Showing posts with label Research. Show all posts
Showing posts with label Research. Show all posts

Sunday, 15 October 2017

Cendawan ubati kemurungan

Magic Mushroom

LONDON - Sekumpulan penyelidik di Kolej Imperial London mendapati bahan 'hallucinogen’ dalam cendawan (magic mushroom) boleh ‘membetulkan se­mula' otak manusia yang berdepan dengan masalah kemurungan yang sukar dirawat.

Penyelidik berkenaan telah menjalankan kajian terhadap 19 pesakit dengan memberi satu dos bahan 'psychedelic’ iaitu 'psilocybin’.

Kajian menunjukkan separuh daripada pesakit didapati hilang masalah kemurungan manakala aktiviti otak masing-masing mengalami perubahan dan mampu bertahan sehingga lima minggu.

Ketua Penyelidik Dr. Robin Carhart-Harris, bagaimanapun menegaskan, orang ramai tidak boleh mengambil bahan tersebut tanpa pengawasan doktor.

Banyak kajian yang mendapati 'psilocybin’ mungkin berperanan mengatasi kemurungan dengan bertindak sebagai ‘pelincir minda’ sehingga membolehkan seseorang itu keluar daripada simptom kemurungan.

Kesan tepat bahan berkenaan terhadap aktiviti otak masih belum diketahui.

Berdasarkan kajian itu, kumpulan penyelidik berkenaan mendapati bahan 'psilocybin’ mempengaruhi dua bahagian utama otak iaitu 'amygdala’ dan jaringan otak.

Melalui pengambilannya, 'amygdala’ yang banyak melibatkan cara manusia mengendali emosi seperti ketakutan dan kemarahan, menjadi kurang aktif manakala jaringan otak akan lebih stabil.

Dr. Harris memberitahu portal BBC, pesakit yang menjalani ujian itu memberitahu mereka seperti 'telah diperbetulkan semula, dilahirkan semula atau dihidupkan semula' manakala seorang pesakit memberitahu bahawa otaknya seperti telah 'dicuci’.

Walau bagaimanapun kajian tersebut perlu diperluaskan sebelum bahan 'psylocybin’ boleh diterima sebagai rawatan kemurungan.

Saturday, 23 September 2017

Individu rajin buat kerja rumah panjang umur



ONTARIO, KANADA – Kajian terbaharu oleh pakar kesihatan di sebuah universiti dekat sini mendapati, aktiviti berkebun, mencuci lantai atau membersihkan dapur mampu menyelamatkan nyawa.

Laporan kajian dari McMaster University itu mendapati, melakukan kerja rumah lima kali seminggu selama setengah jam dapat mengurangkan risiko kematian sebanyak 28 peratus dan penyakit jantung sebanyak 20 peratus.

Lebih banyak kerja rumah yang dapat membantu individu untuk kekal aktif selama 750 minit seminggu juga didapati mengurangkan peluang untuk kematian awal hampir 40 peratus.

Hasil kajian tersebut diperoleh berdasarkan kajian terperinci aktiviti harian seramai 130,000 individu berusia 35 hingga 70 tahun dari 17 negara berbeza selama hampir tujuh tahun.

Kajian tersebut turut mendapati bahawa jika setiap individu melakukan aktiviti fizikal 150 minit setiap minggu kadar masalah kardiovaskular juga akan berkurangan hampir lima peratus.

Pakar yang mengetuai kajian tersebut, Dr. Scott Lear seperti dipetik Daily Mail berkata, laporan ber­­kenaan akan menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk sentiasa kekal aktif walaupun mereka tidak mempunyai akses ke gim.

“Hasil kajian ini menekankan bahawa apa sahaja jenis aktiviti fizikal yang dilakukan secara rutin sama ada membersihkan rumah atau berjalan cepat untuk bekerja pada waktu pagi membantu kita kekal cergas dan sihat.

“Cara tersebut juga me­rupakan pendekatan kos rendah untuk mencegah penyakit kardiovaskular dan kajian kami menyediakan bukti kukuh untuk menyokong campur ta­ngan badan kesihatan awam bagi meningkatkan semua bentuk aktiviti fizikal di rantau ini,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyor­kan orang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun perlu melakukan senaman selama 150 minit setiap minggu di samping latihan kecergasan dua kali seminggu.

Tetapi anggaran menunjukkan bahawa hanya satu perempat penduduk di se­luruh dunia memenuhi garis panduan tersebut.