Showing posts with label Military. Show all posts
Showing posts with label Military. Show all posts

Sunday, 3 June 2018

ATM bakal terima Panglima baharu

Perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal bertukar apabila Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin disebut akan dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara pada Disember nanti.

Difahamkan perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

Zulkifli, 60, sebelum ini merupakan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan Naib Canselor (NC) Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).

Beliau yang sepatutnya bersara wajib pada 30 November ini telah pun menyerahkan tugas sebagai NC UPNM kepada penggantinya, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal pada Mei lepas.

Bagaimanapun, Zulkifli dipanggil semula untuk berkhidmat bagi menerajui ATM sebagai PAT ke-20.

Zulkifli yang dilantik sebagai PTD pada 2011 melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian dan dipindahkan ke UPNM sebagai NC buat kali kedua selepas kali pertama pada 2008.

Beliau yang memulakan kerjaya ketenteraan pada 1978 memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan pemerintahan. - KOSMO

Wednesday, 24 January 2018

Kebangkitan semula tentera Jepun di Asia

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berdiri tengah, meninjau perbarisan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF).


JEPUN mempunyai bala tentera yang digeruni, lengkap dengan persenjataan serba canggih berbanding negara-negara lain di Asia lain semasa Tokyo terlibat dalam Perang Dunia Kedua beberapa dekad lalu.

Malah, siapa sangka, tentera Nippon juga memiliki dua buah kapal perang paling besar di dunia iaitu Yamato dan Mushashi. 

Kapal seberat 72,000 tan dan panjang lebih 260 meter itu menjadi simbol kekuatan  armada Jepun di laut.

Malah, Jepun ketika itu setanding dengan Amerika Syarikat (AS)  apabila mempunyai bukan satu atau dua tetapi 10 buah kapal pengangkut pesawat. Kapal induknya, Shinano adalah antara yang paling besar ketika itu. 

Umum juga  tahu bahawa letupan dua bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menjadi titik noktah cita-cita imperialisme Tokyo.

Selepas negara itu diduduki tentera AS dalam tahun 1945 hingga 1952, Jepun mendapatkan semula kemerdekaannya. Namun, tenteranya  yang kuat suatu masa dahulu hanya tinggal sejarah.

Di bawah perlembagaan pasca perang yang digubal, Jepun dilarang daripada melancarkan perang, manakala pada tahun 1954, tentera Jepun berwajah baharu dinamakan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) ditubuhkan. 

Jika dilihat pada namanya, tentera baharu itu hanya sekadar memenuhi syarat sebuah negara yang merdeka dan dipenuhi dengan kekangan. Rakyat Jepun amnya, sudah jelik dengan perang dan kuasa tentera Asia yang dahulunya gah ibarat harimau yang hilang taring. 

Sejak penubuhannya, JSDF bukan sahaja pasukan tentera yang tidak digeruni, malah tidak pernah menyertai sebarang pertempuran.

Dari aspek perlembagaan, tiada halangan untuk Jepun muncul semula sebagai kuasa tentera utama seperti beberapa dekad lalu, namun rakyat dan pemimpinnya memberi tumpuan untuk memacu negara itu untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia.

Namun, perkembangan di Asia termasuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sehingga menceroboh sempadan wilayah Jepun dan keberanian China dalam isu tuntutan bertindih membuka mata Tokyo bahawa ia tidak selamanya boleh bergantung kepada pakatan pertahanan dengan AS.

Jepun sebenarnya mempunyai teknologi dan kepakaran jika ia mahu mempersenjatai semula angkatan tenteranya. Negara itu mempunyai lebih 300,000 askar termasuk pasukan  simpanan, hampir 3,000 kereta kebal dan perisai, lebih 200 artileri, kira-kira 100 peluru berpandu, hampir 1,700 pesawat tentera, 129 kapal dan 17 kapal selam. 

Jepun juga mempunyai dua buah kapal induk, Izumo dan Kaga yang berselindung di sebalik nama kapal pengangkut helikopter. Tokyo merancang mengubah suai kedua-dua kapal itu untuk fungsi sebenarnya, sebagai pangkalan bergerak untuk pesawat tempur. 

Dari aspek peluru berpandu pula termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Jepun tidak memilikinya, namun, harus diingat, Tokyo mampu  melancarkan roket dan satelit sendiri ke angkasa lepas. 

Ia bermakna Tokyo hanya memerlukan masa beberapa bulan sahaja untuk mengubah suai teknologi itu untuk menghasilkan ICBM sendiri.

Perkembangan semasa di Semenanjung Korea dan Laut Timur mendorong kebangkitan semula angkatan tentera Jepun. Dasar pasif yang sinonim dengan JSDF juga akan dirombak menjelang tahun 2020.

Perkembangan itu bakal menyaksikan sebuah kuasa tentera baharu akan muncul di rantau Asia selain China, India, Pakistan dan Korea Utara. 

Kebangkitan semula itu sedikit sebanyak akan mengubah status quo di rantau itu, sama ada ke arah kestabilan ataupun sebaliknya.  

Kredit: Wan Azhar Wan Abdullah

Sunday, 29 October 2017

ATM terima aset ketenteraan baharu

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
PALOH - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima lebih 20 aset baharu menerusi pembentangan bajet 2018 yang diumumkan semalam bagi meningkatkan kesiapsiagaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menyambut baik dan berpuas hati dengan peruntukan RM14 bilion yang diumumkan bagi dimanfaatkan untuk melaksanakan perolehan aset-aset baharu serta menyelenggara dan menaik taraf aset sedia ada di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Menteri Tugas- Tugas Khas berkata, bagi perolehan aset baharu, TDM akan menerima enam helikopter 'Light Attack' (MD 530-G), meriam 155mm Self Propelled Howitzer, meriam 105mm Pack Howitzer dan peralatan khas bagi Getup Gerak Khas (GGK).

"Perolehan aset dan kelengkapan latihan GGK ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani ancaman keselamatan semasa terutamanya ancaman militan Daesh.

"Bagi TLDM, akan menerima enam Littioral Combat Ship (LCS) dan empat Littoral Mission Ship (LMS) yang mana masing-masing masih di dalam proses pembinaan.

"Kapal kelas kelima yang dirancang untuk diperolehi di bawah program Transformasi 15-to-15 ini pula adalah Multi Role Support Ship (MRSS) yang mana saya telah arah TLDM untuk mengkaji perolehan kapal tersebut.

"Manakala bagi TUDM, kerajaan telah meluluskan perolehan empat unit pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang akan digunakan untuk mengawasi perairan negara termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka di bawah program Malacca Straits Patrol," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Task Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Paloh.

Selain itu, Hishamuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan menggunakkan peruntukkan sebanyak RM22 juta untuk menaiktaraf pos kawalan sedia ada serta membina 18 pos kawalan baharu di sempadan Sabah, Sarawak dengan Kalimantan.

Katanya, penaiktarafan itu melibatkan lima POS kawalan sedia ada yang dinaik taraf menjadi POS Gabungan, iaitu dua di Sabah (Pos Saliliran dan Pos Serudong) serta tiga di Sarawak (Pos Kandie, Pos Tebedu dan Pos Serikin).

"Inisiatif ini diharap mampu memantapkan lagi tahap keselamatan di Sabah dan Sarawak serta menangani ancaman keselamatan semasa," katanya.

Tuesday, 3 October 2017

2 lagi anggota TLDM mangsa dera

Pangkalan TLDM, Lumut tempat dua lagi anggota tentera yang mendakwa menjadi mangsa dera ketika bertugas.

IPOH – Selepas kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disahkan sebagai mangsa penderaan ketika berada di bilik tahanan Pusat Komunikasi TLDM, Unit Sungai Wangi, Setiawan pada Jumaat lalu, polis mengesan terdapat dua lagi anggota lain turut mengalami nasib sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedua-dua anggota TLDM berpangkat Laskar Kelas 1 (LK1) cedera di abdomen dan masing-masing yang berusia 30 tahun telah membuat laporan polis semalam selepas mendakwa mereka juga mengalami nasib sama seperti rakan mereka yang meninggal dunia.

Menurut beliau, susulan laporan tersebut, polis menahan reman dua anggota polis tentera (Protela) masing-masing berusia 29 dan 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seperti yang didakwa oleh dua anggota tentera berusia 30 tahun berkenaan.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini (semalam),” kata beliau selepas sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Sunday, 10 September 2017

Virtsim mantapkan kesiagaan anggota Tentera Darat


SUSUK tubuh lima anggota tentera itu bergerak perlahan-lahan secara taktikal sambil memegang raifal M4. Kelihatan salah seorang daripada mereka berjaga di bahagian belakang, manakala empat yang lain bergerak secara serentak menggeledah sebuah bangunan terbiar untuk mencari musuh.

Anggota tentera itu menyusup masuk dari satu tingkat ke tingkat dan menembak musuh satu persatu. Setelah beberapa ketika, kesemua musuh ditewaskan oleh mereka.

Menariknya, jika senario tersebut ditonton secara langsung, penonton hanya dapat melihat anggota tentera sahaja manakala bangunan dan musuh di lokasi berkenaan tidak kelihatan.

Situasi pertempuran itu sebenarnya tidak berlaku di alam realiti sebaliknya hanya dilakukan secara maya melalui paparan skrin pada peranti yang dikenali sebagai Head-Mounted Display (HMD).

Simulasi tempur itu merupakan sebahagian daripada Simulasi Latihan Maya (Virtsim) yang mula diguna pakai oleh Tentera Darat (TD) sejak dua bulan lalu.

Virtsim merupakan teknologi latihan pertempuran menggunakan simulasi arena realiti maya berbentuk tiga dimensi (3D).

Menerusi teknologi tersebut, anggota tentera boleh melaksanakan latihan pertempuran seolah-olah seperti berada dalam situasi pertempuran sebenar selepas pergerakan dan tubuh anggota diselaraskan dalam sistem maya mengikut pergerakan sebenar.

Teknologi itu yang dibangunkan oleh syarikat Motion Reality Inc. dari Georgia, Amerika Syarikat sebelum ini telah digunakan dalam pembikinan filem seperti The Lord of The Rings, Avatar dan The Avengers.

Sistem latihan pertempuran canggih itu memberi peluang kepada kru Jurnal untuk menyaksikan sendiri simulasi berkenaan di Pusat Simulasi Visual Tentera Darat yang terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pusat Simulasi Visual itu turut menempatkan ruang latihan dan pengendali, bilik pemerhati, bilik persiapan, tempat menunggu dan bilik ulang kaji.

Ruang latihan bersaiz 420 meter persegi dibina daripada satu set kekuda besar yang terdiri daripada 16 tiang teras.

Kit kekuda itu menempatkan 98 kamera menangkap pergerakan (motion capture) dengan diod pemancar cahaya (LED) yang disambung kepada stesen pengesan prestasi tinggi.

Kit tersebut juga menempatkan dua buah televisyen bertujuan untuk menayangkan aksi latihan kepada pemerhati, sementara ruang pengendali menempatkan peralatan komputer Virtsim.

Anggota Komando 21 GGK menunjukkan demo dalam latihan peperangan menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D.

Pelbagai senario


Menurut Pengarah POP TD, Kolonel Abdul Razak Hussain, objektif utama Virtsim adalah untuk meningkatkan kecekapan dan ketangkasan bertempur anggota dalam aspek keupayaan menembak, ketangkasan bertindak balas sewaktu bertempur dan keupayaan mengatur gerak anggota.

“Virtsim berupaya melaksanakan latihan pertempuran antara pelatih dengan kecerdasan buatan (AI) atau antara pelatih dengan pelatih.

“Perancangan bagi penggunaan sistem ini adalah untuk melatih setiap anggota infantri dan Grup Gerak Khas (GGK) yang terlibat dalam operasi khas dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia dilengkapkan dengan 48 senario pertempuran antaranya di kawasan padang pasir, lapangan terbang, dan kawasan yang mempunyai bangunan. Senario kawasan hutan, paya dan sungai masih dalam pembangunan oleh syarikat pembekal,” katanya kepada kru Jurnal baru-baru ini.

Tambahnya, Virtsim terbahagi kepada empat peringkat latihan iaitu persiapan, penyelarasan, latihan dan ulang kaji. Terdapat dua senjata yang dibekalkan semasa latihan simulasi iaitu raifal M4 dan pistol Sig Sauer P226.

Untuk setiap simulasi, seramai 12 orang anggota boleh dilatih pada satu-satu masa dan tahap latihan pula terdiri daripada tahap permulaan (beginner), pertengahan (intermediate), lanjutan (advanced) dan pakar (expert).

Antara manfaat sistem itu termasuklah keperluan ruang latihan yang kecil dan boleh digunakan dalam apa jua keadaan cuaca, mengolah senario pertempuran tanpa had berdasarkan objektif latihan, menukar senario dalam masa singkat selain sesi latihan boleh direkod dan diulang tayang dari semua sudut latihan bagi memudahkan perbincangan ulang kaji.

PUSAT Simulasi Visual terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.


Tahap kesiagaan


Sementara itu, Leftenan Jusman Muktar daripada 21 GGK yang telah menguji sistem tersebut berkata, menerusi latihan itu tahap kesiagaan anggota dapat ditingkatkan semasa operasi.

“Pelatih akan terkena sedikit renjatan elektrik dan sistem anggota akan dimatikan jika terkena tembakan.

“Selain itu, latihan ini menuntut kita untuk berkomunikasi dengan anggota lain bagi mencapai objektif dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelas Jusman, anggota harus lebih berhati-hati jika melawan AI di tahap pakar kerana musuh akan sentiasa menembak tepat ke arah anggota.

“Kita juga mengulang kaji dengan melihat semula taktikal anggota menerusi rakaman video untuk mengenal pasti kesilapan,” tambahnya.

Sebelum bermula latihan, Jusman turut menunjukkan cara-cara pemakaian sut latihan.

“Pertama, anggota akan memakai pin pengesan pergerakan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut, lengan dan pergelangan tangan. Kemudian peranti renjatan elektrik akan dipakaikan pada lengan.

“Selepas itu, anggota akan memakai beg yang mengandungi sistem Virtsim dan HMD sebelum dibekalkan dengan senjata,” katanya.

Anggota kemudiannya akan dibawa untuk penyelarasan pergerakan. Latihan akan berjalan mengikut objektif dan selepas itu, anggota akan dibawa untuk melihat rakaman latihan bagi tujuan ulang kaji.

Saturday, 9 September 2017

ATM sedia hantar misi kemanusiaan ke Rakhine



KUALA LUMPUR – Angkatan Ten­tera Malaysia (ATM) bersedia menyertai misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat Ro­hingya di Ra­khine, Myanmar, jika diperlukan, ka­ta Panglima ATM, Jene­ral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (gambar).

Beliau berkata, ATM sebagai sebuah organisasi yang lengkap dan mempunyai pe­ngalaman luas dalam beberapa misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa memang mempunyai satu batalion khas untuk melaksanakan tugas-tugas khas seperti dalam misi pengaman dan kemanusiaan.

“Semalam saya dapat arahan daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) untuk kita melihat apa keperluan yang kita boleh kita sedia untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine dan yang berlindung di sempadan Bangladesh.

“Kita mampu me­ngerak­kan (misi kemanusiaan) sekiranya perlu, sekiranya kalau perubatan diperlukan kita hantar satu hospital lapangan, kita mempunyai keupayaan tersebut,” katanya ke­­pada pemberita pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-84 pada 16 September ini

Beliau berkata, ATM pernah menyertai be­­­­berapa misi kemanusiaan seperti di Lebanon, Congo, Somalia, Namibia dan Kemboja selain pernah membuat misi kemanusiaan di Aceh, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata pengalaman menyertai misi-misi berkenaan selain Malaysia yang dikenali sebagai negara bersemangat muhibah akan memudahkan ATM menyertai misi kemanusiaan dan pengaman.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam beberapa misi pengaman dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat pengiktirafan Jabatan Operasi Pengaman PBB.

Satu pasukan ATM disokong oleh Sukarelawan iM4U dijangka akan menghantar satu pasukan tinjauan bagi misi kemanusiaan ke Dhaka dan Chittagong, Bangladesh, berikutan krisis kemanusiaan yang berlaku di Rakhine dan sempadan Bangladesh ketika ini. – BERNAMA

Wednesday, 23 August 2017

AS tidak undur dari Afghanistan

TRUMP menyampaikan ucapan mengenai penglibatan tentera AS di Afghanistan di pangkalan tentera Fort Myer, Arlington di Virginia kelmarin.

WASHINGTON – Presiden Donald Trump meluluskan penghantaran beribu-ribu askar tambahan Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan kelmarin sekali gus melanggar janji beliau untuk menamatkan penglibatan Washington di negara bergolak itu.

Dalam ucapan rasmi sebagai komander tertinggi tentera AS, Trump menarik balik kritikan bahawa perang 16 tahun di Afghanistan merupakan pembaziran masa dan wang.

"Naluri saya adalah berundur dari Afghanistan tetapi persepsi saya berubah apabila menduduki White House," kata Trump semasa meluahkan kekecewaan berhubung perang tersebut yang mengakibatkan ribuan askar AS terbunuh dan negara kerugian berbilion-bilion dolar.

Namun, selepas membuat pertimbangan selama beberapa bulan, Trump berkata, beliau tidak akan membiarkan kumpulan militan termasuk Taliban bermaharajalela di Afghanistan ekoran ketiadaan tentera AS.

Trump juga enggan mendedahkan bilangan askar yang akan dihantar tetapi beberapa pegawai kanan White House memberitahu, beliau telah meluluskan penghantaran seramai 3,900 askar ke Afghanistan.

Trump juga memberi amaran bahawa tentera AS bukan dihantar untuk melaksanakan sistem demokrasi berdasarkan acuan Washington.

"Kami bukan mahu membina semula Afghanistan. Kami mahu membunuh pengganas," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan Taliban berjanji akan menjadikan Afghanistan sebagai perkuburan askar AS dan akan meneruskan jihad selagi tentera AS berada di negara itu.

"Sekiranya AS tidak mengundurkan askarnya dari Afghanistan, negara ini akan menjadi tanah perkuburan untuk kuasa besar tersebut," kata jurucakap Taliban di Afghanistan, Zabiullah Mujahid. – AFP 

Friday, 16 June 2017

4 pelajar Malaysia di akademi tentera AS



KUALA LUMPUR – Empat pelajar Malaysia terpilih menerima tajaan melanjutkan pengajian ke akademi tentera di Amerika Syarikat (AS) bagi sesi pengambilan tahun ini.

Pemangku Duta AS di negara ini, Edgard Kagan berkata, dua daripada mereka, Wan Kamal Fitri Wan Kamal, 19, dan P.M. Sayniish, 19, akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera AS (USMA) di West Point, New York, Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 18, ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland manakala Muhammad Salihin Mohd. Sabri, 19, melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado.

“Seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dan tiga orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima tajaan penuh masing-masing bernilai RM2 juta untuk membia­yai pembelajaran dan mengikuti latihan di akademi-akademi yang terpilih itu.

“Saya tidak fikir ada negara yang mempunyai lebih daripada empat orang pegawai kadet layak ke akademi ketenteraan dengan tajaan penuh dalam satu tahun dan saya sangat kagum dengan prestasi calon-calon di Malaysia yang sangat dedikasi, berkualiti serta berkebolehan tinggi,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis menghargai keempat-empat pelajar itu di sini, hari ini.

Empat pelajar yang mempu­nyai latar belakang keluarga dalam bidang ketenteraan itu merupakan antara 50 pelajar antarabangsa bertuah yang layak menerima tajaan tersebut.

Sementara itu, Sayniish berkata, kejayaannya melanjutkan pelajaran ke akademi berprestij berkenaan didedikasi kepada mendiang bapa saudaranya, Mejar C. Kayamboo yang terkorban dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, tahun lalu.

“Walaupun agak gemuruh kerana pertama kali akan ke AS, tetapi saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menimba sebanyak mana pengalaman dan ilmu untuk dibawa balik dan dipraktikkan di Malaysia kelak,” katanya.

Muhammad Salihin pula memberitahu, penerimaannya ke USAFA umpama sudah selangkah untuk menjadi seperti idolanya yang juga merupakan bapa saudaranya, bekas Panglima TUDM, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz.

“Sejak umur lapan tahun, saya sudah bercita-cita menjadi seorang juruterbang tetapi saya mula mahu menjadi juruterbang TUDM apabila menginjak umur enam belas tahun dengan menjadikan bapa saudara sebagai inspirasi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamal Fitri menjelaskan, dia ingin mewarisi darah ketenteraan bapanya yang merupakan anggota TUDM.

“Sebagai seorang anak tentera, saya sudah didedahkan dengan dunia ketenteraan sejak kecil dan itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bidang ini,” ujarnya.

Tuesday, 23 May 2017

Bot KD Perdana hilang ditemui

Jenis bot yang dinaiki oleh sembilan anggota TLDM.

JOHOR BAHRU – Sebuah bot dinaiki oleh sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang sejak Sabtu lalu di perairan Sedili, Kota Tinggi dekat sini akhirnya ditemui di timur perairan Kuantan, Pahang semalam.

Bot itu berjaya dikesan oleh sebuah kapal dagang selepas terputus hubungan selama 51 jam dengan kapal KD Perdana.

Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, bot berkenaan telah dikesan oleh kapal dagang pada kedudukan kira-kira 90 batu nautika di timur perairan Kuantan pada pukul 4 petang semalam.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, sebuah pesawat Beechcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia telah dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk melakukan tinjauan.

“Kesemua kru dalam keadaan baik dan selamat,” ujar Ahmad Kamarulzzaman dalam laman Twitternya malam tadi.

Sunday, 16 April 2017

Filipina umum rancangan wujudkan unit tentera beragama Islam

Anggota tentera Filipina daripada Unit Kor Marin sedang menjalani latihan.

MANILA - Tentera Filipina mengumumkan rancangan mewujudkan unit tempur khas yang dianggotai penduduk Islam hari ini sebagai sebahagian daripada usaha menangani pemberontakan dalam kalangan penduduk minoriti itu.

Jurucakap tentera, Kolonel Edgard Arevalo berkata, di bawah arahan baharu itu, sebanyak lima peratus daripada semua permohonan menyertai pasukan tentera akan diperuntukkan kepada penduduk Islam dengan matlamat mewujudkan satu briged atau bahagian untuk dikerah ke wilayah bergolak di selatan Filipina.

“Kebanyakan saudara beragama Islam menganggap pengambilan hampir 100 peratus tentera Kristian dalam komuniti mereka sebelum ini sebagai satu pencerobohan,” katanya yang memberitahu bahawa umat Islam lebih sedar terhadap sensitiviti agama atau budaya.

Kenyataan Arevalo itu bagaimanapun tidak memperincikan jumlah anggota beragama Islam dalam pasukan tentera Filipina ketika ini. - AFP

Monday, 10 April 2017

Trump hilang sabar

USS Carl Vinson belayar di Laut Filipina dengan diiringi lima kapal perang AS.

WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kelmarin menghantar sebuah armada gempur diketuai kapal induk berkuasa nuklear, USS Carl Vinson ke Semenanjung Korea bagi menangani ancaman program senjata nuklear Korea Utara.

“Markas Pasifik AS mengerah­kan Pasukan Gempur USS Carl Vinson belayar ke utara (Semenanjung Korea) sebagai langkah untuk mengekalkan kesiapsiagaan di Pasifik Barat.

“Ancaman nombor satu di rantau berkenaan masih lagi Korea Utara berikutan program ujian peluru berpandu dan cita-cita Pyongyang untuk membangunkan senjata nuklear secara melulu, tidak bertanggungjawab dan mengancam keamanan,” kata jurucakap Markas Pasifik AS, Komander Dave Benham.

Menurutnya, pasukan gempur diketuai kapal induk USS Carl Vinson itu sepatutnya belayar ke Australia dari Singapura tetapi mengubah haluan ke Semenanjung Korea.

USS Carl Vinson yang ditauliahkan pada 1983 boleh membawa sebanyak 90 jet pejuang dan helikopter bersama 6,062 kru.

Kerahan tersebut dijangka me­ningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan dibuat selepas serangan peluru berpandu AS di Syria. Serangan itu turut dilihat sebagai amaran terhadap Korea Utara yang terus berdegil untuk meneruskan program senjata nuklearnya.

Kerahan armada kapal induk itu juga dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam akan mengambil tindakan unilateral ke atas Korea Utara.

Ancaman beliau tidak lagi dipandang remeh selepas Washington melancarkan 60 peluru berpandu ke Syria pada Khamis lalu.

Korea Utara mengutuk sera­ngan misil AS itu sebagai kekerasan yang tidak boleh diterima. Tindakan Washington, kata Pyongyang, merupakan justifikasi untuk Korea Utara meneruskan program nuklearnya sebagai senjata pencegahan.

Pyongyang sedang membina peluru berpandu jarak jauh keupayaan nuklear yang mampu mengenai ta­nah besar AS. Korea Utara juga me­ngadakan lima ujian nuklear setakat ini, dua daripadanya tahun lalu.

Sementara itu, pakar-pakar ber­kata, rejim Kim Jong-un sedang me­lakukan persiapan untuk mengadakan ujian nuklear keenam, malah kata mereka, Korea Utara akan dapat membina senjata nuklear yang mampu sampai ke AS dalam masa tidak sampai dua tahun.

Pada Rabu lepas, Korea Utara membedil sebuah peluru berpandu balistik jarak sederhana ke Laut Jepun menjelang sidang kemuncak antara Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping.

Pada Februari lalu pula, Pyongyang melancarkan empat peluru berpandu balistik serentak dari pantai timur negara itu. Tiga misil tersebut mendarat dekat perairan Jepun.

Pyongyang menyifatkan pelancaran itu sebagai latihan untuk menyerang pangkalan AS di rantau Asia. – AFP

Thursday, 23 March 2017

Kontrak perolehan pertahanan negara bernilai RM3.8 bilion dimeterai pada LIMA '17


LANGKAWI - Hari ketiga Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) menyaksikan kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) perolehan bernilai RM3.8 dimeterai.

Kontrak terbesar ialah bagi pembelian empat buah kapal misi pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dengan firma Boustead Naval Shipyard (BNS) bernilai RM1.1 bilion.

Ini merupakan projek usahasama antara kerajaan Malaysia dan China secara rundingan terus dengan BNS.

Turut dimeterai ialah Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf 10 pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan peluru berpandu pesawat Sukhoi SU-30MKM dan senggaraan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Ketiga-tiga LOI ini bernilai kira-kira RM532 juta.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pagi tadi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Wednesday, 22 March 2017

TUDM lengkap penerimaan 4 pesawat A400M


LANGKAWI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sebuah lagi pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus, A400M menjadikan jumlah keseluruhan empat buah yang diterima pasukan keselamatan itu sejak 2015. 

Pesawat A400M adalah pesawat moden dari segi teknologi berbanding C130 yang berada dalam inventori TUDM. Berdasarkan rekod, A400M pertama diterima pada 9 Mac 2015 diikuti pesawat kedua dan ketiga masing-masing pada Januari dan Jun tahun lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerima plak daripada Ketua Pesawat Tentera Airbus Fernando Alonso sebagai simbolik penyerahan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Majlis penyerahan rasmi pesawat untuk kegunaan No 22 Skuadron TUDM itu adalah antara atur cara yang disusun bagi memeriahkan segmen aeroangkasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) yang memasuki hari kedua hari ini.

Monday, 16 January 2017

Armada TLDM dipecahkan kepada pemerintahan Armada Barat dan Timur - Panglima TLDM

Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
KUALA LUMPUR - Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dipecahkan kepada dua iaitu pemerintahan Armada Barat dan Armada Timur untuk memberi tumpuan dan perhatian yang tinggi kepada keselamatan terutama di Sabah dan Sarawak.

Panglima TLDM ,Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pemecahan ini berdasarkan perspektif yang ada iaitu Malaysia sebuah negara maritim yang banyak sumber dan kepentingan negara seperti gas asli dan minyak yang perlu dijaga.

Katanya, sebelum ini pemerintahan TLDM berpusat di pangkalan TLDM Lumut, di bawah Panglima Armada TLDM.

"Kerajaan telah meluluskan melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk armada TLDM ini dipecahkan kepada dua yang mana pemerintahan Armada Barat di Lumut dan pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu.

"Dari segi keselamatan pula, kita dapat lihat sejak kebelakangan ini tumpuan dan perkembangan (aktiviti) di Laut China Selatan dan perkembangan maritim di perairan Sulu di Sabah Timur memerlukan kerajaan memberi fokus tinggi, dan menjaga keselamatan maritim terhdap kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak)," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai Kehormatan Pegawai Simpanan Sukarela (PSSTLDM) di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.

Majlis ini menyaksikan pegawai kanan TLDM yang dinaikkan pangkat, Laksamana Muda Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, menjadi Panglima Armada Timur pertama yang akan mengetuai pemerintahan Armada Timur.

Ahmad Kamarulzaman menjelaskan ia sejajar plan transformasi TLDM dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan strategik dan kemampuan kerajaan.

Selain itu, Ahmad Kamarulzaman berkata dengan pembahagian dua armada itu maka operasi akan datang akan menjadi lebih mantap dan efektif serta masa tindak balas dapat dipertingkatkan.

Tambah beliau, perintahan dwi wilayah (dua wilayah-Barat dan Timur) ini secara rasmi akan berkuatkuasa pada bulan April atau Mei ini. - BERNAMA

Russia mahu lebih gah di Asia Barat

RUSSIA merancang menambah baik dan memperbesar operasi pangkalan tentera laut serta udaranya di Syria, selaras usaha mengukuhkan kehadiran di Asia Barat.
MOSCOW: Russia merancang menambah baik dan memperbesar operasi pangkalan tentera laut serta udaranya di Syria, selaras usaha mengukuhkan kehadiran di Asia Barat. 

Agensi berita Interfax yang memetik laporan sumber enggan dikenali berkata, ia adalah satu-satunya penempatan tentera Russia di luar negara. 

Sumber memberitahu Interfax, Russia akan mula memperbaiki landasan kedua di pangkalan udara Hmeimin berhampiran Latakia, manakala pangkalan tentera laut Tartus akan dinaiktaraf bagi mengendalikan kapal lebih besar seperti kapal perang. 

Presiden Vladimir Putin turut mengumumkan pengunduran sebahagian tenteranya dari Syria selepas sekian lama membantu askar setia kepada Presiden Bashar al-Assad. Bagaimanapun, Moscow mahu tenteranya kekal di Hmeimin dan Tartus. 

Sumber berkata, Russia masih menggunakan sistem pertahanan permukaan ke udara S-300 dan pelancar peluru berpandu pantai Bastion, di Tartus. - AGENSI

Wednesday, 28 December 2016

Armada kapal induk China belayar di Laut China Selatan

KAPAL induk Liaoning dilihat belayar di Laut China Timur.

TAIPEI – Armada kapal perang China diketuai kapal pengangkut pesawat tunggal negara itu, Liaoning memasuki Laut China Selatan semalam selepas menyeberangi perairan selatan Taiwan.

Kementerian Pertahanan China menyifatkan pelayaran Liaoning sebagai latihan ketenteraan biasa.

Menurutnya, Liaoning yang diiringi lima buah kapal perang menyeberangi perairan di tenggara Kepulauan Pratas yang dikuasai Taiwan tengah hari semalam dan belayar ke arah barat daya.

Terdahulu, armada kapal induk itu menyeberangi titik paling selatan di Taiwan melalui Selat Bashi di antara Taiwan dan Filipina.

“Sifat kekal waspada dan fleksibel sentiasa menjadi kaedah untuk mengawal keselamatan ruang udara,” kata jurucakap kementerian itu, Chen Chung-chi.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada Taiwan mengerahkan jet pejuang atau kapal selamnya bagi mengawasi armada China itu.

Di Beijing, tabloid pemerintah, Global Times melaporkan, latihan ketenteraan terbaharu itu menunjukkan keupayaan Liao­ning untuk bertempur kini me­ningkat dan kapal induk itu perlu belayar lebih jauh.

“Armada China akan meronda perairan Pasifik Timur tidak lama lagi,” demikian menurut akhbar berkenaan.

China sebelum ini berang kerana Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) melakukan rondaan berdekatan beberapa buah pulau yang dituntutnya di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan.

Pada bulan ini, sebuah kapal China merampas dron selam AS di Laut China Selatan sebelum memulangkannya kepada Washing­ton. – AFP

Friday, 16 December 2016

Bashar menang kerana Syiah

PEJUANG kumpulan penentang kerajaan Syria melepaskan tembakan senjata anti-pesawat di timur laut Aleppo.
BEIRUT – Apabila pejuang-pejuang kumpulan penentang melancarkan cubaan terakhir mematahkan kepungan ke atas bandar Aleppo pada Oktober lalu, mereka dikalahkan oleh militia Syiah Hizbollah dari Lebanon dan bukannya tentera Syria.

Usaha terakhir untuk menguasai Aleppo minggu ini turut menyaksikan beratus-ratu militia Syiah Iraq terbunuh dalam pertempuran selama dua hari, kata komander sebuah kumpulan lain yang berjuang bagi pihak Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Malah, militia Syiah Iraq terus bertempur di barisan hadapan bersama pejuang Hizbollah beberapa jam sebelum Aleppo jatuh ke tangan Bashar.

Sementara itu, pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tentera Syria dan militia Iraq telah membunuh sekurang-kurangnya 82 penduduk awam di Aleppo selepas menawan bandar kedua terbesar Syria itu.

Situasi itu menunjukkan militia Syiah dari luar negara menjadi tonggak kekuatan Bashar untuk mendapatkan kemenangan terbesarnya di Aleppo.

Sumber kumpulan penentang pula memberitahu, bulan-bulan terakhir kepungan Bashar ke atas Aleppo menyaksikan mereka menawan ramai pejuang Syiah tanpa seorang pun askar Syria.

Selain bantuan pejuang


Syiah dari negara lain, serangan udara Rusia juga menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan Bashar.

Serangan udara bertubi-tubi oleh Moscow membolehkan tentera Bashar meneruskan kepungan ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo, melemahkan mereka dan seterus­nya menawan bandar penting itu.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, militia Syiah melepaskan tembakan ke arah konvoi penduduk awam yang baru bersiap sedia untuk me­ninggalkan Aleppo, mengakibatkan seorang terbunuh. – Reuters

Friday, 2 December 2016

Sejarah kewujudan tentera Indonesia

Anggota TNI Angkatan Darat antara pasukan pertahanan yang dikenali di seluruh dunia.
Perjalanan sesebuah bangsa tidak terlepas daripada sejarah para pejuangnya. Mengimbau kewujudan tentera merupakan bukti negara tersebut mampu mempertahankan kedaulatan daripada serangan penjajah.

Bagaimanapun, tugas tentera tidak hanya mempertahankan negara daripada ancaman luar. Keberadaan pasukan keselamatan itu merupakan jaminan bahawa kedaulatan yang datang daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat adalah terjamin pelaksanaannya.

Kepada ahli falsafah seperti Thomas Hobbes, John Locke dan Rousseau, kedaulatan hanya mampu terjamin sekiranya badan keamanan seperti angkatan bersenjata dimiliki oleh sesebuah negara.

Ini kerana rakyat mengikat diri mereka sebagai warganegara menerusi kontrak sosial dengan harapan hak-hak asas seperti kehidupan, kebebasan dan mempunyai aset dapat dilindungi.

Kedaulatan


Dalam konteks itu, jaminan atas hak kehidupan, kebebasan daripada penjajahan dan perlindungan terhadap harta benda hanya mungkin dapat dikecapi jika sesebuah negara mempunyai angkatan tentera.

Hasilnya, angkatan tentera seperti inilah yang bertugas untuk menjaga keamanan negara sesuai dengan ketentuan undang-undang dan tidak terikat dengan kepentingan atau kelompok tertentu.

Kewujudan angkatan tentera di Indonesia bermula daripada semangat yang sama iaitu untuk menjaga kemaslahatan dan kedaulatan rakyat serta keutuhan negara.

Angkatan tentera pertama negara tersebut bermula daripada Badan Keamanan Rakyat (BKR) yang dibentuk seminggu selepas Indonesia mengecapi kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Nama tersebut kerap ditukar. Antara nama yang pernah digunakan untuk angkatan tentera Indonesia ialah Tentera Keamanan Rakyat, Tentera Republik Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Perjuangan TNI kelihatannya cukup berat pada awal kemerdekaan sehingga memasuki era reformasi. Dalam rentang waktu tersebut, negara itu menghadapi serangan sehingga dua kali iaitu pemberontakan golongan pemisah pimpinan Kartosoewiryo dan Permesta.

Insiden kedua pula berlaku kudeta pada tahun 1965 iaitu serangan daripada golongan yang mempertahankan Irian Barat, referendum Timor-Timor sehingga berlaku demonstrasi besar-besaran pada tahun 1997 hingga 1998.

Dalam tempoh tersebut, banyak cerita-cerita buruk menimpa TNI seperti pelanggaran hak, sikap tidak neutral kerana terlibat dalam Parlimen dan pelbagai tuduhan lain.

Bagaimanapun, sebahagian besar rakyat Indonesia masih percaya dan menaruh harapan besar bahawa TNI merupakan angkatan utama yang mampu diberi amanah untuk menjaga kedaulatan serta keutuhan negara.

Imej

Benteng pertahanan Indonesia didokong kuat pasukan TNI.
Kebelakangan ini, banyak cerita-cerita kurang enak berkait dengan TNI pada pandangan orang awam sekali gus mencalar imej baiknya.

Misalnya, kes-kes pembunuhan, rompakan sehingga terlibat sebagai pengedar dan penagih dadah yang dilakukan oleh segelintir tentera. Bahkan ada juga kedengaran tentera mengasari wartawan.

Baru-baru ini, seorang wartawan televisyen nasional Indonesia mengaku dipukul oleh tentera ketika sedang membuat liputan di Madiun, Jawa Timur.

Sebelum insiden itu, kes seumpamanya berulang. Ia melibatkan anggota Angkatan Udara TNI terhadap wartawan yang sedang membuat liputan pergaduhan di Medan, Sumatera Utara.

Beberapa kes lain juga sedikit sebanyak mencalarkan imej baik TNI. Antaranya ada anggota tentera yang terlibat kes rompakan Rp10 bilion (RM3.2 juta), terlibat dalam transaksi penjualan dadah sebanyak Rp60 juta (RM19,700) dan pembunuhan pelajar agama.

Bertitik tolak dari situasi itu, timbul persoalan, apakah terdapat ketidaktelusan dalam proses rekrut anggota?

Ini kerana masalah seperti itu perlu dirungkai bermula dari akar umbi. Dalam konteks ini, proses pemilihan anggota merupakan titik awal yang perlu diberi perhatian.

Jika diteliti dalam perkara tersebut, beberapa proses pemilihan ternyata terpalit dengan kes rasuah dan pilih kasih.

Kes pada bulan lalu menunjukkan 11 anggota tentera Komando Daerah Militer VII Wirabuana ditangkap menjadi perantara dan menerima rasuah dalam pemilihan anggota tentera.

Panglima Komando Daerah Militer VII Wirabuana, Mayor Jeneral TNI Agus Surya Bakti berkata, pihaknya telah membuat siasatan dalaman sejak sembilan bulan lalu selepas mengetahui terdapat laporan cubaan rasuah.

“Kami berjaya menahan 11 anggota tentera yang terlibat. Ada antara mereka dikenakan tindakan disiplin dan hukuman oleh Mahkamah Tentera.

“Jumlah wang sogokan yang dirampas lebih Rp1.5 bilion (RM492,000) dan anggota tersebut mengaku mampu meluluskan ujian calon tentera yang hadir dalam pemilihan,” katanya.

Namun, sikap dan perbuatan segelintir anggota ini tidak menggambarkan keseluruhan mereka.

Maruah


Namun, kewujudan anggota tentera yang tidak bertanggungjawab tumbuh seperti cendawan, mati sepohon, tumbuh seribu.

TNI perlu mempertimbangkan kembali proses merekrut anggota dilaksanakan dengan lebih profesional dan telus oleh panel penilai.

Pemantauan dalaman secara berkala, pengawasan rutin yang ketat serta pendedahan kepada ilmu pengetahuan perlu dilaksanakan kepada tentera bagi menjadikan mereka lebih amanah serta bertanggungjawab.

Profesionalisme kerja perlu diterapkan dalam setiap anggota tentera kerana ancaman tidak semestinya datang dari luar.

TNI harus terus berpegang teguh menjaga dan mempertahankan maruahnya sebagai badan yang neutral, bergerak sendiri dan profesional sehinggakan ucapan Dirgahayu 71 yang ditujukan kepadanya itu sangat bermakna untuk diingati.

Tuesday, 22 November 2016

Leftenan Komander TLDM dipenjara, denda

Kuvendran (kanan) dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.
IPOH – Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM104,971.97 berkaitan urusan pembekalan barangan kepada TLDM dua tahun lalu.

Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan tertuduh, Lef­tenan Komander K. Kuvendran, 32, menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam dan tambahan hukuman penjara setahun lagi jika dia gagal membayar de­nda berkenaan.

Kuvendran membayar denda tersebut.

Terdahulu, tertuduh Kuvendran yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut menukar pengakuan kepada bersalah atas empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Friday, 18 November 2016

Panglima ATM diiktiraf Arab Saudi

Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menerima anugerah daripada Putera Mohammed Salman.
Kuala Lumpur: Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dianugerahkan Bintang ‘The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade)’ di Royal Court, Riyadh, Arab Saudi, Isnin lalu.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataannya, memaklumkan istiadat terbabit disempurnakan oleh Timbalan Putera Mahkota dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammed Salman sempena lawatan persaraan Panglima ATM ke Arab Saudi.

"Pengurniaan itu telah dimasyhurkan sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang dan khidmat bakti serta sumbangan signifikan yang dicurahkan oleh Zulkifeli dalam mewujudkan kerjasama, persefahaman dan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Menurutnya, Zulkifli adalah satu-satunya penerima bintang terbabit dari rantau Asia Tenggara bagi kategori tentera.

Katanya, penganugerahan itu menjadi satu menifestasi pencapaian gemilang dilakukan Zulkifeli dan ia menjadi mercu tanda kebanggaan bagi warga ATM.