalam ranking ke-174 dunia, kedudukan terendah dalam ranking FIFA yang diperkenalkan pada Dis 1992.

"Ya bermaksud ya, saya seorang lelaki yang sederhana. Ini satu perkara yang baik untuk (pasukan) bola sepak (kita).

"Nanti orang kata tak nak bersemuka lah, apalah...," kata Khairy pada sidang media sebelum menghadiri majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2015 di sebuah hotel di Petaling Jaya, malam tadi.

Pada Selasa, Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, dilaporkan mahu berdebat dengan Khairy dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mencari punca dan juga penyelesaian kepada kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.   

Baginda pada masa sama mahu dilaporkan sebagai berkata mahu perdebatan itu melibatkan para penyokong yang dibenarkan menyuarakan pendapat masing-masing dan menanyakan sebarang soalan yang dikehendaki.

Ia susulan kenyataan Khairy sebelum ini yang mendakwa bahawa pemain bola sepak tempatan kurang berkualiti.  - Bernama