Showing posts with label Crime. Show all posts
Showing posts with label Crime. Show all posts

Friday, 9 March 2018

Seluar pegawai SPRM koyak bergelut tangkap polis

Anggota polis yang ditahan di Tampin Square dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sembilan terkoyak seluar ketika bergelut dengan anggota polis yang ditahan bersabit kes rasuah di kedai akuarium di Tampin Square, hari ini.

Sumber berkata, lans koperal polis berusia 36 tahun itu ditahan 2 petang berikutan membekalkan rokok kepada seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan di lokap antara 2 hingga 6 Mac lalu berikutan terbabit kes gaduh di Tampin.

"Suspek yang berkhidmat di balai berkenaan dipercayai membekalkan bahan larangan iaitu rokok dan menerima RM400.

“Bertindak atas aduan diterima, lapan pegawai SPRM negeri ke Tampin Square hari ini untuk menahannya," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di lokasi suspek enggan bekerjasama ketika empat pegawai SPRM cuba memberkasnya sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan seluar seorang pegawai SPRM terkoyak pada bahagian lutut.

Sementara itu, jurucakap SPRM Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Friday, 8 December 2017

Empat Bangla kuasai KLIA

Gambar kecil, pendatang warga Bangladesh baru tiba di KLIA.
Kuala Lumpur: Empat sindiket utama dari Dhaka, Bangladesh diketuai individu dikenali sebagai Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom dipercayai paling aktif menyeludup migran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 2010.

Malah mereka ini dianggap Raja KLIA kerana dipercayai turut menguasai urusan imigresen dan boleh dikatakan mengenali setiap pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di pintu masuk utama negara itu.

Keempat-empat dalang utama ini saling mengenali antara satu sama lain termasuk juga ejen mereka yang berada di Malaysia.

Namun masing-masing hanya menjalankan kegiatan mereka tanpa mengganggu yang lain.

Sumber memberitahu, sindiket penyeludupan migran ini terutama membabitkan warga Bangladesh di KLIA sudah bertapak agak lama.

Friday, 1 December 2017

Anak saudara MB Selangor direman

EMPAT individu termasuklah anak saudara Menteri Besar Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes perlombongan pasir dan batu haram.

PUTRAJAYA – Anak saudara Menteri Besar Se­langor, Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, bersama tiga lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombo­ngan pasir dan batu haram di Selangor.

Perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Ainna Sherina Saipolamin bermula semalam hingga 6 Disember depan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Keempat-empat individu yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.40 pagi.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman ke atas empat individu terbabit selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Tambah beliau, seramai tujuh individu sudah diambil ketera­ngan oleh SPRM berhubung ke­giatan perlombongan haram itu.

Kelmarin, dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan dilaporkan ditahan kerana disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.

Wednesday, 29 November 2017

Duit persundalan sampai berkulat

SEBUAH sindiket pelacuran dipercayai telah menjalankan aktiviti persundalan mereka sejak lebih 10 tahun lalu di sebalik operasi pusat urut Hotel Promenade di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia mengesyaki aktiviti sindiket persundalan di Hotel Promenade di sini sudah beroperasi lebih 10 tahun ekoran penemuan kesan reput dan berkulat pada sebahagian wang tunai RM13.5 juta yang dirampas Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesan lumut dan berkulat terdapat pada sebahagian daripada wang tunai yang dijumpai dalam serbuan Ops Gegar itu.

“Walaupun sindiket pelacuran tersebut dikesan baru-baru ini, namun kami percaya kegiatan ini sudah lama dijalankan berikutan terdapat kesan kulat dan berlumut pada sebahagian wang tunai berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga beberapa ikat wang tunai disimpan di dalam kotak yang tertera perkataan tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini semalam.

Friday, 24 November 2017

Inspektor, koperal 'Kaki Paw' direman



EMPAT individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun ke atas ejen insurans di Rawang.

Sumber berkata, suspek terdiri tiga polis dan aktivis NGO ditahan susulan aduan mangsa berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 2 petang, 12 November.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 51 tahun berada di premis perniagaannya di Batu 17 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.

“Pengadu kata dia dikunjungi tiga lelaki. Memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek mendakwa kononnya polis mahu siasat mangsa susulan satu aduan berhubung syarikatnya.

“Dua daripada suspek kemudian arah pengadu tunjuk kad pengenalan dan duit yang disimpan di pejabatnya. Seorang lagi suspek menunggu di luar premis syarikat itu.

“Mangsa akur, menyerahkan kad pengenalan dan kira-kira RM4,000 kepada suspek. Mangsa kemudian diarahkan mengikut mereka ke balai polis,” katanya.

Jelasnya, mangsa kemudiannya meminta kebenaran untuk masuk semula ke pejabat untuk mengambil begnya sebelum mengikut suspek ke balai polis.

“Namun, ketika mangsa masuk ke pejabat kesemua suspek bertindak melarikan diri bersama kad pengenalan, telefon bimbit dan duitnya dengan menaiki kereta.

“Selepas mangsa membuat laporan, polis menahan empat suspek menerusi beberapa tangkapan berasingan sehingga semalam.

“Tiga anggota polis yang ditahan terdiri daripada Inspektor dan Koperal.

“Dua daripadanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Seorang lagi di IPD Gombak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, suspek berusia antara 30 tahun dan 34 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.

“Tempoh reman semalam. Tapi, disambung sehingga Ahad ini. Dua anggota IPD Dang Wangi terbabit direman empat hari sehingga Sabtu ini.

“Seorang lagi suspek disambung reman lima sehingga Isnin depan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,” katanya.

Monday, 20 November 2017

Anak Husam Musa ditahan miliki dadah

AHMAD SHAFI dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam untuk direman.

KOTA BHARU : Anak lelaki Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa ditahan polis kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda seberat kira-kira 20 gram kelmarin.

Ahmad Syafi, 29, ditangkap di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan selepas bergelut secara agresif dengan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, anak Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.

Siswazah universiti itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Sunday, 12 November 2017

Tujuh anggota polis diserang

Lokasi kejadian.

POLIS melepaskan empat das tembakan amaran apabila sekumpulan lelaki warga China menyerang sepasukan anggota polis di Jalan Abaraham Off Jalan Khoo Teik Ee, Kuala Lumpur, malam tadi.

Sekumpulan warga China itu bertindak sedemikian apabila sekumpulan tujuh anggota polis hendak memeriksa satu premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi, pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata maklumat awal kegiatan perjudian itu diterima anggota preman ketika melakukan rondaan.

“Sebaik tiba di lokasi iaitu di depan rumah, antara 20 hingga 30 lelaki disyaki warga China berada di premis itu. Cubaan anggota untuk melakukan pemeriksaan dihalang dan mereka turut diserang.

“Untuk mempertahankan diri, mereka terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara sementara menunggu bantuan tiba ke lokasi,” katanya.

Shaharudin berkata, semua suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 147/353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurutnya, polis difahamkan terdapat kira-kira 200 pekerja kontrak warga China mendiami kawasan berkenaan dan siasatan terperinci ke atas kegiatan judi itu masih dilakukan.

Saturday, 11 November 2017

Peguam kudung didakwa pecah amanah

TUAH (kanan) yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kirinya dituduh melakukan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Melaka semalam.

MELAKA – Seorang peguam yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM47,431.79 lapan tahun lalu.

Tertuduh, Tuah Atan, 57, yang juga penerima Anugerah Tokoh Warga Istimewa Maal Hijrah 1430H Negeri Melaka pada tahun 2008 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal sejak dilahirkan didakwa tidak menyerahkan wang berjumlah RM47,431.79 kepada dua individu.

Tuah yang merupakan lulusan Universiti Malaya dan peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri.

Saturday, 4 November 2017

Timbalan Pengarah JKKP ditahan SPRM


JOHOR BAHRU - Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Operasi) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM negeri pada pukul 11 malam tadi.


“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM8,000 daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat petroleum. 


“SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM40,444 dan SG$1,613 selain beberapa dokumen berkaitan dalam serbuan yang dibuat di tiga lokasi berbeza,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Saturday, 28 October 2017

Anggota RELA dakwa dipukul Datuk Seri

KETUA Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan kecederaan yang dialami anggota RELA yang didakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri'.

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri' ketika sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, pagi semalam.

Salah seorang daripada mangsa, Melvin Cheong Mun Khai,19, berkata kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu bermula ketika dia yang melakukan kawalan bersama rakannya, Leong Jiun Jie,21, meminta Datuk Seri berusia 28 tahun untuk mengalih kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Mun Khai mendakwa, teguran itu menyebabkan lelaki berkenaan naik berang sebelum dia bertindak menepuk meja dan memaki hamun mereka.

"Seorang rakan, Lee Weng Poh, 27, yang turut bertugas ketika itu datang dan cuba meleraikan keadaan tetapi, dia ditampar lelaki itu.

"Datuk Seri itu turut memukul dan menendang kami selain mengugut akan mengapa-apakan kami selepas ini," katanya.

Mereka ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Mun Khai berkata, kejadian mengakibatkan mereka masing-masing cedera bengkak di mata kiri selain sakit di beberapa bahagian badan.

Katanya, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Ampang bagi membolehkan tindakan lanjut diambil polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

"Kita juga sedang menyiasat bagi mengenal pasti suspek serta pengesahan berhubung status Datuk Seri itu," katanya dalam satu kenyataan.

Thursday, 19 October 2017

Sembilan ‘dragon’ kawal Malaysia?

Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR - Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dra­gon’ sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah, kumpulan sembilan dragon itu mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan (gambar) mendakwa, sistem sembilan dra­gon itu telah lama di­amalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mem­punyai kuasa di dalam agensi pe­nguat kuasa di negara ini.

Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk me­nu­karkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.

“Rangkaian tersebut bermula apabila pihak berkuasa atau individu berkepentingan di negara ini duduk semeja dengan kumpulan dragon untuk meminta bantuan.

“Mereka kemudian tersepit apabila dragon mula meminta bantuan untuk melindungi kegiatan haram, tetapi perlu menurut kerana pernah menerima bantuan dahulu,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Nadzim, undang-undang yang terdapat dalam sistem dragon iaitu, pengkhianat akan ditembak mati menyebabkan pihak berkuasa terlibat tidak berani melawan dan terpaksa akur dengan permintaan kumpulan tersebut walaupun ia bercanggah dengan kedaulatan negara.

Mengulas mengenai sistem dragon berkenaan, Nadzim memberitahu, hierarki itu telah wujud sejak sekian lama, bahkan ia mempunyai hubungan dengan kumpulan lain di luar negara termasuk Hong Kong, China dan beberapa negara lain bagi menjalankan akti­viti mereka.

Ujar beliau, terdapat juga beberapa individu ternama di negara ini yang berjaya menduduki tahap tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa itu.

“Jika sebelum ini ada pendedahan mengenai individu bernama Alex, dia juga adalah anggota kepada sembilan dragon berkenaan yang memakai gelaran dragon nombor lima yang mempunyai hubungan kuat dengan orang ‘besar’ di negara ini.

“Saya difahamkan terdapat sembilan dragon utama, jika mungkin ada tambahan saya tidak pasti, tetapi kesemua mereka mempu­nyai gelaran Tan Sri dan Datuk Seri yang dibeli untuk mengaburi ke­giatan sebenar mereka,” katanya.

Mereka yang mempunyai gela­ran itu turut sinonim dengan pelbagai perniagaan di negara ini dan berjaya mengutip lebih RM5 bilion sebulan hasil daripada perjudian.

Menurutnya, wang tersebut dikumpul daripada seluruh negara dan akan diagihkan kepada syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi mencuci wang haram itu untuk mengelakkan ia mudah dikesan.

Tambahnya, dengan wang yang banyak itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan kegiatan ha­ram termasuk membayar wang perlin­dungan kepada pihak berkuasa serta siapa-siapa yang mengganggu perjalanan perniagaan mereka.

“Disebabkan sistem yang berkesan dan bantuan teknologi terkini, wang tersebut sukar untuk dilarikan oleh mana-mana pekerja ke­rana takut akan dibunuh oleh anggota sembilan dragon tersebut,” jelasnya.

Tuesday, 17 October 2017

Dalang judi dikenal pasti

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Ra­s­­hid Ibrahim

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa dalang yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Ra­s­­hid Ibrahim berkata, indi­vidu yang di­kenal pasti me­rupakan pemilik atau tauke-tauke pusat judi yang aktif menjalankan kegiatan ter­sebut di beberapa negeri.

Bagaimanapun, kata­nya, buat masa ini, operasi serta serbuan terhadap pusat-pusat judi merupakan fokus utama PDRM sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Untuk peringkat pertama, saya telah arahkan Ketua Polis negeri, Ketua Polis daerah serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah untuk menyerbu pusat-pusat judi yang masih berdegil beroperasi.

“Selepas memastikan semua pusat judi ditutup, tindakan seterus­nya akan diambil termasuk menangkap dalang utama kegiatan haram ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai penglibatan anggota, pegawai serta bekas polis dalam aktiviti perjudian, Noor Rashid enggan mengulas lanjut namun pihaknya akan melakukan siasatan secara berterusan bagi membanteras kegiatan ha­ram tersebut di seluruh negara.

“Fokus utama kita adalah untuk perangi aktiviti judi di seluruh negara dahulu, jika ada pengliba­tan individu termasuk polis kita akan siasat,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai individu bernama Gopi yang didakwa menjadi ‘orang tengah’ antara tauke judi dengan penguat kuasa, Noor Rashid memberitahu, perkara tersebut merupakan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan di bawah pihaknya.

Mingguan Malaysia semalam mendedahkan beberapa tauke judi termasuk Tan Sri dan Datuk Seri telah mengembangkan empayar perniagaan dalam pelbagai cabang perniagaan termasuk dalam industri pengilangan besi, makanan dan hiburan keluarga bagi tujuan mengaburi mata rak­yat serta penguat kuasa mengenai penglibatan mereka dalam kegiatan haram tersebut.

Difahamkan, dalam beberapa tindakan oleh pihak berkuasa ke atas pengusaha pusat hiburan menemukan senarai pembayaran kepada anggota berkenaan secara bulanan dari peringkat bawahan termasuk bayaran penyelesai­an bil hiburan, minuman keras serta gadis penghibur mencecah ribuan ringgit.

Sindiket dikatakan sanggup me­ngeluarkan ‘modal’ antara RM10 juta hingga RM15 juta sebulan bagi tujuan memberi rasuah anggota-anggota agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) demi memastikan kegiatan haram mereka tidak diganggu.

Pada 27 September lalu, satu pasukan khas yang diketuai Noor Rashid sendiri ditubuhkan bagi menangani dan menghapuskan pusat-pusat judi yang semakin berleluasa di seluruh negara.

Monday, 16 October 2017

Tikam suami tak balik rumah

SUSPEK berusia 18 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas ditahan reman enam hari semalam.

MUAR – Polis tidak menolak kemungkinan cemburu dan syak wasangka kerana suami sudah dua hari tidak pulang ke rumah menjadi punca seorang wanita muda berusia 18 tahun bertindak menikam suaminya dengan pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong dekat sini kelmarin.

Kejadian sekitar pukul 2 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd. Firdaus Md. Salehuddin, 28, maut dengan hanya sekali tikaman.

Difahamkan, wanita itu yang merupakan peniaga makanan dan suaminya yang bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Awam Muar baru berkahwin kira-kira enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek ada menghubungi majikan serta ibu bapa mangsa sebelum bertemu suaminya di sebuah rumah yang dijadikan stor oleh majikan mangsa.

Saturday, 14 October 2017

Inspektor pecah masuk rumah jiran


ANTARA barangan yang dirampas dalam kejadian pecah masuk di Jalan Avenue, Bandar Baru Bangi kelmarin.

KAJANG – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan selepas didapati memecah masuk rumah jirannya di Jalan Avenue, Bandar Baru Bangi di sini kelmarin.

Kejadian pukul 5 petang itu terbongkar selepas pihak polis me­nerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan melihat ke­libat seseorang sedang mencungkil pintu rumah jirannya.

Difahamkan, suspek lelaki berusia 31 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum memberkas suspek yang berada di dalam rumah berkenaan.

Katanya, ketika ditemui, suspek dilihat sedang turun dari tangga tingkat atas rumah itu dengan bersenjatakan sebilah pisau serta memegang satu beg yang dipercayai berisi barang curi.

Monday, 9 October 2017

Loji air RM45 juta disiasat SPRM

Projek loji rawatan air di Semporna, Sabah antara yang disiasat SPRM.

KOTA KINABALU – Projek loji rawatan air terbiar bernilai RM45 juta di Semporna merupakan antara yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membangunkan Sabah.

Satu sumber SPRM mendedahkan, loji yang mula dibina pada 2013 tersebut bukan sahaja dibina di lokasi yang tidak sesuai malah sehingga sekarang belum mampu berfungsi sepenuhnya untuk memberi manfaat kepada masyarakat di daerah itu.

Mengikut pelan pembinaan, loji tersebut sepatutnya mampu membekalkan air bersih berkapasiti sehingga 6 juta liter sehari namun kerana paras air sungai yang cetek, fungsi loji itu tidak mampu ditingkatkan.

Lebih mengecewakan, loji menelan kos tinggi itu dikatakan sudah dua kali melalui proses pembinaan semula ekoran struktur pembinaan tidak menepati spesifikasi ditetapkan tetapi fungsi loji tersebut tetap tidak sempurna.

Saturday, 7 October 2017

1.7 juta rakyat Malaysia tertipu

INILAH sebahagian kereta yang dirampas daripada suspek skim Krubal.

KUALA LUMPUR – Polis menganggarkan seramai 1.7 juta rakyat Malaysia tertipu dengan 27 skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan lebih 100 peratus dalam tempoh Julai 2013 sehingga September lalu.

Dalam tempoh hampir lima tahun itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggarkan sindiket skim pelaburan tersebut telah mengaut keuntungan kira-kira RM4.4 bilion daripada mangsa-mangsanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam tempoh Julai 2013 hingga September lalu, pihaknya menerima lebih 2,500 laporan membabitkan 1.7 juta mangsa yang terjebak dengan kes-kes skim pelaburan palsu.

Menurut beliau, daripada 27 skim pelaburan yang dikesan, skim pelaburan JJ Poor To Rich mencatatkan kerugian paling besar iaitu membabitkan RM1.2 bilion dengan jumlah mangsa seramai 500,000 orang.

“Bagaimanapun, polis sehingga September lalu hanya menerima 14 laporan daripada mangsa yang melibatkan kerugian sebanyak RM78,660. Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka berkaitan skim tersebut.

“Kami anggarkan skim pelaburan JJ Poor To Rich telah mengutip wang mang­sa yang ditipu sehingga mencecah RM1.2 bilion dari April 2015 sehingga Jun lalu ” kata beliau.

Acryl Sani memberitahu, kerugian kedua tertinggi dicatatkan oleh skim pelaburan Mface atau MBI International Group dengan nilai mencecah RM700 juta.

“Seramai 350,000 orang dipercayai menjadi mangsa kepada skim pelaburan Mface tetapi polis hanya menerima dua laporan setakat ini,” ujarnya.

Lebih 60 syarikat disiasat kes songlap dana RM1.5 bilion



KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Azam Baki berkata, dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion peruntukan kerajaan Pusat diselewengkan daripada sebuah kementerian yang diamanahkan untuk melaksanakan projek di Sabah sejak 2009 hingga 2015.

Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada jumlah RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan melalui sebuah kementerian untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah.

“Projek berkenaan adalah berkaitan dengan air, elektrik dan jalan raya dan mungkin ada projek-projek berkenaan tidak sempurna dibuat atau mungkin tidak betul dibuat.

“Kami juga melihat terdapat unsur-unsur rasuah dalam kes ini. Kemungkinan kontraktor terlibat memberi rasuah kepada pihak-pihak tertentu,” kata beliau di sini semalam.

Thursday, 5 October 2017

SPRM sita RM29 juta lagi, kes seleweng dana kementerian di Sabah



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyita RM29 juta lagi, dalam siasatan terbaharu mengenai penyelewengan dana oleh sebuah kementerian di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad membuat pendedahan itu dalam ucapannya sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan kali ke-9 di sini hari ini.

“Semalam kami telah menyita lebih RM150 juta dalam akaun bank, dalam kes penyelewengan terbaharu di Sabah dan saya baru sahaja diberitahu tadi, RM29 juta lagi dibekukan hari ini,” katanya.

Semalam, lebih RM150 juta wang tunai dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai penyiasat di 15 lokasi di Sabah.

Bagaimanapun, SPRM masih belum mendedahkan nama kementerian berkenaan. - Bernama

Tuesday, 3 October 2017

2 lagi anggota TLDM mangsa dera

Pangkalan TLDM, Lumut tempat dua lagi anggota tentera yang mendakwa menjadi mangsa dera ketika bertugas.

IPOH – Selepas kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disahkan sebagai mangsa penderaan ketika berada di bilik tahanan Pusat Komunikasi TLDM, Unit Sungai Wangi, Setiawan pada Jumaat lalu, polis mengesan terdapat dua lagi anggota lain turut mengalami nasib sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedua-dua anggota TLDM berpangkat Laskar Kelas 1 (LK1) cedera di abdomen dan masing-masing yang berusia 30 tahun telah membuat laporan polis semalam selepas mendakwa mereka juga mengalami nasib sama seperti rakan mereka yang meninggal dunia.

Menurut beliau, susulan laporan tersebut, polis menahan reman dua anggota polis tentera (Protela) masing-masing berusia 29 dan 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seperti yang didakwa oleh dua anggota tentera berusia 30 tahun berkenaan.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini (semalam),” kata beliau selepas sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Monday, 2 October 2017

Sindiket jual ijazah palsu

INILAH diploma tulen UiTM (kiri) dan palsu (kanan) yang dikeluarkan oleh sindiket beroperasi di Puchong.

KUALA LUMPUR – Sebuah sindiket didapati menjalankan aktiviti menjual sijil palsu diploma, sarjana muda dan sarjana pada harga sehingga RM3,000 untuk digunakan oleh pembeli bagi memohon pekerjaan dalam sektor swasta.

Wartawan Kos­mo! yang menyamar sebagai pembeli mendapati sindiket yang beroperasi dari Puchong, Selangor itu hanya menjual sijil palsu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Segi.

Sijil diploma serta ijazah sarjana muda palsu UiTM itu masing-masing ditawarkan pada harga RM1,000 dan RM2,000.

Sindiket itu juga menjual sijil diploma palsu Kolej Segi pada harga RM2,000 manakala ijazah sarjana muda dan sarjana dikenakan bayaran RM3,000.

Harga sijil diploma palsu tersebut lebih murah berbanding yuran pengajian peringkat sama yang dikenakan oleh UiTM sekitar RM3,000 setahun manakala Kolej Segi RM37,000.

Yuran pengajian untuk ijazah sarjana muda UiTM juga adalah sekitar RM4,000 manakala Kolej Segi RM50,000.

Sindiket tersebut yang didalangi oleh individu yang dikenali sebagai Shafizal berkata, sijil tersebut dicetak dalam bahasa Me­layu dan Inggeris.

Menurutnya, dia mempromosi penjualan sijil palsu bersama transkrip peperiksaan tersebut melalui pengiklanan di laman web dengan meminta orang ramai yang berminat menghubunginya melalui e-mel terlebih dahulu sebelum memperoleh nombor telefon untuk dihubungi.