Showing posts with label Scam. Show all posts
Showing posts with label Scam. Show all posts

Saturday, 7 October 2017

1.7 juta rakyat Malaysia tertipu

INILAH sebahagian kereta yang dirampas daripada suspek skim Krubal.

KUALA LUMPUR – Polis menganggarkan seramai 1.7 juta rakyat Malaysia tertipu dengan 27 skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lebih 100 peratus dalam tempoh Julai 2013 sehingga September lalu.

Dalam tempoh hampir lima tahun itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan sindiket skim pelaburan tersebut telah mengaut keuntungan kira-kira RM4.4 bilion daripada mangsa-mangsanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam tempoh Julai 2013 hingga September lalu, pihaknya menerima lebih 2,500 laporan membabitkan 1.7 juta mangsa yang terjebak dengan kes-kes skim pelaburan palsu.

Menurut beliau, daripada 27 skim pelaburan yang dikesan, skim pelaburan JJ Poor To Rich mencatatkan kerugian paling besar iaitu membabitkan RM1.2 bilion dengan jumlah mangsa seramai 500,000 orang.

“Bagaimanapun, polis sehingga September lalu hanya menerima 14 laporan daripada mangsa yang melibatkan kerugian sebanyak RM78,660. Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan skim tersebut.

“Kami anggarkan skim pelaburan JJ Poor To Rich telah mengutip wang mang­sa yang ditipu sehingga mencecah RM1.2 bilion dari April 2015 sehingga Jun lalu ” kata beliau.

Acryl Sani memberitahu, kerugian kedua tertinggi dicatatkan oleh skim pelaburan Mface atau MBI International Group dengan nilai mencecah RM700 juta.

“Seramai 350,000 orang dipercayai menjadi mangsa kepada skim pelaburan Mface tetapi polis hanya menerima dua laporan setakat ini,” ujarnya.

Monday, 2 October 2017

Sindiket jual ijazah palsu

INILAH diploma tulen UiTM (kiri) dan palsu (kanan) yang dikeluarkan oleh sindiket beroperasi di Puchong.

KUALA LUMPUR – Sebuah sindiket didapati menjalankan aktiviti menjual sijil palsu diploma, sarjana muda dan sarjana pada harga sehingga RM3,000 untuk digunakan oleh pembeli bagi memohon pekerjaan dalam sektor swasta.

Wartawan Kos­mo! yang menyamar sebagai pembeli mendapati sindiket yang beroperasi dari Puchong, Selangor itu hanya menjual sijil palsu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Segi.

Sijil diploma serta ijazah sarjana muda palsu UiTM itu masing-masing ditawarkan pada harga RM1,000 dan RM2,000.

Sindiket itu juga menjual sijil diploma palsu Kolej Segi pada harga RM2,000 manakala ijazah sarjana muda dan sarjana dikenakan bayaran RM3,000.

Harga sijil diploma palsu tersebut lebih murah berbanding yuran pengajian peringkat sama yang dikenakan oleh UiTM sekitar RM3,000 setahun manakala Kolej Segi RM37,000.

Yuran pengajian untuk ijazah sarjana muda UiTM juga adalah sekitar RM4,000 manakala Kolej Segi RM50,000.

Sindiket tersebut yang didalangi oleh individu yang dikenali sebagai Shafizal berkata, sijil tersebut dicetak dalam bahasa Me­layu dan Inggeris.

Menurutnya, dia mempromosi penjualan sijil palsu bersama transkrip peperiksaan tersebut melalui pengiklanan di laman web dengan meminta orang ramai yang berminat menghubunginya melalui e-mel terlebih dahulu sebelum memperoleh nombor telefon untuk dihubungi.

Sunday, 1 October 2017

Cubaan sabotaj litar sepang

SURAT tuntutan palsu yang tular di media sosial semalam kononnya Haas menuntut ganti rugi akibat kemalangan pemandu pasukan itu pada sesi latihan GP Malaysia di Sepang kelmarin.

KONTROVERSI surat tuntutan palsu bernilai AS$295,000 (RM1.3 juta) yang dibuat ke atas pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menimbulkan perasaan kurang se­nang pada perlumbaan terakhir saingan Grand Prix (GP) Malaysia sekali gus menyentap emosi peminat sukan Formula Satu (F1) semalam.

Awal pagi semalam, satu surat rasmi tular di laman sosial apabila pasukan Haas menuntut kerugian AS$295,000 ekoran kemalangan pelumbanya, Romain Grosjean melanggar penutup longkang di selekoh ke-13 pada sesi latihan kedua kelmarin.

Insiden tersebut menyebabkan jentera pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut rosak teruk, namun pelumba kelahiran Switzerland itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (gambar kecil) menyelar berita tersebut dan menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta yakin ada segelintir pihak berniat untuk mencalarkan nama Malaysia.

Katanya, SIC tidak menerima sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan yakin kenyataan palsu itu timbul untuk merosakkan suasana perlumbaan terakhir F1 di Sepang.

“Apa yang saya ketahui surat tersebut adalah palsu kerana sehingga kini kami tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Kita peka dengan isu keselamatan dan FIA telah melakukan pemeriksaan secara rasmi sejak Khamis lalu. Kami te­lah mengikut segala arahan keselamatan yang diberikan dan FIA sangat berpuas hati sebelum mereka mengesahkan litar ini selamat digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, sejak insiden tersebut berlaku SIC telah melakukan pemeriksaan semula di litar sepanjang 5.543 kilometer yang bernilai RM400 juta tersebut.

“Kami telah melakukan pemeriksaan semula di setiap selekoh dan sejak malam semalam (kelmarin) kami telah mengarahkan pembaikan semula penutup longkang di selekoh. Saya rasa tiada isu yang menyatakan perlumbaan ini perlu dibatalkan,” ujarnya.

Pada sesi kelayakan semalam, kira-kira 27,000 penonton membanjiri saingan terakhir F1 di Sepang dan Razlan yakin kehadiran penonton akan meningkat pada aksi final hari ini.

Wednesday, 20 September 2017

Datuk Seri 'makan' seorang RM3.75j

 Acryl Sani Abdullah Sani.


Kuala Lumpur: Daftar keahlian dengan bayaran RM1,700 dan dijanjikan bonus antara RM800 hingga RM1,200 selepas tempoh tiga bulan.

Itu janji syarikat dimiliki seorang lelaki bergelar Datuk Seri kepada 800,000 pelabur yang menyertai skim ‘cepat kaya’ membabitkan kerugian RM3.75 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kegiatan penipuan itu terdedah susulan 113 laporan polis diterima.

Susulan laporan diterima itu, polis menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang juga dalang utama skim pelaburan itu di sebuah rumah di Melaka, pagi semalam.

Menurutnya, suspek berusia 39 tahun itu adalah pengerusi syarikat berkenaan.

“Siasatan yang dijalankan mendapati syarikat itu ditubuhkan pada 2015 dan masih aktif beroperasi sehingga kini. Syarikat itu mendakwa menjalankan perniagaan dengan objektif utama membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menjual produk dihasilkan melalui stokis milik syarikat.

“Pelabur perlu mendaftar dengan membayar yuran keahlian dan dijanjikan bonus selepas tiga bulan,” katanya.

Namun beliau berkata, bonus yang dijanjikan tidak dibayar, sekali gus menyebabkan pelabur membuat laporan polis.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda model Range Rover, telefon pintar iPhone 7 Plus dan pelbagai dokumen milik suspek.

Menurutnya, suspek direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan. Masyarakat diminta membuat semakan dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Friday, 8 September 2017

Awas pelaburan dana PRU-14

ANAS menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Seremban: “Biarpun saya sudah mendapat semula wang itu, tetapi saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada orang lain,” kata Anas Salmee Syed Mohammad, 49, yang mendakwa hampir ditipu seorang lelaki menawarkan pelaburan dana bagi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), awal bulan ini.

Wanita dari Taman Matahari Height, Senawang, di sini, berkata kejadian itu berlaku ketika dia melayari laman sosial Facebook sebelum berkenalan dengan seorang lelaki berusia 49 tahun pada 3 Ogos lalu.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa berstatus Datuk Seri dari Shah Alam, Selangor dan memiliki sebuah syarikat penerbitan di Lembah Klang yang turut menjalankan aktiviti pelaburan dana bagi PRU14.

“Saya berjumpa dengannya pada keesokkan hari di sebuah restoran di Senawang, di sini, pada jam 10.30 pagi. Pertemuan berlangsung hampir sejam dan lelaki itu mengajak saya melabur bersamanya.

“Malah, lelaki itu memberitahu wang sumbangan akan disalurkan kepada parti politik dan 14 hari kemudian, jumlah wang akan berganda,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, lelaki itu cuba meyakinkannya dan menawarkan janji manis supaya dia terjebak dalam pelaburan berkenaan.

“Saya seperti terpukau dengan tawaran lalu memasukkan wang RM3,200 dalam akaun lelaki terbabit menerusi mesin deposit tunai di sebuah bank di Senawang,” katanya.

Anas Salmee yang bekerja sendiri, berkata dia menghubungi lelaki itu pada 20 Ogos lalu bagi bertanyakan pulangan wang pelaburan tetapi pelbagai alasan diberikan sebelum menghilangkan diri.

“Kesal dengan perbuatannya, saya membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 28 Ogos lalu bagi menuntut pembelaan,” katanya.

Sehari selepas laporan dibuat, Anas Salmee memberitahu lelaki itu bahawa dia sudah membuat laporan polis menyebabkan wang terbabit dipulangkan.

“Saya tahu lelaki itu cuba menipu dan tidak mahu orang ramai menjadi mangsa,” katanya sambil berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh ke atas skim pelaburan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kataya, siasatan mendapati memang wujud cubaan menipu dan pihaknya akan menyiasat mengenai skim pelaburan berkenaan.

Thursday, 25 May 2017

Cetak wang palsu RM10,000 sehari

WAN RUKMAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada wang palsu RM100 yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Sindiket pencetakan dan pengedaran wang palsu yang aktif sejak setahun lalu tumpas dalam tempoh sembilan jam setelah enam individu terma­suk ketua mereka diberkas dalam tiga serbuan ber­asingan dekat sini kelmarin.

Penahanan kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu melibatkan empat lelaki dan dua wanita dilakukan bermula pukul 2.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Kesemua mereka ditahan di hotel bajet dan rumah di sekitar Bukit Tinggi di Klang, Taman Kandis di Shah Alam dan Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sela­ngor, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, semasa serbuan terhadap tiga lokasi terbabit didapati mereka sedang giat mencetak wang kertas palsu bernilai RM100 dan RM20.

Katanya, ini berikutan penemuan tiga set bara­ngan dan peralatan men­cetak serta wang palsu yang telah siap diproses bernilai RM12,500.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini mempunyai kepakaran tinggi berikutan wang kertas yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi.

“Mereka mampu meng­hasilkan kira-kira RM10,000 wang palsu dalam satu hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Sunday, 14 May 2017

Bukit Aman serbu pejabat pelaburan JJPTR

Anggota polis membawa keluar sekeping replika cek yang dirampas dari sebuah pejabat JJPTR di Jalan Perak, George Town, Pulau Pinang kelmarin.
KUALA LUMPUR – Polis menyerbu lapan lokasi yang dijadikan sebagai pejabat operasi sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di sekitar Pulau Pinang kelmarin.

Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman bermula pukul 10 pagi itu turut melibatkan pasukan Siasatan Pengubahan Wang Haram, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security.

Difahamkan, sindiket yang telah beroperasi sejak 2016 itu mempunyai kira-kira 120,000 orang pelabur termasuk dari Singapura.

Pengarah JSJK, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lapan lokasi yang diserbu itu membabitkan beberapa buah pejabat dan unit kediaman yang dijadikan sebagai pejabat sindiket tersebut.

Saturday, 22 April 2017

Muda-muda dah hutang RM60 juta

ZULHELMI (kanan) dan rakannya menceritakan kisah hitam yang menimpa mereka kepada wartawan Kosmo! dalam temu bual di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Impian tiga anak muda untuk bergelar usahawan online bukan sahaja musnah, malah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka kini menanggung hutang sehingga RM60 juta selepas ditipu sekumpulan sindiket.

Peristiwa hitam dalam hidup mereka itu berlaku selepas terjebak sebagai ejen produk online yang ditawarkan sindiket telefon bimbit.

Modus operandi sindiket itu sangat mudah apabila menawarkan kepada mana-mana individu untuk menjadi ejen dengan menjual barangan pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Ejen pula membuat promosi dan menjual produk berkenaan di laman sosial masing-masing seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Menurut seorang ejen serta mangsa penipuan online, Muhammad Zulhelmi Mohd. Yusof, 20, dia dan dua rakannya kini berhutang hampir RM60 juta selepas duit pelanggan yang menempah telefon pintar iPhone lesap dilarikan sindiket.

Thursday, 8 December 2016

Laporan pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi tidak benar - Kementerian Luar

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri.

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri dengan ini mengesahkan bahawa laporan mengenai pembatalan kadar baru visa Arab Saudi yang tersebar di dalam media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah TIDAK BENAR.

Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi telah menyemak perkara ini dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Disember 2016 tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baru visa negara itu yang telah berkuat kuasa pada 1 Muharram 1437H iaitu bersamaan 2 Oktober 2016.

Oleh yang demikian, pihak media serta orang ramai dipohon agar tidak mudah percaya kepada maklumat-maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi Kerajaan negara terbabit.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan lalu telah dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baru tersebut adalah - untuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (RM2,364). - Bernama

Monday, 28 November 2016

Skim cepat 'miskin'

Datuk Seri S Vell Paari berucap di sidang media mangsa penipuan skim yayasan  pelaburan.
Kuala Lumpur: Menjual nama pemimpin bagi menarik orang ramai menyertai skim yayasan pelaburan milik pasangan suami isteri menyebabkan 300 mangsa kerugian RM2.2 juta.

Mangsa kebanyakan terdiri daripada pelajar, suri rumah dan golongan miskin dijanjikan keuntungan berganda dalam tempoh sebulan selepas melaburkan sejumlah wang ke dalam skim cepat kaya milik pasangan berkenaan.

Pelajar sebuah kolej swasta Benedict Chriss, 23, berkata, dia menggunakan sebahagian wang pinjaman pengajian RM4,000 untuk dilaburkan ke dalam yayasan itu.

“Saya menyerahkan wang itu kerana memikirkan ia akan menyelesaikan masalah kewangan saya untuk semester berikutnya lagipun saya daripada keluarga sederhana. Emak saya ibu tunggal.

“Keyakinan bakal diperoleh adalah sekali ganda dari duit pelaburan dalam tempoh singkat serta menyatakan pelaburan itu selamat kerana di bawah skim milik pemimpin menambah lagi keyakinan saya.

“Bukan saya saja, ibu juga mengeluarkan simpanan RM12,000 selepas melihat saya memperoleh wang pulangan RM6,000 selepas sebulan melabur, tetapi duit ibu habis macam itu saja sehingga sekarang tidak menerima imbuhan,” katanya.

Dia ditemui pada sidang media mangsa penipuan pasangan suami isteri itu, di sini, semalam yang dihadiri 200 mangsa penipuan pelaburan.

Hadir sama, Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari.

Menurut Benedict, berikutan yakin dengan skim itu dan menerima pulangan, dia turut mengajak 12 lagi rakan untuk turut melabur.

“Malangnya, rakan saya sehingga sekarang tidak menerima sebarang bayaran balik atau imbuhan,” katanya.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), S Suyamgasam, 61, berkata dia diperkenalkan dengan skim itu pada Mac lalu di sebuah majlis di Melaka.

“Tiada apa mencurigakan ketika saya mendengar mengenai skim itu, segala diberitahu meyakinkan saya untuk terus melabur.

“Akhirnya saya mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Kumpulan Wang Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM285,000.

“Dalam tempoh tiga bulan, saya menerima RM100,000 tetapi selepas Jun lalu sehingga sekarang duit saya belum dibayar.

“Apabila saya hubungi pihak penganjur skim itu, mereka mendakwa akan bayar selepas Deepavali, tetapi sekarang terus senyap,” katanya.

Suyamgasam berkata, selain tertarik dengan imbuhan bakal diterima dia melabur wang itu dengan tujuan dapat dimanfaatkan pada masa akan datang memandangkan sekarang dia tidak lagi bekerja.

Sementara itu, Vell Paari berkata, satu laporan polis dibuat dan beliau juga melantik peguam bagi mendapatkan balik hak mangsa berkenaan.

Beliau turut mendakwa kegiatan itu aktif sejak 2000 dan menganggarkan hampir belasan ribu mangsa terdiri dari kaum India tertipu.

“Pasangan suami isteri itu menipu mangsa kebanyakan orang miskin dengan mendakwa skim berkenaan milik pemimpin negara,” katanya.

Monday, 7 November 2016

Awas individu guna PhD palsu


KUALA LUMPUR – Awas kepada mana-mana individu yang menyalahgunakan gelaran akademik palsu di negara ini terutamanya doktor.

Ini kerana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan pejabat pendaftaran bagi semua pemegang doktor falsafah (PhD) di Malaysia bagi mengatasi penularan kes penggunaan gelaran akademik palsu itu.

KPT dalam satu kenya­taan malam tadi berkata, pejabat pendaftaran itu di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi akan secara automatik mendaftar semua lulusan PhD di dalam negeri.

Bagi lulusan PhD seberang laut, pengesahan akan diperoleh daripada universiti-universiti ber­kenaan.

“Penubuhan pejabat pendaftaran ini bertujuan memudah dan membantu undang-undang sedia ada, selain perlindungan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan, yang memboleh­kan tindakan jenayah diambil terhadap pengeluaran dan penggunaan gelaran akademik palsu,” kata kenyataan itu.

Sunday, 18 September 2016

Rugi RM2 juta ditipu 'Tok Belagak'

BEBERAPA mangsa penipuan peniagaan emas memegang kain rentang di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Hasrat 20 pelabur untuk hidup senang berkecai apabila mereka mengalami kerugian lebih RM2 juta selepas mendakwa terpedaya dengan sebuah syarikat yang menawarkan perniagaan jual beli emas pada harga lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Lebih menyedihkan apabila rata-rata mereka yang merupakan peniaga kecil serta pekerja kilang itu sanggup membuat pinjaman peribadi untuk melabur dalam syarikat terbabit.

Kini, syarikat itu bukan sahaja tidak lagi beroperasi, malah pengasasnya diisytihar sudah muflis.

Menurut seorang mangsa, Ahmad Khalil Koo, 45, dia terpedaya dengan janji-janji manis pengasas syarikat itu yang dikenali sebagai 'Tok Belagak' ketika mula menyertai perniagaan itu.

Katanya, dia melabur sebanyak RM600,000 pada 2014, namun sehingga kini, tiada emas yang diperoleh mahupun modal dipulangkan semula.

Saturday, 30 July 2016

Janji palsu petik epal di Australia

TERPEDAYA dengan iklan-iklan petik buah di Australia yang menjanjikan bulan dan bintang, membuatkan ramai masuk perangkap penipuan ejen.

Sanggup berhabis RM9,000 untuk mengejar impian gaji lumayan, seorang mangsa pemetik buah di Australia yang hanya mahu dikenali sebagai Kayla, 32, menceritakan kisah malangnya sepanjang lebih dua bulan di negara kanggaru itu.

Kerana pengalaman ngerinya itu, Kayla sanggup berkongsi kisahnya bersama Sinar Harian. Tegasnya, jangan ada lagi orang kita yang tertipu dan jika hendak menjadi pemetik buah di sana, berhati-hatilah...

Menurut Kayla, sebelum ini dia bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji sekitar RM5,000. Namun, dia melepaskan jawatannya kerana mahu menjaga ibunya yang sakit dan perlu mendapatkan rawatan dialisis setiap hari.

"Antara adik-beradik, hanya saya yang masih bujang, jadi tugas menjaga ibu jatuh di bahu saya," katanya.

Selepas ibunya kembali sihat, Kayla membuat keputusan untuk ke Australia dan berkerja sebagai pemetik buah.

Berbekal impian dan semangat mahu mengubah hidup, Kayla mencari ‘lubang’ untuk merealisasikan mimpinya. Dia berusaha mencari orang tengah untuk membantunya meneruskan perjalanan ke Australia.

Dirancakkan lagi dengan iklan dan tawaran menarik di Facebook membuatkan niatnya untuk bekerja sebagai pemetik buah di Australia membuak-buak. Apatah lagi dengan tawaran gaji RM12,000 sebulan.

Dengan restu ibu, Kayla nekad mengeluarkan semua wang simpanan serta menjual motosikal kesayangan. Tidak cukup itu, Kayla meminjam daripada adik-beradik lain dan rakan untuk dijadikan modal.

"Pada waktu itu, saya meletakkan keyakinan kepada ejen dengan harapan saya tidak akan ditipu, malangnya ia sia-sia sahaja," katanya.

Kembara hitam

Ketika pesawat Boeing yang membawanya ke Melbourne meninggalkan bumi Malaysia, terlalu banyak persoalan tiba-tiba bermain di fikiran Kayla.

"Saya nekad, saya teruskan. Saya sudah tidak boleh berpatah balik, lagipun tujuan utama saya untuk menjadi pemetik buah di Australia ialah mahu melangsaikan hutang dan pinjaman," tegasnya.

Katanya, ejen yang hanya memperkenalkan diri sebagai Mie dan berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur itu tidak putus-putus memberitahu Kayla supaya jangan bimbang kerana segalanya sudah diuruskan.

Sesudah tiba di sebuah ladang di Victoria, Kayla pun memulakan pekerjaannya sebagai pemetik buah. Perasaan curiganya bermula apabila ada pemetik buah yang lebih lama daripadanya mula merungut tidak dibayar gaji.

“Apabila saya cakap kontraktor ladang tidak bayar gaji kepada ejen yang menguruskan saya, ejen berkenaan terus ‘ghaib’ tanpa jejak. Dia terus lepas tangan begitu sahaja,” katanya.

Dari situ bermulalah episod hitam dalam kerjaya Kayla sebagai pemetik buah. Selepas dirinya ditipu kontraktor ladang, Kayla diarahkan oleh ejen lain supaya ke sebuah pekan kecil, Robinvale, juga di Victoria.

"Ejen itu hanya memberikan saya satu nombor telefon yang dia sendiri tidak pasti siapa, tetapi mendakwa ia milik kontraktor yang akan memberikan saya pekerjaan.

“Malangnya saya tak dapat menghubungi ejen berkenaan dan dari situlah bermulanya siri penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-ratanya mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap di Australia.

Amat menyedihkan apabila yang menipu adalah orang dari negara tercinta kita sendiri, Malaysia," ujar Kayla.

Seperti berada di 'neraka'

Demi meneruskan kelangsungan hidup, Kayla gagahi juga rintangan dan cabaran yang datang. Hingga tanpa sedar sudah sebulan dia membanting tulang di negara Australia, kontraktor semakin galak menggunakan tipu helah kononnya upah akan dibayar mengikut jam kerja, namun semuanya hanya janji palsu.

“Setiap kali tiba hari bayaran, kontraktor akan gunakan alasan untuk memotong upah kononnya kotak buah hilang, buah rosak dan pelbagai lagi alasan. Potong punya potong, dapatlah AU$5.4 (RM16), lepas tolak duit sewa rumah AU$80 (RM245).

“Kena ingat, di Australia sebanyak 10 peratus GST ditolak daripada gaji.

“Mungkin lebih baik jadi penjual nasi lemak atau goreng pisang di Malaysia daripada kerja seperti saya di sana,” rintihnya.

Menurut Kayla, adakalanya dia rasa seperti dieksploitasi tetapi tidak boleh menuding jari kepada sesiapa.

“Cuma saya kesal ramai mangsa yang sudah ditipu tidak mendedahkan kisah mereka, kalau ia diuar-uarkan setidaknya mungkin dapat mengelak saya daripada melalui azab seperti itu.

“Inilah pengajaran berurusan dengan penipu. Nasihat saya seboleh-bolehnya kalau ada sesiapa yang berminat untuk bekerja sebagai pemetik buah, dapatkan ‘working holiday visa’ untuk tempoh setahun, tidak mahal pun lebih kurang RM1,000. Cari kenalan yang boleh dipercayai dan boleh tawarkan kerja sepanjang musim, bukannya ejen,” katanya.

Menurutnya, kembara dua bulan banyak memberi pengajaran kepadanya.

Wang bekalan yang dibawa sebanyak RM9,000 hangus digunakan untuk menampung kehidupan di sana termasuk tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Keperitan hidup sebagai pekerja dan dengan hanya menggunakan visa pelawat juga membuatkan hidup Kayla tidak senang. Setiap kali sedang memetik buah, dia bimbang dirinya dicekup oleh pihak berkuasa.

Kerana sudah tidak tahan dengan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung dan wang yang sudah habis digunakan, Kayla membuat keputusan drastik berhenti menjadi pemetik buah, dan meninggalkan ladang berkenaan.

Dengan visa yang hampir tamat tempoh, Kayla akhirnya kembali ke bumi tercinta Malaysia.

Cukuplah baginya dua bulan lebih yang amat memeritkan.