Showing posts with label Development. Show all posts
Showing posts with label Development. Show all posts

Tuesday, 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Tuesday, 1 November 2016

China bina, biayai projek ECRL di Malaysia

Laluan ECRL.

BEIJING: Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km) menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) akan dibina dan dibiayai oleh China. 

Kontrak pembinaan dianugerahkan kepada syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala perjanjian kewangan akan dibuat dengan Export-Import Bank of China (EXIM). 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Malaysia mendapat pinjaman kewangan kompetitif dari China yang jauh lebih rendah berbanding pasaran antarabangsa. 

"Projek ini mempunyai pelbagai kesan positif. Bandar kecil seperti Mentakab, Dungun dan Tumpat di sepanjang laluan akan mendapat faedah dari segi pembangunan," katanya kepada media selepas menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak di Hotel China World di sini, hari ini. 

Mohd Irwan berkata, butiran kontrak dan rangka kerja pinjaman akan ditandatangani pada lawatan Perdana Menteri ke China ini. Katanya, pembinaan landasan itu akan memudahkan pelbagai produk keluaran pantai timur dibawa ke pantai barat, terutama Pelabuhan Klang. 

"Ini akan menjadikan pasaran lebih kompetitif kerana kos pengangkutan rendah, selain menaikkan taraf hidup penduduk," katanya. Mohd Irwan berkata, projek berimpak tinggi itu boleh dimulakan tahun depan jika semua urusan berkaitan selesai hujung tahun ini.

Wednesday, 5 October 2016

Malaysia ketinggalan dalam pembangunan nuklear

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar
PUTRAJAYA: Kurang keyakinan dan persepsi rendah rakyat negara ini mengenai isu nuklear menjadi cabaran utama kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) bagi menzahirkan hasrat membangunkan loji nuklear menjelang 2030. 

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar, berkata mengikut Laporan Transformasi Ekonomi (ETP) 2010, Malaysia dijangka mempunyai loji nuklear pertama pada 2021, namun ia terpaksa dianjak berikutan tragedi kebocoran di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima, Jepun selepas dilanda tsunami pada 2011. 

"Selepas kejadian terbabit rakyat di negara ini turut diselubungi kebimbangan, malah banyak isu negatif berkaitan tenaga nuklear dibangkitkan, walhal ada banyak kebaikan jika negara ini mempunyai loji nuklear. 

"Banyak negara sudah memiliki loji nuklear sendiri contohnya Bangladesh, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran. "Malah, Iran kini merancang untuk menambah dua lagi loji nuklear," katanya ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama media sempena 'Sesi Pembukaan Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia', di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Program Pembangunan Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ketua Penyelarasan Kawal Selia Nuklear MNPC, Azlina Mohammad Jais. Mohd Zamzam berkata, sesi pembukaan 'INIR IAEA Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia' itu akan diadakan di Hotel Marriott di sini, yang dijangka dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan disertai beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nuklear. 

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan selama seminggu bermula Isnin ini, pakar berkenaan akan mengkaji semula apa yang sudah dilakukan negara ini dalam aspek pembangunan kuasa nuklear. "Kita sudah hampir dengan pembangunan kuasa nuklear ini, namun ada beberapa kekangan yang dihadapi. Antaranya, MNPC tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk membina loji nuklear berkenaan. 

"Seperti yang sedia maklum, isu penempatan adalah sangat sensitif bagi rakyat di negara ini. Lihat sahaja bagaimana rakyat membantah berhubung isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang," katanya.

Saturday, 17 September 2016

Harga rumah akan melonjak

KERAJAAN diminta mengawal harga rumah yang terlalu tinggi sebelum membenarkan pemaju memberi pinjaman kepada pembeli.
KUANTAN – Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan kerajaan agar pemaju perumahan diberikan lesen pinjaman pembiayaan hartanah.

Presidennya, Salkukhairi Abd. Sukor menyifatkan langkah berkenaan akan mengakibatkan kadar hutang isi rumah meningkat selain membantutkan usaha kerajaan untuk mengawal harga rumah.

Jelasnya, langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah pinjaman perumahan adalah mewujudkan skim tabungan perumahan untuk golongan belia.

“Dilaporkan sebanyak 18,457 kes bankrap direkodkan pada tahun 2015.

“Justeru, jika pemaju perumahan dibenarkan memberi pinjaman, tidak mustahil kadar kebankrapan akan terus meningkat kerana kadar faedah yang dikenakan adalah amat tinggi dan harga rumah juga semakin melambung naik,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Thursday, 4 August 2016

Menara tinjau tertinggi di dunia dibuka hari ini

IMEJ menara pemerhatian Airways i360 di Brighton, selatan England yang dirakam kelmarin.
LONDON – Menara tinjau bergerak tertinggi di dunia, i360 yang dibina di bandar pelancongan tepi pantai Brighton, England dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.

Menara besi setinggi 162 meter itu dilingkari dek pemerhati kaca berbentuk donat yang boleh menggelongsor turun dan naik

Mercu tanda terbaru itu diharap dapat meningkatkan sektor pelancongan Brighton yang menampilkan banyak bangunan lama dari tahun 1700-an dan 1800-an.


Direka oleh David Marks dan Julia Barfield, i360 merupakan sekuel kepada projek roda tinjau mereka, London Eye yang menjadi antara tarikan pelancongan paling popular di ibu kota Britain itu selepas pembukaannya pada 2000.

Pencakar langit di Brighton itu mengambil masa 13 tahun untuk disiapkan.

“Idea utama seperti juga dengan London Eye, ialah menggunakan pergerakan perlahan untuk mencapai ketinggian dan pemandangan yang menakjubkan,” kata Barfield.

I360 juga merupakan menara tinggi paling kurus dalam rekod dunia Guinness World Records.

Kos pembinaan menara i360 berjumlah AS$61 juta (RM247.4 juta) tetapi modal itu boleh didapatkan semula selagi struktur itu dapat menarik separuh daripada anggaran 700,000 pelawat setahun.

Pelawat boleh melihat panorama sejauh 42 kilometer melintasi Selat Inggeris dari puncak menara tersebut. – AFP

Wednesday, 29 June 2016

Putrajaya akan miliki jambatan glulam terpanjang

PUTRAJAYA 28 Jun - Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menggerakkan projek pembinaan jambatan pejalan kaki glulam (glued-laminated timber) terpanjang di negara ini bermula bulan depan.
Dr. Abdul Rahim Nik

Jambatan bernilai RM3 juta yang dibiayai MTC itu akan menghubungkan Presint 1 dan Presint 16, di sini.

Dengan jarak 47 meter dan keluasan tiga meter, jambatan yang akan diperbuat daripada spesies kayu tempatan itu dijadualkan siap pembinaannya pada Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik berkata, selain membiayai kos pembinaan jambatan tersebut, pihaknya turut membiayai kos pencahayaan dan landskap.

Katanya, glulam merupakan produk kayu berkekuatan tinggi yang terdiri daripada lapisan-lapisan kayu yang dilekatkan bersama bahan pelekat yang tahan lama serta kalis cecair.

“Teknologi melibatkan glulam membolehkan kayu-kayu besar diubah dan dibengkok kepada pelbagai saiz dan bentuk.

“Projek ini akan memperkasakan usaha MTC dalam menggalak serta mempromosikan penggunaan kayu dan juga berkongsi teknologi kejuruteraan kayu dalam kalangan pembina di samping mewujudkan kerjasama dengan PPj,” katanya.

Abdul Rahim berkata demikian selepas beliau dan Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung projek berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasim berkata, PPj akan mengkaji penggunaan sistem pencahayaan khas dalam usaha menyerlahkan kecantikan jambatan berkenaan selain menjaga habitat burung di kawasan sekitar.

“Saya teruja dengan kerjasama dengan pihak MTC ini. Jambatan pejalan kaki ini akan memanfaatkan penduduk sekitar. Ia memendekkan jarak perjalanan,” katanya.

Syarikat myGlam Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai kontraktor utama bagi projek pembinaan tersebut. - UTUSAN

Friday, 3 June 2016

Bilionair China bina taman tema terbesar dunia


NANCHANG, China – Lelaki terkaya China, Wang Jianlin (gambar kecil) membuka sebuah taman tema berharga £2.05 bilion (RM12.28 bilion) yang dikenali sebagai Wanda City di sini baru-baru ini.

Wanda City yang didirikan di atas tanah seluas 80 hektar itu mempunyai akuarium terbesar dunia dan permainan roller-coaster terpantas, terpanjang serta terbesar di China.

Taman itu juga dilengkapi taman hiburan luar, taman tema dalaman, pusat beli-belah termasuk panggung wayang, 50 buah restoran dan sembilan hotel. Seramai 10 juta pengunjung dijangka melawat taman tema itu tahun ini. – Agensi
Taman tema Wanda City dibangunkan di atas tanah seluas 80 hektar di China menelan kos pembangunan sebanyak RM12.28 bilion. 

Sunday, 22 May 2016

Edra bina loji tenaga solar RM400j di Kedah

PRESIDEN dan Pengarah Eksekutif Edra, Datuk Mark Ling. 

KUALA LUMPUR: Pelaburan terbesar di Kedah bakal menjadi kenyataan dengan loji tenaga solar bernilai RM400 juta oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd. 

Loji yang terletak di Kuala Ketil itu akan menjadikan tanah pertanian sebelum ini kepada tapak perindustrian dan menyokong taman perindustrian yang terdapat di Kulim, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling. 

"Kepentingan mempunyai loji solar di Kedah adalah ia dapat menempatkan ladang panel solar 50MWAC yang pertama dan akan menjadi terbesar di Malaysia," katanya kepada Bernama. 

Edra, diambil alih oleh General Nuclear Power Corp, China dengan nilai RM9.83 bilion baru-baru ini -- pelaburan asing tunggal terbesar di Malaysia -- gembira untuk berkongsi pengalaman luas kumpulan itu di Malaysia seperti dalam skim tenaga boleh diperbaharui yang besar, katanya. 

"Loji tenaga solar itu juga untuk memenuhi dasar campuran bahan api kerajaan, iaitu perlu ada campuran arang batu dan gas dan mungkin hidro sejajar dengan usaha untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon," katanya. Ling menyifatkan solar, tenaga boleh diperbaharui, sebagai program tenaga boleh diperbaharui yang paling sesuai di negara ini. 

Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah menyediakan semua garis panduan dan proses untuk membida campuran tenaga boleh diperbaharui yang akan dilaksanakan, tenaga boleh diperbaharui yang berterusan setiap tahun, setengah tahun berdasarkan segmen berlainan negara untuk dilaksanakan dan tanah menjadi faktor penting. 

Ling berkata, Kedah yang mempunyai banyak tanah rata di tempat yang sesuai terbukti menjadi lokasi untuk loji solar berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu yang lebih berbukit. "Kestabilan tanah amat penting. Oleh itu, Kedah dan Perlis adalah pilihan pertama," katanya. 

Beliau memuji kerajaan negeri Kedah atas sokongan yang amat menggalakkan kepada program Edra terutamanya dari segi penukaran tanah seluas 200 ekar (80 hektar) untuk projek itu. Kewujudan loji itu juga dijangka memberi rangsangan yang besar kepada tahap perindustrian negeri selain kenyataan tenaga hijau Suruhanjaya Tenaga dan program hijau Malaysia. 

Ling berkata, loji itu juga akan meningkatkan pembangunan tempatan di kawasan tersebut untuk masyarakat seperti menyediakan peluang pekerjaan dan kesan limpahan yang lain. "Ia juga akhirnya akan menjadikan banyak tanah pertanian di negeri itu kepada tanah perindustrian. 

Selain daripada pelaburan pembangunan tanah, juga ternyata penduduk berpindah untuk menetap di Kedah kerana akan terdapat perniagaan diwujudkan daripada peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA

Wednesday, 18 May 2016

Malaysia mahu cipta kereta api sendiri 10 tahun lagi

Abdul Aziz Kaprawi
BATU GAJAH - Kerajaan berhasrat untuk mencipta dan membangunkan kereta api sendiri dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kerajaan enggan secara berterusan bergantung kepada sumber luar dalam membangunkan industri kereta api negara.

Katanya matlamat Malaysia itu tidak mustahil untuk dicapai kerana negara telah berjaya membangunkan sistem rel dengan pesatnya seperti Projek Transit Aliran­ Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

"Kalau dalam bidang automobil, kita boleh cipta kereta nasional, kenapa pula kita tidak boleh membangunkan kereta api nasional," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 133 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) diraikan selepas menamatkan latihan dalam bidang pengkeretapian.    

Menurut Ab Aziz beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama agensi berkaitan seperti KTMB dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk merealisasikan hasrat negara membangunkan kereta api sendiri.

"Langkah ini merupakan titik tolak kepada usaha merakyatkan dan membangunkan industri kereta api di negara ini.  Kita mahu membangunkan keupayaan kita sendiri dan kita mahu rakyat negara Malaysia memanfaatkan industri rel ini," katanya.

Selain itu, Ab Aziz berkata kerajaan bercadang membina sebuah landasan kereta api bawah laut bagi menghubungkan Malaysia dan Indonesia.

Katanya kereta api bawah laut itu sama seperti Channel Tunnel yang menghubungkan United Kingdom dengan Perancis, namun ia masih dalam peringkat perbincangan.

Mengenai insiden dua tren KTMB yang terbabit dalam kemalangan selepas bergesel di Kilometer 322, Kuala Kubu Baharu pada 7 Mei lepas, Ab Aziz berkata siasatan masih belum selesai. – Bernama

Saturday, 16 April 2016

Menara kayu 80 tingkat dirancang di London

LUKISAN pereka menunjukkan bangunan pencakar langit yang akan dibuat daripada kayu.
London: Sepasukan arkitek terkenal mendedahkan rancangan membina bangunan pencakar langit pertama yang dibuat daripada kayu.

Pasukan dari Universiti Cambridge itu mahu membina bangunan setinggi 305 meter berkenaan di tebing Barbican di sini dan berharap ia boleh menempatkan 1,000 rumah di 80 tingkat menara itu.

Menara Oakwood itu akan menggunakan rangka kayu seluruhnya. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada Datuk Bandar London Boris Johnson. Sekiranya diterima, ia akan menjadi bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard - dan struktur kayu tertinggi di dunia.

Pengarah Pusat Inovasi Bahan Asli Cambridge, Michael Romage berkata: “Menara itu sudah pasti akan menjadi daya tarikan kerana keunikannya.”

Menara kayu tertinggi di dunia ketika ini ialah apartmen 14 tingkat di Bergen, Norway. Beberapa lagi bangunan seumpama itu dirancang dibina di Perancis dan Sweden.

Bulan lalu, arkitek Perancis, Jean Paul Viguier mengumumkan cadangan untuk membina tiga menara kayu di Bordeaux sementara syarikat arkitek Sweden Tham & Videgrd berkata, ia sudah merangka rancangan membina beberapa apartmen kayu di Stockholm.

Bercakap mengenai rancangan membina bagunan pencakar kayu di London, seorang arkitek terkenal, Kevin Flanagan berkata: “Penggunaan kayu akan mengubah cara kita membina bangunan di bandar raya ini. Bangunan kayu berpotensi mewujudkan suasana santai dan kreatif di kawasan bandar.” 
- Agensi