Showing posts with label Parenting. Show all posts
Showing posts with label Parenting. Show all posts

Tuesday, 30 May 2017

Beri makan guna sudu punca bayi kegemukan

Bayi perlu diajar dan diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri.


CARDIFF - Bayi yang diberi makan ibu bapa mereka menggunakan sudu dipercayai cenderung untuk mengalami masalah ke­gemukan setelah mereka dewasa berbanding kanak-kanak yang menyuap makanan secara sendiri.

Penyelidik dari Universiti Swansea, Profesor Madya Amy Brown yang dipetik Mail Online sebagai berkata, kanak-kanak yang diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri didapati lebih tahan lasak serta sihat.

Untuk itu jelas beliau, ibu bapa seharusnya berhenti daripada menyuap makanan menggunakan sudu kepada anak-anak yang sudah melebihi usia enam bulan kerana mereka sudah bersedia untuk diberikan makanan pejal.

Berdasarkan kajian Brown yang ditulis dalam buku Why Starting Solid Matters, pihaknya mendapati bayi yang tidak bergantung kepada ibu bapanya cenderung untuk berhenti makan apabila kenyang dan kurang me­ngalami masalah berat badan.

Jelasnya, bayi sepatutnya dibenarkan makan berdasarkan kemahuan mereka semasa belajar menyuap makanan sendiri kerana perbuatan memberi makan menggunakan sudu hanya mendorong kepada pengambilan makanan berlebihan.

“Biarkan bayi makan sekadar apa yang mereka mahukan. Jika ibu bapa menggunakan sudu dengan mengharapkan anak-anak akan menghabiskan sesuatu makanan dan mereka sudah menutup mulut, biarkan,” katanya.

Brown menghabiskan tempoh beberapa tahun untuk menyi­apkan kajian itu yang diusahakan bersama rakannya, Michelle Lee sejak tahun 2014.

Kajian itu menggunakan sampel sebanyak 298 bayi dengan melihat perkembangan mereka semasa diperkenalkan dengan makanan pejal semasa berusia enam dan 12 bulan.

Mereka kemudiannya mengkaji berat dan tabiat pemakanan bayi yang sama dalam tempoh 18 dan 24 bulan.

Tuesday, 16 May 2017

Bercerai untuk kahwin kekasih lama semakin menjadi trend



KUALA TERENGGANU: Kadar perceraian pada usia senja di negeri ini semakin meningkat dan membimbangkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan. Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh, berkata trend perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun.

"Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus. "Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal. "Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. 

Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin," katanya selepas Program Derma Darah JHEAT di sini, semalam. 

Katanya, sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah kisah silam iaitu apabila seorang daripada pasangan hadir ke perjumpaan semula (reunion) dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp. 

"Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab. "Tetapi, trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti," katanya.

Mohd Ariffin berkata, pasangan seharusnya tidak terburu-buru mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian.

Tuesday, 4 April 2017

Ibu bapa degil bakal dipenjara

WAN AHMAD NAJMUDDIN memperkatakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak, Muaz Tumilan sambil diperhatikan Musalma (tengah) ketika melawat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU
– Ibu bapa yang masih berdegil membiarkan anak-anak mereka keluar berbasikal sehingga larut malam bakal dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, tiada lagi amaran sekiranya polis mendapati ibu bapa kanak-kanak terutama yang pernah ditahan sebelum ini masih tidak ambil peduli mengenai perbuatan zuriat mereka.

Kesalahan membiarkan anak-anak tanpa pengawasan membolehkan ibu bapa didakwa mengikut Seksyen 33 akta tersebut yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 jika didapati bersalah.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan drastik dengan meng­hukum ibu bapa. Bagaimanapun sekiranya perkara ini berleluasa, saya akan arahkan semua ketua polis daerah untuk mengambil tindakan.

“Tindakan yang akan diambil termasuk menuduh mereka (ibu bapa) di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kita ada peruntukan itu dan ia akan diambil sekiranya kesalahan ibu bapa berulang dengan membiarkan anak mereka keluar sehingga larut malam,” katanya.

Monday, 30 January 2017

Anak bijak, berpangkat belum tentu mahu jaga ibu


“MEMPUNYAI anak yang ramai tidak bermakna hidup kita akan dilimpahkan dengan kesenangan semasa kita sihat atau ketika kita telah tua. Kerana belum tentu 10 anak yang dilahirkan boleh menjaga kita apabila kita tua nanti atau boleh bantu kita tatkala kita susah. Kadangkala anak-anak inilah yang akan beri kita ujian maha besar ketika membesarkan mereka atau ketika kita tua nanti.

“Saya tidak bercakap memperkecilkan pengorbanan ibu dan ayah membesarkan anak-anak mereka, kerana kehadiran anak amat mereka nantikan setelah berkahwin. Malah ada suami kahwin lagi kerana inginkan zuriat yang menjadi kebanggaan mereka. Tetapi setelah anak itu lahir, belum tentu anak itu boleh membahagiakan hidup mereka, baik ketika mudanya, atau setelah tua nanti.’’ Itu cerita Shaliza dalam e-mel pendeknya dan ketika ditemui oleh wartawan kami baru-baru ini.

“Apa yang saya ceritakan ini bukan bertujuan mengumpat, tetapi untuk beri kesedaran kepada ibu bapa, didiklah anak-anak lelaki dan perempuan sama rata, jangan bezakan antara mereka, khususnya antara anak bijak pandai dengan anak yang kurang pandai sambil mengharap anak yang lebih pandai dan bijak itu boleh membantu kita bila tua nanti. Sebaliknya yang tak punya harta dan tidak pandai itulah yang berkorban menjaga anda ketika tua dan nanti.

“Saya bercerita sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga pembaca semua tentang apa yang berlaku dan melihat depan mata saya sendiri betapa perbuatan membezakan anak-anak ini membawa masalah kepada diri kita apabila tua. Contoh opah saya, punyalah sayangkan anak-anak lelaki dan anak perempuan yang bijak pandai kerana mereka dapat kerja yang baik-baik serta berpangkat, sementara yang tidak bekerja dan kurang pandai ini dipinggirkan.

“Seingat saya setiap kali pergi rumah opah, dia selalu puji pakcik dan makcik yang berpangkat, berkereta besar dan suruh saya rajin belajar supaya boleh jadi macam mereka. Bila pakcik dan makcik berkahwin dan ada anak, saya adik-beradik pulak merasa dipinggirkan sebab emak ayah kami tidak ada kereta besar. Kalau bercakap dan bercerita semua tentang cucu-cucu yang kaya ini sahaja yang dapat tempat di hati opah. Sementara kami dilupakan.

“Oleh sebab saya cucu kedua daripada emak yang juga anak sulung opah, tentulah saya dapat lihat sendiri perbezaan layanan opah. Pertama kerana emak tak bekerja dan ayah tak berpangkat. Awalnya memang abang dan saya dapat perhatian opah sebab cucu sulung. Tetapi berubah setelah pakcik dan makcik ada anak masing-masing. Bukan cemburu, tetapi nak cerita pasal perbezaan layanan opah, sebab akhirnya opah sendiri kecewa tidak mendapat layanan daripada anak-anak yang berpangkat dan bijak pandai seperti yang opah harapkan.

“Opah ada lima orang anak. Emak anak sulung, tak bekerja, tiga lagi adik emak semuanya bekerja dan bergaji besar, yang bongsu lagi pandai bekerja dan duduk luar negara, maklum ‘orang minyak’. Saya masih ingat lagi kalau opah bercerita dengan jiran dan saudara mara yang datang ketika Hari Raya atau kenduri, semua tentang anak-anak opah yang pandai, pasal gaji, rumah dan kereta besar mereka. Dan saguhati serta hadiah yang mereka beri kepada opah.

“Tetapi hari berubah apabila anak-anak opah berkahwin dan kemudian ada anak sendiri. Mereka mula kurang beri perhatian dan sagu hati pada opah. Saya dapat lihat pasangan mereka mula tidak suka balik rumah opah. Kalau balik pun setahun sekali dua saja. Alasan mereka sibuk, anak-anak sekolah, tusyen, kelas tambahan, anak periksa dan pelbagai alasannya.

“Apabila anak-anak mereka semakin besar, mereka juga jarang balik rumah opah kerana aktiviti seperti kelas muzik, sukan dan hal peribadi. Opah dan atuk semakin sunyi terutama apabila usia semakin tua. Dan opah semakin sibuk uruskan atuk yang sakit-sakit.

“Bila atuk masuk hospital, opah suruh emak telefon pakcik dan makcik suruh balik. Kerana atuk sering keluar masuk hospital, bukan selalu mereka boleh balik. Lagi sedih atuk duduk hospital kerajaan sebab atuk kakitangan kerajaan. Saya perhatikan banyak perbezaan antara atuk dengan adik atuk apabila sakit, anak-anak mereka masukkan ayah mereka di hospital swasta tapi atuk duduk hospital kerajaan. Sedangkan anak-anak atuk bergaji besar, konon.

“Ketika atuk meninggal dunia cuma emak, ayah dan kami adik-beradik yang mengadap. Anak-anak opah sampai setelah atuk dimandikan dan dikapankan, sementara yang di luar negara sampai sehari selepas atuk dikebumikan. Sementara cucu-cucu opah tidak semuanya dapat balik, termasuk menantu perempuan opah, sebab bekerja.

“Ketika atuk di hospital, emak dan opah sahaja yang sering datang menguruskan makan minum atok. Saya lihat opah memang sedih dan kecewa. Tapi opah diam. Lepas sehari atuk meninggal, masing-masing balik ke rumah mereka, tinggallah opah sendirian. Emak ajak opah tinggal bersama kami, tetapi opah tolak, dia tak mahu rumahnya tinggal. Jadi terpaksalah emak berulang alik jengok opah, dalam seminggu dua atau tiga kali.

“Untuk keselamatan opah, emak minta tolong saudara berdekatan datang jengok opah. Masa berlalu begitu pantas, ketika saya dan abang bekerja dan pindah ke bandar, emak terpaksa bawa opah tinggal bersamanya, sebab keadaan opah sering sakit dan emak tak mahu opah tinggal sendirian. Ada kalanya emak terpaksa tidur di hospital jaga opah beberapa hari.

“Sepanjang opah di rumah kami, saya dapat lihat dengan jelas anak-anak opah yang lain jarang datang jengok opah...,” Shaliza merumuskan ceritanya.

Tuesday, 15 November 2016

Kes rumah tangga roboh meningkat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan perceraian pasangan suami isteri Islam.
KUALA LUMPUR – Sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan dalam tempoh Januari hingga 10 Julai tahun ini iaitu meningkat enam peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun (gambar kecil)berkata, daripada jumlah tersebut, tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi perceraian ialah Selangor (7,731) diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

“Kajian mendapati keba­nyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir de­ngan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah.

“Antara punca utama perceraian yang dikenal pasti ialah tiada persefahaman (56.2 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 pe­ratus) dan isteri curang (11.8 peratus),” kata beliau ketika menjawab soa­lan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) pa­da persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Saturday, 23 July 2016

Nisbah penduduk lelaki meningkat berbanding wanita


KUALA LUMPUR - Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan nisbah penduduk lelaki di negara ini terus meningkat berbanding wanita iaitu 107:100 atau 16.4 juta orang lelaki manakala wanita 15.3 juta orang pada tahun ini berbanding nisbah 106:100 enam tahun lepas.

Pada 2010, statistik yang dikeluarkan oleh jabatan itu menunjukkan bilangan penduduk lelaki 14.56 juta manakala wanita 13.77 juta.

Menurut jabatan tersebut, statistik yang dikeluarkan tahun ini merangkumi jumlah penduduk Malaysia yang dianggarkan 31.7 juta orang.

Jelas kenyataan itu, berlaku peningkatan sebanyak 0.5 juta penduduk berbanding 31.2 juta orang pada tahun lepas.

“Taburan penduduk mengikut kumpulan umur bagi tahun ini tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding 2015.

“Penduduk dalam kumpulan umur kosong hingga 14 tahun berkurang 0.4 peratus pada 2016 (24.5 peratus) berbanding 2015 (24.9 peratus).

“Penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15 hingga 64 tahun meningkat 0.2 peratus pada 2016 kepada 69.5 peratus berbanding 2015 dan penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 6.0 peratus bagi tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut menjelaskan, bagi peratusan penduduk mengikut negeri, Selangor mencatatkan peratusan negeri penduduk tertinggi pada tahun ini iaitu 19.9 peratus diikuti Sabah (12.0 peratus) dan Johor (11.5 peratus).

“Negeri yang mencatatkan peratusan penduduk terkecil pula ialah Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu masing-masing sebanyak 0.3 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, peratusan penduduk bukan warganegara pada tahun ini adalah 10.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia.

“Etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak 68.6 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.4 peratus), India (7.0 peratus ) dan lain-lain (1.0 peratus),” katanya.

Friday, 15 July 2016

Tindik telinga bayi boleh sebabkan kekejangan - Pakar perubatan

TIDAK ramai yang tahu bahawa tanpa pengawasan sewajarnya, luka tindikan boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.

KUALA LUMPUR- Semakin ramai ibu bapa ghairah menindik telinga bayi perempuan mereka hingga kini menjadi semacam satu trend.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa tanpa pengawasan sewajarnya, luka tindikan boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd. Dr. Zubaidi Ahmad berkata, jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan boleh menyebabkan jangkitan kuman tetanus.

"Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga.

"Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus," kata beliau.

Dr. Zubaidi berkata, bayi secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.

Justeru beliau mengesyorkan ibu bapa yang mahu menindik telinga bayi agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.

Katanya, menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan.

"Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya.

"Selain itu pastikan anting-anting untuk bayi dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium," katanya.

Dr. Zubaidi berkata, anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan.-BERNAMA