Showing posts with label Tax. Show all posts
Showing posts with label Tax. Show all posts

Friday, 27 October 2017

Pangkor udoh bebas cukai yeop!

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini.

Beliau berkata, walaupun pengecualian cukai itu tidak termasuk barangan seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor namun ia tetap satu rahmat buat masyarakat di negeri ini khususnya pulau peranginan berkenaan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengisytiharan itu yang menunjukkan keprihatinan beliau dengan apa yang disuarakan pemimpin di peringkat negeri.

"Perincian produk berkaitan yang akan diketengahkan di pulau itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan dijangka dimulakan awal tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, walaupun rokok, minuman keras dan kenderaan tidak dikecualikan cukai namun potensi lain masih boleh diketengahkan di pulau peranginan itu.

"Dalam konteks bebas cukai tidak semestinya hanya dalam dua atau tiga item sahaja. Ada item lain seperti aksesori, pakaian, coklat, pinggan mangkuk atau barangan lain yang boleh dilihat semula," katanya selepas program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Manjung hari ini.

Zambry turut menyifatkan ia sebagai satu pengumuman bersejarah bagi rakyat negeri ini dan membuktikan janji manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sudah dikotakan oleh Perdana Menteri.

"Ini menjadi mercu tanda bagi pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan di negeri ini selain meningkatkan pengunjung ke pulau Pangkor,” katanya.

Wednesday, 25 October 2017

GST bukan untuk bayar 1MDB

PERANCANGAN ekonomi kerajaan telah membolehkan GST Malaysia dilaksanakan hanya pada kadar enam peratus.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal dakwaan yang menyatakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperlukan bagi membayar untuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Perdana Menteri menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan besar menerusi kenyataannya bertajuk Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia yang dikeluarkan semalam.

Najib berkata, 1MDB sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

“Apabila 1MDB memasuki industri itu, ia adalah pembida terendah dalam semua perjanjiannya dengan itu menjimatkan Malaysia sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang. Malah, satu laporan firma penyelidikan mengenai perjanjian kuasa yang disemak semula ini diberi tajuk Tiada Lagi Perjanjian Pilih Kasih,” kata beliau.