Showing posts with label Safety. Show all posts
Showing posts with label Safety. Show all posts

Tuesday, 28 November 2017

Pemeriksaan wajib pendawaian elektrik setiap 10 tahun



PETALING JAYA: Semua rumah akan diwajib memeriksa pendawaian elektrik setiap 10 tahun mulai tahun depan.

Ketua Unit Pembangunan Keselamatan Elektrik Suruhanjaya Tenaga, Iffah Hannah Muluk, berkata peraturan itu akan berkuat kuasa di bawah pindaan kepada Peraturan Elektrik 1994.

"Sebelum ini kita tidak mempunyai peraturan seumpama itu. Oleh kerana kurangnya kesedaran mengenai keselamatan elektrikal, orang ramai tidak memeriksa pendawaian hinggalah sesuatu berlaku," katanya pada perbincangan keselamatan elektrik di Schneider Electrics di sini, pada Isnin.

Peraturan itu dibuat selepas berlaku beberapa insiden terutama yang membabitkan unit kediaman, yang menyebabkan kemalangan jiwa.

Sejak 2002, 914 kes kebakaran dilaporkan, 50.5 peratus daripadanya membabitkan rumah kediaman.

Bagi tahun ini, 49 kes dilaporkan dengan separuh daripadanya membabitkan kemalangan jiwa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Elektrikal dan Elektronik, Chew Shee Fuee, berkata kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan elektrik adalah rendah, dan ramai tidak menyedari bahawa badan mereka sendiri adalah konduktor elektrik.

Chew berkata, lambakan bahan-bahan elektrik tiruan dan yang tidak mempunyai sijil kelulusan terutama kabel dan 'charger' telefon amat membimbangkan dan kerana mudah berlaku 'kebocoran' elektrik yang akan menyebabkan renjatan dan kebakaran.

Beliau mengingatkan orang ramai agar menggunakan wayar sambungan untuk alat-alat elektrik bervoltan rendah sahaja.

"Jangan gunakan pada alat-alat utama seperti peti ais, oven dan mikrowave. Anda membahayakan nyawa orang-orang di rumah anda.

"Untuk lebih selamat, lucutkan plug pada semua alat-alat elektrik bila anda tidak menggunakannya bagi mengurangkan risiko kebakaran," katanya. - BERNAMA

Thursday, 2 November 2017

Doktor muda HSNZ ditemui mati

Deretan gerai jualan makanan di Pasar Malam Kuala Ibai iaitu lokasi seorang pegawai perubatan HSNZ dipercayai membeli makanan sebelum mengalami keracunan dan ditemui mati di dalam bilik rumah sewanya kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ditemui mati dalam bilik rumah sewanya di Kampung Nyiur Sepohon di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Muaz Mohd. Sabri, 30, ditemui kira-kira pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil selepas anak pemilik rumah sewa berkenaan berjaya membuka pintu bilik tersebut.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari yang lalu.

Menurut anak pemilik rumah berkenaan, Hakim Mat Lazim, 32, dia dimaklumkan bahawa mangsa mengalami keracunan makanan selepas memakan juadah yang dibeli di sebuah pasar malam di Kuala Ibai.

Katanya, pasar malam berkenaan dibuka setiap hari Rabu pada waktu malam.

“Saya difahamkan tunang mangsa yang turut bertugas sebagai seorang pegawai perubatan di HSNZ terpaksa ditahan beberapa hari di wad untuk rawatan kerana turut mengalami keracunan makanan.

“Bagaimanapun, arwah yang enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengambil keputusan untuk berehat di bilik sewanya sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Friday, 6 October 2017

Waspada fenomena hujan batu



KUALA LUMPUR – Pakar kaji cuaca memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berwaspada pada musim peralihan monsun yang bermula hari ini ke­rana boleh menyebabkan hujan batu dan puting beliung kecil di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Fredolin Tangang berkata, musim peralihan monsun itu juga dijangka menyebabkan angin kencang, ribut petir dan banjir kilat.

Katanya, kejadian puting beliung kecil dikenali sebagai belalai darat biasanya berlaku di kawasan rata bahagian utara terutamanya pada waktu petang dan lewat petang.

Jelas Fredolin, peralihan musim-musim monsun berkait rapat dengan tekanan tinggi rendah di kawasan Siberia dan Australia semasa musim sejuk serta panas.

Thursday, 7 September 2017

Badan jadi belon


Keadaan Martinez selepas dada dan tangannya menggelembung akibat penyakit dekompresi.

Pisco, Peru: Badan seorang nelayan menggelembung akibat satu keadaan luar biasa selepas timbul ke permukaan terlalu cepat ketika menyelam di lautan baru-baru ini.

Berat badan Alejandro Ramos Martinez juga meningkat hampir 30 kilogram selepas dada dan tangannya menggelembung.

Martinez berkata, dia menyelam di dasar lautan untuk menangkap udang dan ikan sebelum naik ke permukaan terlalu cepat.

Kesilapan itu menyebabkan gas nitrogen di dalam darahnya bertukar menjadi gelembung, satu keadaan yang dikenali sebagai ‘bends’ atau penyakit dekompresi.

Keadaan itu yang berpunca daripada naik ke permukaan terlalu cepat boleh membawa maut dan sangat ditakuti oleh penyelam.

Bagaimanapun, dalam kes Martinez, gelembung nitrogen terperangkap di sekitar ototnya dan ia sangat jarang berlaku serta unik.

Doktor juga masih berusaha mendapatkan rawatan yang sesuai untuk Martinez.

Martinez kini diberi rawatan oksigen dalam kebuk tekanan tinggi.

Seorang doktor di Hospital San Juan de Dios, Miguel Alarcon berkata, pihaknya sehingga kini berjaya mengeluarkan 30 peratus nitrogen daripada badan lelaki itu.

“Kami juga menjalankan kajian terhadap penyakit dekompresi yang dialami Martinez kerana kami tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan Martinez sering berasa sakit dan sukar berjalan serta mengalami tekanan darah tinggi.

Sunday, 20 August 2017

Pelampung bayi undang kematian

Pelampung leher boleh mengakibatkan kematian bayi.


NEW YORK – Penggunaan pelampung leher pada bayi mungkin menjadi satu daripada gajet terkini bagi ibu bapa yang mahu memberikan pengalaman sensasi ketika be­rada dalam air kepada anak-anak mereka.

Malangnya, tidak ramai yang sedar bahawa pelampung ber­kenaan boleh mengakibatkan kematian sekiranya ia bocor secara tiba-tiba atau ia menyebabkan muka bayi tersembam ke dalam air kerana bentuknya dikatakan tidak stabil.

Seorang pakar pediatrik di University Rush, Kyran Quinlan berkata, pelampung leher boleh menjadi perangkap kematian jika disalah guna, selain kualiti jahitan tepi yang tidak kukuh.

“Pelampung leher itu asalnya digunakan sebagai alat bantuan perubatan kepada golongan kanak-kanak yang kurang upaya, tetapi ibu bapa kini dilihat menggunakannya untuk menyokong leher bayi me­reka semasa berada dalam air.

“Ramai yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada pelampung keselamatan dan anda tidak seharusnya keliru mengenai perkara ini,” katanya.

Ada juga pendapat mengatakan pelampung leher tersebut menjadi tidak stabil apabila berlaku olakan pada permukaan air sekali gus boleh menyebabkan bayi terbalik atau tersembam.

Kebimbangan itu mula tercetus selepas pihak berkuasa di Queensland, Australia mengarahkan supaya penjualan dua jenis pelampung leher dihentikan sementara berikutan terdapat risiko bayi tenggelam semasa menggunakannya.

Suruhanjaya pengguna negara itu juga menyatakan kanak-kanak yang tidak pandai berenang mungkin tenggelam jika pelampung leher mereka tidak digunakan secara betul. – AGENSI

Wednesday, 21 June 2017

Premis sembelih, proses ayam guna logo halal palsu diserbu

Antara bungkusan ayam yang menggunakan logo halal palsu yang dirampas Jaipk dalam serbuan di sebuah premis di Segari, Lumut semalam.

LUMUT – Sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Batu 11, Segari di sini yang didapati menggunakan logo halal palsu dalam produk kelua­rannya diserbu Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) awal pagi semalam.

Malah, proses penyembelihan ayam di premis tersebut turut meragukan apabila pemeriksaan mendapati kerja-kerja penyembelihan ayam di premis itu dijalankan tiga lelaki warga asing dari Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaipk, Yusri Abdul Rani berkata, premis tersebut turut menggunakan pek yang mempu­nyai logo halal palsu tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tuesday, 20 June 2017

Teh ais 'lalok'

DADAH perisa teh ais yang dirampas.


Kuala Lumpur: Dadah perisa teh ais. Itu inovasi terbaru dihasilkan satu sindiket pengedaran dadah mencampurkan dadah syabu bersama serbuk teh.

Taktik sindiket itu terbongkar hasil operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Wangsa Maju di sebuah hotel di kawasan Pudu di sini, pada 16 Jun lalu.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, pihaknya yang melakukan risikan bertindak menahan suspek berusia 15 dan 25 tahun di hotel berkenaan pada jam 1.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg digalas remaja wanita itu membawa kepada penemuan 100 peket plastik berwarna biru bertulis ‘Apache’ Ice Cool Lemon Tea disyaki campuran serbuk dadah Methamphetamine seberat 2.9 kilogram (kg).

“Susulan itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Bukit Bintang di sini, dan menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 16 hingga 25 tahun,” katanya semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah itu, sebanyak 10 peket plastik minuman segera seberat 305 gram, sepaket syabu seberat 0.37 gram dan tiga biji pil Eramin 5 dirampas.

Kesemua rampasan dadah itu bernilai RM224,395.

Sementara itu katanya, pihak JSJN turut menahan 18 pengedar dadah yang bergiat aktif di sekitar ibu kota dalam tempoh tiga hari sejak 16 Jun lalu hingga kelmarin.

“Hasil penahanan itu, kami merampas heroin seberat 188.9 gram, syabu seberat 4.4kg, serbuk dadah Methamphetamine seberat 305 gram, serbuk dadah seberat 200 gram, 200 biji pil Eramin 5 dan 15 biji pil ekstasi.

“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM596,715. Ekoran kejayaan itu, kami menyita pelbagai harta pengedar dadah bernilai RM65,000,” katanya.

Thursday, 25 May 2017

Cetak wang palsu RM10,000 sehari

WAN RUKMAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada wang palsu RM100 yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Sindiket pencetakan dan pengedaran wang palsu yang aktif sejak setahun lalu tumpas dalam tempoh sembilan jam setelah enam individu terma­suk ketua mereka diberkas dalam tiga serbuan ber­asingan dekat sini kelmarin.

Penahanan kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu melibatkan empat lelaki dan dua wanita dilakukan bermula pukul 2.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Kesemua mereka ditahan di hotel bajet dan rumah di sekitar Bukit Tinggi di Klang, Taman Kandis di Shah Alam dan Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sela­ngor, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, semasa serbuan terhadap tiga lokasi terbabit didapati mereka sedang giat mencetak wang kertas palsu bernilai RM100 dan RM20.

Katanya, ini berikutan penemuan tiga set bara­ngan dan peralatan men­cetak serta wang palsu yang telah siap diproses bernilai RM12,500.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini mempunyai kepakaran tinggi berikutan wang kertas yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi.

“Mereka mampu meng­hasilkan kira-kira RM10,000 wang palsu dalam satu hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Tuesday, 4 April 2017

Ibu bapa degil bakal dipenjara

WAN AHMAD NAJMUDDIN memperkatakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak, Muaz Tumilan sambil diperhatikan Musalma (tengah) ketika melawat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU
– Ibu bapa yang masih berdegil membiarkan anak-anak mereka keluar berbasikal sehingga larut malam bakal dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, tiada lagi amaran sekiranya polis mendapati ibu bapa kanak-kanak terutama yang pernah ditahan sebelum ini masih tidak ambil peduli mengenai perbuatan zuriat mereka.

Kesalahan membiarkan anak-anak tanpa pengawasan membolehkan ibu bapa didakwa mengikut Seksyen 33 akta tersebut yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 jika didapati bersalah.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan drastik dengan meng­hukum ibu bapa. Bagaimanapun sekiranya perkara ini berleluasa, saya akan arahkan semua ketua polis daerah untuk mengambil tindakan.

“Tindakan yang akan diambil termasuk menuduh mereka (ibu bapa) di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kita ada peruntukan itu dan ia akan diambil sekiranya kesalahan ibu bapa berulang dengan membiarkan anak mereka keluar sehingga larut malam,” katanya.

Wednesday, 15 March 2017

Ramai pasang 'perangkap maut' di rumah

DATUK Wan Mohd Nor Ibrahim menunjukkan gelungsur jeriji untuk membuka tingkap ketika melihat rekabentuk jeriji yang mudah dibuka semasa lawatan selepas mesyuarat rekabentuk dan pemasangan jeriji dari aspek kemudahan keselamatan kebakaran di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.


PUTRAJAYA: Pemilik rumah dinasihatkan jangan memasang jeriji jenis statik kerana ia menjadi antara punca utama penghuni terperangkap ketika kebakaran. 

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata pihaknya memandang serius kejadian kebakaran sehingga menyebabkan kematian yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

"Selain itu, kematian semasa kebakaran juga berlaku kerana faktor lain seperti mangsa panik, terlalu banyak sekatan atau halangan ke tempat keluar, namun aspek pemasangan jeriji perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh masyarakat. "Dalam banyak situasi, pemasangan jeriji untuk keselamatan, seperti tidak dimasuki pencuri, namun pemasangan jeriji itu tidak mengambil kira aspek keselamatan penghuni sekiranya berlaku kebakaran," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat reka bentuk dan pemasangan jeriji mengikut aspek kemudahan keselamatan kebakaran, di sini hari ini. Wan Mohd Nor berkata, bagi memenuhi keperluan keselamatan persekitaran dan kebakaran, pemasangan jeriji jenis mudah buka dari dalam adalah disyorkan kerana tidak menjadi halangan semasa kecemasan selain tidak memerlukan penyelenggaraan yang rumit. 

"Antara lain yang perlu dititikberatkan oleh pemilik rumah ialah memasang peralatan bantuan semasa kebakaran seperti alat pemadam api, alat pengesan asap dan juga 'fire blanket'. "Alat pemadam api itu berfungsi untuk memadamkan kebakaran pada peringkat awal sebelum merebak menjadi lebih besar, manakala alat pengesan asap yang sesuai dipasang ialah jenis yang menggunakan bateri. 

"Dari segi lokasi pula kita syorkan alat pengesan asap dipasang di luar bilik tidur kerana kebanyakan kes berlaku ketika penghuni sedang tidur iaitu antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi," katanya.

Sunday, 19 February 2017

Dadah 'Strawberry quick' belum masuk Malaysia

'Strawberry Methamphetamine' atau ‘Strawberry Quick' yang popular di Amerika dan India.

Melaka: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan kemasukan dadah baru dikenali sebagai 'Strawberry Methamphetamine' atau ‘Strawberry Quick' di negara ini seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata dadah berkenaan mula diedar dan digunakan di Amerika Syarikat dan Arab diikuti benua India dan Asia Tenggara namun ia masih tidak memasuki Malaysia.

“Ia (dadah itu) hanya diedar dan digunakan pelajar sekolah di New Delhi, India sebelum digunakan lebih meluas pada 2010. Asalnya diguna dan diedarkan di Amerika Syarikat pada 2007," katanya selepas perasmian Program Harm Reduction: Melaka Menuju Bebas HIV 3.0 bersempena Melaka Car Free Zone di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izhar berkata walaupun dadah berkenaan belum dikesan di pasaran negara ini, masyarakat khususnya ibu bapa disaran tidak memandang ringan atau lepas tangan terhadap isu dadah baru itu.

Beliau berkata, tidak mustahil dadah itu akan memasuki Malaysia dan ibu bapa perlu peka terhadap pergerakan, pergaulan serta tingkah laku anak serta anggota keluarga.

“Kemunculan dadah baru berkenaan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan pembungkusannya menyasar pelajar sekolah," katanya.

Thursday, 9 February 2017

Keluarga perlu bantu rawat gila meroyan

Sedutan akhbar tempatan mengenai ibu yang sanggup menikam anaknya sendiri akibat disyaki mengalami tekanan perasaan (penyakit gila meroyan) selepas bersalin.

JARANG sekali seorang ibu tidak bergembira dengan kelahiran anaknya.

Jika kelahiran itu menimbulkan perasaan negatif, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan psikologikal ibu tadi.

Begitulah yang boleh digambarkan dengan kejadian seorang ibu yang mengelar leher bayinya yang berusia dua bulan di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Dalam kehidupan yang normal, tidak ada ibu atau bapa yang sanggup menyakitkan anak mereka sendiri, apatah lagi untuk mencederakan anak kecil yang masih tidak memahami apa-apa.

Bagaimanapun, itulah sebahagian daripada rencam kehidupan yang berlaku di seluruh dunia.

Ibu muda itu berkemungkinan dilanda gejala post partum psychosis (PP) atau dalam bahasa yang selalu diguna orang awam sebagai gila meroyan.

Ibu muda itu mendakwa bahawa dia mendengar bisikan halus yang menyuruhnya berbuat demikian.

Sekali imbas, adalah tidak logik seseorang akan mendengar bisikan mistik seumpama itu.

Sebenarnya, bisikan-bisikan tersebut hanyalah reaksi minda yang sukar ditafsirkan. Ia kelihatannya seperti nyata, walaupun hakikatnya hanyalah ilusi.

Ada sesetengah orang akan mendengar bisikan tertentu yang menyuruh mereka melakukan sesuatu tindakan buruk.

Di Barat, kes melibatkan ibu bersalin dikenali sebagai depression. Kebanyakan kes di sana melibatkan pembunuhan bayi dan ahli keluarga yang lain.

Halusinasi


Bagi orang lain pula, mereka mungkin diserang dengan halusinasi bersifat visual, misalnya melihat serangga atau objek tertentu yang merayap pada tubuh mereka.

Halusinasi juga ada yang berbentuk haruman tertentu yang dapat dihidu oleh pesakit.

Ada juga yang berasakan terdapat makhluk atau objek tertentu mengekori mereka sekalipun dalam realitinya ia tidak wujud.

PP ini dianggap sebagai gejala psikologikal teruk kerana kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini akan mengalami gejala lain termasuk kemurungan, kebimbangan dan menangis.

Pada peringkat yang lebih teruk, mereka akan mengalami delusi atau perasaan negatif tentang diri sendiri atau bayi mereka.

Ada yang menggambarkan diri mereka sebagai manusia tidak berguna dan tidak mempunyai pengharapan dalam hidup.

Sebahagian yang lain, mereka akan terganggu dengan perasaan tidak rasional seperti ada orang yang akan menculik anak mereka atau mereka melahirkan anak yang memiliki ciri-ciri istimewa.

Dalam konteks masyarakat kita, gejala ini sering dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.

Begitupun, hakikatnya ia merupakan antara simptom yang biasa berlaku dalam kadar satu atau dua kes daripada purata 1,000 ibu yang melahirkan anak.

Perubahan hormon, psikologikal dan fizikal yang ketara selepas bersalin dianggap sebagai punca kepada berlakunya PP.

Ibu yang melahirkan anak juga biasanya mengalami trauma yang teruk dengan kehilangan tenaga diakibatkan proses bersalin.

Semua ini akan memudahkan lagi seseorang itu mengalami PP. Simptom ini dianggap normal sekiranya ia hanya berlaku dalam masa yang pendek.

Bagaimanapun, sekiranya ia berpanjangan sehingga beberapa minggu atau beberapa bulan, mereka yang mengalaminya mestilah segera untuk mendapatkan rawatan pakar.

Ini kerana delusi yang dialami itu cenderung untuk mengubah pemikiran pesakit dengan dua perkara iaitu membinasakan diri sendiri atau orang lain.

Justeru itu, suami atau ahli keluarga yang terbabit tidak sepatutnya mengambil mudah sekiranya pasangan mereka yang baru bersalin menunjukkan reaksi pelik mengenai kehidupan mereka atau anak yang dilahirkan.

Ia tidak boleh dianggap sebagai hanya perkara normal atau sekadar cakap kosong kerana ada kemungkinannya ibu tadi sedang mengalami gejala mental diakibatkan oleh kelahiran anak.

Perubahan watak


Sebahagian daripada ibu tadi boleh dilihat dengan melihat perubahan watak yang sangat ketara selepas melahirkan anak.

Misalnya, seorang yang periang tiba-tiba mula menunjukkan riak wajah murung atau tidak ceria seperti yang sepatutnya.

Ahli masyarakat pula tidak wajar memberikan label yang tidak sewajarnya kepada ibu yang mengalami gejala gila meroyan.

Ia hanyalah sebahagian daripada penyakit psikologikal yang wujud dalam masyarakat.

Bagi yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit ini, kecenderungan untuk mereka mengalami sindrom sama juga adalah besar.

Justeru itu, sebelum mengambil keputusan melahirkan cahaya mata, mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dulu.

Penyakit gila meroyan ini dapat dikurangkan dengan ubat tertentu selain sokongan ahli keluarga sebagai terapi.

Kita tidak boleh beranggapan bahawa orang lain tidak mempunyai sebarang masalah setelah bersalin, maka pasangan atau ahli keluarga kita juga sepatutnya dalam keadaan yang sama.

Setiap manusia selalu diuji dengan ujian yang berbeza-beza sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Mungkin ujian ini akan menjadi bekalan untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

DR. MOHD. AWANG IDRIS
Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan
Sosiologi, Universiti Malaya.

Monday, 2 January 2017

32 kes potong cincin pada zakar


KUALA LUMPUR – Walaupun perbuatan menyarung cincin pada kemaluan lelaki bagi tujuan seks mengundang padah, namun masih ramai yang me­lakukannya.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menunjukkan 80 peratus atau 32 daripada 40 kes yang dilaporkan dalam tempoh tiga tahun membabitkan khidmat bantuan pemotongan cincin pada kemaluan lelaki.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 peratus iaitu lapan kes sahaja membabitkan pemotongan cincin pada jari di tangan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani (gambar kecil) berkata, pelbagai jenis cincin digunakan termasuk jenis besi, logam dan aluminium menyebabkan pihak bomba mengalami kesukaran untuk memotong cincin berkenaan.

Katanya, teknik pemotongan menjadi lebih sukar apabila cincin yang tebal dan keras itu disarungkan pada kemaluan lelaki berikutan keadaan struktur zakar itu tidak bertulang berbanding jari di tangan.

“Pada 2014 sebanyak 10 kes membabitkan khidmat potong cincin dilaporkan dan diikuti dengan 22 kes bagi tahun 2015 dan terbaru tahun 2016 sebanyak lapan kes.

“Rata-rata mangsa mementingkan keseronokan diri sendiri tanpa memikirkan kesakitan yang bakal ditimpa khususnya ketika kerja-kerja pemotongan cincin itu dilakukan di mana mereka perlu menahan kesakitan berjam-jam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Saturday, 24 September 2016

Polis larang penggunaan drone

Tan Sri Khalid Abu Bakar
PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang mana-mana pihak menggunakan drone dalam apa juga situasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, larangan itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai isu keselamatan.

“Semua pihak dilarang menggunakannya termasuklah media,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan penggunaan drone dalam perhimpunan.

Namun katanya, pihaknya sedang melatih kakitangannya menggunakan drone dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita sedang melihat standard operasi prosedur (SOP) dan penggunaannya. Sebenarnya kita telah menggunakannya bermula tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, Khalid merasmikan program laporan kesesakan trafik terus dari udara 'Eye in The Sky' dengan kerjasama Kumpulan Media Star (SMG) di sini, semalam.

Kolaborasi yang dibuat menerusi pasukan unit udara PDRM itu, salah satu inisiatif memerangi jenayah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Pengguna lebuh raya akan menikmati laporan kesesakan lalu lintas langsung dari udara setiap 20 minit pada waktu puncak.

Penyampai trafik bagi SMG, Priscilla Patrick akan bersama-sama lima anggota PDRM membuat laporan trafik tiga kali seminggu pada waktu puncak pagi dan petang.

Khalid memberitahu, selain laporan trafik, Eye in The Sky turut melaporkan kes jenayah yang berlaku terus kepada masyarakat.

“Kita akan serahkan kepada penyampai untuk disampaikan kepada orang awam mengenai perkara yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tiga helikopter PDRM akan digunakan secara bergilir-gilir bagi melaksanakan program tersebut.

“Program ini berjalan di seluruh negara dan tumpuannya sudah tentu di sekitar Lembah Klang.

“Saya harap perlaksanaan inisiatif ini dapat memberi faedah terbaik demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Friday, 26 August 2016

JPJ saman anggota sendiri guna telefon bimbit semasa memandu


KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyaman seorang anggotanya yang didapati menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan jabatan itu.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, JPJ memberitahu, saman itu dikeluarkan sendiri oleh Pengarah Penguat Kuasa jabatan itu selepas gambar anggota berkenaan memandu sambil menggunakan telefon bimbit tersebar di laman media sosial sejak semalam.

“Siasatan mengenai perkara itu dengan segera dibuat dan jabatan mengesahkan kebenaran maklumat tersebut.

“Anggota itu juga sudah ditukarkan ke bahagian lain serta dirujuk kepada lembaga tatatertib kerana mencemarkan imej jabatan untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan terbabit, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam kes kesalahan undang-undang jalan raya.

“Jabatan sentiasa mengingatkan anggotanya supaya sentiasa menghormati undang-undang jalan raya dan menjadi contoh kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Wednesday, 3 August 2016

Ramai rakyat Kedah terjebak Daesh

Sebahagian daripada individu dipercayai anggota Daesh didakwa di Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Mei lalu atas pertuduhan merancang melakukan kegiatan keganasan di negara ini.
ALOR SETAR – Polis Kedah memandang serius penglibatan segelintir penduduknya dengan kumpulan pengganas Daesh atau Islamic State (IS)sehingga negeri itu seolah-olah menjadi pusat merekrut ahli baharu pengganas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, sehingga kini, seramai 192 orang telah ditahan di seluruh negara kerana terlibat dengan militan Daesh dan daripada jumlah tersebut, 35 orang berasal dari negeri ini.

Menurut beliau, jumlah penduduk dari Kedah yang ditahan itu juga termasuk 11 individu yang terbabit dalam serangan bom tangan di kelab malam di Puchong, Selangor pada 28 Jun lepas.

“Daripada 35 anggota Daesh Kedah yang ditahan, dua membabitkan anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda,” kata beliau selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kedah di sini semalam.

Monday, 11 July 2016

Permintaan meningkat untuk pengawal peribadi bersenjata

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapha Ali.
PUTRAJAYA: Lebih ramai ahli perniagaan dan orang kenamaan kini mahu mendapatkan khidmat pengawal peribadi bersenjata dan melengkapkan kenderaan kegunaan mereka serta keluarga dengan cermin kereta kalis peluru.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapha Ali, tidak menolak kemungkinan fenomena itu berlaku berikutan peningkatan mendadak kes jenayah menggunakan senjata api kebelakangan ini, terutama serangan membabitkan pembunuh upahan. 

"PPKKM akan mengadakan perbincangan dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat bagi merancang program untuk melatih lebih ramai pengawal peribadi dan pengawal keselamatan bersenjata. "Ada kira-kira 800 syarikat keselamatan berdaftar di negara ini, yang mempunyai sekitar 200,000 pengawal keselamatan tetapi hanya kira-kira 10 peratus daripada mereka yang mempunyai lesen membawa senjata api. 

"Dulu, kita ada ramai bekas tentera dan polis yang mahu menjadi pengawal keselamatan dan mereka sudah ada pengalaman guna senjata api tetapi kini tidak ramai dalam kalangan mereka memilih kerjaya ini. Justeru, kita perlu melatih dalam kalangan orang awam," katanya lagi.

Beliau menegaskan seseorang calon perlu lulus saringan keselamatan, kesihatan mental dan fizikal, mempunyai rekod bersih, terbukti bertanggungjawab serta lulus latihan senjata sebelum diberi lesen 'membawa dan menggunakan' senjata api. "Gaji mereka pula antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan tidak termasuk kerja lebih masa selain bergantung kepada ketangkasan, pengalaman berkhidmat sebagai polis atau tentera serta sama ada memiliki kemahiran seni mempertahankan diri. 

"Bagaimanapun, individu yang mahukan perlindungan untuk tujuan tertentu boleh juga mendapatkan khidmat pengawal peribadi bersenjata berdasarkan tempoh berapa jam yang diperlukan," katanya. Sementara itu, jurucakap sebuah syarikat pembekal cermin keselamatan, STEC Laminates, berkata syarikatnya menerima purata lima panggilan seminggu sejak tiga minggu kebelakangan ini, daripada pelanggan yang bertanya mengenai pemasangan cermin kalis peluru untuk kenderaan. 

"Sebenarnya syarikat kami menghasilkan cermin keselamatan bagi perniagaan seperti kedai barangan kemas dan pengurup wang selain untuk kegunaan premis perniagaan serta kediaman, kebanyakannya untuk pasaran eksport. 

"Namun, sejak peningkatan kes tembak-menembak di sini, ramai yang bertanya mengenai cermin kalis peluru untuk kenderaan dan kami merujuk mereka kepada pelanggan kami yang melakukan kerja pemasangan cermin kalis peluru ini. 

"Harga bergantung kepada kenderaan dan ketebalan cermin, yang berfungsi mengurangkan kelajuan serta menghentikan peluru daripada menembusinya. Ia berupaya menahan antara tiga hingga enam das tembakan pada satu-satu masa," katanya. 

Jurucakap sebuah lagi syarikat, Secuglass Sdn Bhd, berkata semakin ramai pelanggan kini mahu menggantikan cermin biasa di kediaman masing-masing dengan kaca balistik iaitu sejenis cermin kalis cahaya yang juga kalis peluru.

Saturday, 9 July 2016

Rakyat Malaysia ke Indonesia dikenakan pemeriksaan menyeluruh

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta
JAKARTA 9 Julai - Rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara rawak tidak lama lagi.

Syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh media-media tempatan menyebut, pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa barangan terlarang terutamanya dadah.

Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi berkata, tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

"Dalam perbincangan kami dengan Kementerian Perhubungan, ternyata banyak hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat, yakni Singapura dan Malaysia. Oleh kerana itu, menteri telah bersetuju untuk mengadakan 'random check-in', dari pesawat penumpang untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian Perhubungan bagi menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-ddua buah negara berkenaan.

Budi berkata, pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia.

Katanya, pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. - BERNAMA

Thursday, 7 July 2016

Pastikan anggota tentera tidak terpengaruh

Majlis Pemakaian pangkat anggota LLP KAGAT
Putrajaya: Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) diberi peranan untuk memastikan anggota tentera di negara ini tidak terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan Daish.

Pada masa sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pemantauan terhadap setiap anggota tentera melaui KAGAT akan dilaksanakan secara berterusan.

"Penularan pengaruh militan Daish di seluruh dunia adalah sangat kompleks, tetapi ia bukan sesuatu yang diluar pengetahuan kerajaan.

"Ia bukan sekadar ideologi semata-mata, tetapi turut berkait rapat dengan usaha memenangi hati dan fikiran.

"Dalam kes tertentu, seseorang itu menyertai kumpulan pengganas ini kerana kesedihan peribadi, tidak puas hati dengan sesuatu perkara," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Kabinet 2016 di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan pengaruh militan Daish dalam kalangan anggota polis serta inisiatif dilaksanakan ATM bagi memastikan anggotanya tidak terpengaruh.

Hishammuddin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan segala yang mampu, khususnya berkongsi amalan terbaik dan maklumat dengan pasukan tentera lain di seluruh dunia.

Thursday, 30 June 2016

Aplikasi bantu jejak pencuri telefon bimbit

ANTARA aplikasi penjejak pencuri popular yang mendapat muat turun tinggi daripada pengguna.
BEBERAPA bulan lalu, seorang lelaki mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kekecohan dan sentimen perkauman di ibu negara. 

Bagaimanapun, kejadian seumpama itu boleh dielak pada masa depan, berikutan pelbagai inovasi teknologi yang diperkenalkan sekarang. Aplikasi seperti GotYa! dan Lockwatch boleh mengenal pasti pencuri dengan mudah tanpa perlu mencetuskan kekecohan seperti yang berlaku di Plaza Low Yat sebelum ini. 

Aplikasi itu mudah untuk dimuat turun di semua platform peranti tidak kira telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android, iOS atau Windows Konsepnya mudah, ia membantu pemilik peranti merakamkan wajah mana-mana individu bukan pemilik gajet yang melakukan cubaan memecah masuk telefon pintar serta mencuba memasukkan kata laluan salah beberapa kali.

Hasilnya, pemilik peranti kini boleh mengetahui mana-mana individu khususnya jika telefon mereka dicuri apabila maklumat pengguna akan dihantar terus ke sistem e-mel pemilik telefon termasuk dari segi kedudukan telefon pintar itu dikesan serta gambar. 

Bagaimanapun, timbul keraguan bagi sesetengah pihak yang menyanggah dan mendakwa aplikasi baharu seperti itu tidak boleh digunakan sebagai bukti kesalahan mencuri walaupun memperoleh gambar wajah individu yang cuba memecah masuk. 

Oleh yang demikian, pihak kami cuba mendapatkan penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penggunaan aplikasi berkenaan sama ada ia diterima sebagai bukti di undang-undang atau sebaliknya. 

Mengulas perkara itu, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), SAC Mohd Kamarudin Md Din, berkata walaupun pemilik peranti berjaya merakamkan gambar individu yang disyaki sebagai pencuri, namun pihak polis memerlukan bukti lain seperti saksi yang melihat gajet berkenaan diragut atau dirampas. 

"Ia memerlukan sokongan bukti lain yang menunjukkan ia dicuri, barulah boleh digunakan sebagai bukti. "Jika kita hanya menggunakan bukti gambar wajah seseorang individu, berkemungkinan dia yang menemui peranti ini dan melihatnya sahaja," katanya. 

Beliau bagaimanapun berkata, pihak polis tidak mempunyai masalah sekiranya gambar berkenaan digunakan untuk membawa mereka kepada suspek yang disyaki mencuri peranti terbabit. -BH