Showing posts with label Weapons. Show all posts
Showing posts with label Weapons. Show all posts

Thursday, 23 March 2017

Kontrak perolehan pertahanan negara bernilai RM3.8 bilion dimeterai pada LIMA '17


LANGKAWI - Hari ketiga Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) menyaksikan kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) perolehan bernilai RM3.8 dimeterai.

Kontrak terbesar ialah bagi pembelian empat buah kapal misi pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dengan firma Boustead Naval Shipyard (BNS) bernilai RM1.1 bilion.

Ini merupakan projek usahasama antara kerajaan Malaysia dan China secara rundingan terus dengan BNS.

Turut dimeterai ialah Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf 10 pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan peluru berpandu pesawat Sukhoi SU-30MKM dan senggaraan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Ketiga-tiga LOI ini bernilai kira-kira RM532 juta.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pagi tadi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Wednesday, 14 December 2016

Rusia tawar teknologi antikeganasan canggih

Rusia sedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dan paling maju.

MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin memberitahu negaranya bersedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dengan dunia.

"Kami sedia menawarkan peralatan paling maju termasuk pesawat tempur, sistem pertahanan udara, sistem pelancaran roket berganda dan kereta perisai," katanya ketika mesyuarat Suruhanjaya bagi Kerjasama Teknikal Tentera Rusia dengan Negara Luar, kelmarin.

Menurutnya, pengganas di seluruh dunia telah membentuk kumpulan bersenjata terlatih yang besar dan menggunakan senjata buatan Barat.

Putin dalam satu kenyataan berkata, kononnya Rusia memberi sumbangan besar dalam peperangan menentang keganasan antarabangsa dan menduduki tangga kedua dalam pasaran senjata di dunia.

Difahamkan, portfolio eksport senjata Moscow kini bernilai lebih AS$50 bilion (RM221 bilion) dengan 100 negara menjadi menjadi rakan dagangan.

Tahun lalu, Rusia telah menjual senjata dan peluru kepada kira-kira 58 negara asing. - Press TV

Monday, 26 September 2016

AS akan ganti 400 misil nuklear

Gambar fail tidak bertarikh menunjukkan sebuah misil antara benua Titan II diuji di Vandenberg, California.
WASHINGTON – Terlindung di dalam lubang konkrit ba­wah tanah di pedalaman Amerika Syarikat (AS), terdapat lebih 400 peluru berpandu balistik antara benua yang sedia untuk menghancurkan mana-mana bandar raya di dunia.

Dibina dalam tahun 1960-an semasa kemuncak Perang Dingin, armada senjata nuklear AS yang dikenali sebagai Minuteman III itu kini semakin usang dan alat ganti­nya sukar diperoleh ekoran ia direka pada era analog.

Lubang-lubang konkrit dan keluli yang menempatkan misil nuklear itu juga merekah dan berkarat akibat dimasuki air.

Dalam masa 20 tahun lagi, Tentera Udara AS mahu menukar keseluruhan armada Mi­nuteman III itu de­ngan peluru berpandu baharu yang belum lagi dinamakan dan hanya dikenali sebagai Pencegah Strategik Pangkalan Darat (GBSD).

Tentera Udara AS menganggarkan kos GBSD mencecah AS$86 bilion (RM354.8 bilion) sepanjang kitaran hayatnya selama 50 tahun. Senjata baharu itu akan diperkenalkan pada penghujung 2020-an.

Pengkritik-pengkritik bagaimanapun berkata, persenjataan itu terlalu mahal dan tidak efisien berdasarkan ancaman semasa yang dihadapi AS.

“Tentera Udara juga tidak tahu bagaimana kita dapat membiayai persenjataan ini,” kata pakar nuklear Washington, Laicie Heeley.

“Senjata nuklear menyemakkan sistem senjata konvensyen yang nyata lebih efisien untuk mena­ngani ancaman hari ini,” tambahnya.

Tentera Udara AS meminta vendor-vendor mengemukakan cadangan untuk menggantikan Minuteman. Senjata itu dinamakan sempena seorang militia berpangkat kolonel yang menentang British semasa Perang Revolusi Amerika.

Kontrak itu dijangka diberikan kepada salah satu daripada tiga gergasi pertahanan AS iaitu Lockheed Martin, Northrop Grumman atau Boeing.

Peluru berpandu antara be­nua AS merupakan satu dari­pada tiga kaedah serangan nuklear yang turut melibatkan armada kapal selam dan pesawat pengebom.

Pentagon mahu mengganti dan memodenkan ketiga-tiga persenjataan itu dalam tempoh 30 tahun lagi pada kos sekitar AS$1 trilion (RM4.1 trilion). – AFP