Showing posts with label Resource. Show all posts
Showing posts with label Resource. Show all posts

Tuesday, 8 November 2016

Hampir 150 doktor pakar letak jawatan setiap tahun

Daripada Januari hingga September tahun ini, 128 doktor pakar telah meletakkan jawatan, manakala 124 orang mengambil langkah yang sama tahun lepas.
KUALA LUMPUR - Hampir 150 doktor pakar yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan jawatan setiap tahun sejak enam tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, daripada Januari hingga September tahun ini, 128 doktor pakar telah meletakkan jawatan, manakala 124 orang mengambil langkah yang sama tahun lepas.

"Unjuran sejak enam tahun lepas masalah doktor pakar yang meletakkan jawatan adalah hampir 150 orang setahun, kita terus kehilangan mereka menyebabkan antara faktor kurangnya doktor pakar," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ikmal Hisham ingin tahu keseriusan masalah kekurangan doktor pakar di negara ini dan sama ada Malaysia mampu mencapai sasaran nisbah satu doktor kepada 400 pesakit menjelang 2020.

Hilmi berkata, antara penyebab doktor pakar meletakkan jawatan ialah mereka menunggu terlalu lama untuk dinaikkan pangkat.

Katanya, doktor pakar gred U53 dan U54 didapati paling ramai meletakkan jawatan apabila terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk dinaikkan pangkat.

"Sehubungan itu kita sedang melakukan pelbagai langkah untuk memastikan mereka kekal dengan memperkenalkan satu lapis gred iaitu Gred 56 yang masih lagi dalam perincian Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Selain itu katanya, faktor pendapatan pakar di hospital kerajaan yang lebih rendah berbanding hospital swasta juga antara perkara yang diberi perhatian oleh kerajaan iaitu dengan memperluaskan polisi 'Pesakit Bayar Penuh' di hospital KKM untuk membantu pakar menambah pendapatan mereka.

Beliau turut memaklumkan, sehingga September tahun ini terdapat lebih 4,000 doktor pakar berkhidmat dengan KKM dalam pelbagai bidang kepakaran.

"Walaupun terdapat peningkatan bilangan doktor pakar saban tahun, namun kita kekurangan doktor pakar selaras peningkatan penduduk, beban penyakit dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

Friday, 28 October 2016

Campak kotak rokok berisi duit

Bekalan minyak masak didapati masih berkurangan di kebanyakan pasar raya di seluruh negara.
KUALA LUMPUR - Campak kotak rokok berisi duit dan jalan.

Hanya itu yang dipercayai perlu dilakukan penyeludup minyak masak bersubsidi untuk ‘melepasi’ pemeriksaan pihak berkuasa di Wang Kelian, Perlis.

Dikatakan hampir setiap hari antara lima hingga sepuluh kenderaan pikap yang membawa ratusan peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram dan dua kilogram lepas masuk ke negara jiran akibat kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Menurut sumber, kegiatan yang dilakukan secara bersindiket itu didalangi pemborong minyak masak bersubsidi dan diatur oleh orang tengah yang merupakan anggota sindiket di negara ini.

Ujarnya, mereka akan membawa minyak yang dipeketkan dari kilang di Perlis menggunakan lori menuju ke arked niaga Wang Kelian.

“Sebelum tiba di kawasan arked mereka akan melalui satu pos pemeriksaan dan dilepaskan selepas mencampakkan kotak rokok berisi wang kepada pe­nguat kuasa bertugas di situ.

“Bagaimanapun jumlah wang dan waktu kegiatan itu dilakukan tidak dapat dipastikan kerana berubah setiap hari mengikut per­mintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber memberitahu, selepas melepasi pos pemeriksaan dan tiba di arked niaga Wang Kelian, kesemua minyak masak peket tersebut akan dipindahkan ke dalam antara lima hingga sepuluh kenderaan pikap yang dipandu sekumpulan ahli sindiket dari Thailand.

Katanya, bagi mengaburi pihak berkuasa kesemua minyak masak akan ditimbus dengan barangan lain seperti bawang.

“Mereka kemudian akan me­mandu pikap dan selepas me­nge­cop pasport di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) mereka akan masuk ke Thailand bersama ratusan kilogram mi­nyak masak berkenaan untuk diserahkan kepada ketua sindiket sebelum dijual mengikut permintaan,” katanya.

Harga sepeket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram (1kg) dan dua kilogram (2kg) di negara ini masing-masing dijual dengan harga RM2.50 dan RM6 hingga RM7.20 (mengikut jenis) manakala sindiket dipercayai akan menjualnya dua kali ganda di negara jiran dengan harga RM4 (1kg) dan RM10 (2kg).

Akhbar sebelum ini melaporkan kekurangan bekalan minyak masak didapati berlaku di keba­nyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna serta peniaga makanan.

Berikutan itu, minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia yang sememangnya diakui berkualiti dikatakan telah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan selatan negara jiran seperti wi­layah Narathiwat dan Pattani.

Permintaan tinggi terhadap minyak masak itu membawa kepada berlakunya aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ter­sebut ke negara jiran.

Aktiviti membawa keluar barangan tersebut didalangi oleh rakyat Malaysia sendiri yang mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan kerugian dialami kerajaan akibat kegiatan seumpama itu.

Wednesday, 5 October 2016

Malaysia ketinggalan dalam pembangunan nuklear

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar
PUTRAJAYA: Kurang keyakinan dan persepsi rendah rakyat negara ini mengenai isu nuklear menjadi cabaran utama kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) bagi menzahirkan hasrat membangunkan loji nuklear menjelang 2030. 

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar, berkata mengikut Laporan Transformasi Ekonomi (ETP) 2010, Malaysia dijangka mempunyai loji nuklear pertama pada 2021, namun ia terpaksa dianjak berikutan tragedi kebocoran di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima, Jepun selepas dilanda tsunami pada 2011. 

"Selepas kejadian terbabit rakyat di negara ini turut diselubungi kebimbangan, malah banyak isu negatif berkaitan tenaga nuklear dibangkitkan, walhal ada banyak kebaikan jika negara ini mempunyai loji nuklear. 

"Banyak negara sudah memiliki loji nuklear sendiri contohnya Bangladesh, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran. "Malah, Iran kini merancang untuk menambah dua lagi loji nuklear," katanya ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama media sempena 'Sesi Pembukaan Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia', di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Program Pembangunan Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ketua Penyelarasan Kawal Selia Nuklear MNPC, Azlina Mohammad Jais. Mohd Zamzam berkata, sesi pembukaan 'INIR IAEA Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia' itu akan diadakan di Hotel Marriott di sini, yang dijangka dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan disertai beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nuklear. 

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan selama seminggu bermula Isnin ini, pakar berkenaan akan mengkaji semula apa yang sudah dilakukan negara ini dalam aspek pembangunan kuasa nuklear. "Kita sudah hampir dengan pembangunan kuasa nuklear ini, namun ada beberapa kekangan yang dihadapi. Antaranya, MNPC tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk membina loji nuklear berkenaan. 

"Seperti yang sedia maklum, isu penempatan adalah sangat sensitif bagi rakyat di negara ini. Lihat sahaja bagaimana rakyat membantah berhubung isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang," katanya.