Showing posts with label Science. Show all posts
Showing posts with label Science. Show all posts

Saturday, 13 January 2018

Malaysia dilanda cuaca sejuk

Petikan status facebook Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan beberapa kawasan di negara ini terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Menurutnya, cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk Monsun Timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang me­landa beberapa negeri di Semenanjung sejak kelmarin.

“Cuaca sejuk ini berlaku ter­utamanya di kawasan pedalaman dan daratan.

“Stesen meteorologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu mini­mum 21 darjah Celsius dan maksimum 25 darjah Celsius berban­ding suhu biasa bermula 30 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Friday, 5 January 2018

Makan waktu sama setiap hari cegah nyanyuk

MAKAN pada waktu yang tetap turut meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan jantung.

CALIFORNIA - Kajian oleh pakar kesihatan di California mendapati makan pada waktu yang sama setiap hari boleh membantu melawan penyakit dementia atau nyanyuk.

Menurut portal Mail Online, penemuan terbaharu itu diterbitkan dalam jurnal eNeuro baru-baru ini.

Menurut kajian itu, makan pada waktu yang tetap akan meningkatkan ekspresi gen di bahagian otak yang berkaitan dengan kawalan badan sekali gus mengurangkan risiko pe­nyakit Huntington (HD) yang merupakan salah satu gejala dementia.

Kebiasaan seperti itu juga meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan jantung, yang kedua-duanya mempunyai kaitan de­ngan HD.

Penyelidik percaya penemuan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup bagi mereka yang menghidap penyakit yang tidak dapat diubati itu.

Penulis kajian tersebut, Profesor Christopher Colwell dari The University of California berkata, HD adalah penyakit yang dise­babkan oleh genetik dan sehingga kini masih tiada penawar.

“Perubahan gaya hidup bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup tetapi juga menangguhkan perkembangan penyakit untuk pesakit HD,” katanya.

HD memberi kesan kepada hampir 30,000 orang di Amerika Syarikat (AS) dan sekurang-kurangnya 6,700 di United Kingdom (UK).

Friday, 15 December 2017

NASA: Sistem solar baharu ditemukan

Ilustrasi NASA yang membandingkan antara planet yang ada dalam sistem solar sekarang dengan planet dalam Kepler 90.

MIAMI - Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) memaklumkan penemuan sistem solar yang mempunyai banyak planet dikenali sebagai Kepler 90.

Agensi berkenaan memaklumkan penemuan itu adalah hasil bantuan kecerdasan buatan (AI) dan teleskop Kepler miliknya.

Walau bagaimanapun agensi itu memberitahu, tiada planet dalam sistem planet kelapan itu yang boleh didiami.

Kepler 90 dipercayai merupakan sistem solar terbesar berbanding sistem solar yang ada sekarang. - AFP

Monday, 4 December 2017

Fenomena pancuran meteor geminids di Port Dickson


PORT DICKSON -  Balai Cerap Teluk Kemang membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat fenomena pancuran meteor 'geminids'  dari perkarangan balai itu mulai 13 Disember ini.

Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang, Muzamir Mazlan berkata,  orang ramai boleh melihat fenomena itu bermula jam 11.30 malam selama tiga hari mulai tarikh tersebut.

"Fenomena ini dinamakan hujan meteor 'geminids' kerana titik asal permulaannya daripada buruj Gemini di langit pada sebelah Utara dan dijangka sebanyak dua meteor akan muncul setiap satu minit.

"Saya menjemput orang ramai sempena musim cuti persekolahan ini untuk melihat fenomena tersebut di sini dengan hanya mata kasar – tanpa memerlukan teleskop," katanya ketika ditemui Bernama.

Muzamir berkata hujan meteor pada kali ini juga sangat sesuai dilihat kerana cahaya bulan sangat kurang disebabkan bulan sabit ataupun dipanggil bulan tua.

Beliau berkata, berikutan fenomena alam ini, pihaknya akan menganjurkan pertandingan fotografi untuk para pengunjung dengan yuran penyertaan serendah RM10.

Pertandingan menawarkan hadiah utama RM300.

“Para pengunjung boleh menghayati fenomena hujan meteor ini sambil mengambil gambar.

“Mereka yang menyertai pertandingan ini perlu menghantar satu gambar terbaik dengan syarat hanya diambil di perkarangan balai cerap," katanya.

Sementara itu, bagi merancakkan lagi kemeriahan menyaksikan hujan meteor di langit Port Dickson, hotel Klana Beach Resort, milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, yang terletak berhadapan Balai Cerap itu menawarkan pakej istimewa buat pelanggan yang menginap di situ dalam tempoh tersebut.

Pengurusnya Che Dzarudin Che Omar berkata pelanggan di hotel mereka bukan sahaja boleh melihat keindahan pantai dan suasana matahari terbenam malah boleh melihat angkasa lepas menggunakan teleskop yang disediakan di balai cerap.

Che Dzarudin berkata bagi pelanggan berkenaan, mereka berpeluang memasuki balai cerap secara percuma, sedangkan orang awam yang ingin memasuki balai itu dikenakan bayaran RM25 seorang.

“Kami mendapat respon yang sangat baik kerana tempahan bilik sudah penuh selepas dua minggu tempahan dibuka,” katanya. - Bernama

Tuesday, 14 November 2017

Bumi makin tenat - saintis



MIAMI: Dua puluh lima tahun selepas saintis seluruh dunia mengeluarkan amaran mengenai bahaya kepada alam sekitar, kemas kini terbaru disiarkan hari ini berkata kebanyakan masalah di planet ini semakin bertambah buruk.

Lebih 15,000 saintis dari 184 negara menandatangani surat 'Amaran Saintis Dunia kepada Kemanusiaan: Notis Kedua', yang disiarkan dalam jurnal BioScience.

Versi awal, yang disiarkan pada 1992 oleh Kesatuan Saintis Prihatin, ditandatangani oleh 1,700 pakar.

Sejak itu, hampir semua ancaman besar kepada alam sekitar menjadi semakin buruk, terutama pertambahan penduduk dunia, yang menokok dua bilion lagi sejak 1992, melonjak 35 peratus.

Ancaman utama lain adalah pemanasan global dan pembebasan karbon disebabkan penggunaan bahan api fosil selain amalan pertanian tidak stabil, penebangan hutan, kekurangan air bersih, kehilangan kehidupan marin dan zon mati lautan yang semakin luas.

"Kemanusiaan kini diberi notis kedua, seperti digambarkan corak membimbangkan ini.

"Kita membahayakan masa depan dengan penggunaan material tidak sekata dari segi geografi dan demografi dan dengan tidak menganggap pertambahan berterusan penduduk dunia sebagai faktor penolak utama ancaman ekologi dan sosial," menurut surat itu. - AFP

Sunday, 15 October 2017

Cendawan ubati kemurungan

Magic Mushroom

LONDON - Sekumpulan penyelidik di Kolej Imperial London mendapati bahan 'hallucinogen’ dalam cendawan (magic mushroom) boleh ‘membetulkan se­mula' otak manusia yang berdepan dengan masalah kemurungan yang sukar dirawat.

Penyelidik berkenaan telah menjalankan kajian terhadap 19 pesakit dengan memberi satu dos bahan 'psychedelic’ iaitu 'psilocybin’.

Kajian menunjukkan separuh daripada pesakit didapati hilang masalah kemurungan manakala aktiviti otak masing-masing mengalami perubahan dan mampu bertahan sehingga lima minggu.

Ketua Penyelidik Dr. Robin Carhart-Harris, bagaimanapun menegaskan, orang ramai tidak boleh mengambil bahan tersebut tanpa pengawasan doktor.

Banyak kajian yang mendapati 'psilocybin’ mungkin berperanan mengatasi kemurungan dengan bertindak sebagai ‘pelincir minda’ sehingga membolehkan seseorang itu keluar daripada simptom kemurungan.

Kesan tepat bahan berkenaan terhadap aktiviti otak masih belum diketahui.

Berdasarkan kajian itu, kumpulan penyelidik berkenaan mendapati bahan 'psilocybin’ mempengaruhi dua bahagian utama otak iaitu 'amygdala’ dan jaringan otak.

Melalui pengambilannya, 'amygdala’ yang banyak melibatkan cara manusia mengendali emosi seperti ketakutan dan kemarahan, menjadi kurang aktif manakala jaringan otak akan lebih stabil.

Dr. Harris memberitahu portal BBC, pesakit yang menjalani ujian itu memberitahu mereka seperti 'telah diperbetulkan semula, dilahirkan semula atau dihidupkan semula' manakala seorang pesakit memberitahu bahawa otaknya seperti telah 'dicuci’.

Walau bagaimanapun kajian tersebut perlu diperluaskan sebelum bahan 'psylocybin’ boleh diterima sebagai rawatan kemurungan.

Friday, 6 October 2017

Waspada fenomena hujan batu



KUALA LUMPUR – Pakar kaji cuaca memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berwaspada pada musim peralihan monsun yang bermula hari ini ke­rana boleh menyebabkan hujan batu dan puting beliung kecil di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Fredolin Tangang berkata, musim peralihan monsun itu juga dijangka menyebabkan angin kencang, ribut petir dan banjir kilat.

Katanya, kejadian puting beliung kecil dikenali sebagai belalai darat biasanya berlaku di kawasan rata bahagian utara terutamanya pada waktu petang dan lewat petang.

Jelas Fredolin, peralihan musim-musim monsun berkait rapat dengan tekanan tinggi rendah di kawasan Siberia dan Australia semasa musim sejuk serta panas.

Sunday, 9 July 2017

Planet Marikh tidak boleh dihuni manusia

PERMUKAAN planet Marikh yang kelihatan seperti padang pasir mempunyai sebatian yang boleh membunuh bakteria.

PARIS – Harapan yang menyaksikan wujudnya hidupan di planet Marikh ternyata meleset apabila kajian mendapati mineral garam yang wujud pada permukaan planet Merah boleh membunuh bakteria.

Kajian yang dilakukan di makmal Sekolah Fizik dan Astronomi Universiti Edinburgh menunjukkan sebatian yang dikenali sebagai Perchlorates membunuh kultur bakteria Bacillus subtilis yang menjadi pembentuk asas kehidupan.

Perchlorates mampu berada dalam keadaan stabil dalam suhu bilik tetapi aktif jika menerima suhu panas yang tinggi sedangkan planet Marikh amat sejuk.

Kajian terbaharu yang dilakukan Jennifer Wadsworth dan Charles Cockell itu turut menunjukkan sebatian berkenaan boleh diaktifkan menggunakan cahaya UV tetapi tanpa suhu panas.

Sebatian itu boleh membunuh bakteria dalam tempoh beberapa minit sahaja sekali gus mengesahkan bahawa planet Marikh tidak boleh dihuni berbanding andaian terdahulu.

“Jika kita mahu mencari hidupan di planet Marikh, kita mencari kehidupan di permukaan lain yang tidak didedahkan dalam keadaan sedemikian,’’ kata Wadsworth kepada AFP.

Perchlorates biarpun merupakan sebatian semula jadi tetapi ia mampu diproses oleh manusia.

Sebatian itu banyak terdapat di Marikh seperti yang direkodkan oleh Phoenix Lander dari agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) pada tahun 2008.

Bagaimanapun kajian menunjukkan sebatian itu boleh membunuh kultur bakteria tersebut dengan kehadiran radiasi UV tetapi ia tidak bermakna kehidupan lain juga akan mati justeru itu kajian lanjut perlu dilakukan. – AFP

Wednesday, 5 July 2017

Ikan ‘transgender’ ancam manusia

Ikan sungai atau kolam mudah terdedah kepada kesan perubahan jantina akibat pencemaran yang berpunca daripada pembuangan sisa pil hormon, ubat-ubatan dan sisa bahan kimia.

KUALA LUMPUR – Pembuangan sampah yang mengandungi bahan kimia dan sisa ubatan seperti pil perancang ke dalam sungai atau kolam bukan sahaja membahayakan kesihatan manusia, malah ia boleh menukar jantina ikan jantan kepada betina.

Selain pil perancang, antara ubat-ubatan yang mampu mencemarkan hidupan marin ialah ubat merawat ken­cing manis seperti metformin dan racun serangga se­perti atrazine dan bahan kimia dari najis haiwan.

Pakar Genetik dan Pembiakbakaan Ikan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yuzine Esa berkata, feno­mena ‘transgender’ itu akan memberi kesan negatif jangka panjang termasuk kepupusan spesies ikan jika tidak dikawal.

Katanya, fenome­na itu bagaima­napun bukanlah sesuatu yang pelik dalam kalangan hidupan marin kerana selain pencemaran, ia juga boleh berlaku secara semula jadi ke atas hidupan jenis hermafrodit seperti ikan te­rubuk, salmon dan giru (ikan badut).

“Namun, kes ‘transgender’ ikan akibat terdedah kepada pencemaran sebenarnya telah berlaku sejak beberapa tahun lalu terutama di negara-negara Barat.

“Ia turut berlaku di Malaysia namun tiada kajian lanjut dilakukan. Hakikatnya, segala hidupan dalam air terutamanya ikan memang boleh bertukar jantina daripada jantan kepada betina sekiranya terdedah kepada pencemaran sisa-sisa ubatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Sunday, 19 February 2017

Saintis temui 'benua tersembunyi'

Benua tersembunyi itu didakwa berukuran dua pertiga saiz Australia.

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Benua berukuran dua pertiga saiz Australia ditemui di bawah permukaan barat daya Lautan Pasifik, menurut saintis seperti dilapor dalam jurnal Persatuan Geologi Amerika Syarikat.

Jisim tanah berkeluasan 4.5 juta kilometer persegi itu meliputi 94 peratus di bawah air dan hanya bahagian tertinggi, New Zealand serta New Caldeonia muncul di permukaannya.

"Jika kita menarik 'palamnya', ia jelas menunjukkan kewujudan rantaian gunung dan benua berdiri tinggi di atas kerak lautan," kata ahli geologi di GNS Science di Dunedin, New Zeland, Nick Mortimer yang juga penulis utama kertas kajian 'Zealandia: Benua tersembunyi bumi'.

Jelasnya, penyelidik pada abad sebelum itu turut menemui granit dari kepulauan sub-antartik berhampiran New Zealand dan batuan metafomik di New Caledonis yang menjadi petunjuk kepada geologi benua. - Reuters

Wednesday, 30 November 2016

Memeluk Islam Kerana Mengkaji Wudhu


Prof Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiater dan sekaligus neurology dari Austria, menemui sesuatu yang menakjubkan terhadap wudhu. Ia mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan.

Bahawa pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia ternyata berada di sebelah dahi, tangan, dan kaki.

Baron Omar Rolf von Ehrenfels.
Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini ia menemui hikmah di sebalik wudhu yang membasuh pusat-pusat saraf tersebut. Malah ia mencadangkan agar wudhu bukan hanya milik dan kebiasaan umat Islam, tetapi untuk umat manusia secara keseluruhan. Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, maka bererti orang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Pada akhirnya Leopold memeluk agama Islam dan mengganti fakta nama menjadi Baron Omar Rolf Ehrenfels.

Hikmah Wudhu


Ulama Fekah juga menjelaskan hikmah wudhu sebagai bahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dalam air wudhu, seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh.

Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wudhu dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wudhu memang daerah yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Banyak pancaindera tersimpul di bagian muka.

Berapa orang yang jadi korban setiap hari dari mulut kita, berapa kali berbohong, memaki, dan membicarakan aib orang lain. Apa saja yang dimakan dan diminum. Apa saja yang baru diintip mata ini, apa yang didengar oleh telinga ini, dan apa saja yang baru dicium hidung ini? Ke mana sahaja kaki ini berjalan setiap hari?

Tegasnya, anggota badan yang dibasuh dalam wudhu ialah anggota yang paling berisiko untuk melakukan dosa.Fakta Organ tubuh yang menjadi anggota wudhu disebutkan dalam ayat al-Maidah [5]:6, adalah wajah, tangan sehingga siku, dan kaki sehingga hujung kaki.

Kalangan ulama melarang mengeringkan air wudhu dengan kain kerana dalam redaksi hadis itu dikatakan bahawa proses pembersihan itu sampai titisan terakhir dari air wudhu itu (ma’a akhir qathr al-ma’).

Wudhu dalam Islam masuk di dalam Bab al-Thaharah (penyucian rohani), seperti halnya tayammum, syarth, dan mandi junub. Tidak disebutkan Bab al-Nadhafah (pembersihan secara fisik). Rasulullah SAW selalu berusaha mempertahankan keabsahan wudhunya.

Yang paling penting dari wudhu ialah kekuatan simboliknya, yakni memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang ‘bersih’ dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca mushaf Al-Quran.

Wallah hu a'lam.

Fenomena burung hijrah bukan petanda bencana

BURUNG memenuhi kawasan pantai di Ras Al-Khaima, Emiriah Arab Bersatu.

KUALA LUMPUR: Fenomena burung memenuhi kawasan pantai di Ras Al-Khaima, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi viral di media sosial, bukan petanda bencana bakal melanda dunia.

Pakar Ornitologi, Dr Farah Shafawati Mohd Taib, berkata fenomena itu berlaku ketika benua utara mengalami musim sejuk yang mendorong ribuan spesies burung berhijrah ke benua selatan terutama di kawasan tropika termasuk Asia. 

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, burung hijrah yang singgah di pantai itu sedang melalui koridor penerbangan udara yang dikenali sebagai 'Palearctic-Asia Flyway', meliputi sebahagian rantau Eropah hingga Asia Barat. 

Perubahan iklim 


"Kecenderungan ribuan burung hijrah singgah ke pantai berkenaan dipengaruhi beberapa faktor termasuk perubahan iklim, kehilangan habitat semula jadi di kawasan bersempadan dengan Sahara, suasana padang pasir di Afrika dan kawalan perosak di Eropah. 

"Disebabkan usaha murni dilakukan kerajaan UAE dengan tanah yang sesuai untuk burung ini, tidak hairan mengapa semakin banyak burung hijrah singgah di sana," katanya. 

Sejak kelmarin, video memaparkan ribuan burung hijrah singgah di pantai Ras Al-Khaima, UAE menjadi viral di media sosial sehingga ada pihak mengaitkan ia sebagai petanda bencana buruk bakal melanda dunia.

Farah Shahwati berkata, persekitaran UAE yang kaya dengan habitat tanah lembab seperti dataran lumpur, lagun dan 'sabkha', menjadikan ia kawasan perlindungan dan bagi kebanyakan spesies burung termasuk burung hijrah.

Monday, 17 October 2016

Misi angkasa lepas China dilancar

ANGKASAWAN Jing Haipeng, dan Chen Dong memulakan ekspedisi.
SHANGHAI: China berjaya melancarkan misi angkasa kendalian manusia terbarunya hari ini dengan membawa dua angkasawan ke orbit, lapor media tempatan. 

Angkasawan Jing Haipeng, 49, dan Chen Dong, 37, akan menghabiskan masa sebulan di makmal eksperimen ruang angkasa bagi menjalankan pelbagai kerja penyelidikan.

Makmal angkasa berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan masa depan China untuk mempunyai stesen angkasa kendalian manusia kekal yang dijangka berfungsi sepenuhnya sekitar 2022. 

Shenzhou 11 dilancar menggunakan roket Long March pada jam 7.30 pagi tadi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran terpencil Jiuquan, dekat gurun Gobi, menerusi imej yang disiarkan secara langsung di televisyen negeri. - REUTERS

Wednesday, 5 October 2016

Malaysia ketinggalan dalam pembangunan nuklear

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar
PUTRAJAYA: Kurang keyakinan dan persepsi rendah rakyat negara ini mengenai isu nuklear menjadi cabaran utama kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) bagi menzahirkan hasrat membangunkan loji nuklear menjelang 2030. 

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar, berkata mengikut Laporan Transformasi Ekonomi (ETP) 2010, Malaysia dijangka mempunyai loji nuklear pertama pada 2021, namun ia terpaksa dianjak berikutan tragedi kebocoran di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima, Jepun selepas dilanda tsunami pada 2011. 

"Selepas kejadian terbabit rakyat di negara ini turut diselubungi kebimbangan, malah banyak isu negatif berkaitan tenaga nuklear dibangkitkan, walhal ada banyak kebaikan jika negara ini mempunyai loji nuklear. 

"Banyak negara sudah memiliki loji nuklear sendiri contohnya Bangladesh, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran. "Malah, Iran kini merancang untuk menambah dua lagi loji nuklear," katanya ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama media sempena 'Sesi Pembukaan Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia', di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Program Pembangunan Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ketua Penyelarasan Kawal Selia Nuklear MNPC, Azlina Mohammad Jais. Mohd Zamzam berkata, sesi pembukaan 'INIR IAEA Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia' itu akan diadakan di Hotel Marriott di sini, yang dijangka dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan disertai beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nuklear. 

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan selama seminggu bermula Isnin ini, pakar berkenaan akan mengkaji semula apa yang sudah dilakukan negara ini dalam aspek pembangunan kuasa nuklear. "Kita sudah hampir dengan pembangunan kuasa nuklear ini, namun ada beberapa kekangan yang dihadapi. Antaranya, MNPC tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk membina loji nuklear berkenaan. 

"Seperti yang sedia maklum, isu penempatan adalah sangat sensitif bagi rakyat di negara ini. Lihat sahaja bagaimana rakyat membantah berhubung isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang," katanya.

Monday, 26 September 2016

Madu tualang berkesan atasi masalah tulang rapuh


KOTA BAHRU - Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati madu tualang berkesan membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita menopause (putus haid),setanding dengan ubat moden.

Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Rosline Hassan berkata, penemuan itu hasil kajian sejak 2006 melibatkan sekumpulan wanita berusia 45 tahun dan ke atas.

"Kami membuat satu perbandingan antara wanita yang diberikan madu tualang secara konsisten iaitu sebanyak 20 gram sehari selama empat bulan dengan wanita yang mengambil ubat moden.

"Kajian mendapati madu tualang mempunyai kebaikan yang sama dengan ubat moden dari segi ketumpatan tulang," katanya kepada Bernama di luar Koloquium mengenai Kajian Produk Semulajadi dalam Kesihatan, di USM Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr. Rosline berkata, kajian sama turut dilakukan ke atas perokok dan didapati tahap keracunan dalam tubuh mereka berkurangan selepas mengambil madu tualang sebanyak 20 gram sehari selama tiga bulan.

"Pembuktian secara saintifik ini menunjukkan produk semulajadi mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus diterokai penyelidik negara khususnya penyelidik USM dari semasa ke semasa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan produk semulajadi terutama madu tualang perlu ditekankan untuk memastikan ubat-ubatan tradisional berkualiti serta selamat untuk digunakan.- BERNAMA

Sunday, 25 September 2016

Mark Zuckerberg buru makhluk asing

KEDUDUKAN planet Proxima b dalam galaksi.
SYDNEY – Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama bi­lionair Rusia, Yuri Milner dan genius fizik, Stephen Hawking me­ngumpul dana sebanyak AS$100 juta (RM400 juta) bagi mencari kehidupan makhluk asing di ang­kasa lepas.

Mail Online melaporkan, dana tersebut bagi mengesan makhluk asing di sebuah planet yang dikenali sebagai Proxima b dan dikatakan sebuah planet yang hampir menyerupai Bumi.

Meskipun Proxima b yang berada pada jarak empat tahun cahaya dengan Bumi merupakan planet berbatu tetapi dengan suhu antara -90 darjah Celsius hingga 30 darjah Celsius, planet itu berkemungkinan mengan­dungi air sekali gus berpotensi mempunyai hidupan.

Dana AS$100 juta untuk projek yang dikenali sebagai Breakthrough Listen itu akan menggunakan teleskop paling berkuasa di dunia bagi mendengar mesej-mesej daripada makhluk asing yang mungkin berada di Proxima b.


Balai Cerap Parkes di New South Wales akan digunakan oleh para saintis bagi mengumpul data melalui signal dari ‘Bumi 2.0’ itu selama 10 tahun, kata Milner.

“Melalui projek ini, kita me­nuju matlamat untuk melancarkan kapal angkasa kecil ke Alpha Centauri suatu ketika kelak. Sekarang kita mempunyai sasaran sekali gus menjadikan misi ini lebih jelas,” katanya.

Daripada ribuan planet yang dikaji oleh para saintis sebelum ini, ahli astronomi yang menemui Proxima b bulan lalu mendapati planet itu hampir menyerupai Bumi dan berada pada jarak yang boleh dikunjungi oleh manusia.

Hawking pula berkata, mereka perlu mencari makhluk asing dan penempatan mereka terlebih dulu sebelum mahkluk ber­kenaan menemui manusia. – Agensi

Tuesday, 13 September 2016

Biri-biri bukan kambing

Apa yang membezakan keduanya adalah pada nama, ciri-ciri ekor, istilah untuk dagingnya serta kandungan lemak dan kolesterol. Ekor kambing (gambar di atas) berdiri hampir tegak, tetapi ekor biri-biri terkulai seperti ekor lembu.
Kuala Lumpur: Kekeliruan istilah menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa perkataan ‘lamb’ dan ‘mutton’ merujuk kepada daging kambing sedangkan ia daging biri-biri yang mengandungi kadar lemak yang tinggi.

Dengan kadar lemak sehingga 12 peratus daripada keseluruhan dagingnya, biri-biri yang biasanya dimasak di restoran atau dijadikan ‘kambing golek’ pada majlis tertentu, ia tidak sesuai untuk mereka yang menghidap tekanan darah tinggi berikutan kolesterol tinggi.

Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Azhar Kasim berkata, daging biri-biri matang dipanggil ‘mutton’ namun salah faham istilah itu menjadikan masyarakat menganggap mereka makan daging kambing.

“Dari segi istilah, kambing dipanggil ‘chevon’ manakala biri-biri muda ialah ‘lamb’. ‘Lamb chop’ dari segi istilah merujuk kepada daging biri-biri muda dan bukannya kambing.

“Tetapi dari dulu kita anggap semuanya kambing dan ia menjadi isu apabila ada yang mendakwa kambing penyebab darah tinggi. Sebenarnya ia adalah biri-biri,” katanya kepada Harian Metro.

Azhar berkata, beliau terpanggil membuat pendedahan itu selepas mendapati terlalu ramai orang yang salah tanggapan mengenai daging kambing dengan aspek kesihatan.

Beliau berkata, biri-biri mempunyai kandungan lemak antara daging kira-kira 12 peratus manakala kambing sekitar dua peratus saja, jurang besar yang memberi kesan kepada kesihatan.

“Dua peratus lemak yang ada pada kambing itu hanya terdapat pada beberapa bahagian di dalam badan. Jadi, risiko untuk menyebabkan penyakit itu kurang berbanding biri-biri. Selama ini kita yang salah faham,” katanya.

Perbezaan ayam kampung (kiri) dan ayam kacuk jantan di Unit Poltri, Jabatan Sains Haiwan.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa isu ayam cucuk yang heboh diperkatakan di negara ini sejak lama dulu hanyalah satu mitos kerana ia diharamkan sejak 1959 lagi.

Katanya, yang ada pada hari ini ialah suntikan vaksin kepada ayam untuk memastikan ia mempunyai imunisasi daripada sebarang penyakit.

Menurutnya, kaedah memberi vaksin ialah prosedur biasa dan tidak mempunyai implikasi kesihatan kerana ia sebenarnya baik untuk proses tumbesaran ayam.

“Sejak 1959, tiada lagi kaedah ayam disuntik hormon namun sehingga hari ini ramai mengatakan ayam dicucuk mengandungi racun dan tercemar. Sedangkan ia adalah suntikan vaksin biasa.

“Ayam daging yang kita lihat lebih gemuk dan berisi berbanding ayam kampung ialah hasil kemajuan teknologi genetik.

“Dengan kemajuan teknologi genetik, ayam sekarang mampu membesar 400 peratus dengan lebih cepat berbanding 50 tahun lalu dan ia selamat dimakan sebagai antara sumber protein termurah,” katanya.

Monday, 4 July 2016

China mahu teroka kehidupan makhluk asing

Radio teleskop berukuran 500 meter itu kini di peringkat akhir pembinaan.
BEIJING - China meletakkan kepingan terakhir pada teleskop radio terbesar di dunia, yang akan digunakan untuk meneroka ruang dan membantu memburu kehidupan luar bumi.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Aperture Spherical Teleskop (Fast) bersaiz sebesar 30 padang bola sepak dengan ukuran 500 meter, dan telah ditempatkan di sebuah kawasan pergunungan di barat daya wilayah Guizhou.

“Projek ini berpotensi mencari lebih banyak objek pelik tentang asal-usul alam semesta selain meningkatkan usaha memburu kehidupan luar bumi,” menurut Timbalan Ketua Pemerhati Astronomi Negara, Zheng Xiaonian.

Radio bernilai RM718 juta itu mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan dan dijangka beroperasi September depan. - Reuters

Friday, 1 July 2016

Tarikh lihat anak bulan Syawal 4 Julai

KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ditetapkan pada petang Isnin, 4 Julai bersamaan 29 Ramadan 1437 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hari ini. 

Menurutnya, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi). 

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, anak bulan Syawal akan dilihat di 29 lokasi di seluruh negara iaitu: 

JOHOR: Pontian Kecil

MELAKA: Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Tanjung Bidara)

NEGERI SEMBILAN: Telok Kemang (Port Dickson)

SELANGOR: Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra (Banting), Balai Cerap Selangor (Sabak Bernam)

PERAK: Pantai Pasir Panjang (Manjung) 

PULAU PINANG: Pusat Falak Sheikh (Pantai Acheh) 

KEDAH: Kampung Pulau Sayak (Kuala Muda), Pemandangan Indah (Pulau Langkawi), Menara Alor Setar 

TERENGGANU: Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai Cerap KUSZA (Setiu) 

KELANTAN: Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling (Kuala Krai), Menara Bangunan SEDC (Kota Baharu) 

SARAWAK: Tanjong Lubang (Miri), Teluk Bandung & Tanjung Batu (Kuching) 
SABAH: Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil (Putatan) 

PAHANG: Bukit Tanjong Batu (Nenasi), Gunung Brinchang (Cameron Highlands), Bukit Pelindong (Kuantan) 

LABUAN: Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah 

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur 

PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya PERLIS: Kuala Sungai Baru (Simpang Empat). - BERNAMA

Monday, 27 June 2016

Impak Fenomena Ayunan Madden-Julian di Malaysia

FENOMENA Ayunan Madden-Julian
BARU-BARU ini, bermula dari minggu pertama Jun 2016, ribut petir, hujan batu dan cuaca lembap berlaku di kawasan pantai barat Semenanjung terutama di Lembah Klang dan ibu negara yang menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini berbeza daripada biasa kita alami dalam musim monsun barat daya (Jun hingga Ogos), yang biasanya cuaca kering dan panas. 

Keadaan ribut petir dan cuaca lembap yang berlaku ini adalah disebabkan fenomena dipanggil sebagai 'Madden-Julian Oscillation (MJO)' atau Ayunan Madden-Julian dan menyediakan keadaan yang sesuai untuk proses pembentukan ribut petir dan cuaca lembap tempatan. Fenomena MJO adalah sebahagian keragaman iklim dalam musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20/60 hari. Fenomena MJO sering berlaku ketika ketiadaan fenomena El Nino atau La Nina. 

Bagaimanapun, fenomena MJO boleh memperkukuhkan proses penjanaan fenomena El Nino. MJO berlaku akibat interaksi lautan dan atmosfera, menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera skala besar pada bahagian barat Lautan Hindi dan bergerak ke timur ke Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia. Pergerakan sistem perolakan berskala besar ini disusuli pergerakan sistem perolakan dikurangkan. 

Ramal keragaman cuaca

Sebelum penemuan fenomena ini oleh dua ahli meteorologi Amerika Syarikat iaitu Roland A Madden dan Paul R Julian pada 1971, perubahan cuaca di kawasan tropika dipercayai bersifat rawak dan sukar diramal. Bagaimanapun, penyelidikan mengenai fenomena ini sejak beberapa dekad lalu mendapati ia menyediakan isyarat yang boleh diguna untuk meramal keragaman cuaca dan iklim, terutama di rantau Benua Maritim merangkumi Malaysia dan Indonesia dari tempoh masa seminggu hingga sebulan.

Kajian lanjut oleh dua ahli meteorologi Australia iaitu Mathew Weller dan Harry Hendon pada 2004 menyediakan kaedah yang mudah memantau pergerakan MJO dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik yang terbahagi kepada lapan fasa MJO. 

Pelbagai agensi termasuk Pusat Ramalan Iklim, Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA), Amerika Syarikat memantau fenomena ini dan menyediakan ramalan pergerakan MJO dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik. Menurut laporan Bureau of Meteorology Australia, dari 8 hingga 11 Jun 2016, 12 hingga 17 Jun 2016 dan 18 hingga 20 Jun 2016, MJO berada dalam fasa 1, 2 dan 3. 

Pada tempoh ini, kawasan di pantai barat Semenanjung terutama di Lembah Klang dan sekitar Kuala Lumpur, ribut petir dan cuaca lembap direkodkan sehingga menyebabkan beberapa kejadian banjir kilat di ibu negara. Cuaca lembap dan ribut petir ini bukan sahaja dialami di Semenanjung, malah di Sumatera. MJO mempengaruhi keragaman cuaca dan iklim di Malaysia, tetapi impaknya bergantung kepada musim ia berlaku dan fasa MJO itu sendiri.

Mengikut hasil penyelidikan saya dan kumpulan di UKM, pada musim monsun barat daya (Jun hingga Ogos), curahan hujan di kawasan pantai barat Semenanjung meningkat pada fasa 1 hingga 2, manakala di pantai timur kadar curahan hujan menurun. Pada fasa 4 hingga 7 seluruh Semenanjung mengalami keadaan kering. Corak ini adalah berdasarkan kepada analisa data merangkumi 33 tahun dari 1980 hingga 2012. 

Kajian juga mendapati peredaran skala besar berkaitan MJO pada fasa 1 dan 2 berinteraksi dengan peredaran skala tempatan memperkukuhkan kitaran harian dan proses pembentukan ribut petir dan cuaca lembap. Ternyata Malaysia dipengaruhi pelbagai fenomena keragaman iklim kerana kedudukannya di antara dua lautan utama iaitu Lautan Hindi di sebelah kiri dan Lautan Pasifik di sebelah kanan. 

Walaupun ramai beranggapan Malaysia tidak diancam bencana berkait cuaca dan iklim seteruk seperti Filipina, hakikatnya bencana berkaitan cuaca dan iklim melanda negara kita berulang kali menyebabkan impak sosioekonomi yang tinggi. Kehidupan rakyat, infrastruktur rosak dan pelbagai sektor ekonomi terjejas teruk. 

Banjir buruk melanda negeri di pantai timur Semenanjung pada penghujung Disember 2014 menjejaskan kehidupan lebih 500,000 penduduk, menyebabkan 25 kematian dan kerugian dianggar RM2.9 bilion. Kita baru sahaja melalui kemarau teruk dan cuaca panas ekstrem antara Januari hingga April 2016 disebabkan fenomena El Nino. 

Pada Jun hingga November 2015, keadaan kemarau berlarutan di Sumatera dan Kalimantan disebabkan fenomena El Nino yang menyebabkan kebakaran hutan yang tidak terkawal. Akibatnya, Malaysia mengalami episod jerebu teruk yang berterusan hampir tiga bulan dari September hingga November 2015. Ternyata bencana berkait cuaca dan iklim tidak boleh dipandang remeh. 

Tambahan lagi, menurut Laporan Penilaian ke-5 Perubahan Iklim oleh Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peningkatan kepekatan gas rumah hijau di atmosfera berterusan akan meningkatkan kekerapan cuaca ekstrem. 

Minimumkan impak 

Persoalannya, bagaimana Malaysia boleh mempersiapkan diri dalam berdepan dengan cuaca ekstrem supaya impak boleh diminimumkan? Tiga aspek utama yang menentukan tahap risiko kita terhadap bencana berkaitan cuaca dan iklim iaitu bencana itu sendiri, pendedahan kepada bencana dan kerentanan kita terhadap bencana ini.

Aspek pendedahan dan kerentanan bergantung kepada pelbagai faktor seperti sosioekonomi, penempatan dan pembangunan yang tidak terancang. Bagaimanapun, memahami bencana cuaca dan iklim perlu kefahaman mengenai sistem iklim dunia, serantau dan tempatan menerusi penyelidikan dan pembangunan berterusan.

Agensi pelaksana perlu bekerjasama dengan institusi penyelidik dalam menjalankan penyelidikan terarah di mana hasil penyelidikan boleh dimanfaatkan untuk memantau dan menangani bencana berkait cuaca dan iklim. -BH