Showing posts with label Judiciary. Show all posts
Showing posts with label Judiciary. Show all posts

Friday, 1 December 2017

Anak saudara MB Selangor direman

EMPAT individu termasuklah anak saudara Menteri Besar Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes perlombongan pasir dan batu haram.

PUTRAJAYA – Anak saudara Menteri Besar Se­langor, Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, bersama tiga lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombo­ngan pasir dan batu haram di Selangor.

Perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Ainna Sherina Saipolamin bermula semalam hingga 6 Disember depan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Keempat-empat individu yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.40 pagi.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman ke atas empat individu terbabit selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Tambah beliau, seramai tujuh individu sudah diambil ketera­ngan oleh SPRM berhubung ke­giatan perlombongan haram itu.

Kelmarin, dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan dilaporkan ditahan kerana disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.

Saturday, 11 November 2017

Peguam kudung didakwa pecah amanah

TUAH (kanan) yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kirinya dituduh melakukan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Melaka semalam.

MELAKA – Seorang peguam yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM47,431.79 lapan tahun lalu.

Tertuduh, Tuah Atan, 57, yang juga penerima Anugerah Tokoh Warga Istimewa Maal Hijrah 1430H Negeri Melaka pada tahun 2008 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal sejak dilahirkan didakwa tidak menyerahkan wang berjumlah RM47,431.79 kepada dua individu.

Tuah yang merupakan lulusan Universiti Malaya dan peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri.

Friday, 22 September 2017

Ahli kerabat diraja dituduh hisap syabu

Tunku Alang Reza (kiri) didakwa atas kesalahan menghisap dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Kerabat diraja Johor, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan iaitu menghisap syabu dan memiliki dadah jenis sama serta ganja di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berumur 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas­nya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan dadah syabu di Balai Polis Bandar Utama di sini pada pukul 2.20 pagi 4 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim juga sebelum ini terpalit dengan kes pembunuhan membabitkan kematian seorang model kelahiran Estonia yang juga merupakan bekas teman wanitanya.

Walaubagaimanapun, beliau dibebaskan setelah siasatan dilakukan mendapati beliau tidak bersalah dengan tertangkapnya dua orang suspek yang menjadi dalang dalam kes pembunuhan terancang tersebut.

Friday, 15 September 2017

Dihukum hafaz surah al-Kahfi

Di Mahkamah Rendah Syariah Klang inilah pelajar sebuah universiti awam dituduh berkhalwat dengan bekas guru wanitanya semalam.

KLANG – Seorang pelajar yang baru mendaftar pengajian di sebuah universiti awam dikenakan bon berkelakuan baik bersama menghafaz surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 selama setahun selepas dia me­ngaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas tuduhan berkhalwat dengan bekas guru wanitanya di tempat kerjanya dekat sini, April lalu.

Tertuduh berusia 20 tahun yang hadir ke mahkamah ditemani ibunya turut diarah menyertakan salinan transkrip keputusan selama dua semester sepanjang pengajiannya di universiti tersebut.

Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh yang baru mendaftarkan diri di sebuah universiti di Terengganu pada 4 September lalu.

“Setelah setahun iaitu pada 13 September 2018 nanti, kamu datang ke sini bawa salinan laporan keputusan peperiksaan untuk memastikan kamu benar-benar belajar serta membaca surah al-Kahfi di depan saya. Surah itu diberikan bagi menyedarkan diri kamu selain hikmahnya bagi mengelakkan gangguan dajal,” katanya.

Tuesday, 12 September 2017

Sambut hari jadi dalam penjara

AH LAI mengaku salah atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM300 kepada seorang pegawai SPRM ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori terpaksa melupakan hasrat untuk me­raikan hari jadinya apabila dia dijatuhkan hukuman penjara selama seminggu dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam tahun lalu

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu ke atas How Ah Lai, 45, selepas tertuduh me­ngaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan sebanyak RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Izham Mohd Hashim sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah akta SPRM 2009.

Perbuatan itu dilakukan di Ta­nah Rizab Kerajaan Taman Selatan dan Tapak Perlombongan Presint 20, antara pukul 1 petang hingga 1.30 petang pada 11 Februari 2016.

Sunday, 30 July 2017

Jakim tunggu keputusan mahkamah isu nasab anak



PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan di sini semalam berkata, beliau turut menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang berhubung keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan apabila memutuskan kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

“Semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar,” katanya.

Wednesday, 19 July 2017

JPJ saman Timbalan Ketua Pengarah sendiri

TENGKU DAHARI (kanan) mewakili Yusoff di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ternyata tidak memilih bulu dalam melaksanakan undang-undang lalu lintas apabila pegawai kanannya iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ dijatuhi hukuman denda RM600 di atas kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Datuk Yusoff Ayob, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun tidak hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam kerana perlu menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JPJ.

Beliau diwakili pegawai khasnya dikenali sebagai Tengku Dahari yang mengakui kesalahan tersebut.

Pengakuan bersalah itu direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman.

Mengikut pertuduhan, Yusoff didakwa disaman selepas melakukan kesalahan lalu lintas JPJ dengan memandu sebuah Proton Inspira dengan nombor pendaftaran BLY68 di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya pada pukul 6.27 petang, 7 Oktober tahun lalu.

Beliau dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani tambahan hukuman penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda.

Saturday, 8 July 2017

Cikgu didakwa pikat isteri orang

Safridwan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam untuk menghadapi tiga pertuduhan termasuk memikat isteri orang.

KUANTAN – Seorang guru muzik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan termasuk dua pertuduhan menghasilkan dan memiliki gambar serta video lucah bersama bekas kekasihnya yang merupakan isteri orang.

Tertuduh, Safridwan Safar, 43, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jengka 9, Maran turut menghadapi satu lagi pertuduhan memikat Syahariah Kassim, 41, yang bekerja sebagai pembantu tadbir dengan tujuan mengadakan hubungan seks bersama­nya menerusi gambar-gambar dan video dimiliki tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, Safridwan dituduh menghasilkan 63 keping gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon pintar jenis Samsung dan Lenovo di sebuah rumah beralamat No.5, Lorong Pandan Makmur 2, di sini pada pukul 1.33 petang, 1 Mac lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Safridwan dituduh memiliki sebilangan gambar dan video lucah yang serupa dalam dua jenis te­lefon bimbit sama di lokasi se­perti pertuduhan pertama pada pukul 6.21 petang, 17 Mac lalu.

Tuesday, 23 May 2017

Dua bekas pegawai TUDM didakwa rasuah

Kamal BAHARIN (kiri) dan Fadzil (kanan) dibawa anggota SPRM keluar dari Mahkamah Seksyen Shah Alam selepas didakwa memperoleh dan bersubahat menerima suapan pada 14 Disember 2011.


SHAH ALAM – Dua bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperoleh dan bersubahat menerima suapan berjumlah RM600,000 daripada seorang pemilik syarikat, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Leftenan Kolonel (B), Kamal Baharin Nali, 48, dan Kapten (B), Fadzil Noor Alias, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Kamal Baharin dan Fadzil yang bertugas di Jabatan Arah Perundangan, Kementerian Pertahanan bersara pilihan masing-masing pada tahun 2016 dan 2015 telah memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kamal Baharin didakwa telah secara rasuah memperoleh satu suapan daripada pemilik ARG Tech Sdn. Bhd., Ab. Rahim Ghalim melalui seorang peguam, Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Berhad bernombor siri 377728 dan 377715 berjumlah RM600,000.

Suapan itu kononnya sebagai upah membantu Ab. Rahim mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta bagi 52 invois ARG Tech Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja kontrak.

Sementara itu, Fadzil pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dan membantu Kamal Baharin menerima suapan daripada Ab. Rahim melalui Wan Ahmad dalam bentuk dua keping cek bernilai RM600,000 yang kononnya sebagai upah mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta untuk kerja-kerja kontrak yang dilakukan ARG Tech.

Monday, 22 May 2017

Wanita bersama madu didakwa mencuri

NORHASLINDA (kanan) dan madunya, Nadhrah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat semalam atas tuduhan mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000 pada April lalu.


BATU PAHAT – Wanita yang hidup bermadu bia­sanya jarang boleh bertemu mata, apatah lagi melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Tapi lain pula ceritanya de­ngan dua wanita yang hidup bermadu di Johor apabila mereka dituduh sepakat menjadi pencuri dengan menyamar sebagai jururawat.

Mereka dituduh mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000 April lalu.

Tertuduh, Norhaslinda Resat, 36, bersama madunya, Nur Hidayatul Nadhrah Misman, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Norhaslinda dan Nur Hidayatul Nadhrah didakwa secara bersama mencuri seutas rantai emas, tiga gelang emas dan tiga cincin emas bernilai RM25,000 milik suri rumah, Zabaidah Aspan di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada 7 April lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tuesday, 9 May 2017

Ustaz tahfiz didenda kerana air sejuk

MOHAMMAD Fakhrurrazi (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Petaling Jaya semalam selepas dijatuhi hukuman denda.

PETALING JAYA – Gara-gara memukul pelajarnya menggunakan sebatang penyapu sehingga cedera kerana marah air sejuknya di dalam peti ais diambil tanpa kebenaran tahun lalu, seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Atiqah Abd. Karim @Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Saufi, 22, selepas tertuduh yang kini bekerja sebagai tukang cuci kereta mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan dia membayarnya.

Saturday, 29 April 2017

Cikgu dan kerani tipu guru besar

Zainuddin (kiri) dan Saiful Rizal (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam dan didakwa secara berasingan atas pertuduhan menipu guru besar sebuah sekolah.

SHAH ALAM – Seorang guru dan kerani sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam masing-­masing atas dua pertuduhan menipu guru besar dengan menyerahkan sijil cuti sakit palsu.

Kedua-dua tertuduh berkenaan ialah Zainuddin Deraman, 40, merupakan seorang guru manakala Saiful Rizal Mohd. Haris, 27, merupakan seorang kerani. Mereka ialah kakita­ngan Sekolah Kebangsaan Subang Bestari (2) di sini.

Mereka didakwa secara berasingan dengan Zainuddin didakwa di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohkta­ruddin manakala Saiful Rizal di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan ke atas mereka.

Zainuddin dan Saiful Rizal didakwa menipu guru besar SK Subang Bestari (2), Sapiah Jaffar, sehingga wanita berkenaan percaya bahawa dua sijil cuti sakit palsu yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh kepadanya adalah tulen.

Friday, 21 April 2017

Dua polis terdesak samun buruh

TIGA suspek yang menyamun seorang buruh di sebuah hotel di Jalan Cemerlang, Kota Bharu dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mendapat perintah reman semalam.

KOTA BHARU – Dua anggota polis ma­sing-masing berpangkat koperal dan lans koperal serta seorang lelaki diberkas selepas menyamun seorang buruh yang bermalam di sebuah hotel di Jalan Sri Cemerlang di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun telah disamun oleh ketiga-tiga suspek yang melarikan wang tunai berjumlah RM2,000 termasuk sebuah telefon bimbit.

Ketua Cawangan Khas Kelantan, Asisten Komisioner Abdul Basir Ahmad berkata, anggota polis dari Balai Polis Badang di sini yang berusia 30-an bersama seorang lagi suspek telah menyerbu ke bilik mangsa dan membawanya ke suatu lokasi tidak jauh dari hotel.

“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup hotel tersebut, kedua-dua anggota polis berkenaan telah membuat pemeriksaan di hotel tersebut sebelum membawa mangsa keluar dari bilik.

“Selepas mereka menyamun, suspek telah menghantar semula mangsa ke hotel terbabit. Mangsa yang bingung selain tidak puas hati dengan tindakan polis tersebut telah membuat laporan polis sehari selepas kejadian berkenaan,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kelantan antara Senior Asisten Komisioner, Ahmad Fadzillah Moha­med dengan Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar.

Fadzillah ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dengan menyandang jawatan yang sama berkuat kuasa 3 Mei depan.

Friday, 7 April 2017

Tan Sri merayu tidak direman

Balakrishnan (kanan) diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman semalam.

PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S. Ba­lakrishnan merayu kepada Mahkamah Majistret di sini semalam supaya tidak dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM13 juta bagi kerja-kerja pemulihan Sungai Melaka yang dilaksanakan Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) kerana menghidap sakit jantung.

Rayuan sama turut dibuat oleh seorang jurutera dan bekas pengarah JPS yang mendakwa mereka turut menghidap penyakit jantung dan darah tinggi di hadapan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho.

Bagaimanapun, A. Akhi­ruddin menolak rayuan tersebut dan memutuskan enam individu yang dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit direman enam hari bermula semalam hingga 11 April ini.

Mereka tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga serta tangan bergari.

Balakrishnan, 60, pernah memegang jawatan Naib Presiden MIC pada 2013 hingga 2015 ditahan di rumahnya di Johor kelmarin.

Empat lagi yang ditahan bagi membantu siasatan kes sama ialah tiga jurutera JPS dan seorang bekas pengarah bahagian projek khas jabatan tersebut.

Thursday, 6 April 2017

Pengetua diarah bela diri salah guna kuasa

Norliza ketika hadir ke mahkamah hari ini.

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Klang membela diri terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan barangan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65, tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap tertuduh Norliza Mat Radzi, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Norliza didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengetua sekolah tersebut dengan memilih syarikat miliknya sendiri iaitu Orean Collection, sebagai pembekal bagi bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091.65 pada 12, 17 dan 19 Februari 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa turut menggunakan jawatannya dengan memilih Orean Collection membabitkan pembekalan tuala kecil untuk program Selamatkan Bumi Kita berjumlah RM500 pada 30 Mac lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan yang sama membabitkan pembekalan lima pakej hamper, set alat tulis serta medal bagi program perkhemahan berjumlah RM4,000 pada 30 Mac dan 13 April lalu.

Kesemua kesalahan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Tajuddin Abdul Razak.

Mahkamah menetapkan 8 Mei ini bagi tertuduh membela diri terhadap tiga pertuduhan berkenaan.

Monday, 13 March 2017

Ramai lagi Tan Sri, Datuk Seri terlibat elak cukai

Kerajaan rugi jutaan ringgit setiap tahun.


KUALA LUMPUR - Kerajaan dipercayai kerugian beratus-ratus juta ringgit setahun hasil, akibat perbuatan elak cukai yang dilakukan oleh beberapa ahli perniagaan termasuk mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.

Difahamkan ada mereka terdiri daripada ahli perniagaan terkemuka yang memperolehi pendapatan mencecah puluhan juta ringgit sebulan. Kerugian ditanggung kerajaan dikatakan lebih besar berikutan ada dalam kalangan ahli perniagaan tersebut terlibat dalam aktiviti haram seperti perjudian dan pusat hiburan yang beroperasi melebihi tempoh masa ditetapkan.

Selain itu difahamkan ada juga kes yang menyaksikan salah seorang pengarah sebuah bank terkemuka berpakat dengan ahli perniagaan memanipulasikan pinjaman korporat bernilai jutaan ringgit. Pengarah tersebut didakwa menerima imbuhan tertentu yang mana pembayaran dilakukan di sebuah bank di China.

Sumber memberitahu, perbuatan mengelakkan cukai dalam kalangan ahli perniagaan bertaraf Tan Sri atau Datuk Seri bukanlah perkara baru malah ia sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu.

“Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan telah memungkinkan keadaan itu terjadi sehingga menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara melalui cukai yang boleh mencecah ratusan juta ringgit setahun,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Mingguan Malaysia melalui laporan eksklusif mendedahkan kejayaan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyiasat dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri.

Kedua-dua mereka yang berpusat di utara dan selatan tanah air didapati mengelak cukai dan salah seorang daripadanya terlibat dalam sindiket judi nombor ekor haram.

Sumber itu menjelaskan, modus operandi ahli-ahli perniagaan tersebut ialah tidak mengisytiharkan jumlah pendapatan sebenar dan ada antara mereka menggunakan negara jiran untuk menyim­pan wang hasil perniagaan luar negara.

“Mereka mengaut keuntungan besar termasuk melalui projek-projek kerajaan tetapi boleh dianggap melakukan perbuatan khianat dengan tidak mahu membayar cukai kepada kerajaan sedangkan wang tersebut hendak digunakan bagi memakmurkan ekonomi negara,’’ kata sumber itu lagi.

Sumber tersebut turut mendedahkan, dalam usaha mengelakkan tindakan diambil, ahli-ahli perniagaan berkenaan sering menggunakan nama ‘VVIP’ yang didakwa rapat dengan mereka.

Selain itu, kata sumber tersebut, bagi ahli perniagaan yang terlibat dalam kegiatan haram se­perti perjudian dan pusat hiburan, mereka sanggup mengeluarkan ‘modal’ bagi merasuah anggota-anggota agensi penguat kuasa.

Jumlah sekitar RM1 juta hingga RM 2 juta yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan tersebut bagi tujuan berkenaan bukanlah satu masalah kerana setiap bulan mereka mengautkan keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit, sebaliknya yang rugi akibat perbuatan tersebut ialah kerajaan.

“Jalinan lautan biru antara sindiket dan penguat kuasa telah lama wujud kerana ada situasi menang-menang antara mereka, yang sentiasa rugi adalah kerajaan. Ini memandangkan kerajaan tidak memperolehi cukai pertaruhan dan duti pertaruhan yang boleh mencecah berjuta-juta ringgit sebulan jika dipungut,’’ katanya.

Difahamkan kesemua ahli-ahli perniagaan itu kini berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa dan akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembekuan aset serta akaun apabila tiba masanya.

Mereka terlibat dalam pelbagai bidang seperti pembuatan, pengilangan, pembangunan hartanah, perbankan dan automobil. Tidak terlepas daripada radar ialah ahli perniagaan dalam bidaing minyak dan gas, pemilik-pemilik kelab-kelab hiburan dan lesen perjudian.

Friday, 10 March 2017

Exco Johor ditangkap SPRM

ABD. LATIF ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan hartanah di pejabat SPRM Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Datuk Abd. Latif Bandi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas 14 hari anaknya, Ahmad Fauzan Hatim direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Abd. Latif, 51, yang sedang bercuti daripada tugas rasminya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri sejak 1 Mac lalu, ditahan ketika hadir di pejabat SPRM negeri di sini pada pukul 10.50 pagi.

Menurut kenyataan SPRM, seorang Exco Johor difahamkan Abd. Latif ditahan untuk membantu siasatan berhubung isu hartanah di Johor.

Friday, 3 March 2017

Kakitangan JPN dijel 156 tahun

Tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka selepas dijatuhi hukuman penjara 156 tahun atas kesalahan menukar status kewarganegaraan 22 warga Sulu semalam.
MELAKA – Perbuatan seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri ini me­nukar status kewarganegaraan 22 warga Sulu memakan diri apabila dia dihukum penjara 156 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ahmad Zakri Raman, 31, mengaku bersalah terhadap 32 pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-17, pembantu pendaftaran Gred KP17 itu didakwa secara langsung menerima RM4,000 setiap seorang daripada 22 individu warga Sulu sebagai suapan untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada mereka dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM88,000.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zakri didakwa mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau ke­dua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Mengikut pertuduhan ke-18 hingga ke-32 dia didakwa menggodam sistem informasi rekod penduduk negara (Siren) dengan mengubah status warganegara 22 individu sama dengan menggunakan kata laluan empat kakitangan jabatan berkenaan.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac 2014 hingga November lalu.

Monday, 6 February 2017

Guru besar dipenjara 8 bulan kerana rasuah

BEKAS Guru Besar, M. Subramaniam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sessyen Shah Alam selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM4400.00 daripada pengusaha kantin sekolah bagi melanjutkan kontrak peniagaan kantin, hari ini.
SHAH ALAM - Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,400 tiga tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memerintahkan tertuduh, M. Subramaniam, 56, dipenjarakan berasingan masing-masing empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang didakwa menerima cek bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,900 daripada seorang pengusaha kantin untuk melanjutkan kontrak kantin sekolah.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kantin sekolah berkenaan pada 30 Januari dan 8 Oktober 2014.

Saturday, 4 February 2017

Batu Puteh bukan dalam Singapura - dokumen

Pulau Batu Puteh.
KUALA LUMPUR: Pentadbiran penjajah British di Singapura dalam urusan surat-menyurat dan petanya sekitar 1958-60an tidak meletakkan Batu Puteh dalam wilayahnya. Penemuan fakta baharu itu terkandung dalam tiga dokumen yang dikemukakan oleh Malaysia sebagai menyokong permohonan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberi hak kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.

Dokumen itu menunjukkan pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan Batu Puteh bukan sebahagian wilayah kedaulatan Singapura dalam urusan surat menyurat dalam tempoh 1958-1960an.

Permohonan semakan semula yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada 2 Februari lalu, kini boleh didapati menerusi laman web mahkamah berkenaan.

Dalam permohonan itu, Malaysia mengemukakan penemuan tiga dokumen di Arkib Negara United Kingdom (UK) dalam tempoh 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari 2017 sebagai fakta baharu. Fakta baharu itu adalah urusan surat menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada tahun 1958; laporan kejadian oleh pegawai angkatan tentera laut British yang difailkan pada tahun 1958 dan peta beranotasi operasi tentera laut dari 1960-an.

PETA menunjukkan kedudukan Batu Puteh.

Malaysia mendakwa dokumen berkenaan membuktikan fakta baharu yang menyebut: "Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Pedra Branca/Batu Puteh did not form part of Singapore's sovereign territory" during the relevant period.

("Pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan bahawa Pedra Branca/Batu Puteh bukanlah sebahagian daripada wilayah kedaulatan Singapura pada tempoh berkaitan). 

Sehubungan itu, Malaysia menegaskan ICJ akan mencapai keputusan berbeza mengenai persoalan kedaulatan Batu Puteh jika mahkamah mengetahui bukti baharu berkenaan. 

"Berhubung dengan peruntukan perkara 61 Statut ICJ, Malaysia menegaskan fakta baharu itu tidak diketahui oleh Malaysia atau mahkamah ketika keputusan dibuat kerana "fakta itu hanya ditemui ketika menyemak fail arkib Pejabat Pentadbiran Kolonial British selepas dokumen berkenaan dibuka untuk kegunaan awam oleh Arkib Negara UK selepas penghakiman dibuat pada 2008. 

"Selain itu, Malaysia menegaskan pihaknya yang tidak mengetahui kewujudan fakta baharu itu, bukan disebabkan oleh kecuaian kerana dokumen berkenaan adalah dokumen rahsia yang tidak boleh diakses oleh orang awam selagi tidak dijadikan dokumen awam oleh Arkib Negara UK," katanya.

Malaysia berkata, permohonan itu juga memenuhi tempoh yang diperuntukkan oleh Statut, iaitu memfailkan permohonan dalam tempoh enam bulan penemuan fakta baharu pada atau selepas 4 Ogos 2016. 

Katanya, selain itu permohonan dikemukakan sebelum tamat tarikh tempoh 10 tahun dari penghakiman pada 23 Mei 2008. Berikutan itu, Malaysia memohon kepada ICJ untuk memutuskan dan mengisytiharkan bahawa permohonan semakan semula keputusan 2008 boleh diterima sekali gus memohon supaya mahkamah menetapkan tempoh masa untuk mendengar merit permohonan.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dalam satu kenyataan menyatakan, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge). Permohonan berkenaan difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada Khamis.