Showing posts with label Family. Show all posts
Showing posts with label Family. Show all posts

Friday, 4 August 2017

Satu kes cerai berlaku setiap hari di Perlis

Facebook antara medium laman sosial yang sering digunakan untuk mengesan kenalan yang lama terpisah.

KANGAR – Satu kes perceraian melibatkan pasangan Islam berlaku di Perlis setiap hari disebabkan pelbagai faktor termasuk suami atau isteri menjalinkan hubungan semula dengan kekasih lama menerusi laman sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hasan berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 2,030 pasangan Islam berkahwin di negeri itu.

Menurutnya, bagaimanapun, seramai 710 pasangan suami isteri yang tidak mencapai persefahaman dalam hubungan telah bercerai.

“Rata-rata pasangan yang bercerai berumur dalam lingkungan 30-an.

“Daripada jumlah itu, cuma 119 pasangan yang mengambil keputusan untuk merujuk kembali,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Sunday, 30 July 2017

Jakim tunggu keputusan mahkamah isu nasab anak



PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan di sini semalam berkata, beliau turut menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang berhubung keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan apabila memutuskan kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

“Semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar,” katanya.

Wednesday, 26 July 2017

Gubal akta menghendap



KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang menggubal satu akta khusus berkaitan kesalahan perbuatan stalking atau menghendap oleh bekas pasangan suami atau isteri.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (gambar) berkata, peruntukan kesalahan tersebut tidak boleh dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Bagaimanapun beliau memberitahu, pada masa ini perbuatan menghendap mangsa keganasan rumah tangga termasuk melalui media-media sosial yang mengandungi elemen jenayah sahaja dianggap satu kesalahan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017.

Katanya, ia berikutan pindaan Akta 521 itu perlu dibaca bersama Kanun Keseksaan yang tidak meletakkan perbuatan tersebut sebagai satu kesalahan.

“Di bawah pindaan akta ini, tafsiran keganasan rumah tangga meletakkan kesalahan sekiranya ada elemen jenayah melalui menghendap seperti mengugut termasuk berhubung dengan mangsa atau pihak ketiga tentang mangsa untuk mengaibkan kehormatannya melalui apa-apa cara, elektronik atau sebaliknya.

“Namun, kerajaan akan mengikuti perkembangan stalking ini dan akan mempertimbangkan untuk menggubal akta khusus mengenainya melalui sokongan pelbagai pihak supaya ia dijadikan satu kesalahan jenayah pada masa akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Tuesday, 16 May 2017

Bercerai untuk kahwin kekasih lama semakin menjadi trend



KUALA TERENGGANU: Kadar perceraian pada usia senja di negeri ini semakin meningkat dan membimbangkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan. Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh, berkata trend perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun.

"Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus. "Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal. "Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. 

Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin," katanya selepas Program Derma Darah JHEAT di sini, semalam. 

Katanya, sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah kisah silam iaitu apabila seorang daripada pasangan hadir ke perjumpaan semula (reunion) dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp. 

"Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab. "Tetapi, trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti," katanya.

Mohd Ariffin berkata, pasangan seharusnya tidak terburu-buru mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian.

Monday, 30 January 2017

Anak bijak, berpangkat belum tentu mahu jaga ibu


“MEMPUNYAI anak yang ramai tidak bermakna hidup kita akan dilimpahkan dengan kesenangan semasa kita sihat atau ketika kita telah tua. Kerana belum tentu 10 anak yang dilahirkan boleh menjaga kita apabila kita tua nanti atau boleh bantu kita tatkala kita susah. Kadangkala anak-anak inilah yang akan beri kita ujian maha besar ketika membesarkan mereka atau ketika kita tua nanti.

“Saya tidak bercakap memperkecilkan pengorbanan ibu dan ayah membesarkan anak-anak mereka, kerana kehadiran anak amat mereka nantikan setelah berkahwin. Malah ada suami kahwin lagi kerana inginkan zuriat yang menjadi kebanggaan mereka. Tetapi setelah anak itu lahir, belum tentu anak itu boleh membahagiakan hidup mereka, baik ketika mudanya, atau setelah tua nanti.’’ Itu cerita Shaliza dalam e-mel pendeknya dan ketika ditemui oleh wartawan kami baru-baru ini.

“Apa yang saya ceritakan ini bukan bertujuan mengumpat, tetapi untuk beri kesedaran kepada ibu bapa, didiklah anak-anak lelaki dan perempuan sama rata, jangan bezakan antara mereka, khususnya antara anak bijak pandai dengan anak yang kurang pandai sambil mengharap anak yang lebih pandai dan bijak itu boleh membantu kita bila tua nanti. Sebaliknya yang tak punya harta dan tidak pandai itulah yang berkorban menjaga anda ketika tua dan nanti.

“Saya bercerita sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga pembaca semua tentang apa yang berlaku dan melihat depan mata saya sendiri betapa perbuatan membezakan anak-anak ini membawa masalah kepada diri kita apabila tua. Contoh opah saya, punyalah sayangkan anak-anak lelaki dan anak perempuan yang bijak pandai kerana mereka dapat kerja yang baik-baik serta berpangkat, sementara yang tidak bekerja dan kurang pandai ini dipinggirkan.

“Seingat saya setiap kali pergi rumah opah, dia selalu puji pakcik dan makcik yang berpangkat, berkereta besar dan suruh saya rajin belajar supaya boleh jadi macam mereka. Bila pakcik dan makcik berkahwin dan ada anak, saya adik-beradik pulak merasa dipinggirkan sebab emak ayah kami tidak ada kereta besar. Kalau bercakap dan bercerita semua tentang cucu-cucu yang kaya ini sahaja yang dapat tempat di hati opah. Sementara kami dilupakan.

“Oleh sebab saya cucu kedua daripada emak yang juga anak sulung opah, tentulah saya dapat lihat sendiri perbezaan layanan opah. Pertama kerana emak tak bekerja dan ayah tak berpangkat. Awalnya memang abang dan saya dapat perhatian opah sebab cucu sulung. Tetapi berubah setelah pakcik dan makcik ada anak masing-masing. Bukan cemburu, tetapi nak cerita pasal perbezaan layanan opah, sebab akhirnya opah sendiri kecewa tidak mendapat layanan daripada anak-anak yang berpangkat dan bijak pandai seperti yang opah harapkan.

“Opah ada lima orang anak. Emak anak sulung, tak bekerja, tiga lagi adik emak semuanya bekerja dan bergaji besar, yang bongsu lagi pandai bekerja dan duduk luar negara, maklum ‘orang minyak’. Saya masih ingat lagi kalau opah bercerita dengan jiran dan saudara mara yang datang ketika Hari Raya atau kenduri, semua tentang anak-anak opah yang pandai, pasal gaji, rumah dan kereta besar mereka. Dan saguhati serta hadiah yang mereka beri kepada opah.

“Tetapi hari berubah apabila anak-anak opah berkahwin dan kemudian ada anak sendiri. Mereka mula kurang beri perhatian dan sagu hati pada opah. Saya dapat lihat pasangan mereka mula tidak suka balik rumah opah. Kalau balik pun setahun sekali dua saja. Alasan mereka sibuk, anak-anak sekolah, tusyen, kelas tambahan, anak periksa dan pelbagai alasannya.

“Apabila anak-anak mereka semakin besar, mereka juga jarang balik rumah opah kerana aktiviti seperti kelas muzik, sukan dan hal peribadi. Opah dan atuk semakin sunyi terutama apabila usia semakin tua. Dan opah semakin sibuk uruskan atuk yang sakit-sakit.

“Bila atuk masuk hospital, opah suruh emak telefon pakcik dan makcik suruh balik. Kerana atuk sering keluar masuk hospital, bukan selalu mereka boleh balik. Lagi sedih atuk duduk hospital kerajaan sebab atuk kakitangan kerajaan. Saya perhatikan banyak perbezaan antara atuk dengan adik atuk apabila sakit, anak-anak mereka masukkan ayah mereka di hospital swasta tapi atuk duduk hospital kerajaan. Sedangkan anak-anak atuk bergaji besar, konon.

“Ketika atuk meninggal dunia cuma emak, ayah dan kami adik-beradik yang mengadap. Anak-anak opah sampai setelah atuk dimandikan dan dikapankan, sementara yang di luar negara sampai sehari selepas atuk dikebumikan. Sementara cucu-cucu opah tidak semuanya dapat balik, termasuk menantu perempuan opah, sebab bekerja.

“Ketika atuk di hospital, emak dan opah sahaja yang sering datang menguruskan makan minum atok. Saya lihat opah memang sedih dan kecewa. Tapi opah diam. Lepas sehari atuk meninggal, masing-masing balik ke rumah mereka, tinggallah opah sendirian. Emak ajak opah tinggal bersama kami, tetapi opah tolak, dia tak mahu rumahnya tinggal. Jadi terpaksalah emak berulang alik jengok opah, dalam seminggu dua atau tiga kali.

“Untuk keselamatan opah, emak minta tolong saudara berdekatan datang jengok opah. Masa berlalu begitu pantas, ketika saya dan abang bekerja dan pindah ke bandar, emak terpaksa bawa opah tinggal bersamanya, sebab keadaan opah sering sakit dan emak tak mahu opah tinggal sendirian. Ada kalanya emak terpaksa tidur di hospital jaga opah beberapa hari.

“Sepanjang opah di rumah kami, saya dapat lihat dengan jelas anak-anak opah yang lain jarang datang jengok opah...,” Shaliza merumuskan ceritanya.