Showing posts with label Health. Show all posts
Showing posts with label Health. Show all posts

Friday, 5 January 2018

Makan waktu sama setiap hari cegah nyanyuk

MAKAN pada waktu yang tetap turut meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan jantung.

CALIFORNIA - Kajian oleh pakar kesihatan di California mendapati makan pada waktu yang sama setiap hari boleh membantu melawan penyakit dementia atau nyanyuk.

Menurut portal Mail Online, penemuan terbaharu itu diterbitkan dalam jurnal eNeuro baru-baru ini.

Menurut kajian itu, makan pada waktu yang tetap akan meningkatkan ekspresi gen di bahagian otak yang berkaitan dengan kawalan badan sekali gus mengurangkan risiko pe­nyakit Huntington (HD) yang merupakan salah satu gejala dementia.

Kebiasaan seperti itu juga meningkatkan kualiti tidur dan kesihatan jantung, yang kedua-duanya mempunyai kaitan de­ngan HD.

Penyelidik percaya penemuan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup bagi mereka yang menghidap penyakit yang tidak dapat diubati itu.

Penulis kajian tersebut, Profesor Christopher Colwell dari The University of California berkata, HD adalah penyakit yang dise­babkan oleh genetik dan sehingga kini masih tiada penawar.

“Perubahan gaya hidup bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup tetapi juga menangguhkan perkembangan penyakit untuk pesakit HD,” katanya.

HD memberi kesan kepada hampir 30,000 orang di Amerika Syarikat (AS) dan sekurang-kurangnya 6,700 di United Kingdom (UK).

Thursday, 2 November 2017

Doktor muda HSNZ ditemui mati

Deretan gerai jualan makanan di Pasar Malam Kuala Ibai iaitu lokasi seorang pegawai perubatan HSNZ dipercayai membeli makanan sebelum mengalami keracunan dan ditemui mati di dalam bilik rumah sewanya kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ditemui mati dalam bilik rumah sewanya di Kampung Nyiur Sepohon di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Muaz Mohd. Sabri, 30, ditemui kira-kira pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil selepas anak pemilik rumah sewa berkenaan berjaya membuka pintu bilik tersebut.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari yang lalu.

Menurut anak pemilik rumah berkenaan, Hakim Mat Lazim, 32, dia dimaklumkan bahawa mangsa mengalami keracunan makanan selepas memakan juadah yang dibeli di sebuah pasar malam di Kuala Ibai.

Katanya, pasar malam berkenaan dibuka setiap hari Rabu pada waktu malam.

“Saya difahamkan tunang mangsa yang turut bertugas sebagai seorang pegawai perubatan di HSNZ terpaksa ditahan beberapa hari di wad untuk rawatan kerana turut mengalami keracunan makanan.

“Bagaimanapun, arwah yang enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengambil keputusan untuk berehat di bilik sewanya sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Monday, 23 October 2017

Cadang naik harga rokok RM50 sekotak

Rokok akan dikategorikan sebagai satu barangan mahal jika harga RM50 sekotak dilaksanakan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu usaha membendung gejala dadah membabitkan remaja dan belia.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusuf mencadangkan kenaikan harga tersebut bagi menjadikan rokok sebagai satu barangan mahal dan tidak mampu dibeli sehingga menyebabkan remaja dan belia sukar mendapatkannya.

Beliau berkata, berdasarkan pe­ngalaman dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah, anak luar nikah dan virus HIV mendapati, rokok menjadi asas kepada masalah-masalah dan gejala sosial itu menjadi punca beberapa masalah kesihatan.

“Jadi, jika harga rokok dinaikkan kepada RM50, sebagai langkah awal, masyarakat tentu akan berfikir berapa kali untuk membeli kerana mahal,” katanya selepas program Sembang Bajet Utusan Online di sini baru-baru ini.

Sunday, 15 October 2017

Cendawan ubati kemurungan

Magic Mushroom

LONDON - Sekumpulan penyelidik di Kolej Imperial London mendapati bahan 'hallucinogen’ dalam cendawan (magic mushroom) boleh ‘membetulkan se­mula' otak manusia yang berdepan dengan masalah kemurungan yang sukar dirawat.

Penyelidik berkenaan telah menjalankan kajian terhadap 19 pesakit dengan memberi satu dos bahan 'psychedelic’ iaitu 'psilocybin’.

Kajian menunjukkan separuh daripada pesakit didapati hilang masalah kemurungan manakala aktiviti otak masing-masing mengalami perubahan dan mampu bertahan sehingga lima minggu.

Ketua Penyelidik Dr. Robin Carhart-Harris, bagaimanapun menegaskan, orang ramai tidak boleh mengambil bahan tersebut tanpa pengawasan doktor.

Banyak kajian yang mendapati 'psilocybin’ mungkin berperanan mengatasi kemurungan dengan bertindak sebagai ‘pelincir minda’ sehingga membolehkan seseorang itu keluar daripada simptom kemurungan.

Kesan tepat bahan berkenaan terhadap aktiviti otak masih belum diketahui.

Berdasarkan kajian itu, kumpulan penyelidik berkenaan mendapati bahan 'psilocybin’ mempengaruhi dua bahagian utama otak iaitu 'amygdala’ dan jaringan otak.

Melalui pengambilannya, 'amygdala’ yang banyak melibatkan cara manusia mengendali emosi seperti ketakutan dan kemarahan, menjadi kurang aktif manakala jaringan otak akan lebih stabil.

Dr. Harris memberitahu portal BBC, pesakit yang menjalani ujian itu memberitahu mereka seperti 'telah diperbetulkan semula, dilahirkan semula atau dihidupkan semula' manakala seorang pesakit memberitahu bahawa otaknya seperti telah 'dicuci’.

Walau bagaimanapun kajian tersebut perlu diperluaskan sebelum bahan 'psylocybin’ boleh diterima sebagai rawatan kemurungan.

Sunday, 8 October 2017

Buta akibat telefon bimbit

PERMAINAN Honour of Kings yang diminati Wu.

BEIJING - Seorang gadis di China hilang penglihatan mata ka­nannya selepas bermain permainan Honour of Kings di telefon bim­bitnya selama 24 jam tanpa henti.

Channel News Asia melaporkan, Wu Xiaojing bukan nama sebenar beliau merupakan peminat tegar permainan perang secara dalam talian dan menghabiskan masa sepanjang hari pada 1 Oktober dengan permainan ber­kenaan.

Berdasarkan laporan akhbar The Paper, gadis berusia 21 tahun itu kemudiannya hilang penglihatan mata kanannya secara tiba-tiba pada sebelah malam.

Wu didapati mengalami retinal artery occlusion, masalah kesihatan berkaitan retina mata yang sering dialami warga emas dan jarang berlaku kepada golongan belia dan ia dipercayai berpunca daripada ketegangan mata yang teruk.

Wu yang bekerja dalam bidang kewangan dipetik sebagai berkata, dia mula ketagih bermain permainan Honour of Kings pada awal tahun ini dan pada setiap hujung minggu, dia akan bangun seawal pukul 6 pagi dan mula bermain permainan tersebut.

“Saya akan tidur sebentar pada pukul 4 petang dan kemudiannya makan sesuatu dan terus bermain sehingga pukul 1 atau dua pagi.

“Malah, adakalanya saya lupa untuk pergi ke tandas atau ke bilik air,” katanya.

Wu mengaku bahawa ibu bapanya ada memberi amaran tentang bahaya bermain permainan video secara berlebihan dengan mendakwa dia boleh menjadi buta.

“Saya sering berkata kepada diri sendiri bahawa ini adalah pusingan terakhir saya bermain permainan ini tetapi saya sukar untuk berhenti,” katanya.

Wu kini dirawat di hospital sementara doktor cuba menyelamatkan penglihatannya.

Saturday, 23 September 2017

Individu rajin buat kerja rumah panjang umur



ONTARIO, KANADA – Kajian terbaharu oleh pakar kesihatan di sebuah universiti dekat sini mendapati, aktiviti berkebun, mencuci lantai atau membersihkan dapur mampu menyelamatkan nyawa.

Laporan kajian dari McMaster University itu mendapati, melakukan kerja rumah lima kali seminggu selama setengah jam dapat mengurangkan risiko kematian sebanyak 28 peratus dan penyakit jantung sebanyak 20 peratus.

Lebih banyak kerja rumah yang dapat membantu individu untuk kekal aktif selama 750 minit seminggu juga didapati mengurangkan peluang untuk kematian awal hampir 40 peratus.

Hasil kajian tersebut diperoleh berdasarkan kajian terperinci aktiviti harian seramai 130,000 individu berusia 35 hingga 70 tahun dari 17 negara berbeza selama hampir tujuh tahun.

Kajian tersebut turut mendapati bahawa jika setiap individu melakukan aktiviti fizikal 150 minit setiap minggu kadar masalah kardiovaskular juga akan berkurangan hampir lima peratus.

Pakar yang mengetuai kajian tersebut, Dr. Scott Lear seperti dipetik Daily Mail berkata, laporan ber­­kenaan akan menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk sentiasa kekal aktif walaupun mereka tidak mempunyai akses ke gim.

“Hasil kajian ini menekankan bahawa apa sahaja jenis aktiviti fizikal yang dilakukan secara rutin sama ada membersihkan rumah atau berjalan cepat untuk bekerja pada waktu pagi membantu kita kekal cergas dan sihat.

“Cara tersebut juga me­rupakan pendekatan kos rendah untuk mencegah penyakit kardiovaskular dan kajian kami menyediakan bukti kukuh untuk menyokong campur ta­ngan badan kesihatan awam bagi meningkatkan semua bentuk aktiviti fizikal di rantau ini,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyor­kan orang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun perlu melakukan senaman selama 150 minit setiap minggu di samping latihan kecergasan dua kali seminggu.

Tetapi anggaran menunjukkan bahawa hanya satu perempat penduduk di se­luruh dunia memenuhi garis panduan tersebut.

Saturday, 16 September 2017

Gaji doktor perlu disemak semula: TPM

AHMAD Zahid melihat gigi pelajar, Mohd Isyraq Hadif Abd Aziz, 15, yang menjalani pemeriksaan gigi ketika melawat pameran selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di Bagan Datuk, hari ini.

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menyemak semula skim dan struktur gaji profesional kesihatan bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara atau 'brain drain'.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun Kementerian Kesihatan melakukan fleksibiliti tugasan iaitu membenarkan mereka bertugas di sektor awam dan swasta sekali gus, ia masih tidak mampu menghalang masalah 'brain drain'.

"Sudah tiba masanya JPA melihat semula skim dan struktur gaji profesional perubatan.

"Walaupun ia akan membabitkan pelbagai sektor lain dalam perkhidmatan awam, kita tidak mahu kehilangan tenaga pakar dalam bidang kesihatan.

"Kita sudah banyak melabur dalam latihan dan keperluan lanjutan bidang tertentu kesihatan sedangkan negara berkenaan tidak mengeluarkan apa-apa," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini tawaran imbuhan dan gaji bagi profesional perubatan termasuk doktor serta jururawat di luar negara adalah tinggi.

Bagaimanapun, katanya, wujud kekangan sektor awam untuk menawarkan imbuhan sama kerana profesional dalam bidang lain akan menuntut perkara sama.

Justeru, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan JPA melakukan penilaian dan semakan semula itu bagi melihat semula keperluan demi mengekalkan tenaga pakar dan profesional kesihatan dalam negara.

Katanya, tenaga pakar dan profesional kesihatan harus dikekalkan dalam negara kerana wujud besar pelancongan kesihatan di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan pelancongan kesihatan kerana caj serta bayaran perkhidmatan di Malaysia adalah rendah sedangkan kualiti perubatan di negara ini adalah lebih tinggi atau setara dengan negara lain.

Thursday, 7 September 2017

Badan jadi belon


Keadaan Martinez selepas dada dan tangannya menggelembung akibat penyakit dekompresi.

Pisco, Peru: Badan seorang nelayan menggelembung akibat satu keadaan luar biasa selepas timbul ke permukaan terlalu cepat ketika menyelam di lautan baru-baru ini.

Berat badan Alejandro Ramos Martinez juga meningkat hampir 30 kilogram selepas dada dan tangannya menggelembung.

Martinez berkata, dia menyelam di dasar lautan untuk menangkap udang dan ikan sebelum naik ke permukaan terlalu cepat.

Kesilapan itu menyebabkan gas nitrogen di dalam darahnya bertukar menjadi gelembung, satu keadaan yang dikenali sebagai ‘bends’ atau penyakit dekompresi.

Keadaan itu yang berpunca daripada naik ke permukaan terlalu cepat boleh membawa maut dan sangat ditakuti oleh penyelam.

Bagaimanapun, dalam kes Martinez, gelembung nitrogen terperangkap di sekitar ototnya dan ia sangat jarang berlaku serta unik.

Doktor juga masih berusaha mendapatkan rawatan yang sesuai untuk Martinez.

Martinez kini diberi rawatan oksigen dalam kebuk tekanan tinggi.

Seorang doktor di Hospital San Juan de Dios, Miguel Alarcon berkata, pihaknya sehingga kini berjaya mengeluarkan 30 peratus nitrogen daripada badan lelaki itu.

“Kami juga menjalankan kajian terhadap penyakit dekompresi yang dialami Martinez kerana kami tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan Martinez sering berasa sakit dan sukar berjalan serta mengalami tekanan darah tinggi.

Wednesday, 6 September 2017

Penagih internet sanggup pakai lampin

Rutin latihan kawad dan perbarisan bertujuan mendisiplinkan pelatih.

“IBU bapa menipu saya. Saya berteriak dan menjerit: Saya mahu keluar! Saya tidak mahu tinggal di sini.

“Perbuatan itu tidak berguna. Tanpa menghiraukan saya mereka berlalu begitu sahaja,” ujar Xiong Chengzuo ketika mengenang detik dimasukkan ke sebuah sekolah pemulihan ketagihan internet di Huai’an, Timur China baru-baru ini.

Sebelum itu, Chengzuo, 16, ‘terpedaya’ dengan ajakan ibu bapanya untuk keluar makan bersama-sama. Sebaliknya, dia dihantar kira-kira 600 kilometer (km) dari rumahnya ke sebuah bangunan yang baginya kelihatan tidak ubah seperti penjara.

Seorang lagi yang mempunyai ketagihan yang teruk pada telefon pintar ialah Bing Jiaying, 18. Pada Mei lalu, dia dimasukkan ibunya ke sekolah tersebut. Sebelum itu, ibunya menyatakan ingin membawanya melawat saudara di sekolah tersebut.

“Saya benci awak! Itu yang saya katakan kepada ibu. Saya dimasukkan di sini secara paksa,” imbaunya.

Gadis itu mengakui, hampir setiap masa tangannya tidak lekang dengan iPhone 6 Plus. Dia akan berborak berjam-jam lamanya di laman sosial WeChat dan aplikasi QQ tanpa mengira siang atau malam.

Begitupun dia sedikit bimbang memikirkan kehidupan baharunya yang diibaratkan seperti tentera. Pendek kata, ia bukan sesuatu yang menggembirakan. Apatah lagi dia perlu melalui rutin tersebut selama setahun.

Kedatangan Chengzuo dan Jiaying disambut bekas Tentera Liberalisasi Rakyat, Xu Xiangyang. Lelaki berusia 57 tahun itu kini berjuang dalam misi yang disifatkannya sebagai menyelamatkan golongan muda daripada neraka maya.

Gangguan klinikal


Sejak tahun 2008, China menjadi negara pertama mengisytiharkan kecanduan internet sebagai gangguan klinikal. Awal tahun ini, China merekodkan 731 juta pengguna internet.

Jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2009. Dianggarkan terdapat 24 juta penagih internet di republik tersebut.

“Saya benar-benar menentang permainan dalam talian. Ia merosakkan kesihatan seseorang. Ia turut membuatkan seseorang itu bagai tidak mempunyai perkara yang lebih penting dalam hidup.

“Pada saya, mereka hanyut dalam dunia yang langsung tidak bermakna mahupun membawa erti positif terhadap keluarga dan insan di sekeliling mereka,” tuturnya.

Apabila Xiangyang membuka sekolah tersebut pada tahun 1997, penagih internet tidak begitu ramai. Menurut data rasmi, China ketika itu hanya mempunyai kira-kira 300,000 komputer dengan sekitar 620,000 mempunyai akses terhadap internet.

Sekolah yang menelan kos operasi 36,000 yuan setahun (RM23,280) itu mempunyai liputan Wi-Fi tetapi tiada kata laluan disediakan untuk pelajar.

April lalu, seorang remaja berusia 17 tahun dari Guangzhou dilaporkan mengalami strok selepas bermain permainan yang dipanggil League of Legends selama 40 jam tanpa henti.

Menyorot sebuah dokumentari yang dibuat tahun 2014, ketua sebuah kem pemulihan mendakwa penagih internet sanggup memakai lampin bagi menghalang mereka meninggalkan skrin komputer. Disebabkan itu, gejala tersebut dipanggil heroin elektronik.


Terapi

SESI pemulihan secara psikoterapi turut dijalankan secara berkumpulan.

Tidak jauh dari sekolah Xiangyang, terdapat sebuah kem yang menggunakan terapi elektrokonvulsif iaitu terapi arus elektrik untuk merawat ketagihan internet.

“Ia tidak boleh ditanggung. Ada ketikanya kami diminta menutup mata menggunakan kain dengan ketat,” dedah seorang pesakit berusia 22 tahun kepada laman web berita China, Sixth Tone baru-baru ini.

Begitupun, Xiangyang menegaskan, beliau menolak kaedah yang tidak rasional dan tidak berperikemanusiaan. Kurikulum yang disusunnya mempengaruhi penagih internet untuk berpijak di bumi nyata menerusi aktiviti seperti balet, muzik dan persembahan komedi.

Menjengah ke salah sebuah kelas di sekolah tersebut, puluhan warganya kelihatan ceria ketika dalam sesi pengajaran mendengar dan melagukan puisi klasik China.

Guru seninya, Zhang Yifan menjelaskan, tugas guru sekolah adalah menjaga dan mendidik pelajar-pelajarnya melihat keindahan dunia.

“Sesetengah ibu bapa menggunakan kaedah yang teruk, seperti bergaduh, memarahi dan memukul anak-anak mereka. Ia membuatkan anak menjadi lebih jauh dan berhati keras,” katanya.

Tidak jauh dari situ, kedengaran riuh rendah sorakan sekumpulan pelajar yang sedang mengikuti kelas renang di kolam yang terletak di belakang bangunan sekolah.

Selain itu, dengan semangat perajurit mengalir di dalam darahnya, Xiangyang turut melatih pelajarnya dengan disiplin kawad dan perbarisan.

Tiga kali setahun, penuntut sekolah itu dibawa dalam perjalanan merentasi kawasan pedalaman sejauh 300 kilometer dan singgah di desa Bafang yang permai selama sebulan sebelum kembali ke pangkalan.

Ketenteraan


SEORANG pelatih dipakaikan alat pengimbas elektroensefalogram untuk merakam aktiviti otak.

“Setiap hari, kami perlu berjalan sejauh 40 kilometer. Dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius, saya berasa seperti terbakar.

“Kadangkala kaki saya melepuh. Proses ini membuatkan saya berfikir apa yang telah saya lakukan selama ini. Lama-kelamaan saya menikmati rumah baharu ini. Ia tempat yang baik,” ujar seorang pelajar yang dikenali sebagai Jian.

Seperti Xiangyang, ahli psikiatri dari Pusat Rawatan Ketagihan Daxing, Tao Ran turut menggunakan elemen ketenteraan untuk mengatasi ketagihan.

“Ketagihan internet membawa kepada masalah di otak yang serupa dengan penggunaan heroin. Ia merosakkan tubuh dan memusnahkan hubungan tanpa disedari.

“Kesemua yang terlibat mempunyai masalah penglihatan, sakit belakang dan mengalami gangguan makan. Kami dapati kapasiti otak mereka berkurang sekitar lapan peratus,” jelasnya.

Menurutnya, pusat yang ditubuhkan pada 2013 itu menganggap seseorang yang menghabiskan masa selama enam jam atau lebih di internet, mengalami masalah ketagihan.

Beliau yang juga merupakan pesara Tentera Liberalisasi Rakyat berpangkat kolonel mendedahkan, 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke situ mengalami kemurungan teruk sementara 57 peratus tergamak menyerang ibu bapa sendiri.

“Ini satu petanda buruk, saya khuatir trend ini akan meningkat,” tuturnya.

Rakan tenaga pengajarnya, Ma Liqiang berkata, golongan muda terbabit perlu belajar mengenal jati diri dan hidup mengikut peraturan. Mereka juga perlu belajar erti menghormati.

“Kebanyakan mereka sangat angkuh apabila mula-mula tiba di sini. Keupayaan fizikal dan stamina mereka teruk. Mereka akan termengah-mengah selepas berjoging beberapa langkah.

“Proses membentuk mereka mungkin sukar, tetapi ia tidak mustahil. Mereka masih mempunyai harapan. Hasilnya dapat dilihat dalam beberapa bulan,” ungkapnya optimis.

Wednesday, 23 August 2017

Makanan segera besarkan buah dada lelaki

BUAH dada kanan seorang remaja di China kelihatan lebih besar sehingga menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan.

SEJAK enam tahun lalu, seorang remaja lelaki yang kini berusia 19 tahun bingung memikirkan tentang masalah kesihatan yang dihadapinya.

Bukan dia sahaja yang runsing, malah ibu bapanya turut bimbang melihat keadaan anak teruna mereka apabila berlaku sesuatu yang tidak kena pada anggota badannya.

Manakan tidak, remaja lelaki yang dikenali sebagai Xiao Yang itu tiba-tiba mengalami tumbesaran pada salah satu daripada buah dadanya. Ia menyerupai seperti buah dada wanita.

Selepas enam tahun, buah dada di sebelah kanan Yang semakin membesar sehingga membuatkan dia berasa malu lebih-lebih lagi apabila meningkat dewasa.

“Saya selalu diejek ketika berada di sekolah terutama jika terpaksa membuka baju semasa mandi di kolam renang,” ujar Yang.

Menurut Yang, dia mula perasan ­perubahan pada buah dada kanannya sejak dia berusia 13 tahun apabila mendapati ia kelihatan sedikit berbeza daripada sebelah kiri.

Kelenjar susu

Melihat perubahan yang berlaku, Yang telah memberitahu ibu bapanya sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap Yang gagal menemui jawapan. Ibu bapanya diminta membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan ke beberapa hospital lain.

Menurut laporan akhbar tempatan, Qianjiang Evening Post, Yang yang bera­sal dari daerah Cangnan di wilayah Zhejiang, selepas gagal mendapat keputusan daripada beberapa buah hospital, remaja itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Pusat Wenzhou pada Julai lalu.

SEKUMPULAN doktor melakukan pembedahan mengecilkan saiz sebelah payu dara seorang remaja lelaki tiba-tiba membesar akibat ketidakseimbangan hormon.

Di bawah kendalian pakar perubatan, Dr. Pan Zhongliang, masalah yang dihadapi oleh remaja tersebut berjaya ditemui.

Melalui kaedah yang dikenali sebagai B-scan ultrasonography, Zhongliang mendapati, kelenjar susu remaja itu membesar dan saiznya menjadi tidak normal bagi seorang lelaki.

Menurut Zhongliang, keadaan itu disebabkan berlaku ketidakseimbangan hormon yang dikenali sebagai ginekomastia iaitu perkembangan kelenjar susu berlebihan pada lelaki.

“Ginekomastia merupakan satu kea­daan yang dipengaruhi oleh hormon seseorang hingga menyebabkan kelenjar susu mereka membesar sama ada sebelah atau kedua-duanya sekali,” ujar Zhongliang.

Selepas mengenal pasti masalah yang dihadapi remaja itu, satu pembedahan dipanggil mastectomy telah dilakukan untuk mengecilkan buah dada dan membentuk buah dada baharu yang normal.

Makanan segera

Melalui kajian saintifik yang dijalankan, Zhongliang percaya masalah ginekomastia yang berlaku terhadap seseorang lelaki itu berpunca daripada tabiat memakan terlalu banyak makanan segera dan makanan proses yang dicampur dengan bahan kimia tertentu.

“Saya percaya, tabiat mengambil makanan segera menyumbang faktor utama terhadap masalah ginekomastia terhadap golongan lelaki,” jelas Zhongliang.

Selepas selamat menjalani pembedahan mastectomy, doktor memberi harapan bahawa masalah yang sama tidak akan terjadi lagi terhadap pesakit.

Saturday, 22 July 2017

200 batu karang dalam badan

Sebahagian daripada 200 batu karang yang dikeluarkan dari pundi hempedu dan hati seorang wanita di China.

Hezhou (China): Sekumpulan doktor mengeluarkan lebih 200 batu karang di dalam pundi hempedu dan hati seorang wanita di sini yang berpunca daripada tidak sarapan pagi.

Dr Quan Xuwei dari Hospital Guangji memberitahu, batu karang itu yang ada sebesar telur ayam dikeluarkan dalam satu pembedahan pada 15 Julai lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Chen, 45, itu sering makan lebihan makanan dan makan tidak mengikut waktu sejak 10 tahun lalu.

Pesakit juga sering tidak mengambil sarapan pagi dan makan makanan yang tidak sihat dan banyak kolesterol.

“Chen mula sakit perut sejak 10 tahun yang lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan di hospital.

“Beberapa tahun lalu, dia membuat pemeriksaan di hospital dan doktor menyarankan pembedahan dilakukan tetapi wanita itu tidak bersetuju kerana takut,” katanya.

Menurutnya, Chen datang semula ke hospital pada minggu lalu kerana mengalami sakit perut yang teruk dan dia tiada pilihan selain menjalani pembedahan.

Semua batu karang di tubuh manusia biasanya terbentuk daripada kolesterol dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, terutama wanita berisiko mengalami keadaan itu.

Menurutnya, pemakanan dan gaya hidup seseorang juga menjadi punca utama pembentukan batu karang dalam tubuh.

“Kebanyakan pesakit yang saya temui termasuk Chen sering tidak mengambil sarapan pagi,” jelasnya.

Sunday, 16 July 2017

Rakyat Malaysia malas berjalan

Berjalan kaki mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes, asma dan kanser kerana ia menguatkan jantung dan meningkatkan imun seseorang.


KUALA LUMPUR – Sikap terlalu manja rak­yat Malaysia merupakan antara faktor utama negara ini tersenarai dalam kedudukan ke-44 daripada 46 buah negara yang mempunyai penduduk paling malas berjalan di dunia.

Hasil kajian penyelidik dari Universiti Stanford, California mendedahkan, rakyat Malaysia secara puratanya hanya berjalan sebanyak 3,963 langkah setiap hari yang meletakkan negara ini dalam kelompok terendah di hadapan Arab Saudi dan Indonesia.

Arab Saudi berada di kedudukan ke-45 dengan rakyatnya secara purata berjalan sebanyak 3,807 langkah sehari manakala penduduk yang paling malas berjalan ialah Indonesia dengan 3,513 langkah sehari.

Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Salam Senawang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, rata-rata rakyat di negara ini kurang kesedaran akan pentingnya berjalan dalam membantu mengekalkan tahap kesihatan mereka.

“Selain kurang kesedaran, kebanyakan rakyat Malaysia berasa selesa dengan kehidupan sekarang sehingga menjadi malas untuk berjalan. Mereka sudah biasa menggunakan pengangkutan awam yang senang dinaiki atau milik persendirian untuk bergerak ke mana sahaja tanpa perlu lagi berjalan.

“Kalau boleh semua ingin mudah dan sikap terlalu manja ini sebenarnya sudah menjadi tabiat rakyat di negara ini sehingga ia menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan harian mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Wednesday, 12 July 2017

Kopi bantu panjangkan usia

KAJIAN terkini pakar perubatan mendapati tiga cawan kopi sehari mampu memanjangkan umur
selain mengurangkan risiko kematian akibat pelbagai penyakit.

MIAMI – Penggemar kopi pasti teruja dengan dua hasil kajian antarabangsa yang mendedahkan minuman tersebut mampu membantu mereka untuk hidup lebih lama.

Laporan kajian penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang diterbitkan dalam jurnal per­ubatan Annals of Internal Medicine menunjukkan wujud kaitan antara tabiat minum kopi dan kecenderungan memiliki umur yang panjang.

Kajian pertama bersifat pemerhatian diketuai oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) dan Imperial College London, mengkaji lebih daripada setengah juta penduduk di 10 buah negara di Eropah yang turut disifatkan sebagai analisis terbesar mengenai kesan minum kopi dalam populasi di benua itu.

Menurut kajian berkenaan, mereka yang minum kira-kira tiga cawan kopi sehari cende­rung hidup lebih lama berbanding individu lain yang tidak menggemari minuman tersebut.

“Kami mendapati pengambilan kopi yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah daripada sebarang sebab khususnya melibatkan masalah peredaran darah dan pencernaan.

“Paling penting, keputusan itu adalah sama di semua 10 negara Eropah, walaupun dengan tabiat minum kopi dan adat resam yang berbeza,” jelas Ketua Penyelidik IARC, Marc Gunter.

Kajian kedua melibatkan lebih daripada 180,000 responden pelbagai latar belakang etnik di AS pula menemukan manfaat untuk umur yang panjang sama ada kopi itu berkafein atau sebaliknya.

Kajian itu mendapati penggemar kopi mempunyai risiko kematian yang lebih rendah akibat penyakit jantung, kanser, strok, diabetes, masalah pernafasan dan buah pinggang.

Mereka yang minum satu cawan sehari juga didapati 12 peratus kurang berkemungkinan berdepan risiko penyakit berbanding dengan mereka yang tidak minum kopi dan jumlah tersebut meningkat kepada 18 peratus bagi mereka yang minum dua atau tiga cawan sehari. – AFP

Friday, 7 July 2017

Tangis air mata darah

Mohammed dan anaknya, Ahana.


New Delhi: Seorang kanak-kanak membingungkan doktor di India dengan penyakit misteri yang menyebabkan dia menangis air mata darah.

Ahana Afzal, 3 tahun, mula mengalami pendarahan dari hidungnya dua tahun lalu ketika menghidap pnuemonia.

Bagaimanapun, keadaannya kini lebih teruk apabila darah juga keluar dari mulut, telinga dan matanya hampir setiap hari walaupun tidak ada kesan calar.

Ibu bapanya, Nazima Begum, 28, dan Mohammed Afzal, 33, sudah membelanjakan lebih RM6,000 untuk pemeriksaan tetapi masih belum ada diagnosis rasmi.

Pakar perubatan berkata, Ahana mungkin menghidap hematodrosis, keadaan yang amat jarang berlaku. Hal ini terjadi jika orang itu mengalami tekanan batin atau stress yang sangat berat, misalnya berhadapan dengan kematian.

Efek lain adalah kulit menjadi sangat lunak dan rapuh, sehingga jika mendapat tekanan atau terjadi kerosakan pada kulit, akan terasa lebih sakit dari biasanya.

Tuesday, 30 May 2017

Beri makan guna sudu punca bayi kegemukan

Bayi perlu diajar dan diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri.


CARDIFF - Bayi yang diberi makan ibu bapa mereka menggunakan sudu dipercayai cenderung untuk mengalami masalah ke­gemukan setelah mereka dewasa berbanding kanak-kanak yang menyuap makanan secara sendiri.

Penyelidik dari Universiti Swansea, Profesor Madya Amy Brown yang dipetik Mail Online sebagai berkata, kanak-kanak yang diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri didapati lebih tahan lasak serta sihat.

Untuk itu jelas beliau, ibu bapa seharusnya berhenti daripada menyuap makanan menggunakan sudu kepada anak-anak yang sudah melebihi usia enam bulan kerana mereka sudah bersedia untuk diberikan makanan pejal.

Berdasarkan kajian Brown yang ditulis dalam buku Why Starting Solid Matters, pihaknya mendapati bayi yang tidak bergantung kepada ibu bapanya cenderung untuk berhenti makan apabila kenyang dan kurang me­ngalami masalah berat badan.

Jelasnya, bayi sepatutnya dibenarkan makan berdasarkan kemahuan mereka semasa belajar menyuap makanan sendiri kerana perbuatan memberi makan menggunakan sudu hanya mendorong kepada pengambilan makanan berlebihan.

“Biarkan bayi makan sekadar apa yang mereka mahukan. Jika ibu bapa menggunakan sudu dengan mengharapkan anak-anak akan menghabiskan sesuatu makanan dan mereka sudah menutup mulut, biarkan,” katanya.

Brown menghabiskan tempoh beberapa tahun untuk menyi­apkan kajian itu yang diusahakan bersama rakannya, Michelle Lee sejak tahun 2014.

Kajian itu menggunakan sampel sebanyak 298 bayi dengan melihat perkembangan mereka semasa diperkenalkan dengan makanan pejal semasa berusia enam dan 12 bulan.

Mereka kemudiannya mengkaji berat dan tabiat pemakanan bayi yang sama dalam tempoh 18 dan 24 bulan.

Sunday, 23 April 2017

Tegas tangani tunggakan hutang bil hospital warga asing

TAHUN lalu sebanyak 1.36 juta pesakit warga asing mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dan jumlah kos rawatan pula mencecah RM269.89 juta. Sehingga kini sebanyak 23,595 warga asing masih lagi berhutang dengan hospital kerajaan.

PERANGKAAN terbaharu berhubung tunggakan bil rawatan perkhidmatan kesihatan warga asing di hospital-hospital kerajaan yang sudah mencapai RM50.5 juta agak mengejutkan. Angka tersebut adalah jumlah terkumpul sejak 2012. Pada tahun lalu sahaja sejumlah 1.36 juta pesakit dalam kalangan warga asing mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan. Jumlah kos rawatan pula mencecah RM269.89 juta. Sehingga kini sejumlah 23,595 warga asing masih lagi berhutang dengan hospital kerajaan.

Hospital atau klinik kesihatan kerajaan seringkali menjadi tumpuan warga asing kerana caj dikenakan jauh lebih murah dibandingkan dengan hospital atau klinik swasta. Selain itu ra­watan dan ubat-ubatannya juga bermutu tinggi. Para pekerja asing sektor kotor, sukar dan bahaya sebagai contoh seboleh-bolehnya mahu meminimumkan kos perubatan masing-masing apatah lagi jika mereka masuk ke negara ini secara tidak sah atau sudah tinggal melebihi tempoh masa. Mungkin kerana mahu berjimat-cermat mereka tidak kisah beratur panjang di hospital kerajaan asalkan tidak perlu mengeluarkan belanja besar.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, kebanyakan yang mengelak daripada membayar bil ini ialah kumpulan warga asing yang masuk secara tidak sah ke negara ini. Warga asing yang sah, biasanya dilindungi insurans atau dibiayai oleh majikan. Ada juga sebahagian majikan lepas tangan dan sengaja tidak mahu membayar kos rawatan perubatan pekerja, mereka dihantar ke klinik atau hospital kerajaan sahaja.

Walaupun kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha untuk menjejaki warga asing menerusi alamat tempat tinggal dan majikan masing-masing, usaha masih tidak berjaya. Sebahagian mungkin sudah kembali ke tanah air masing-masing setelah sihat walafiat. Sebahagian lagi walaupun masih berada di Malaysia tidak ambil peduli tentang tunggakan bil rawatan di hospital kerajaan apatah lagi jika jumlah­nya mencecah ribuan ringgit.

Apa yang dialami oleh hospital-hospital kerajaan ini tidak ubah seperti apa yang pernah dan sedang dialami oleh beberapa agensi penguatkuasaan se­perti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam isu saman atau kompaun tertunggak kesalahan lalu lintas yang dilakukan rakyat dari sebuah negara jiran. Sehingga sekarang isu tersebut masih tidak dapat diatasi walaupun pelbagai cara dan pendekatan sudah diperkenalkan. Jumlah saman atau kompaun yang tidak dibayar juga mencecah jutaan ringgit.

Dengan jumlah hutang tertunggak terus naik setiap tahun, isu ini kelihatan seperti sukar untuk diselesaikan walaupun beberapa mekanisme telah diper­kenalkan. Tindakan terbaharu yang diambil oleh Kementerian Kesihatan mengenakan deposit lebih tinggi bagi rawatan hospital dilihat sebagai salah satu cara bagi mengurangkan kes-kes bil tertunggak.

Langkah ini sebagai salah satu ikatan atau jaminan agar pesakit menjelaskan segala kos rawatan yang dikenakan sebelum me­ninggalkan hospital . Sebelum ini pesakit warga asing ini boleh hilang secara diam-diam atau curi-curi tanpa perlu membayar caj. Dalam hal ini kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dan perlu tegas. Sekiranya mereka tidak mampu menyediakan sejumlah wang deposit yang ditetapkan, mereka tidak boleh mendapatkan rawatan. Pergilah ke hospital atau klinik swasta sebagai satu pilihan lain. Kadar caj yang dikenakan sudah pasti berlipat kali ganda.

Kerajaan selama ini terlalu baik dan cukup berperikemanusiaan dalam bab-bab kebajikan insan tanpa mengenal warna kulit dan asal keturunan termasuk dalam aspek rawatan kesihatan. Pesakit warga asing menikmati faedah rawatan kesihatan dan perubatan yang lebih kurang setaraf dengan apa yang dinikmati oleh warga tempatan.

Bagaimanapun dalam kea­daan sedemikian ramai juga yang mahu mengambil kesempatan. Meskipun mampu membayar kos rawatan yang dikira amat berpatutan itu, masih banyak yang culas berbuat sedemikian. Kebanjiran mereka di hospital-hospital kerajaan selama ini pun tidak begitu menyenangkan. Rakyat tempatan banyak kali merungut kerana terpaksa bersesak-sesak dengan kumpulan pendatang asing ini setiap kali ke hospital atau klinik kerajaan.

Sebenarnya warga asing termasuk yang bekerja secara tidak sah di negara ini mampu membiayai kos rawatan kesihatan masing-masing. Mereka tekun bekerja dan memperoleh upah setimpal. Setiap bulan mereka berupaya mengirim wang ke kampung halaman masing-masing. Kalau mereka boleh mengirim beribu-ribu ringgit sebulan ke negara asal, maknanya mereka juga ada wang untuk persediaan sakit demam masing-masing. Peraturan ini mesti dikuatkuasakan tanpa sebarang tolak ansur lagi.

Tuesday, 28 February 2017

Berdengkur gejala penyakit berbahaya


MALAM itu, Nur Fatin Syuhada Mohd. Jafni, 26, terpaksa sekali lagi berjaga sehingga waktu tengah malam.

Dia perlu mencari bahan rujukan untuk tesis yang perlu dibentangkan kepada penyelia pada minggu depan.

Ketika sedang khusyuk menelaah, dia kemudiannya dikejutkan dengan bunyi dengkuran rakan sebilik yang sudah dibuai lena sejak dua jam lalu.

“Saya menganggap dengkuran sewaktu tidur adalah perkara biasa dan mungkin berlaku disebabkan kepenatan melampau pada siang hari.

“Namun, saya dapati rakan sebilik itu kerap mengalami selesema dan batuk. Perkara itu menyebabkan dia bertambah penat dan sukar untuk tidur lena,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelas pelajar Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan Bahasa Inggeris Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, kunjungan ke sebuah hospital untuk melawat rakan yang bersalin beberapa minggu lalu telah menemukannya dengan risalah berkaitan masalah tidur berdengkur atau nama saintifiknya Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Justeru, anak sulung daripada empat adik-beradik itu kemudiannya menyarankan rakan sebiliknya untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Gangguan tidur


Natijahnya, rata-rata ahli masyarakat mengambil mudah masalah tidur berdengkur kerana berasakan ia sesuatu yang lazim berlaku.

Walhal, ia perlu dipandang serius kerana penyakit masalah tidur berdengkur boleh menyebabkan gangguan tidur yang memberi kesan kepada sistem tubuh, sekali gus mendedahkan kepada risiko penyakit berbahaya lain atau maut.

Konsultan Otorinolaringologi (ENT) Hospital Pakar KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr. Muhamad Noorhisyam Salleh Ajak memberitahu, selain membuat pemeriksaan awal bagi mengesan penyakit konvensional, pemeriksaan mengesan OSA juga perlu dilakukan.

“Ketika membuat pemeriksaan kesihatan, kita selalunya fokus untuk memeriksa gula, kolesterol atau penyakit konvensional lain yang mungkin timbul.

“Demikian juga halnya dengan orang yang mengalami masalah tidur berdengkur. Pemeriksaan perlu dibuat bagi mengesan punca penyakit itu,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, faktor perubahan gaya hidup rakyat Malaysia hari ini menjadi antara punca mereka mendapat penyakit OSA selain disebabkan oleh faktor fizikal.

“Gaya hidup tidak sihat seperti tabiat pemakanan yang menyebabkan obesiti, merokok, kurang bersenam, tidak cukup tidur akibat rutin hidup yang tidak teratur adalah antara faktor penyebab OSA,” katanya.

OSA yang tidak dirawat boleh mendedahkan pesakit kepada penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Tambah Muhamad Noorhisyam, OSA berlaku apabila saluran udara terhalang separuh atau sepenuhnya sewaktu tidur sehingga mengakibatkan kekurangan oksigen dalam badan.

Apabila ia terjadi, kandungan karbon dioksida yang tinggi menyebabkan tidur seseorang mudah terganggu.

Membawa maut


“Semasa tidur, organ menjalankan fungsi sepatutnya termasuk metabolisme badan akan berfungsi memecahkan glukos dalam badan. Jika tidur terganggu, ia akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain,”katanya.

Lebih menakutkan, Muhamad Noorhisyam berkata, OSA boleh membawa maut sewaktu tidur sekiranya penghidap tidak dapat menyedut oksigen yang cukup ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Justeru, mereka yang mengalami tidur berdengkur dinasihatkan membuat pemeriksaan di hospital bagi mengetahui punca dan mendapat rawatan awal.

Katanya, pemeriksaan dan ujian tidur akan dijalankan untuk memastikan jenis rawatan yang boleh dilakukan atau hanya menggunakan mesin continuous positive airway pressure (CPAP) yang dipakai semasa tidur.

“Jika terdapat punca lain seperti tonsil, ia boleh dirawat dengan pembedahan,” katanya.

Thursday, 9 February 2017

Keluarga perlu bantu rawat gila meroyan

Sedutan akhbar tempatan mengenai ibu yang sanggup menikam anaknya sendiri akibat disyaki mengalami tekanan perasaan (penyakit gila meroyan) selepas bersalin.

JARANG sekali seorang ibu tidak bergembira dengan kelahiran anaknya.

Jika kelahiran itu menimbulkan perasaan negatif, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan psikologikal ibu tadi.

Begitulah yang boleh digambarkan dengan kejadian seorang ibu yang mengelar leher bayinya yang berusia dua bulan di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Dalam kehidupan yang normal, tidak ada ibu atau bapa yang sanggup menyakitkan anak mereka sendiri, apatah lagi untuk mencederakan anak kecil yang masih tidak memahami apa-apa.

Bagaimanapun, itulah sebahagian daripada rencam kehidupan yang berlaku di seluruh dunia.

Ibu muda itu berkemungkinan dilanda gejala post partum psychosis (PP) atau dalam bahasa yang selalu diguna orang awam sebagai gila meroyan.

Ibu muda itu mendakwa bahawa dia mendengar bisikan halus yang menyuruhnya berbuat demikian.

Sekali imbas, adalah tidak logik seseorang akan mendengar bisikan mistik seumpama itu.

Sebenarnya, bisikan-bisikan tersebut hanyalah reaksi minda yang sukar ditafsirkan. Ia kelihatannya seperti nyata, walaupun hakikatnya hanyalah ilusi.

Ada sesetengah orang akan mendengar bisikan tertentu yang menyuruh mereka melakukan sesuatu tindakan buruk.

Di Barat, kes melibatkan ibu bersalin dikenali sebagai depression. Kebanyakan kes di sana melibatkan pembunuhan bayi dan ahli keluarga yang lain.

Halusinasi


Bagi orang lain pula, mereka mungkin diserang dengan halusinasi bersifat visual, misalnya melihat serangga atau objek tertentu yang merayap pada tubuh mereka.

Halusinasi juga ada yang berbentuk haruman tertentu yang dapat dihidu oleh pesakit.

Ada juga yang berasakan terdapat makhluk atau objek tertentu mengekori mereka sekalipun dalam realitinya ia tidak wujud.

PP ini dianggap sebagai gejala psikologikal teruk kerana kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini akan mengalami gejala lain termasuk kemurungan, kebimbangan dan menangis.

Pada peringkat yang lebih teruk, mereka akan mengalami delusi atau perasaan negatif tentang diri sendiri atau bayi mereka.

Ada yang menggambarkan diri mereka sebagai manusia tidak berguna dan tidak mempunyai pengharapan dalam hidup.

Sebahagian yang lain, mereka akan terganggu dengan perasaan tidak rasional seperti ada orang yang akan menculik anak mereka atau mereka melahirkan anak yang memiliki ciri-ciri istimewa.

Dalam konteks masyarakat kita, gejala ini sering dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.

Begitupun, hakikatnya ia merupakan antara simptom yang biasa berlaku dalam kadar satu atau dua kes daripada purata 1,000 ibu yang melahirkan anak.

Perubahan hormon, psikologikal dan fizikal yang ketara selepas bersalin dianggap sebagai punca kepada berlakunya PP.

Ibu yang melahirkan anak juga biasanya mengalami trauma yang teruk dengan kehilangan tenaga diakibatkan proses bersalin.

Semua ini akan memudahkan lagi seseorang itu mengalami PP. Simptom ini dianggap normal sekiranya ia hanya berlaku dalam masa yang pendek.

Bagaimanapun, sekiranya ia berpanjangan sehingga beberapa minggu atau beberapa bulan, mereka yang mengalaminya mestilah segera untuk mendapatkan rawatan pakar.

Ini kerana delusi yang dialami itu cenderung untuk mengubah pemikiran pesakit dengan dua perkara iaitu membinasakan diri sendiri atau orang lain.

Justeru itu, suami atau ahli keluarga yang terbabit tidak sepatutnya mengambil mudah sekiranya pasangan mereka yang baru bersalin menunjukkan reaksi pelik mengenai kehidupan mereka atau anak yang dilahirkan.

Ia tidak boleh dianggap sebagai hanya perkara normal atau sekadar cakap kosong kerana ada kemungkinannya ibu tadi sedang mengalami gejala mental diakibatkan oleh kelahiran anak.

Perubahan watak


Sebahagian daripada ibu tadi boleh dilihat dengan melihat perubahan watak yang sangat ketara selepas melahirkan anak.

Misalnya, seorang yang periang tiba-tiba mula menunjukkan riak wajah murung atau tidak ceria seperti yang sepatutnya.

Ahli masyarakat pula tidak wajar memberikan label yang tidak sewajarnya kepada ibu yang mengalami gejala gila meroyan.

Ia hanyalah sebahagian daripada penyakit psikologikal yang wujud dalam masyarakat.

Bagi yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit ini, kecenderungan untuk mereka mengalami sindrom sama juga adalah besar.

Justeru itu, sebelum mengambil keputusan melahirkan cahaya mata, mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dulu.

Penyakit gila meroyan ini dapat dikurangkan dengan ubat tertentu selain sokongan ahli keluarga sebagai terapi.

Kita tidak boleh beranggapan bahawa orang lain tidak mempunyai sebarang masalah setelah bersalin, maka pasangan atau ahli keluarga kita juga sepatutnya dalam keadaan yang sama.

Setiap manusia selalu diuji dengan ujian yang berbeza-beza sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Mungkin ujian ini akan menjadi bekalan untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

DR. MOHD. AWANG IDRIS
Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan
Sosiologi, Universiti Malaya.

Tuesday, 7 February 2017

Gangguan mental ibarat bom jangka


SAYA ingin mengulas kes menyedihkan melibatkan seorang ibu bertindak kejam membunuh bayi sendiri dengan mengelar leher menggunakan sebilah pisau pemotong sayur dalam kejadian di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan, pada 4 Februari lalu.

Bayi perempuan berusia dua bulan yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas sebuah tilam di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Suspek berusia 32 tahun yang tidak melarikan diri ditahan polis yang tiba di kediaman berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada jiran wanita itu.

Hasil siasatan awal polis yang mengaitkan masalah gangguan emosi sebagai punca wanita itu tergamak membunuh anak sendiri tidaklah mengejutkan.

Ini selari dengan perangkaan didedahkan badan penyelidikan swasta pada 2015 yang mendapati setiap seorang daripada tiga penduduk Malaysia berpotensi menghidap penyakit mental.

Penyakit itu berpunca daripada tekanan perasaan akibat perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih mementingkan kebendaan dan prestasi.

Satu kajian lain yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada tahun sama iaitu Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 juga menghasilkan keputusan serupa iaitu satu daripada tiga orang dewasa di negara ini bergelut dengan masalah mental sama ada mereka sedar atau tidak.

Kajian itu mendapati gangguan mental paling tinggi dalam kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 19 tahun dan individu daripada keluarga berpendapatan rendah.

Antara faktor yang menyumbang kepada gangguan mental adalah masalah kewangan, tiada pekerjaan dan tekanan di tempat kerja. Masalah lain adalah perceraian suami isteri dan penyalahgunaan dadah.

Walaupun kerajaan menyediakan perkhidmatan rawatan sakit mental, individu yang mengalami kemurungan lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan disebabkan bimbang digelar ‘orang gila’ berikutan sikap masyarakat yang memandang serong kepada mereka yang mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tampil untuk mengatasi masalah berkenaan termasuk pertama, keluarga yang mempunyai individu disyaki mengalami tanda-tanda awal gangguan mental perlulah memainkan peranan bagi memastikan pesakit diperiksa oleh pakar psikiatri dan mendapat rawatan lanjut.

Orang ramai juga perlu lebih peka untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan yang didapati menunjukkan tanda-tanda masalah emosi atau kemurungan. Bantulah dengan cara mendengar luahan hati mereka dan bawa mendapatkan bantuan pakar sekiranya diperlukan.

Kedua, kerajaan memberikan insentif kepada klinik swasta di seluruh negara untuk menyediakan kaunselor yang berupaya memberikan kaunseling kepada mereka yang menghadapi tekanan perasaan.

Pada masa sekarang, perkhidmatan kaunselor hanya disediakan di 671 klinik kesihatan kerajaan.

Ketiga, lebih banyak kajian harus dilakukan oleh universiti tempatan bagi mencari kaedah baharu untuk merawat pesakit mental. Teknik rawatan juga perlu dipelbagaikan dan tidak hanya menjurus kepada memakan ubat-ubatan antipsikotik.

Saya tertarik dengan kaedah terbaharu yang popular di Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang dinamakan sebagai Access Consciousness yang dikatakan cukup berkesan untuk merawat pesakit mental.

Kaedah yang diperkenalkan oleh dua pakar, Gary Douglas dan Dr. Dain Heer melibatkan teknik urutan di 32 bahagian di kepala pesakit.

Seperti akupuntur, urutan itu dikatakan dapat membantu individu membebaskan segala emosi dan trauma yang dipendam dalam diri yang sekiranya dibiarkan akan menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan perasaan.

Saya berharap masalah gangguan mental dalam kalangan masyarakat diatasi dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan pesakit menjadi bom jangka yang bila-bila masa boleh meletup.

GURU MUDA

Sungai Buloh, Selangor

Friday, 6 January 2017

Lelaki obes 300kg mati sesak nafas

Anggota bomba membantu membawa Mohd. Hafis turun dari tingkat empat Pangsapuri Desa Pandan, Kuala Lumpur semalam sebelum HKL mengesahkan dia meninggal dunia akibat sesak nafas.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengalami masalah obesiti meninggal dunia akibat sesak nafas ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Pangsapuri Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan di sini semalam.

Mangsa, Mohd. Hafis Suleman, 30, terpaksa menerima bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur untuk dipindahkan dari tingkat empat kediamannya ke dalam sebuah ambulans kerana terlalu berat.

Menurut jurucakap bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.44 petang sebelum tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLCC, Pudu dan Hang Tuah dikerahkan ke rumah mangsa.

“Seramai 14 pegawai dan anggota membantu mengusung mangsa seberat 300 kilogram (kg) itu dari rumahnya di tingkat empat sehingga ke tingkat bawah sebelum menaiki sebuah ambulans menuju ke HKL.

“Setibanya di HKL, lelaki terbabit dipindahkan ke bilik rawatan namun pihak perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat masalah sesak nafas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.