Showing posts with label Technology. Show all posts
Showing posts with label Technology. Show all posts

Tuesday, 30 January 2018

Robot 'bunuh' pekerjaan manusia

ROBOT android mengambil alih tugas manusia menjaga kaunter pertanyaan di sebuah hotel di Tokyo, Jepun.

PLATFORM kecerdasan buatan (AI) dan penghasilan ro­bot-robot canggih sebenarnya telah membunuh banyak peluang pekerjaan dan bakal memberi kesan yang lebih besar kepada kehidupan manusia.

Perkara itu merupakan salah satu isu besar yang hangat dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos minggu lalu.

Ikon global China yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma mengakui perkara itu dan menyuarakan kebimbangannya mengenai perkembangan yang dilihat semakin bergerak ke arah yang lebih negatif.

Kebangkitan AI bukan hanya untuk berinteraksi atau memudahkan tugas seharian sebalik­nya telah memanipulasi kehidupan manusia dan menjadikan kita semakin lemah.

Benar kata Jack Ma, teknologi harus sentiasa memberikan peluang baharu kepada manusia dan bukan pula merampasnya.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan manusia itu sendiri menggunakan teknologi dan keprihatinan golongan berkuasa untuk tidak terlalu rakus mengejar keuntungan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku.

Di Davos, kebimbangan me­ngenai gergasi internet yang merompak sejumlah besar data peribadi secara haram atau untuk tujuan berkongsi dengan pihak berkuasa turut dibahaskan.

Rata-rata bersetuju bahawa sikap masyarakat yang terlalu mudah menyerah dan mendedahkan segalanya di rangkaian sosial dan enjin carian menjadi pe­nyumbang utama kepada masalah tersebut.

Namun Davos menjadi saksi persetujuan unik daripada gergasi dunia digital yang sebelum ini sering menolak pengawasan yang terlalu banyak oleh pihak kerajaan atas alasan cuba menghalang inovasi.

Pengasas Salesforce, sebuah syarikat perkhidmatan awam utama, Marc Benioff yang sebelum ini lantang menyuarakan pendapatnya turut akur bahawa perlu wujud lebih banyak peraturan dalam sektor itu.

Ramai pengkritik dan pemerhati menyifatkan perubahan pendirian itu sebagai sesuatu yang amat positif terhadap masa depan keselamatan data peribadi setiap individu.

Pihak berkuasa pengawal seliaan di Eropah telah mengeluh selama bertahun-tahun ba­hawa syarikat-syarikat digital be­sar tidak bertindak balas ketika mereka dipanggil dalam sebarang siasatan mengenai penyelewe­ngan atau kebocoran data peribadi pengguna.

Namun Zvika Krieger yang mengetuai projek digital untuk penganjuran forum ekonomi tersebut yakin perkembangan itu mungkin menyaksikan syarikat-syarikat berkenaan menjawab panggilan mereka dan bekerjasama dalam usaha memastikan dunia digital terus memperkasa keupayaan manusia dan bukan sebaliknya. - REUTERS

Saturday, 6 January 2018

Facebook mahu kaji 
mata wang kripto

Mark Zuckerberg

NEW YORK – Facebook Inc. merancang untuk mengkaji lebih lanjut terhadap potensi mata wang kripto yang sedang giat didagangkan di seluruh dunia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata, beliau optimis terhadap mata wang kripto pada 2018 dan mahu melihat aspek positif serta negatif mata wang digital berkenaan.

Katanya, enkripsi dan mata wang kripto antara trend utama yang mengambil kuasa daripada sistem berpusat dan meletakkannya kembali ke dalam tangan rakyat.

“Walau bagaimanapun, trend ini datang dengan risiko dan menjadi lebih sukar untuk dikawal.

“Saya berminat untuk pergi lebih mendalam dan mengkaji aspek-aspek positif dan negatif teknologi ini, dan cara terbaik untuk menggunakan mereka dalam perkhidmatan kami,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

Bukan hanya Zuckerberg meluahkan minat terhadap trend ini, Naib Presiden Produk Pesanan Facebook, David Marcus telah menyertai lembaga pengarah Coinbase Inc., antara bursa mata wang kripto terbesar tahun lalu.

“Saya telah terlibat dengan mata wang kripto sejak 2012 dan saya telah menyaksikan bagaimana Coinbase memberi akses kepada aset kelas baharu ini,” jelasnya. – AGENSI

Friday, 15 December 2017

NASA: Sistem solar baharu ditemukan

Ilustrasi NASA yang membandingkan antara planet yang ada dalam sistem solar sekarang dengan planet dalam Kepler 90.

MIAMI - Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) memaklumkan penemuan sistem solar yang mempunyai banyak planet dikenali sebagai Kepler 90.

Agensi berkenaan memaklumkan penemuan itu adalah hasil bantuan kecerdasan buatan (AI) dan teleskop Kepler miliknya.

Walau bagaimanapun agensi itu memberitahu, tiada planet dalam sistem planet kelapan itu yang boleh didiami.

Kepler 90 dipercayai merupakan sistem solar terbesar berbanding sistem solar yang ada sekarang. - AFP

Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

Monday, 27 November 2017

Proton bakal lancar kereta terbang

PROTOTAIP TF-X hasil rekaan syarikat Terrafugia Inc.

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) mungkin mencatatkan sejarah tersendiri dalam industri automotif dunia apabila bakal mengeluarkan kereta terbang tidak lama lagi.

Memetik laporan akhbar China Press, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong berkata, Proton akan melancarkan tiga jenis va­rian kenderaan iaitu kereta pemanduan automatik, kereta berkuasa elektrik sepenuhnya dan kereta terbang secara berperingkat menjelang tahun 2019.

“Selain model Boyue, Proton akan menaik taraf dan me­ngubah suai lapan model sedia ada dalam usaha untuk me­ningkatkan daya saing Proton,” katanya ketika berucap pada Persidangan Usahawan Malaysia-China ketujuh yang diadakan di Putrajaya kelmarin.

Keyakinan Chunrong mengenai inovasi kereta terbang yang bakal dimiliki Proton itu susulan kejayaan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) membeli sebuah syarikat Amerika Syarikat, Terrafugia Inc. pada 13 November lalu.

Wednesday, 13 September 2017

Malaysia ‘juara’ guna WhatsApp

Pengguna internet kerap menggunakan WhatsApp kerana ia lebih mudah dan cepat.

KUALA LUMPUR – Laporan The Digital News Report 2017 mendapati pengguna internet di Malaysia mencatatkan penggunaan aplikasi WhatsApp terbanyak di dunia iaitu 51 peratus bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak­ berkata, menurut laporan itu juga, media sosial lain yang popular di Malaysia ialah Facebook iaitu sebanyak 58 peratus pengguna, YouTube (26 peratus) dan WeChat serta Instagram (masing-masing 13 peratus).

Menurutnya, laporan itu turut menyatakan rakyat Malaysia mendapatkan berita menerusi media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak (45 peratus), televisyen (54 peratus) dan radio (15 peratus).

“Selain itu, peranti utama yang digunakan adalah telefon pintar iaitu sebanyak 65 peratus, kompu­ter 45 peratus dan tablet 18 peratus,” katanya dalam catatan terbaru di laman blog www.sskeruak.blogspot.my semalam.

Salleh memberitahu, kajian lain yang dibuat oleh organisasi berbeza, TNS Global juga mendapati Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp de­ngan jumlah 77 peratus, diikuti Facebook Messenger (41 peratus).

Sunday, 10 September 2017

Virtsim mantapkan kesiagaan anggota Tentera Darat


SUSUK tubuh lima anggota tentera itu bergerak perlahan-lahan secara taktikal sambil memegang raifal M4. Kelihatan salah seorang daripada mereka berjaga di bahagian belakang, manakala empat yang lain bergerak secara serentak menggeledah sebuah bangunan terbiar untuk mencari musuh.

Anggota tentera itu menyusup masuk dari satu tingkat ke tingkat dan menembak musuh satu persatu. Setelah beberapa ketika, kesemua musuh ditewaskan oleh mereka.

Menariknya, jika senario tersebut ditonton secara langsung, penonton hanya dapat melihat anggota tentera sahaja manakala bangunan dan musuh di lokasi berkenaan tidak kelihatan.

Situasi pertempuran itu sebenarnya tidak berlaku di alam realiti sebaliknya hanya dilakukan secara maya melalui paparan skrin pada peranti yang dikenali sebagai Head-Mounted Display (HMD).

Simulasi tempur itu merupakan sebahagian daripada Simulasi Latihan Maya (Virtsim) yang mula diguna pakai oleh Tentera Darat (TD) sejak dua bulan lalu.

Virtsim merupakan teknologi latihan pertempuran menggunakan simulasi arena realiti maya berbentuk tiga dimensi (3D).

Menerusi teknologi tersebut, anggota tentera boleh melaksanakan latihan pertempuran seolah-olah seperti berada dalam situasi pertempuran sebenar selepas pergerakan dan tubuh anggota diselaraskan dalam sistem maya mengikut pergerakan sebenar.

Teknologi itu yang dibangunkan oleh syarikat Motion Reality Inc. dari Georgia, Amerika Syarikat sebelum ini telah digunakan dalam pembikinan filem seperti The Lord of The Rings, Avatar dan The Avengers.

Sistem latihan pertempuran canggih itu memberi peluang kepada kru Jurnal untuk menyaksikan sendiri simulasi berkenaan di Pusat Simulasi Visual Tentera Darat yang terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pusat Simulasi Visual itu turut menempatkan ruang latihan dan pengendali, bilik pemerhati, bilik persiapan, tempat menunggu dan bilik ulang kaji.

Ruang latihan bersaiz 420 meter persegi dibina daripada satu set kekuda besar yang terdiri daripada 16 tiang teras.

Kit kekuda itu menempatkan 98 kamera menangkap pergerakan (motion capture) dengan diod pemancar cahaya (LED) yang disambung kepada stesen pengesan prestasi tinggi.

Kit tersebut juga menempatkan dua buah televisyen bertujuan untuk menayangkan aksi latihan kepada pemerhati, sementara ruang pengendali menempatkan peralatan komputer Virtsim.

Anggota Komando 21 GGK menunjukkan demo dalam latihan peperangan menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D.

Pelbagai senario


Menurut Pengarah POP TD, Kolonel Abdul Razak Hussain, objektif utama Virtsim adalah untuk meningkatkan kecekapan dan ketangkasan bertempur anggota dalam aspek keupayaan menembak, ketangkasan bertindak balas sewaktu bertempur dan keupayaan mengatur gerak anggota.

“Virtsim berupaya melaksanakan latihan pertempuran antara pelatih dengan kecerdasan buatan (AI) atau antara pelatih dengan pelatih.

“Perancangan bagi penggunaan sistem ini adalah untuk melatih setiap anggota infantri dan Grup Gerak Khas (GGK) yang terlibat dalam operasi khas dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia dilengkapkan dengan 48 senario pertempuran antaranya di kawasan padang pasir, lapangan terbang, dan kawasan yang mempunyai bangunan. Senario kawasan hutan, paya dan sungai masih dalam pembangunan oleh syarikat pembekal,” katanya kepada kru Jurnal baru-baru ini.

Tambahnya, Virtsim terbahagi kepada empat peringkat latihan iaitu persiapan, penyelarasan, latihan dan ulang kaji. Terdapat dua senjata yang dibekalkan semasa latihan simulasi iaitu raifal M4 dan pistol Sig Sauer P226.

Untuk setiap simulasi, seramai 12 orang anggota boleh dilatih pada satu-satu masa dan tahap latihan pula terdiri daripada tahap permulaan (beginner), pertengahan (intermediate), lanjutan (advanced) dan pakar (expert).

Antara manfaat sistem itu termasuklah keperluan ruang latihan yang kecil dan boleh digunakan dalam apa jua keadaan cuaca, mengolah senario pertempuran tanpa had berdasarkan objektif latihan, menukar senario dalam masa singkat selain sesi latihan boleh direkod dan diulang tayang dari semua sudut latihan bagi memudahkan perbincangan ulang kaji.

PUSAT Simulasi Visual terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.


Tahap kesiagaan


Sementara itu, Leftenan Jusman Muktar daripada 21 GGK yang telah menguji sistem tersebut berkata, menerusi latihan itu tahap kesiagaan anggota dapat ditingkatkan semasa operasi.

“Pelatih akan terkena sedikit renjatan elektrik dan sistem anggota akan dimatikan jika terkena tembakan.

“Selain itu, latihan ini menuntut kita untuk berkomunikasi dengan anggota lain bagi mencapai objektif dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelas Jusman, anggota harus lebih berhati-hati jika melawan AI di tahap pakar kerana musuh akan sentiasa menembak tepat ke arah anggota.

“Kita juga mengulang kaji dengan melihat semula taktikal anggota menerusi rakaman video untuk mengenal pasti kesilapan,” tambahnya.

Sebelum bermula latihan, Jusman turut menunjukkan cara-cara pemakaian sut latihan.

“Pertama, anggota akan memakai pin pengesan pergerakan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut, lengan dan pergelangan tangan. Kemudian peranti renjatan elektrik akan dipakaikan pada lengan.

“Selepas itu, anggota akan memakai beg yang mengandungi sistem Virtsim dan HMD sebelum dibekalkan dengan senjata,” katanya.

Anggota kemudiannya akan dibawa untuk penyelarasan pergerakan. Latihan akan berjalan mengikut objektif dan selepas itu, anggota akan dibawa untuk melihat rakaman latihan bagi tujuan ulang kaji.

Saturday, 2 September 2017

Sesiapa kuasai kecerdasan buatan, bakal memerintah dunia - Putin

Vladimir Putin.

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata sesiapa yang mencapai kejayaan dalam membangunkan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) akan mampu menguasai dunia.

Putin ketika mengadakan pertemuan dengan para pelajar di negara itu, berkata, perkembangan arena kecerdasan buatan meningkatkan peluang dan ancaman besar yang sukar dijangka sekarang.

Beliau memberi amaran bahawa sesiapa yang menjadi pemimpin dalam bidang ini akan menguasai dunia.

Malahan, pemimpin Rusia berkenaan bersedia untuk berkongsi pengetahuan mereka berkaitan kecerdesan buatan dengan negara-negara lain.

Putin turut meramalkan peperangan pada masa hadapan akan menggunakan dron dan apabila satu dron dimusnahkan oleh dron lain, ia tidak mempunyai pilihan lain selain menyerah diri. - AP

Friday, 14 July 2017

Profesor dari Korea bangunkan papan kekunci jawi

Prof. Dr. Kang Kyoung Seok

BUKIT MERTAJAM - Cinta yang mendalam terhadap tulisan jawi menyebabkan Prof. Dr. Kang Kyoung Seok memasang impian untuk membangun dan mengeluarkan papan kekunci khas bertulisan jawi.

Dekan Fakulti Asia Tenggara di Daegu University of Foreign Stu­dies (DUFS) Korea Selatan itu menyasarkan untuk merealisasikan impiannya itu pada 2019.

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah menunjukkan minat untuk membangunkan papan kekunci itu yang akan menjadi pertama seumpamanya di dunia.

“Ketika ini projek tersebut berada pada fasa terakhir dan saya yakin dapat dikeluarkan selewat-lewatnya pada 2019 sekali gus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dengan adanya papan kekunci itu, tulisan jawi akan terus dimartabatkan serta dikembangkan ke serata pelusuk dunia,” katanya da­lam temu bual eksklusif bersama Utu­san Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kyoung Seok, 62, memperkenalkan pengajian dalam kebudayaan Melayu terutama tulisan jawi di DUFS pada tahun lalu turut menjalankan kajian mengenai ilmu jawi atau Jawiology melalui Pusat Antarabangsa Jawiology di universiti tersebut.

Selain itu, beliau turut berhasrat mencipta mesin pengimbas yang boleh menterjemah tulisan jawi kepada pelbagai bahasa dan percaya teknologi itu dapat membantu peminat tulisan jawi sepertinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, idea tersebut timbul selepas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Nafisah Ahmad pernah mendedahkan terdapat 4,600 manuskrip Melayu lama bertulisan jawi lama yang masih belum terusik untuk dilakukan 
sebarang kajian atau usaha-usaha untuk menterjemahkannya ke dalam tulisan rumi.

“Ada yang menganggap saya gila apabila terlalu taksub dengan tulisan jawi sehingga sanggup me­rantau ke Malaysia ketika ramai rakan saya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat atau England.

“Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini pada 1984, saya terus jatuh cinta dengan tulisan jawi dan membolehkan saya kini diiktiraf sebagai pakar jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Kyoung Seok berkata, beliau amat menghargai usaha Utusan Malaysia memperkenalkan semula penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan bertulisan jawi dalam versi cetak di Johor melalui tajaan Johor Corporation (JCorp).

Namun, pada masa sama, beliau melahirkan kebimbangan apabila generasi muda di negara ini yang semakin melupakan tulisan bangsa sendiri selain khuatir berlaku ketandusan generasi yang mampu menguasai tulisan jawi.

Sunday, 4 June 2017

Revolusi telefon bimbit

CONTOH alat telekomunikasi radio digunakan tentera yang dikeluarkan oleh syarikat Motorola.

TELEFON bimbit pada hari ini seperti sudah menjadi satu keperluan bagi setiap orang. Jika 20 tahun dahulu sesiapa yang mempunyai alat peranti tersebut boleh dianggap sebagai orang berada.

Revolusi telefon bimbit telah menarik minat ramai orang, dengan fungsi dan kelebihan terbina membuatkan peralatan itu diminati ramai. Tambahan pula sekarang harga untuk memilikinya tidak lagi seperti dahulu.

Justeru, hampir setiap orang dalam pelbagai lapisan masyarakat mempunyai telefon bimbit sendiri sebagai medium komunikasi. Tidak kira sama ada peranti mahal atau murah, yang penting boleh berkomunikasi dengan mudah.

Sebelum kewujudan telefon bimbit, pada 1907 majalah Punch telah menerbitkan karikatur dilukis oleh Lewis Baumer yang membayangkan pada tahun tersebut seorang lelaki dan wanita bercakap antara satu sama lain menerusi telefon tanpa wayar.

Sejarah penggunaan telefon mudah alih te­lah bermula sejak 1908 lagi. Seperti dilaporkan sebuah syarikat di London, USWithc Limited, Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang mempatenkan telefon tanpa wayar.

Pada tahun tersebut, Profesor Albert Jahnke serta Oakland Transcontinental Aerial Tele­phone dan Power Company mendakwa mencipta sebuah telefon tanpa wayar.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mengeluarkan telefon tersebut dan telah dituduh menipu.

Pada 1918 pula, sebuah syarikat kereta api di Jerman telah menguji sistem telefon tanpa wayar untuk kegunaan komunikasi tentera di Berlin dan Zossen.

Kemudian, satu percubaan umum telah dilakukan pada 1924 juga oleh syarikat kereta api untuk meng­hubungkan Berlin dengan Hamburg.

Selepas percubaan tersebut dilakukan, syarikat Zugtele­phonie A. G. telah diasaskan pada 1925 untuk membekalkan peralatan telekomunikasi untuk kegunaan sistem kereta api.

Sejak peralatan tersebut diaplikasikan, sistem kereta api Deutsche Reichbahn dan perkhid­matan Mail German yang menghubungkan Berlin dengan Hamburg telah menjadi sebuah pengangkutan kelas pertama.

Pada 1926, seorang artis Karl Arnold telah melukis watak kartun yang membayangkan orang ramai menggunakan telefon bimbit. Kartun itu telah diterbitkan oleh majalah Simplicissimus.

Revolusi penggunaan telefon mudah alih mula tercetus dalam Perang Dunia Kedua dan banyak digunakan dalam ketenteraan seperti komunikasi radio dua hala, namun ia menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Kemudian, pada 1946, telefon mudah alih mula dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi AT&T. Telefon tersebut mempunyai peranti asas dan digunakan oleh kebanyakan pemandu teksi sebagai alat komunikasi radio dua hala.

Alat tersebut merupakan sebuah telefon yang dipasang dalam kereta (teksi) tanpa memerlukan sambungan kabel seperti telefon rumah, tetapi memerlukan peranti asas untuk menyambungkan dengan pengguna lain dan liputannya sangat terhad.

Dunia semakin berkembang, selepas melihat telefon jenis itu sukar untuk digunakan secara umum, pada 1973, Motorola mengeluarkan telefon bimbit tanpa memerlukan peranti asas sebagai stesen penghubung.

Justeru, pada 3 April 1973, Motorola mencipta telefon bimbit pertama iaitu Motorola DynaTAC oleh Naib Presidennya, Martin Cooper. Tetapi, masih belum digunakan secara umum.



Tidak lama selepas itu, Jepun menjadi negara pertama memulakan langkah drastik yang mencetuskan penggunaan telefon bimbit besar-besaran apabila syarikat Nippon Telegraph and Telephone (NTT) mengeluarkan telefon mudah alih.

Kemudian pada 1981, syarikat Nordic Mobile Telephone (NMT) telah melancarkan sistem liputan telefon bimbit pertamanya di Denmark, Norway, Sweden dan Finland.

Sejak itu, Generasi Pertama (1G) berfungsi automatik sepenuhnya yang pertama telah dihasilkan dan liputan capaian jaringan telefon bimbit diperkenalkan.

Dalam masa sama, Motorola mengeluarkan Motorola DynaTac yang menjadi telefon bimbit pertama diluluskan oleh Persekutuan Suruhanjaya Komunikasi (FCC) di Amerika Syarikat pada 1983.

Telefon bimbit terus berevolusi dengan kemajuan teknologi hingga wujud syarikat pengeluar telefon bimbit gergasi seperti Nokia, Blackberry, Sony Ericsson, Samsung dan Apple iPhone.

REVOLUSI telefon bimbit dalam masa 70 tahun daripada sebuah telefon bimbit kepada telefon pintar. – BAREKLIFTRUCKS.CO.UK

Thursday, 25 May 2017

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

KESIBUKAN Terminal Pukal Lekir (LBT), satu-satunya pintu masuk bekalan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak meningkat setiap kali kapal Panamax berlabuh.

Panamax membawa muatan arang batu berkapasiti 75,000 tan metrik.

Ada ketikanya, kapal bersaiz Capemax yang membawa muatan 140,000 tan metrik turut berlabuh di LBT.

Sebaik sampai, kerja memunggah 75,000 tan metrik arang batu import yang kebanyakannya dari Kalimantan perlu diselesaikan dalam tempoh 57 jam atau 2.37 hari.

Tempoh yang perlu bagi menyiapkan pemunggahan kapal Capemax yang bermuatan 140,000 tan metrik adalah 98 jam atau 4.08 hari.

Semuanya untuk memastikan bekalan arang batu ke stesen jana kuasa terbesar di Malaysia itu tidak tergendala bagi memenuhi keperluan empat loji tenaga iaitu Manjung 1, Manjung 2, Manjung 3 dan Manjung 4.

Sebanyak 80 peratus daripada pemilikan LBT dikuasai oleh Integrax Berhad yang menjadi anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2016. Baki 20 peratus dimiliki oleh Malakoff Berhad.

Pengarah Urusan Integrax Berhad, Mohammad Zahir Ismail berkata, pengendalian jeti sepanjang 2.7 kilometer itu perlu dilakukan dengan sempurna terutamanya bagi memastikan aktiviti melabuhkan kapal sentiasa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Bekalan


“Semua peralatan termasuk kren yang memunggah arang batu keluar dari kapal dan conveyor line yang membawa arang batu ke loji tenaga perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi memastikan bekalan yang dihantar tidak terputus,” katanya.

Sebanyak 10 juta tan metrik arang batu setahun diperlukan bagi keempat-empat loji tenaga di SJSAS dan ia dijangka bertambah kepada 13 juta tan metrik setahun apabila Manjung 5 beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini.

SJSAS yang dimiliki oleh TNB Janamanjung Sdn. Bhd., (anak syarikat milik penuh TNB) kini menjana 3,100 megawatt (MW).

Tenaga elektrik itu disalurkan ke Grid Nasional dan boleh dimanfaatkan sehingga seramai enam juta pengguna.

Keupayaan terpasang (installed capacity) keseluruhan di SJSAS selepas siapnya projek Manjung 5 adalah 4,100 MW.

Beroperasi selama 24 jam, kerja mengangkut dan memunggah di LBT boleh dijalankan daripada dua buah kapal dengan serentak dalam tiga syif.

Setiap syif mempunyai sehingga 11 orang pekerja termasuk pengendali bilik kawalan, pengendali kren dan anggota sokongan.

“Buat masa ini, sebanyak 100 hingga 120 kapal berlabuh di LBT setiap tahun dan kami bekerja selama 24 jam sepanjang 365 hari.

“Bilangan kapal dijangka meningkat sehingga 150 buah apabila projek Manjung 5 siap sepenuhnya,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, Integrax Berhad turut membantu pihak stesen bagi mengenal pasti isu utama dalam sistem penghantaran arang batu sedia ada.

Ia turut mengemukakan cadangan penambahbaikan dan pelaksanaan bagi memastikan tahap keboleharapan keseluruhan sistem sentiasa berada pada tahap yang tinggi supaya proses penghantaran arang batu ke stesen tidak terjejas.

Katanya, Integrax merancang untuk meningkatkan kapasiti LBT bagi meluaskan potensinya menarik lebih banyak bisnes berkaitan arang batu selari dengan langkah TNB menggiatkan aktiviti bisnes tidak dikawal selia (non-regulated) yang tidak tertakluk kepada tarif elektrik.

Peningkatan kapasiti itu membolehkan Integrax memberikan perkhidmatan serantau seperti terminal-terminal luar negara yang membekalkan arang batu di rantau masing-masing antaranya EMO Terminal, Rotterdam, Belanda dan Idemitsu, Jepun.

“Buat masa ini, kami juga pernah dan mampu mengendalikan kapal-kapal yang membawa barangan pukal terutamanya pemindahan antara kapal ke kapal lain,” katanya.

Selain LBT, Integrax juga memegang 50 peratus kepentingan dalam Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Lumut Port.

Kedua-dua terminal itu berada pada kedudukan strategik untuk memberikan perkhidmatan di rantau Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. – Bernama

Thursday, 23 March 2017

Kontrak perolehan pertahanan negara bernilai RM3.8 bilion dimeterai pada LIMA '17


LANGKAWI - Hari ketiga Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) menyaksikan kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) perolehan bernilai RM3.8 dimeterai.

Kontrak terbesar ialah bagi pembelian empat buah kapal misi pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dengan firma Boustead Naval Shipyard (BNS) bernilai RM1.1 bilion.

Ini merupakan projek usahasama antara kerajaan Malaysia dan China secara rundingan terus dengan BNS.

Turut dimeterai ialah Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf 10 pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan peluru berpandu pesawat Sukhoi SU-30MKM dan senggaraan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Ketiga-tiga LOI ini bernilai kira-kira RM532 juta.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pagi tadi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Wednesday, 22 March 2017

TUDM lengkap penerimaan 4 pesawat A400M


LANGKAWI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sebuah lagi pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus, A400M menjadikan jumlah keseluruhan empat buah yang diterima pasukan keselamatan itu sejak 2015. 

Pesawat A400M adalah pesawat moden dari segi teknologi berbanding C130 yang berada dalam inventori TUDM. Berdasarkan rekod, A400M pertama diterima pada 9 Mac 2015 diikuti pesawat kedua dan ketiga masing-masing pada Januari dan Jun tahun lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerima plak daripada Ketua Pesawat Tentera Airbus Fernando Alonso sebagai simbolik penyerahan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Majlis penyerahan rasmi pesawat untuk kegunaan No 22 Skuadron TUDM itu adalah antara atur cara yang disusun bagi memeriahkan segmen aeroangkasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) yang memasuki hari kedua hari ini.

Thursday, 15 December 2016

Penggodam curi satu bilion data pengguna Yahoo

YAHOO dedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013.
WASHINGTON: Yahoo mendedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013, angka yang berlainan dengan pendedahannya sebelum ini iaitu 500 juta. 

Ia dianggap satu kejutan bagi firma internet terawal itu apabila Yahoo mengesahkan angka itu berdasarkan penyiasatannya selepas berlaku pencerobohan terhadap data miliknya. 

"Yahoo percaya ia dilakukan pihak ketiga (penggodam) pada Ogos 2013, yang mencuri data untuk lebih satu bilion pengguna kami," kata Yahoo dalam satu kenyataan hari ini. Yahoo berkata kes berkenaan adalah berlainan dengan angka pendedahannya sebelum ini pada 22 September lalu. 

Laporan itu muncul ketika Yahoo dalam proses menjual aset operasi terasnya kepada Verizon dengan nilai AS$4.8 bilion. Pendedahan pada September itu juga memberi kesan kepada proses penjualan kepada Verizon yang kemungkinan nilai berkenaan diturunkan. 

Pada November, Yahoo mendedahkan hasil sebahagian siasatannya terhadap kebocoran data mengenai wujudnya pihak ketiga yang mendakwa memiliki data pengguna Yahoo. Menggunakan pakar forensik luaran, Yahoo kemudian mengesahkan ia adalah data pengguna sebenar namun gagal mengenal pasti penceroboh yang dianggap sebagai pencuri data dari firma berkenaan. 

Data pengguna yang dicuri itu membabitkan maklumat yang mengandungi nama, alamat email, nombor telefon, tarikh lahir dan 'algoritma' kata laluan pengguna. 

Yahoo bagaimanapun mengesahkan penggodam gagal memperoleh kata laluan untuk memasuki teks, data kad pembayaran dan maklumat akaun bank. - AFP

Wednesday, 14 December 2016

Rusia tawar teknologi antikeganasan canggih

Rusia sedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dan paling maju.

MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin memberitahu negaranya bersedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dengan dunia.

"Kami sedia menawarkan peralatan paling maju termasuk pesawat tempur, sistem pertahanan udara, sistem pelancaran roket berganda dan kereta perisai," katanya ketika mesyuarat Suruhanjaya bagi Kerjasama Teknikal Tentera Rusia dengan Negara Luar, kelmarin.

Menurutnya, pengganas di seluruh dunia telah membentuk kumpulan bersenjata terlatih yang besar dan menggunakan senjata buatan Barat.

Putin dalam satu kenyataan berkata, kononnya Rusia memberi sumbangan besar dalam peperangan menentang keganasan antarabangsa dan menduduki tangga kedua dalam pasaran senjata di dunia.

Difahamkan, portfolio eksport senjata Moscow kini bernilai lebih AS$50 bilion (RM221 bilion) dengan 100 negara menjadi menjadi rakan dagangan.

Tahun lalu, Rusia telah menjual senjata dan peluru kepada kira-kira 58 negara asing. - Press TV

Saturday, 26 November 2016

Proton lancar MPV Ertiga


SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd melancarkan model terbaharunya, Proton Ertiga iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak berstatus kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara.

MPV enam tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 1.4 Liter VVT itu ditawarkan dalam varian transmisi manual lima kelajuan 1.4L Eksekutif (MT); transmisi automatik empat kelajuan 1.4L Eksekutif (CVT) dan 1.4L Eksekutif Plus (CVT). 

Varian 1.4L Eksekutif MT ditawarkan pada harga RM58,800, 1.4L Eksekutif CVT (RM61,800) dan Eksekutif Plus CVT (RM64,800). 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Proton Ertiga adalah model pertama hasil kerjasama Proton dan Suzuki Motor Corporation Japan. 


Selain menawarkan penjimatan minyak, katanya, MPV kompak EEV pertama di Malaysia itu turut menepati cita rasa dinamik dan gaya hidup keluarga moden masa kini. "Ia direka dengan menawarkan keluasan ruang dan keselesaan," katanya pada pelancaran Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia Alam. 

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Dr Mohd Khamil Jamil. MPV keluarga itu dilengkapi enjin 1.4 VVT yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk semua varian. 


Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsif. Proton Ertiga kini boleh dipandu uji dan ditempah di semua cawangan Proton Edar seluruh negara. 

Info: 

  • Proton Ertiga turut menawarkan tempat duduk fabrik kalis air 
  • Saiz tangki 45 liter untuk perjalanan lebih jauh

Friday, 4 November 2016

Jack Ma dilantik penasihat ekonomi digital kerajaan Malaysia

Datuk Seri Najib Razak bersama Jack Ma ketika melancarkan Pavilion Alitrip Malaysia Tourism di China World Hotel, di Beijing.

BEIJING: Pengerusi Eksekutif Alibaba dan usahawan internet, Jack Ma dilantik penasihat ekonomi digital kepada kerajaan, umum Datuk Seri Najib Razak hari ini. 

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Pavilion Alitrip Malaysia Tourism di China World Hotel, di sini, sebentar tadi. 

Najib berkata, beliau tidak sabar untuk berkongsi berita gembira mengenai perkara itu. 

"Jack Ma sudah menerima pelawaan untuk menjadi penasihat kepada Kerajaan Malaysia mengenai ekonomi digital. "Beliau akan menasihatkan kita dan membantu dalam menerokai, memajukan dan menentu hala tuju masa depan kita dalam sektor ini," katanya. 

Najib berkata, Ma juga bersetuju menyertai Forum Transformasi Global Malaysia ketika lawatannya ke negara ini ketika berlangsungnya persidangan e-Free Trade Zone, Mac tahun depan. 

"Kita berusaha pantas untuk menjadikan perkara ini (ekonomi digital) sebagai kenyataan," katanya.

Wednesday, 2 November 2016

Malaysia sah beli kapal tentera laut dari China

Majlis menandatangani MoU kerjasama pertahanan antara Hishamuddin dengan Jeneral Chang Wanquan di Beijing, semalam.
Beijing: Lawatan rasmi ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bukan hanya bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan.

Perdana menteri berkata dari segi kejayaan perjanjian perdagangan, Malaysia dan syarikat China melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Pada sidang media bersama media Malaysia di sini, semalam, Najib berkata kerajaan Malaysia turut mencapai keputusan bersejarah membeli empat Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya dibina di China dan dua lagi di Malaysia.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah kapal itu akan ditambah jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpuas hati dengan kapal dihasilkan itu yang dijangka dapat disiapkan dalam masa dua tahun.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kali pertama Malaysia membeli peralatan tentera dari China dan ia dibuat atas cadangan TLDM berdasarkan harganya yang murah serta memenuhi keperluan mereka.

Menurutnya, pembelian itu menggunakan lebihan peruntukan TLDM untuk membaik pulih kapal bagi menggantikan Laksamana-class Corvettes yang perlu diganti.

Najib juga membangkitkan kesalinghubungan udara kepada rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, dengan berharap kerajaan China dapat mengkaji waktu penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines ke negara itu yang kini hanya pada lewat malam atau awal pagi kepada waktu yang lebih selesa kepada penumpang.

Ditanya mengenai jumlah pelaburan dan perjanjian perniagaan besar yang diperuntukkan kepada China berbanding negara lain, Najib berkata keputusan itu dibuat berdasarkan realiti ekonomi, malah sesetengah peluang perniagaan yang diberi kepada China turut ditawarkan kepada negara lain.

Bagaimanapun katanya, negara yang turut ditawarkan itu tidak mempunyai kemampuan kewangan dan kepakaran untuk menerima projek berkenaan.

"Kita turut mengambil kira kebaikan yang kita peroleh daripada perjanjian perniagaan itu," katanya.

Wednesday, 26 October 2016

China rancang perkenal kereta api selaju 600 kilometer sejam

Kereta api laju yang digunakan di China ketika ini.
Beijing: China merancang memperkenalkan kereta api yang boleh meluncur selaju 600 kilometer sejam.

Sekiranya berjaya, perjalanan dari Beijing ke Shanghai hanya akan mengambil masa dua jam.

Sebuah syarikat negara itu, CRRC Corp Ltd kini menjalankan kajian untuk mengeluarkan kereta api pengapungan magnetik (Maglev) yang akan lebih laju daripada yang ada sekarang, lapor People’s Daily Online.

Menurut laporan itu, syarikat berkenaan juga akan menjalankan kajian mengenai kereta api seberang sempadan yang boleh bergerak selaju 400 kilometer sejam.

Jepun memiliki kereta api Maglev paling laju di dunia setakat ini dengan kelajuan 603 kilometer sejam ketika ujian.

Seorang jurucakap CRRC, Sun Bangcheng berkata, kereta api baru itu, jika diperkenalkan, akan mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10 peratus berbanding kereta api berkelajuan tinggi yang digunakan sekarang.

Sistem kereta api China semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menjadikannya rangkaian kereta api berkelajuan tinggi paling panjang di dunia. - Agensi

Monday, 17 October 2016

Misi angkasa lepas China dilancar

ANGKASAWAN Jing Haipeng, dan Chen Dong memulakan ekspedisi.
SHANGHAI: China berjaya melancarkan misi angkasa kendalian manusia terbarunya hari ini dengan membawa dua angkasawan ke orbit, lapor media tempatan. 

Angkasawan Jing Haipeng, 49, dan Chen Dong, 37, akan menghabiskan masa sebulan di makmal eksperimen ruang angkasa bagi menjalankan pelbagai kerja penyelidikan.

Makmal angkasa berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan masa depan China untuk mempunyai stesen angkasa kendalian manusia kekal yang dijangka berfungsi sepenuhnya sekitar 2022. 

Shenzhou 11 dilancar menggunakan roket Long March pada jam 7.30 pagi tadi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran terpencil Jiuquan, dekat gurun Gobi, menerusi imej yang disiarkan secara langsung di televisyen negeri. - REUTERS