Showing posts with label Public Figure. Show all posts
Showing posts with label Public Figure. Show all posts

Tuesday, 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Saturday, 6 January 2018

Facebook mahu kaji 
mata wang kripto

Mark Zuckerberg

NEW YORK – Facebook Inc. merancang untuk mengkaji lebih lanjut terhadap potensi mata wang kripto yang sedang giat didagangkan di seluruh dunia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg berkata, beliau optimis terhadap mata wang kripto pada 2018 dan mahu melihat aspek positif serta negatif mata wang digital berkenaan.

Katanya, enkripsi dan mata wang kripto antara trend utama yang mengambil kuasa daripada sistem berpusat dan meletakkannya kembali ke dalam tangan rakyat.

“Walau bagaimanapun, trend ini datang dengan risiko dan menjadi lebih sukar untuk dikawal.

“Saya berminat untuk pergi lebih mendalam dan mengkaji aspek-aspek positif dan negatif teknologi ini, dan cara terbaik untuk menggunakan mereka dalam perkhidmatan kami,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

Bukan hanya Zuckerberg meluahkan minat terhadap trend ini, Naib Presiden Produk Pesanan Facebook, David Marcus telah menyertai lembaga pengarah Coinbase Inc., antara bursa mata wang kripto terbesar tahun lalu.

“Saya telah terlibat dengan mata wang kripto sejak 2012 dan saya telah menyaksikan bagaimana Coinbase memberi akses kepada aset kelas baharu ini,” jelasnya. – AGENSI

Wednesday, 3 January 2018

Rakyat muak dengan kerajaan, pembangkang

Mohamad Ezam Mohd Nor

SHAH ALAM - Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan wujud fenomena luar biasa sedang berlaku menjelang PRU14.

Katanya, ia adalah suasana di mana rakyat dan pengundi semakin tidak bermaya untuk berdepan dengan pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Rata-rata daripada mereka suarakan rasa muak dengan politik hari ini. Mereka kecewa dan menyampah bukan sahaja dengan pihak sebelah sini atau sana tetapi dengan kedua-duanya.

“Ini bukan fenomena biasa. Biasanya pengundi dan rakyat akan menyokong atau tidak. Menyokong salah satu daripada dua pihak. Kali ini kelihatan mereka tidak menyokong kedua-duanya seolah-olah keliru dan ini bahaya buat negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut disebabkan oleh krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara pada hari ini.

“Tetapi dalam yang sama rakyat juga masih belum dapat mengalihkan atau menggantikan keyakinan itu kepada pihak lain. Kita tersimpul dalam satu kekusutan politik dan ia mesti dileraikan.

“Politik adalah soal keyakinan terhadap satu kepimpinan. Soalnya sekarang, tidak ada satu pun kepimpinan yang diyakini oleh rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sudah hilang kepercayaan rakyat dengan pelbagai isu melingkarinya dan tiada jalan untuk beliau meraih sokongan dan keyakinan lagi,” katanya.

Menyentuh soal pembangkang, Mohamad Ezam berkata, mereka masih terkial-kial meraih keyakinan rakyat untuk menyokong mereka.

“Inilah kekusutannya kerana pembangkang juga tidak diyakini. Cuma mereka belum lagi di hujung jalan seperti Najib dan pasukannya. Pembangkang masih boleh merai keyakinan rakyat dengan syarat mereka perlu jujur meleraikan kekusutan ini.

“Apabila saat memilih semakin hampir, perkara pokok bagi pengundi ialah keyakinan kepada pentadbiran baru. Bukan lagi soal keburukan pentadbiran sedia ada. Soalnya ialah apa kebaikan dan keupayaan pentadbiran baru itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks politik negara ini, rakyat mahu tahu individu mana yang akan memimpin pentadbiran baharu dan ia penting bagi meraih keyakinan rakyat.

“Pakatan Harapan (Harapan) dilihat masih kusut dalam soal ini. Sosok yang memimpin tidak jelas, malah masih berkisar kepada tokoh-tokoh lama. Benar mereka adalah sosok hebat, berjasa dan teruji tetapi dalam masa sama mereka membawa bersama cerita dan kisah lalu. Di sinilah kekusutannya dan inilah yang perlu dileraikan.

“Agenda pembaharuan perlu dilihat, dibawa dan dijulang oleh muka-muka baharu dan muda Harapan kerana punyai ramai pemimpin muda yang mampu menjulang perubahan. Mereka siap sedia menjadi panglima perang dan mengurus kejayaan,” katanya.

Tambahnya, tokoh-tokoh besar pembangkang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah wajar memberi laluan kepada pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan Salahuddin Ayub.

“Tokoh-tokoh besar kekal aktif di dalam perjuangan dan negara masih memerlukan kepakaran serta pengalaman mereka.

“Mereka perlu memberi kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda mengepalai perjuangan Harapan yang berani berubah. Ini penting dalam memberi mesej jelas kepada golongan muda negara yang mahukan perubahan bahawa Harapan benar-benar satu gagasan perubahan,” katanya.

Friday, 22 December 2017

Shahrir akui FELDA 'hilang' status tiga aset tanah

PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR: "Saya tidak faham bagaimana tanah milik FELDA boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (FELDA)," kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dilantik sebagai Pengerusi FELDA, 6 Januari lalu.

Beliau yang mengakui agensi itu 'kehilangan' tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak di sini, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak FELDA yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Katanya, keseluruhan kawasan milik FELDA itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama FELDA, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 bernilai keseluruhan lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.

"Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi," katanya dalam pertemuan bersama wartawan.

Beliau mengesahkan tanah FELDA bertukar tangan apabila wartawan menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.

Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi FELDA.

Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan FELDA tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.

"Lembaga Pengarah FELDA terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu," katanya.

Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Shahrir mengulas, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata: "Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi," katanya.

Monday, 20 November 2017

Anak Husam Musa ditahan miliki dadah

AHMAD SHAFI dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam untuk direman.

KOTA BHARU : Anak lelaki Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa ditahan polis kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda seberat kira-kira 20 gram kelmarin.

Ahmad Syafi, 29, ditangkap di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan selepas bergelut secara agresif dengan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, anak Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.

Siswazah universiti itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Thursday, 9 November 2017

FAM bakal wujud Divisyen Empat

PRESIDEN FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) pelaksanaan liga masih dalam perancangan dan mahu lebih banyak pasukan terbabit.

JOHOR BAHRU: Inisiatif baru yang sedang dirancang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menyaksikan saingan Liga Divisyen Empat diperkenalkan dalam usaha memberi pendedahan kepada pemain muda.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pelaksanaan liga yang masih di dalam perancangan itu membabitkan lebih banyak pasukan daripada liga komuniti serta pemain bawah 19 tahun.

"Kami akan tambahkan lagi pasukan untuk bermain dalam Piala FA dan mekanisme pembabitan pasukan akan diperhalusi. Kami juga akan adakan satu liga yang mana 26 atau 27 pasukan yang bersaing pada saingan Liga Divisyen Empat.

"Liga ini akan membabitkan pasukan komuniti dan peniaga kecil yang mempunyai kelab sendiri. Tapi syarat penyertaannya adalah mereka perlu sekurang-kurangnya ada empat pemain bawah 19 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan World Leagues Forum (WLF) di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, ia juga salah satu saluran baik dalam menambah lebih banyak pasukan sekali gus merealisasikan usaha pembangunan struktur liga yang lebih kompetitif.

Mengulas mengenai barisan pemain kendalian Bojan Hodak sama ada perlu dikekalkan dan dihantar berlatih di luar negara, Tunku Ismail dilihat kurang bersetuju dengan langkah itu memandangkan barisan pemain harus beraksi di peringkat tertinggi terutama dalam Liga Super atau Liga Perdana.

"Pada saya, mereka (pemain muda) perlu bermain dalam liga kompetitif negara dan liga itu membabitkan saingan sedia ada. Mana ada negara-negara luar buat macam itu (menghantar satu pasukan berlatih di luar negara).

"Ini menguntungkan ejen yang menguruskan tiket dan hotel. Lebih baik mereka bermain pada saingan kompetitif sedia ada," katanya.

Tunku Ismail juga berpuas hati dengan pencapaian anak didik Hodak yang layak ke pusingan akhir Bawah 19 Tahun Piala AFC di Indonesia selain skuad Bawah 23 kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan bersaing di China tahun depan.

"Mereka bermain baik, sangat bagus. Saya akan memberi fokus kepada pemain muda kerana mereka adalah pemain yang harus diberi tumpuan untuk pembangunan bola sepak negara," katanya.

Monday, 6 November 2017

Orang terkaya di Arab Saudi, Putera Al-Waleed ditangkap

BILIONAIR nombor satu Arab Saudi, Putera Al-Waleed turut memiliki Hotel Savoy di London.

RIYADH – Seramai 11 putera dan berpuluh-puluh bekas menteri kerajaan ditangkap beberapa jam selepas Arab Saudi menubuhkan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah, kata seorang pegawai kerajaan semalam.

Pegawai kerajaan itu berkata, Putera Al-Waleed bin Talal yang merupakan antara orang paling kaya di dunia adalah antara mereka yang diberkas.

Menurut majalah Forbes, Putera Al-Waleed, 62, memiliki aset bernilai lebih AS$17 bilion (RM72 bilion) dan berada di tangga ke-45 senarai bilionair dunia setakat Mei lalu. Beliau merupakan orang paling kaya di Arab Saudi dan Asia Barat.

Putera itu memiliki beberapa buah firma di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat termasuk Kingdom Holding yang disenaraikan di Bursa Saham Arab Saudi.

Kingdom Holding mempunyai saham dalam firma Lyft yang memiliki media sosial Twitter selain pegangan dalam rangkaian hotel Four Seasons, Hotel George V di Paris dan Hotel Savoy di London.

Putera itu dilaporkan pernah membeli sebuah kapal layar milik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada tahun 1991.

Laporan penahanan Putera Al-Waleed sekiranya disahkan, akan mencetuskan kejutan kepada komuniti perniagaan di Arab Saudi dan luar negara.

Sumber sama memberitahu, selain Putera Al-Waleed, pihak berkuasa turut menangkap bekas menteri kewangan, Ibrahim Al- Assaf.

Ketua pasukan elit Pengawal Kebangsaan Arab Saudi dan komander tentera lautnya turut ditukar dalam pemecatan berprofil tinggi tersebut.

Stesen televisyen kerajaan, Al Arabiya melaporkan, badan pencegah rasuah itu telah menahan seramai 11 putera, empat menteri semasa dan 10 bekas menteri.

Menurut Al Arabiya, kesemua mereka ditahan berkaitan siasatan kes lama seperti banjir besar yang mengakibatkan kemusnahan di bandar Jeddah pada tahun 2009.

Sumber aviasi memberitahu agensi berita AFP bahawa pasukan keselamatan turut menyekat jet-jet peribadi di Jeddah daripada berlepas bagi mengelakkan individu berprofil tinggi melarikan diri ke luar negara.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud turut melantik dua menteri baharu kelmarin bagi menerajui portfolio utama iaitu keselamatan dan ekonomi.

Putera Miteb bin Abdullah digantikan sebagai ketua Pengawal Kebangsaan Arab Saudi oleh Khaled bin Ayyaf, manakala Menteri Ekonomi, Adel Fakieh dipecat dan tempatnya diambil alih oleh Mohammed Al-Tuwaijri.

Perkembangan mengejutkan itu berlaku beberapa jam selepas Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik di timur laut ibu kotanya, Riyadh selepas misil itu dilancarkan dari Yemen.

Terdahulu, Raja Salman mengeluarkan dekri bahawa suruhanjaya pencegahan rasuah itu dipengerusikan oleh anak lelaki baginda, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Putera berumur 32 tahun itu yang dikenali sebagai MBS berikrar akan membanteras gejala rasuah di peringkat ter­tinggi.

Suruhanjaya tersebut diberikan kuasa meluas untuk melakukan siasatan, mengeluarkan waran tangkap, menyekat perjalanan dan membekukan aset suspek.

Pada Jun tahun ini, MBS dilantik untuk memangku tugas Raja Salman selepas pemerintah Arab Saudi itu memecat bekas Putera Mahkota, Muhammad bin Nayef. – Reuters/AFP/Agensi

Sunday, 5 November 2017

Kuasai perang media sosial

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat Kebangsaan di dewan Tun Razak PWTC.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menggesa tentera siber UMNO menguasai perang maya melalui media sosial bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Presiden UMNO berkata, perkara itu amat mustahak memandangkan PRU-14 bakal tiba tidak lama lagi.

“Pada hari ini, sumber maklumat yang paling besar dan berpengaruh adalah media sosial. Sesuatu berita sama ada benar, tidak benar atau separuh benar boleh tersebar meluas dalam sekelip mata jika kita tidak bertindak cepat, tepat dan tular.

“Kita mesti berubah dan memenuhi setiap ruang yang ada. Jika UMNO tidak bersedia, kita akan terasa bahangnya,” kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Friday, 3 November 2017

Adun DAP didakwa tumbuk teman wanita



SEORANG Adun DAP dari Perak didakwa menumbuk dan menipu teman wanitanya seperti ditular dalam satu blog, kelmarin.

Blog tersebut, iaitu 'Dr MiM' yang menulis dalam bahasa Melayu bertajuk Skandal! Adun Pukul Teman Wanitanya mendedahkan, Adun tersebut yang telah berkahwin dan memiliki anak, didakwa terlibat melakukan penipuan dan menumbuk teman wanitanya.

"Yang inklusif dan utamakan rakyat, kita dikejutkan dengan tindakan seorang Adun yang berlaku zalim dengan menumbuk teman wanitanya," demikian petikan perenggan pertama dalam blog berkenaan.

Seterusnya, blog itu menulis lagi, "Kita difahamkan Adun DAP di negeri Perak ini telah membuat laporan polis pada 30 Oktober lalu. Beliau mendakwa telah pergi ke rumah teman wanitanya untuk berbincang, tetapi berlaku salah faham dan beliau memaki teman wanitanya. Beliau keluar rumah tersebut selepas itu.

"Bagaimanapun, laporan polis Adun DAP itu berlainan dengan laporan polis yang dibuat oleh teman wanitanya. Wanita itu menjelaskan, Adun DAP itu telah datang ke rumah untuk berbincang tapi beliau  ditipu oleh Adun tersebut. Malah, Adun DAP itu telah mencederakannya dengan menumbuk pipi wanita tersebut.

"Wanita itu juga melaporkan bahawa beberapa barangan miliknya telah hilang termasuk dokumen-dokumen penting dan juga wang tunai," tulis blog itu.

Walaupun blog tersebut tidak menyebut identiti sebenar Adun terbabit, ramai pihak yang mendakwa Adun yang dimaksudkan ialah Adun Bercham, Cheong Chee Khing.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh Oriental Daily, Chee Khing menafikan dakwaan itu kerana sekiranya beliau terbabit dengan kes memukul dan menipu wanita, sudah lama beliau ditahan pihak polis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming enggan mengulas kes tersebut apabila dihubungi wartawan akhbar tersebut.

Wednesday, 1 November 2017

Kerajaan pantau aktiviti Zakir Naik

Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memantau aktiviti dijalankan oleh penceramah terkenal, Zakir Naik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan akan diambil sekiranya Zakir didapati terlibat dengan terrorisme.

"Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak pernah melanggar undang-undang dan peraturan,"

Menurutnya, kerajaan juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada India berhubung dakwaan terrorisme.

"Tiada alasan dari segi peruntukan undang-undang untuk menahan atau menangkap Zakir," katanya.

Berhubung dengan isu kewarganegaraan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasil semakan di Jabatan Pendaftaran Negara mendapati tiada rekod permohonan dikemukakan.

"Untuk makluman, tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada warga India itu sebagaimana dilaporkan," katanya.

Terdahulu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan menyatakan status kewarganegaraan dan rasionalnya layanan istimewa yang diberikan.

Zahid berkata, pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kepada Zakir dilakukan mengikut prosedur berdasarkan pemilikan Permit Masuk dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Tuesday, 31 October 2017

Ustaz Haslin, Mufti Menk dilarang masuk Singapura

Ustaz Haslin Baharim dan Mufti Menk.

SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) tidak akan membenarkan Ustaz Haslin Baharim untuk memasuki republik ini.

Seorang lagi yang tidak dibenarkan ialah Ismail Menk yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk.

Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Dalam kenyataan di laman webnya, MHA berkata, peme­rintah mendapat maklumat bahawa mereka berceramah di atas sebuah kapal persiaran yang belayar dan kembali ke Singapura dari 25 hingga 29 Nov lalu.

Ismail Menk dan Haslin sebelum ini ditolak permohonan Pas Kerja Pelbagai mereka bagi berceramah di Singapura, katanya.

Menurut kementerian itu, Ismail Menk diketahui berce­ramah ajaran yang memisah dan memecah-belah.

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” katanya.

Haslin pula telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai ‘menyeleweng’. – Bernama

Friday, 27 October 2017

Pangkor udoh bebas cukai yeop!

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini.

Beliau berkata, walaupun pengecualian cukai itu tidak termasuk barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor namun ia tetap satu rahmat buat masyarakat di negeri ini khususnya pulau peranginan berkenaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengisytiharan itu yang menunjukkan keprihatinan beliau dengan apa yang disuarakan pemimpin di peringkat negeri.

"Perincian produk berkaitan yang akan diketengahkan di pulau itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan dijangka dimulakan awal tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, walaupun rokok, minuman keras dan kenderaan tidak dikecualikan cukai namun potensi lain masih boleh diketengahkan di pulau peranginan itu.

"Dalam konteks bebas cukai tidak semestinya hanya dalam dua atau tiga item sahaja. Ada item lain seperti aksesori, pakaian, coklat, pinggan mangkuk atau barangan lain yang boleh dilihat semula," katanya selepas program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Manjung hari ini.

Zambry turut menyifatkan ia sebagai satu pengumuman bersejarah bagi rakyat negeri ini dan membuktikan janji manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sudah dikotakan oleh Perdana Menteri.

"Ini menjadi mercu tanda bagi pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan di negeri ini selain meningkatkan pengunjung ke pulau Pangkor,” katanya.

Friday, 20 October 2017

Siasat KP SPRM: Pasukan khas pantau siasatan ditubuh

KERATAN video di YouTube yang disebarkan oleh pihak tertentu mendakwa seorang lelaki didakwa Dzulkifli bercuti dengan seorang wanita di Bali.

JABATAN Peguam Negara (AGC) sudah menubuhkan pasukan petugas khas Isnin lalu untuk memantau secara lebih dekat siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan lain berkaitan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tindakan itu dibuat memandangkan tuduhan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM amat serius dan boleh menjejaskan integriti beliau.

"Pada masa sama, AGC ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Sejajar dengan amalan terbaik dalam polisi pendakwaan, kami juga akan memastikan siasatan tidak akan menghalang pemberi maklumat atau saksi yang berwibawa untuk tampil bagi membantu siasatan supaya kebenaran akan terbukti.

"AGC juga akan memastikan Peguam Negara atas kapasitinya sebagai pendakwa raya seperti yang peruntukan mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan akan menjalankan budi bicaranya mengenai perkara ini, seperti dalam semua perkara lain, dengan bijak dan sesuai dengan undang-undang sama ada undang-undang prosedural atau substantif.

"AGC berpegang teguh untuk menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu dikeluarkan berikutan AGC menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan media berkaitan laporan yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pada 17 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan akan menyiasat laporan mengenai rakaman video mendakwa seorang pegawai kanan SPRM mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin sama seperti laporan polis lain.

Laporan berhubung dakwaan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 10 Oktober lalu.

Harian Metro hari ini melaporkan Dzulkifli tidak akan tunduk pada serangan peribadi terhadapnya, sebaliknya berjanji akan terus memerangi rasuah di negara ini tanpa belas kasihan dan takut.

Beliau dipetik berkata, tuduhan itu sedikit pun tidak menggoyahkan semangat semangatnya untuk bekerja.

Dzulkifli dilaporkan berkata, beliau sudah menghubungi Fuzi berhubung kes itu dan polis akan menjalankan tindakan lanjut.

Malah, katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Keruak turut menasihatinya supaya tidak tunduk terhadap taktik kotor terbabit.

Sejak tahun lalu, SPRM giat membongkar skandal rasuah di negara ini dengan yang terbaru ialah penyelewengan peruntukan projek Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan RM1.5 bilion.

SPRM dijangka membuat lebih banyak tangkapan membabitkan kehilangan RM7.5 bilion peruntukan untuk 350 projek pembangunan antara 2009 hingga 2015.

Ketika ini, aset serta akaun bank berjumlah RM170 juta milik syarikat berkaitan projek itu sudah dibekukan.

Thursday, 19 October 2017

Sembilan ‘dragon’ kawal Malaysia?

Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR - Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dra­gon’ sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah, kumpulan sembilan dragon itu mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan (gambar) mendakwa, sistem sembilan dra­gon itu telah lama di­amalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mem­punyai kuasa di dalam agensi pe­nguat kuasa di negara ini.

Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk me­nu­karkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.

“Rangkaian tersebut bermula apabila pihak berkuasa atau individu berkepentingan di negara ini duduk semeja dengan kumpulan dragon untuk meminta bantuan.

“Mereka kemudian tersepit apabila dragon mula meminta bantuan untuk melindungi kegiatan haram, tetapi perlu menurut kerana pernah menerima bantuan dahulu,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Nadzim, undang-undang yang terdapat dalam sistem dragon iaitu, pengkhianat akan ditembak mati menyebabkan pihak berkuasa terlibat tidak berani melawan dan terpaksa akur dengan permintaan kumpulan tersebut walaupun ia bercanggah dengan kedaulatan negara.

Mengulas mengenai sistem dragon berkenaan, Nadzim memberitahu, hierarki itu telah wujud sejak sekian lama, bahkan ia mempunyai hubungan dengan kumpulan lain di luar negara termasuk Hong Kong, China dan beberapa negara lain bagi menjalankan akti­viti mereka.

Ujar beliau, terdapat juga beberapa individu ternama di negara ini yang berjaya menduduki tahap tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa itu.

“Jika sebelum ini ada pendedahan mengenai individu bernama Alex, dia juga adalah anggota kepada sembilan dragon berkenaan yang memakai gelaran dragon nombor lima yang mempunyai hubungan kuat dengan orang ‘besar’ di negara ini.

“Saya difahamkan terdapat sembilan dragon utama, jika mungkin ada tambahan saya tidak pasti, tetapi kesemua mereka mempu­nyai gelaran Tan Sri dan Datuk Seri yang dibeli untuk mengaburi ke­giatan sebenar mereka,” katanya.

Mereka yang mempunyai gela­ran itu turut sinonim dengan pelbagai perniagaan di negara ini dan berjaya mengutip lebih RM5 bilion sebulan hasil daripada perjudian.

Menurutnya, wang tersebut dikumpul daripada seluruh negara dan akan diagihkan kepada syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi mencuci wang haram itu untuk mengelakkan ia mudah dikesan.

Tambahnya, dengan wang yang banyak itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan kegiatan ha­ram termasuk membayar wang perlin­dungan kepada pihak berkuasa serta siapa-siapa yang mengganggu perjalanan perniagaan mereka.

“Disebabkan sistem yang berkesan dan bantuan teknologi terkini, wang tersebut sukar untuk dilarikan oleh mana-mana pekerja ke­rana takut akan dibunuh oleh anggota sembilan dragon tersebut,” jelasnya.

Friday, 13 October 2017

Tunku Ismail guris hati peminat

Tunku Ismail (dua dari kiri) menghadiri dialog bersama penyokong JDT di JDT Cafe, Dataran Bandaraya Johor Bahru malam kelmarin.

KUALA LUMPUR – Para peminat bola sepak tanah air terguris dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang secara sinis menganggap skuad bola sepak kebangsaan sebagai ‘bukan pasukan negaranya’.

Menurut mereka, sebagai Presiden FAM yang dipilih oleh ahli-ahli gabungan persatuan bola sepak di Malaysia, Tunku Ismail perlu mempertahankan dan membangunkan mutu bola sepak negara selain tidak menganggap diri baginda tiada kaitan dengan sukan tersebut yang mengalami kemerosotan besar sejak awal tahun ini.

Pada sesi soal jawab bersama wakil-wakil media di JDT Cafe, Johor Bahru malam kelmarin, baginda bertitah: “Pasukan negara anda semua, not my negara (bukan negara saya). I’m from Johor, you know (Saya berasal dari Johor, anda tahu).”

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, titah Tunku Ismail itu mengguris hati peminat sukan tempatan kerana baginda dipilih menjadi Presiden FAM ke­rana diyakini mengetahui formula untuk memperkasakan bola sepak tanah air.

Menurutnya, beliau menganggap titah Tunku Ismail itu di luar jangkaan penyokong-penyokong bola sepak negara, ditambah dengan kenyataan baginda bahawa jawatan sebagai Presiden FAM merupakan kerja sambilan sahaja.

Friday, 22 September 2017

Presiden Filipina sedia bunuh anak jika terlibat dadah

Paolo Du­terte.

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau bersedia membunuh anak lelakinya sendiri jika benar dakwaan terhadap ahli politik muda itu yang dikatakan terlibat dalam pengedaran dadah.

Duterte turut menegaskan bahawa, anggota polis yang membunuh anaknya juga akan dilindungi daripada sebarang pendakwaan.

Bulan ini, seorang Ahli Parlimen pembangkang mendakwa Paolo Du­terte, 42, terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dadah China. Bagaima­napun dakwaan itu dinafikan selepas satu siasatan Senat dilakukan.

Paolo didakwa cuba membantu menyeludup penghantaran sejumlah besar dadah jenis kristal methamphetamine dari China.

Biarpun, Duterte tidak merujuk kepada sebarang dakwaan secara khusus, namun mengulangi kenya­taan yang dibuat dalam kempen pilihan raya umum pada tahun lalu bahawa tiada seorang anaknya terlibat dalam dadah.

“Saya pernah memberi arahan sebelum ini: ‘Jika anak saya terlibat dalam dadah, bunuh mereka’, jadi orang ramai tidak akan menuduh sembarangan.

“Jadi, saya memberitahu kepada Pulong (nama panggilan Paolo): Pesanan saya adalah untuk membunuh kamu jika kamu ditangkap. Malah, saya akan melindungi polis yang membunuh kamu sekiranya dakwaan itu benar,” katanya dalam satu ucapan kelmarin.

Dalam sesi pendengaran Senat pada bulan ini, seorang anggota parti pembangkang berkata, Paolo yang merupakan Timbalan Datuk Bandar Davao bersama menantu lelaki Duterte dikatakan terlibat dalam sindiket jenayah yang dikenali sebagai Kumpulan Davao.

Sebaliknya, kedua-dua individu itu menafikan me­lakukan sebarang salah laku. – AFP 

Tuesday, 19 September 2017

Harussani bimbang perpecahan Melayu terlalu parah

Tan Sri Harussani Zakaria.

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa sedih melihat orang Melayu yang berpegang pada agama Islam tetapi berusaha menjatuhkan bangsa sesama sendiri.

Menyifatkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sebagai terlampau parah, beliau berharap penyatuan dalam kalangan bangsa kembali bertaut dengan berpaksikan kepada agama Islam.

“Jika kita baca pendapat-pendapat sarjana dunia yang mengkaji mengenai hal ehwal manusia dan undang-undang, semuanya mengatakan Islam itulah yang paling baik. Namun, manusia ini dia sombong, walaupun mengakuinya, tetapi dia tidak melakukannya.

“Kita tengok orang India dan Cina, mereka juga berselisih dari segi politik, tetapi tidak dari segi bangsa. Namun, orang Melayu ini susah, sedikit sahaja perselisihan pendapat, mereka tidak bertegur.

“Padahal kata nabi, perbezaan pendapat itu merupakan satu rahmat kerana ia membuka kepada pemikiran supaya kita lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Ke-200 di Pusat Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Tuesday, 12 September 2017

Dalai Lama kata Buddha akan bantu Rohingya

DALAI LAMA beramah mesra bersama pimpinan Islam dari Turtuk di Disket, India.

NEW DELHI – Pemimpin kerohanian, Dalai Lama berkata bahawa Buddha sendiri akan membantu etnik Islam Rohingya meninggalkan keganasan di Myanmar yang majoriti rakyatnya beragama Buddha.

“Mereka (penganut Buddha) yang mengganggu orang Islam, mereka harus ingat akan Buddha,” kata Dalai Lama kepada pemberita ketika ditanya mengenai krisis di negeri Rakhine pada petang Jumaat lalu.

“Beliau pastinya akan memberi bantuan kepada orang Islam yang miskin itu. Saya berasa begitu. Sangat sedih,” katanya.

Pemimpin tertinggi Buddha itu merupakan pemenang anugerah Nobel Keamanan terbaharu yang menentang keganasan tersebut.

Baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tentera Myanmar dipercayai membunuh lebih 1,000 orang di Rakhine, kebanyakannya, penduduk Islam Rohingya.

Majoriti penduduk Myanmar adalah penganut Buddha. Mereka membenci masyarakat Rohingya yang dinafikan kerakyatan dan dilabelkan sebagai pendatang tanpa izin Bengali.

Beratus-ratus ribu penduduk Rohingya tiba di Bangladesh sejak beberapa minggu lalu selepas keganasan tercetus di negeri Rakhine.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pula dikecam kerana enggan campur tangan untuk membantu masyarakat Rohingya termasuk oleh pemenang anugerah Nobel, Malala Yousafzai dan Desmond Tutu.

“Jika menutup mulut adalah harga untuk kamu terus berkuasa di Myanmar, harga itu terlalu mahal,” kata Tutu dalam satu kenyataan pada minggu lalu.– AFP

Monday, 11 September 2017

Sultan Kedah mangkat



SULTAN Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar, 2:30 petang tadi.

Pengumuman rasmi mengenai kemangkatan baginda akan dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media khas di Wisma Darul Aman, 6 petang ini.

Almarhum yang berusia 89 diputerakan 28 November 1927 adalah Sultan Kedah ke-27 dan mewarisi takhta Kedah pada Julai 1958 daripada ayahandanya dan ditabalkan pada Februari 1959.

Almarhum meninggalkan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan tiga puteri, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz serta kembar, Tunku Soraya dan Tunku Sarina.