Showing posts with label Aviation. Show all posts
Showing posts with label Aviation. Show all posts

Saturday, 21 October 2017

MAS diterajui anak tempatan

Kapten Izham Ismail

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) mengumumkan Kapten Izham Ismail dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan syarikat itu.

MAS dalam satu kenyataan berkata, Izham, 56, akan menyandang jawatan tersebut berkuat kuasa pada 1 Disember 2017 bagi menggantikan Peter Bellew yang menyertai semula syarikat Ryanair Holdings Plc. dan kini dalam cuti pentadbiran.

Menurut MAS, keputusan me­lantik Izham itu adalah selaras dengan pelan penggantian yang diputuskan syarikat sebagai sebahagian daripada 12 perkara dalam Pelan Pemulihan Malaysian Airlines (MRP).

Izham, yang mendapat latihan penerbangan di Philippines Airlines Aviation School memiliki 38 tahun pengalaman sebagai juruterbang MAS termasuk me­ngendalikan pesawat Boeing 747 dan Airbus 330.

“Bagi memastikan pertukaran berjalan lancar, Jawatankuasa Eksekutif Lembaga yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri Md. Nor Yusof akan dikekalkan bagi tempoh enam bulan.

“Izham akan mengambil alih tugas sebagai CEO pada 1 Disember 2017 selepas pemergian Peter Bellew yang masih dalam tempoh bercuti,” katanya dalam kenya­taan itu yang dikeluarkan di sini semalam.

Wednesday, 22 March 2017

TUDM lengkap penerimaan 4 pesawat A400M


LANGKAWI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sebuah lagi pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus, A400M menjadikan jumlah keseluruhan empat buah yang diterima pasukan keselamatan itu sejak 2015. 

Pesawat A400M adalah pesawat moden dari segi teknologi berbanding C130 yang berada dalam inventori TUDM. Berdasarkan rekod, A400M pertama diterima pada 9 Mac 2015 diikuti pesawat kedua dan ketiga masing-masing pada Januari dan Jun tahun lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerima plak daripada Ketua Pesawat Tentera Airbus Fernando Alonso sebagai simbolik penyerahan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Majlis penyerahan rasmi pesawat untuk kegunaan No 22 Skuadron TUDM itu adalah antara atur cara yang disusun bagi memeriahkan segmen aeroangkasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) yang memasuki hari kedua hari ini.

Saturday, 9 July 2016

Rakyat Malaysia ke Indonesia dikenakan pemeriksaan menyeluruh

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta
JAKARTA 9 Julai - Rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara rawak tidak lama lagi.

Syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh media-media tempatan menyebut, pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa barangan terlarang terutamanya dadah.

Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi berkata, tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

"Dalam perbincangan kami dengan Kementerian Perhubungan, ternyata banyak hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat, yakni Singapura dan Malaysia. Oleh kerana itu, menteri telah bersetuju untuk mengadakan 'random check-in', dari pesawat penumpang untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian Perhubungan bagi menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-ddua buah negara berkenaan.

Budi berkata, pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia.

Katanya, pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. - BERNAMA

Wednesday, 13 April 2016

TAN SRI SYED AZMAN SYED IBRAHIM BILIONAIR MELAYU 'LOW PROFILE'

TAN SRI SYED AZMAN SYED IBRAHIM...
BILIONAIR MELAYU 'LOW PROFILE' YANG MEMILIKI 4 JET EKSEKUTIF & LEBIH 40 BUAH HELIKOPTER!


Beliau asalnya adalah seorang pegawai perisikan tentera yang berkhidmat selama 13 tahun dalam ATM hingga memperoleh pangkat Mejar. Pada tahun 1993, setelah berhenti dari tentera, beliau dan isteri memulakan perniagaan kereta terpakai. Anak jati Sungai Petani, Kedah ini kemudiannya mula berulang-alik ke London untuk membeli kereta terpakai sebelum menjualnya di Malaysia. Masa tu beliau tidak memiliki AP namun dia berkongsi AP dengan rakan-rakan yang memiliki permit tersebut. Lama kelamaan beliau berjaya juga memiliki AP dari kerajaan dan perniagaan keretanya semakin menjadi sebutan.

Kemudian kerajaan mengambil keputusan memberhentikan pemberian AP terbuka dan hanya menawarkan franchise AP. Untuk mendapatkan franchise AP, Syed Azman perlu dilantik oleh syarikat kereta asing sebagai pengedar then barulah permit itu dianugerahkan kepadanya. Nasib menyebelahinya apabila beliau berjaya mendapatkan kepercayaan daripada Honda untuk melantiknya sebagai pengedar beberapa jenis kereta tersebut di Malaysia antaranya Honda Jazz. Kemudian Syed Azman mendapat hak untuk mengedar pula Chevrolet dan Suzuki.

Dalam satu temubual dengan akhbar The Star tak lama dulu, Syed Azman berkata, selama menjalankan urusan perniagaan, beliau bosan kerana masanya banyak habis di jalan lalu rakannya mencadangkan beliau membeli helikopter saja untuk ke sana dan ke sini. Pada tahun 2003, beliau membeli sebuah helikopter dengan harga US$1.5 juta bagi kegunaan hariannya, bila heli itu tidak digunakannya, beliau sewakan saja pada mereka yang berminat. Ketika itulah beliau sedar yang permintaan untuk helikopter ini tinggi di Malaysia. Lima tahun kemudian, beliau berjaya mendapatkan kontrak pertama untuk menyediakan perkhidmatan helikopter untuk membawa pekerja sektor minyak dan gas ke pelantar.


Dan hari ini, pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) itu memiliki lebih 40 buah helikopter, empat buah jet persendirian dan beliau juga memiliki kontrak bernilai RM8 billion bagi membawa pekerja pelantar minyak hingga menjadikannya antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia ketika ini. Ini belum campur perniagaan peluru berpandu, peralatan pertahanan, hartanah, kenderaan, pembinaan etc. Walaupun harta dan asetnya mencecah bilion ringgit, Syed Azman enggan menyatakan jumlahnya. Beliau hanya menjawab: "Saya tak boleh beritahu jumlah harta saya, mak saya tak suka"

Hehehe...comel tak jawapan tu?

Sumber: Syahril A. Kadir

Monday, 11 April 2016

DCA gantung Rayani Air tiga bulan

PUTRAJAYA - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan penggantungan sementara Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, notis penggantungan dihantar kepada syarikat penerbangan patuh syariah itu hari ini.  

Katanya, siasatan ke atas Rayani Air akan dijalankan pada 12 Mei berhubung perintah penggantungan.

"Penggantungan akan ditarik balik jika mereka memenuhi semua syarat atau kami boleh menggantung secara kekal (Rayani Air) atau mengenakan masa lebih lama. Tiga bulan adalah sementara.

"Kami telah berbincang dengan syarikat penerbangan itu dan mereka tahu mengenainya. Terpulang kepada mereka menambah baik perkhidmatan," kata Azharuddin pada sidang akhbar di sini.

Azharuddin berkata ini kali pertama AOC sebuah syarikat penerbangan digantung di bawah Peraturan 24 Peraturan Penerbangan Awam 1996.

Ditanya sama ada penggantungan syarikat penerbangan itu menjejas reputasi industri penerbangan negara, Azharuddin berkata DCA setakat menjalankan kuasanya selaras dengan peraturan berkaitan.  

"Kita tidak boleh biarkan syarikat penerbangan yang telah melanggar peraturan meneruskan penerbangan. Kita perlu berbuat sesuatu," katanya.

Rayani Air menggantung operasinya Jumaat lepas sehingga diberitahu kelak, sambil menyebut tindakan mogok juruterbangnya sebagai alasan.  

Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh itu dilancarkan tiga bulan lepas.      

Ia merupakan syarikat penerbangan patuh syariah yang pertama di Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines and Iran Air.

Rayani Air, dalam catatan Facebooknya, berkata pelanggan oleh menghubungi pusat penggilannya di +603-27214925 untuk pertanyaan lanjut. - Bernama