Showing posts with label Religion. Show all posts
Showing posts with label Religion. Show all posts

Friday, 5 October 2018

Duit gaji cepat habis


SAYA selalu kesempitan wang. Walaupun bekerja, duit habis kerana membayar hutang rumah, kereta dan pelbagai komitmen dalam masa singkat. Kadang-kadang majikan lewat membayar gaji menyebabkan saya mengalami kesukaran. Saya mohon petua, apakah ada amalan menarik rezeki dan bagaimana boleh menjadikan doa seseorang itu mudah diterima Allah SWT?

Shahrin, Johor

PETUA yang saya boleh berikan adalah memperbanyakkan istighfar. Jadikan istighfar sebagai pembuka pintu rezeki kerana ia jaminan daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Nuh, ayat 10 hingga 12 yang bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”

Mengapa Nabi Nuh meminta kaumnya beristighfar? Jawapannya, kerana kaumnya ketika itu banyak melakukan maksiat dan kafir terhadap Allah sehingga menyebabkan Allah tidak menurunkan mereka hujan dalam jangka masa yang panjang.

Bahkan, kemarau teruk melanda kaumnya menyebabkan wanita menjadi mandul. Disebabkan itu, mereka pergi kepada Nabi Nuh untuk meminta nasihat apa yang patut mereka lakukan.

Nabi Nuh akhirnya memberikan nasihat supaya mereka beristighfar kepada Allah SWT daripada dosa maksiat, syirik dan kekafiran mereka.

Al-Quran juga menyarankan ketika kita merasakan pintu rezeki seakan tertutup supaya menghadapinya dengan berusaha membuka pintu rezeki dengan istighfar kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 3 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu (daripada perbuatan syirik) dan bertaubat kepada-Nya (Jika kamu mengerjakan demikian), nescaya Dia akan memberi nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) kepadamu sampai waktu yang ditentukan dan (di akhirat pula) Dia akan memberikan kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal soleh) akan pahala kelebihan itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru haranya).”

Kisah Imam Ahmad boleh dijadikan pendorong. Diceritakan, pada akhir hayatnya, beliau tiba-tiba teringin untuk ke salah satu kota Baghdad, pada hal beliau tidak ada sebarang hajat dan keperluan untuk ke sana.

Beliau bergerak ke kota Baghdad sehinggalah sempat solat Isyak berjemaah di salah sebuah masjid di sana. Pada malam itu, beliau membuat keputusan untuk berehat dan tidur di masjid berkenaan.

Tiba-tiba siak masjid datang dan tidak mengizinkan Imam Ahmad tidur di dalam masjid. Siak masjid itu tidak mengenali wajah Imam Ahmad walaupun beliau ulama terkenal.

Beliau disuruh keluar lalu siak mengunci pintu masjid. Kemudian Imam Ahmad mengambil keputusan untuk berbaring di tepi masjid. Tiba-tiba datang lagi siak masjid tadi menghalau Imam Ahmad dalam keadaan marah-marah.

Beliau ditolak-tolak sehingga ke jalanan. Peristiwa itu disaksikan seorang penjual roti yang sedang membuat adunan. Penjual roti itu tinggal bersebelahan dengan masjid.

Dia pun memanggil Imam Ahmad dan mengajak menginap di rumahnya. Imam Ahmad duduk di belakang penjual roti itu dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai musafir.

Penjual roti itu tidak berkata apa-apa sekiranya Imam Ahmad tidak bertanya. Dia hanya meneruskan kerjanya membuat adunan roti. Tetapi Imam Ahmad memperhatikan penjual roti itu lidahnya sentiasa menyebut “Astaghfirullah” sama ada ketika meletakkan garam, memecahkan roti, mencampurkan gandum dan sebagainya.

Imam Ahmad bertanya: “Sudah berapa lama kamu membuat sebegini?” Penjual roti itu menjawab: “Sudah 30 tahun iaitu sejak saya mula-mula bekerja membuat roti.”

Imam Ahmad bertanya: “Apa hasilnya daripada perbuatan kamu ini?” Penjual roti itu menjawab: “Tidak ada hajat yang saya minta melainkan Allah SWT pasti memakbulkannya.”

Lalu penjual roti itu berkata: “Cuma satu hajat yang aku pohon belum dikabulkan.” Imam Ahmad bertanya: “Apakah hajat yang kamu pohon itu?”

Penjual roti itu menjawab: “Saya memohon supaya Allah mempertemukan saya dengan Imam Ahmad.”

Imam Ahmad bertakbir dan berkata: “Allahuakbar, Allah datangkan saya jauh dari Baghdad pergi ke Bashrah, bahkan sampai ditolak-tolak oleh tukang siak masjid hingga ke jalanan kerana istighfarmu.”

Penjual roti itu terkejut dan memuji Allah apabila dia mengetahui di hadapannya ialah Imam Ahmad. Begitulah besarnya kelebihan istighfar.

*Penulis ialah pendakwah

Monday, 11 December 2017

Melayu akan bebaskan Baitulmaqdis - Sheikh Nawaf

PENGERUSI Kesatuan Ulama Palestin Luar Negara, Sheikh Dr Nawaf Takruri ketika membentangkan Topik " Kesan Balfour & Realiti Masa Kini" pada Forum Antarabangsa MyAQSA 100 Tahun Musibah Balfour di Masjid Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR: Saya percaya bangsa Melayu akan membebaskan Masjid Al Aqsa. Perkara ini akan berlaku, Insya Allah," kata Presiden Kesatuan Ulama Luar Negara Palestin, Sheikh Dr Nawaf Takruri.

Sheikh Nawaf berkata, Malaysia sentiasa berada di belakang Palestin memperjuangkan kebebasan dan hak umat Islam tanpa kompromi.

Katanya, beliau yakin Malaysia akan mara sebagai mujahidin (pejuang) bersama bala tentera untuk memperjuangkan nasib Baitulmaqdis yang diiktiraf Presiden Amerika Syarikat sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah itu.

"Seperti mana pejuang Salahuddin Al Ayubi, dia bawa bala tenteranya disertai orang bukan Arab untuk membebaskan Baitulmaqdis.

"Di bawah pimpinan Sultan Abdul Hamid, Turki menaungi Masjid Al Aqsa. Insya Allah, akan berlaku bangsa Melayu membebaskan Masjid Al Aqsa," katanya.

Beliau menjawab soalan mengenai saluran untuk berjihad ketika menjadi panel Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Panel lain ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin At-Takiri, dan Ketua Unit Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, Salahudin Datuk Hidayat Shariff.

Sesi berkenaan dihoskan Felo MyAqsa, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa.

Ketika ditanya hubungan politik Amerika Syarikat dengan negara-negara Arab, Sheikh Nawaf berkata Malaysia perlu berpegang teguh kepada pendirian membebaskan Baitulmaqdis dan mengutamakan masa depan Islam walau berdepan pelbagai cabaran.

"Pemimpin Arab hari ini lebih menjaga kepentingan dan kedudukan masing-masing, bukannya kemaslahatan dan kesucian umat Islam," katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata rakyat Malaysia perlu menyatakan solidariti membebaskan Baitulmaqdis melalui doa, bantuan kewangan dalam pelbagai cara termasuk ketenteraan dan ekonomi sehingga musibah itu berakhir.

"Kita tidak ajak rakyat kita ke Palestin tetapi wajib buat dengan doa, bantuan kewangan dan prihatin dalam isu ini. Kalau orang protes, orang bising, kita tidak ambil perhatian, maksudnya kita tidak prihatin nasib saudara kita.

"Bangkit bermusim sudah jadi adat rakyat kita, tetapi kesedaran kena sentiasa ada. Waktu sedar kita kena bangkit berpanjangan, bukan bangkit sehari diam setahun. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta bangkitkan isu ini sehingga berakhir," katanya.

Sementara itu, Salahudin mahu Malaysia menggunakan pentas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mencabar Perjanjian Balfour yang dilihat sebagai retorik politik kuasa-kuasa besar.

"Sampai sekarang Malaysia, satu-satunya negara yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Jadi cara terbaik adalah OIC mencabar Perjanjian Balfour di mahkamah antarabangsa atau negara Islam bergabung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perjuangkan isu ini. Itu lebih baik," katanya.

Thursday, 2 November 2017

Pelajar sekolah, universiti Indonesia sokong kerajaan Khalifah



JAKARTA: Hampir 20 peratus pelajar sekolah tinggi dan universiti di Indonesia menyokong penubuhan kerajaan Khalifah di negara paling ramai umat Islam di dunia itu berbanding kerajaan sekular sedia ada, menurut satu tinjauan baru minggu ini.

Reputasi negara itu yang mengamalkan toleransi agama sejak sekian lama mula diperhatikan apabila kumpulan konservatif Islam mula memasuki kehidupan umum dan politik Indonesia.

Majoriti rakyat negara itu mengamalkan Islam secara sederhana dan ia mempunyai ramai minoriti Hindu, Kristian dan mereka yang memegang kepercayaan tradisional.

Kepelbagaian agama ada dalam Perlembagaan negara itu.

Tinjauan oleh pertubuhan beribu pejabat di Jakarta itu menemubual lebih 4,200 pelajar Islam, kebanyakannya di sekolah dan universiti terkenal di Jawa, yang mempunyai lebih separuh daripada penduduk negara itu.

Hampir satu dalam empat pelajar berkata mereka, pada pelbagai tahap, bersedia melancarkan jihad untuk mencapai matlamat penubuhan kerajaan Khalifah.

"Ini menunjukkan ketiadaan toleransi sudah memasuki sekolah tinggi dan universiti utama.

"Kerajaan dan pertubuhan Islam sederhana perlu mula mengambil langkah ketara menjangkakan perkara ini dan berada dalam kalangan pelajar dengan cara yang boleh difahami mereka," kata pusat tinjauan itu, Alvara, dalam laporan yang disiarkan Selasa lalu.

Kumpulan konservatif Islam, lewat tahun lalu mengetuai bantahan jalanan besar-besaran menentang bekas gabenor Jakarta yang berketurunan Cina dan beragama Kristian, yang dipercayai menghina Islam. - Reuters

Tuesday, 31 October 2017

Ustaz Haslin, Mufti Menk dilarang masuk Singapura

Ustaz Haslin Baharim dan Mufti Menk.

SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) tidak akan membenarkan Ustaz Haslin Baharim untuk memasuki republik ini.

Seorang lagi yang tidak dibenarkan ialah Ismail Menk yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk.

Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Dalam kenyataan di laman webnya, MHA berkata, peme­rintah mendapat maklumat bahawa mereka berceramah di atas sebuah kapal persiaran yang belayar dan kembali ke Singapura dari 25 hingga 29 Nov lalu.

Ismail Menk dan Haslin sebelum ini ditolak permohonan Pas Kerja Pelbagai mereka bagi berceramah di Singapura, katanya.

Menurut kementerian itu, Ismail Menk diketahui berce­ramah ajaran yang memisah dan memecah-belah.

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” katanya.

Haslin pula telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai ‘menyeleweng’. – Bernama

Friday, 13 October 2017

Tulisan Allah pada pakaian pahlawan Viking

SATU daripada elemen pakaian pengebumian pahlawan Viking yang ditenun dengan benang emas dan perak.

STOCKHOLM - Para pengkaji di Sweden menemukan corak tulisan Arab yang ditenun pada pakaian-pakaian pengebumian pahlawan Viking, sekali gus mencetuskan persoalan berhubung pengaruh agama Islam di Scandinavia.

Kajian yang dilakukan terhadap pakaian-pakaian yang ditemukan daripada kubur berusia dari abad kesembilan dan ke-10 itu secara tidak langsung memberi gambaran mengenai hubu­ngan pahlawan Viking dengan dunia Islam.

Tulisan Arab yang ditenun dengan benang emas dan perak pada pakaian tersebut dieja sebagai Allah dan Ali.

Penemuan itu didedahkan selepas ahli arkeologi tekstil, Annika Larsson dari Universiti Uppsala meneliti semula kesemua sisa pakaian pengebumian yang ditemukan pada bot lelaki serta wanita Viking dan sebuah makam yang digali di Birka dan Gamla Uppsa pada akhir abad ke-19 dan 20.

Lapor BBC, Larsson mula meminati untuk mengkaji pakai­an tersebut selepas beliau menyedari bahan yang digunakan untuk membuat pakaian tersebut berasal dari tengah Asia, Parsi dan China.

Larsson menyatakan bahawa beliau tidak pernah melihat corak geometri kecil yang ditemukan pada pakaian tersebut dalam mana-mana penemuan di Scandinavia sebelum menyedari corak itu adalah tulisan purba.

CINCIN berlafaz ALLAH yang ditemukan dalam kubur pahlawan Viking.

“Corak tulisan pertama yang saya kenal pasti dengan bantuan rakan dari Iran adalah Ali dan satu lagi pada mulanya agak sukar untuk dilihat namun setelah diteliti dari pelbagai sudut, tulisan yang tertera adalah Allah,” katanya.

Larsson setakat ini sudah mene­mukan sekurang-kurang­nya 10 corak tulisan Arab pada 100 pakaian pengebumian dan setiap satunya saling berpasa­ngan iaitu Allah dan Ali.

Penemuan baharu itu juga mencetuskan persoalan mengenai agama dengan Larsson memaklumkan kemungkinan jasad-jasad di dalam semua kubur yang ditemukan adalah beragama Islam tidak boleh disangkal.

Hal demikian kerana keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan beberapa pahlawan Viking yang dikebumikan kebanyakannya berasal dari Parsi.

“Bagaimanapun, penemuan ini cenderung menunjukkan adat pengebumian Viking dipengaruhi idea Islam seperti hidup kekal abadi di dalam syur­ga selepas mati,” jelasnya.

Pasukannya kini menjalin kerjasama dengan­ Jabatan Imunologi, Genetik dan Patologi Universiti Uppsala untuk merungkai asal usul jasad-jasad yang dipakaikan dengan pakaian pengebumian Viking.

Thursday, 12 October 2017

Sami Hindu bunuh penyanyi Muslim

Sebahagian penduduk beragama Islam yang melarikan diri mereka dari kawasan Rajasthan.

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 200 penduduk Islam lari dari perkampungan mereka di barat Rajasthan selepas seorang sami Hindu dan rakannya membunuh penyanyi lagu rakyat Muslim, akhir bulan lalu.

Masalah meletus di perkampungan Dantal berhampiran sempadan India-Pakistan, 27 September lalu apabila seorang sami Hindu menuduh penyanyi lagu rakyat, Ahmad Khan, membuat kesilapan ketika mengalunkan mantera membangkitkan dewi Hindu.

Khan, 45, adalah anggota komuniti Langa Manganiyar, yang menyanyikan lagu keagamaan Hindu dan versi spiritual di kuil serta festival.

Cadangan sami itu supaya mantera diubah menyebabkan berlaku pertengkaran.

Polis berkata, sami itu, Ramesh Suthar dan rakannya kemudian memecahkan alat muzik milik Khan sebelum membunuhnya.

"Berita pembunuhan itu mencetuskan rusuhan antara penganut Hindu dan Muslim yang tinggal bersama selama beberapa generasi," kata pegawai polis kanan, Gaurav Yadav, yang menyiasat kes itu.

Beliau tidak menyatakan bagaimana Khan dibunuh, namun berkata Suthar sudah ditahan. Rakan subahatnya bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Pihak berkuasa sudah menghantar pasukan separa tentera ke kawasan itu, namun penduduk Islam, yang bimbang berlaku pertembungan, enggan kembali ke rumah.

"Atas kesalahan kecil, penganut Hindu membunuh saudara lelaki saya. Kami tidak boleh tinggal dalam perkampungan sama lagi," kata sepupu penyanyi itu, Rakha Khan. - REUTERS

Wednesday, 4 October 2017

Denda, penjara tidak tutup aurat

CHE MOHD. RAHIM JUSOH

KOTA BHARU - Rakyat beragama Islam di negeri ini yang berpakaian tidak menutup aurat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, hukuman tersebut termaktub mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.

Jelasnya, mengikut enakmen berkenaan, memakai seluar pendek paras atas lutut dan perem­puan yang berseluar serta berbaju ketat, berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab berpakaian.

Bagaimanapun katanya, undang-undang tersebut hanya ter­pakai kepada orang Islam sahaja.

“Undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam me­makai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat.

“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dengan bukan Islam di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Lim Guan Seng.

Pada 25 September lalu, seorang pemuda diberi notis arahan menghadiri sesi kaunseling kerana memakai seluar pendek di tempat terbuka.

Lelaki itu yang ditahan ketika dalam perjalanan ke gelanggang futsal diarahkan hadir ke sesi kaunseling tersebut pada minggu depan bersama 10 lagi individu, termasuk empat perempuan yang didapati melakukan kesalahan berpakaian tidak sopan.

Mengulas lanjut Che Mohd. Rahim berkata, tindakan juga tidak akan terlepas terhadap mereka yang bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut.

“Bagaimanapun setakat ini, tidak ada lagi tindakan diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan tersebut.

“Peraturan tersebut bukan untuk menghukum, sebaliknya ingin memberi kesedaran supaya mereka lebih bersopan dalam adab berpakaian. Setakat ini, dua orang telah dikenakan denda berhubung kesalahan tersebut,” katanya.

Tuesday, 12 September 2017

Dalai Lama kata Buddha akan bantu Rohingya

DALAI LAMA beramah mesra bersama pimpinan Islam dari Turtuk di Disket, India.

NEW DELHI – Pemimpin kerohanian, Dalai Lama berkata bahawa Buddha sendiri akan membantu etnik Islam Rohingya meninggalkan keganasan di Myanmar yang majoriti rakyatnya beragama Buddha.

“Mereka (penganut Buddha) yang mengganggu orang Islam, mereka harus ingat akan Buddha,” kata Dalai Lama kepada pemberita ketika ditanya mengenai krisis di negeri Rakhine pada petang Jumaat lalu.

“Beliau pastinya akan memberi bantuan kepada orang Islam yang miskin itu. Saya berasa begitu. Sangat sedih,” katanya.

Pemimpin tertinggi Buddha itu merupakan pemenang anugerah Nobel Keamanan terbaharu yang menentang keganasan tersebut.

Baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tentera Myanmar dipercayai membunuh lebih 1,000 orang di Rakhine, kebanyakannya, penduduk Islam Rohingya.

Majoriti penduduk Myanmar adalah penganut Buddha. Mereka membenci masyarakat Rohingya yang dinafikan kerakyatan dan dilabelkan sebagai pendatang tanpa izin Bengali.

Beratus-ratus ribu penduduk Rohingya tiba di Bangladesh sejak beberapa minggu lalu selepas keganasan tercetus di negeri Rakhine.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pula dikecam kerana enggan campur tangan untuk membantu masyarakat Rohingya termasuk oleh pemenang anugerah Nobel, Malala Yousafzai dan Desmond Tutu.

“Jika menutup mulut adalah harga untuk kamu terus berkuasa di Myanmar, harga itu terlalu mahal,” kata Tutu dalam satu kenyataan pada minggu lalu.– AFP

Sunday, 2 July 2017

Mufti Perlis & Wilayah Jahil, Guna Mitos Haramkan Homoseksual – Ahmad Salami



Kuala Lumpur – Seorang bekas pelajar Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Salami mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh SS Mufti Perlis dan SS Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharamkan perbuatan Homoseksual.

Beliau mengatakan kedua-dua Mufti terbabit mengambil pendekatan “borong”  atau hentam keromo dengan mengulang siar kembali stigma dan mitos atas diskusi kompleks yang perlukan perbincangan secara akademik. Kenyataan itu dikeluarkan selepas isu kenyataan Homoseksual tidak dilarang dalam al Quran yang dikeluarkan oleh saudara Afiq M Noor. 

Ahmad Salami menggambarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua Mufti terbabit sebagai petanda kurang baik. Sewajarnya kedua-dua mufti ini mengambil kira pelbagai elemen hujah seperti perkembangan pendapat ulama kontemporari, aspek ilmu psikologi, ilmu seksualiti (SOGIE), sampel buah fikir komuniti minoriti seksual, aktivis sosial, termasuk juga kajian sains semasa yang gagal dibahaskan dalam mengeluarkan hukum berkenaan isu homoseksualiti ini. 

“Dalam surah An-Nahl dan Al-Anbiya, Allah berfirman: Maka bertanyalah kepada ahl az-zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui. Bukankah Allah menyuruh supaya merujuk pihak yang pakar dalam bidangnya jika kurang arif? pesan beliau kepada dua Mufti terbabit.

Alumni Sekolah Demokrasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ini juga kesal kerana kedua-dua Mufti terbabit tidak membezakan antara perbuatan liwat dan perlakuan homoseksual. Meletakkan isu Homoseksual ini sepertimana isu khilafiyah lain, Alumni Sekolah Demokrasi ini turut menggesa supaya perkara homoseksual ini diraikan dengan kepelbagaian pemikiran. “Usah pelik jika penafian dan kejahilan berterusan sesetengah agamawan berinteraksi menyebabkan masyarakat awam mencemuh keilmuan institusi keagamaan.” tambah beliau. 

Beliau yang kini aktif bersama Komuniti Muslim Universal (KMU), NGO yang merupakan cabang Malaysia kepada Muslims For Progressive Values di bawah Zuriani Khalid (Ani Zonneveld) menambah, “Pada pandangan saya, kenyataan mufti pada Hari Sedunia Menolak Homofobia dan Transfobia adalah tidak wajar.”

Wednesday, 21 June 2017

Premis sembelih, proses ayam guna logo halal palsu diserbu

Antara bungkusan ayam yang menggunakan logo halal palsu yang dirampas Jaipk dalam serbuan di sebuah premis di Segari, Lumut semalam.

LUMUT – Sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Batu 11, Segari di sini yang didapati menggunakan logo halal palsu dalam produk kelua­rannya diserbu Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) awal pagi semalam.

Malah, proses penyembelihan ayam di premis tersebut turut meragukan apabila pemeriksaan mendapati kerja-kerja penyembelihan ayam di premis itu dijalankan tiga lelaki warga asing dari Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaipk, Yusri Abdul Rani berkata, premis tersebut turut menggunakan pek yang mempu­nyai logo halal palsu tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Thursday, 1 June 2017

Tempoh menunggu giliran haji 50 tahun



BALIK PULAU – Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha bagi memendekkan tempoh menunggu bagi jemaah untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah daripada 89 tahun kepada 50 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Gambar) berkata, tempoh berkenaan boleh dipendekkan berdasarkan peningkatan jumlah kuota jemaah negara ini yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Sebelum ini, kita terima kuota 27,900 jemaah haji dan tempoh me­nunggu mengambil masa 120 tahun namun ia menjadi lebih singkat kepada 89 tahun apabila kuota meningkat kepada 30,200 orang.

“Kita menyasarkan tempoh itu dipendekkan kepada 50 tahun atau ke bawah kerana jika diizinkan Allah, kuota jemaah haji negara ini boleh mencapai hingga 35,000 ke 40,000 bagi setiap musim,” katanya sambil menambah sehingga kini terdapat 2.5 juta orang pendeposit di TH.

Abdul Azeez berkata demikian selepas program Ziarah Kasih Ramadan 2017 bagi kawasan Parlimen Balik Pulau di sini semalam.

Saturday, 27 May 2017

Haram galak ponteng puasa

Datuk Dr Mohd Izhar Ariff

HUKUM berkongsi iklan jualan makanan yang sengaja menggalakkan individu lain ponteng puasa adalah haram manakala memuat naik gambar makanan di laman sosial pada waktu yang tidak sepatutnya adalah makruh.

Itu penjelasan Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berhubung sebahagian perkara yang perlu dielakkan pengguna laman sosial sepanjang mengerjakan ibadat puasa pada bulan Ramadan ini.

Mohd Izhar yang penceramah bebas berkata, bulan puasa mewajibkan semua umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga, namun jika terdapat sebahagian golongan mengajak atau menggalakkan orang lain berbuka puasa tanpa sebarang sebab, hukumnya haram.

Beliau berkata, platform laman sosial Facebook dan aplikasi pesanan seperti WhatsApp kini mula disalah guna golongan tertentu sehingga ada di antaranya tergamak mengajak orang ramai untuk ponteng puasa.

Menurut beliau, biarpun pihak yang menjual atau menyebarkan maklumat jualan makanan itu tidak batal puasanya, namun mereka akan menanggung dosa sekiranya individu lain terpengaruh untuk ponteng puasa.

"Allah SWT menyuruh kita mencari rezeki halal dengan sumber yang halal. Ramadan, bulan mulia ini seharusnya kita rebut peluang dengan menggandakan pahala, bukannya mempengaruhi orang lain untuk membuat perkara mungkar.

"Saya nasihatkan golongan ini perkemaskan amal ibadat supaya kita terhindar dengan perniagaan yang terpesong. Malah orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang boleh menggoyahkan pendirian pihak lain, biarpun niat hanya sekadar bergurau," katanya.

Ditanya berhubung hukum memuatnaik gambar makanan di laman sosial ketika Ramadan, Izhar berkata, hukumnya makruh.

"Jika sudah dekat dengan waktu berbuka bolehlah kita muat naik juadah berbuka. Namun jika dimuat naik pada waktu pagi atau tengah hari hingga menyebabkan orang lain teringin hingga sanggup ponteng puasa, hukumnya makruh.

"Seboleh-bolehnya elakkan daripada memuat naik gambar sedemikian," katanya.

Friday, 26 May 2017

KISAH 'FAST ACTION' LELAKI INI DAPAT MASUK SYURGA TANPA HISAB



Assalamualaikum wbh, 

Tuan & Puan yang saya hormati, 

[ Kisah di bawah ini sedikit panjang, saya kongsikan istimewa sempena Ramadhan yang bakal  menjelma. ] 

Ada sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Kisahnya yang begitu luar biasa sering membuatkan saya sering tersenyum lebar sekaligus terinspirasi ketika mengingatinya. Ia sarat dengan hikmah, betapa beruntungnya orang yang fast action / fastabiqul khairat.

Begini kisahnya :

Ketika itu Rasulullah s.a.w ingin berkongsi kriteria kumpulan manusia yang masuk syurga tanpa hisab kepada para sahabat. Kira ceramah pendeklah ikut bahasa kita. Ketika mengetahuinya, para sahabat mulai meneka-neka, apakah kriteria istimewa itu?

Nabi s.a.w pun menjelaskan, ‘Mereka adalah orang yang tidak melakukan ruqyah, tidak mengamalkan perkara buruk dan kepada Tuhan mereka bertawakkal’.

Tiba-tiba seorang lelaki bangkit dan berkata, ‘Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku termasuk dalam golongan itu’. Nabi s.a.w menjawab, ‘Engkau termasuk bersama mereka’.

Selepas itu, ada seorang lelaki lain bangun & memohon permintaan sama.

Kepada lelaki itu Rasul berkata, ‘maaf, engkau telah didahului Ukasyah’.

Ya, pemuda yang pertama kali bangkit adalah Ukasyah bin Mihsan. Pemuda yang cepat memberi respon & tidak mahu menunggu-nunggu. 

Disebabkan keberaniannya berdoa ketika orang lain ternanti-nanti, doanya telah di ‘amini’ Rasulullah s.a.w. Begitulah para sahabat, mereka memiliki satu budaya yang lama tercicir dari kehidupan kita. 
Budaya fastabiqul khairat, berlumba-lumba dalam kebaikan. Mereka sedar, fast action membuahkan fast result, sementara slow action bukannya membuahkan slow result tapi no result.

Itu yang berlaku pada lelaki kedua.

Para pembaca budiman,
Mari kita mencontohi Ukasyah. Mari kita segerakan apa yang patut disegerakan. Mari kita ‘bertamu’ ke rumah Tuhan saat Dia sedang membuat ‘open house’. Dan ia bermula dengan fast action ke arah
itu.

Percayalah, doa yang disertai dengan azam bersungguh & tindakan fast action pasti akan dibalas dengan fast result dari Tuhan. Percayalah & bertindaklah, sebab selama ini begitulah cara Tuhan melayani kita : layanan tahap Ar-Rahman & Ar-Rahim. Full of love.

[ Sumber : Buku Umrah ke Langit, Umrah Ke Laut ]

Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan, moga kisah di atas menjadi pemangkin semangat untuk kita sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Insya-ALLAH.

Saturday, 11 March 2017

Hidup sia-sia kuat berangan, ikut nafsu

Gambar hiasan.

RASULULLAH SAW bersabda: "Ada dua hal yang paling aku takuti menimpa kalian, iaitu menuruti hawa nafsu dan banyak angan-angan. Sesungguhnya menuruti hawa nafsu itu dapat menghalang daripada kebenaran dan banyak angan-angan itu sama dengan mencintai dunia." (Riwayat Ibnu Abi Dunya) 

Virus panjang angan-angan ini adalah penyakit Mat Jenin versi akhirat. Jika Mat Jenin versi dunia mati kerana jatuh akibat terlalu berangan kesenangan dunia, Mat Jenin versi akhirat jauh lebih parah. Mereka dalam kategori ini memburu akhirat dengan meninggalkan dunia. 

Hidup biar berpada, pesan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm. 

Beliau mengaitkannya dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah SWT kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) seperti Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qashash, ayat 77) 

Ternyata perancangan akhirat itu seiring dengan jalan atur hidup di dunia. Bagi manusia yang memburu dunia dengan melupakan akhirat, mereka digelar manusia yang panjang angan-angannya. Definisi panjang angan-angan adalah mengharapkan kebaikan tanpa usaha dengan tanggapan waktu dan kesempatan masih ada atau masih panjang buat diri. 

Kesungguhan bertaubat 


Dalam konteks agama, orang yang panjang angan-angan ini selalu berangan-angan pengampunan Allah SWT tanpa kesungguhan bertaubat. Sungguh Allah SWT itu Maha Baik, tetapi terkadang mereka lupa Allah SWT juga Maha Membalas, seksa-Nya sangat dahsyat dan pedih. 

Selain itu, manusia yang panjang angan-angan berhasrat menewaskan hawa nafsu batin tanpa kesungguhan dalam mujahadah dan zikrullah. Mereka sedar syaitan dan hawa nafsu akan menyesatkan, tetapi mereka tidak bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. 

Ketika Rasulullah SAW ditanya, siapakah orang yang sebenarnya paling pintar, Baginda menjawab: "Orang yang pintar adalah orang yang dapat menundukkan hawa nafsu dan beramal untuk bekal sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT dengan panjang angan-angan." (Riwayat Ibnu Majah) 

Maka, jadilah manusia bijaksana dengan memendekkan angan-angan, bersungguh dan bersegera memohon pengampunan Allah SWT. Jangan jadi manusia dangkal menelah kepentingan hakiki antara akhirat, duniawi, meremehkan serta menangguh pengampunan-Nya. Hakikatnya, kita ini warga akhirat, justeru, bezakan antara angan-angan dan harapan. Sedar atau tidak, manusia yang punya harapan tidak miliki masa untuk putus asa. Harapan memberi mereka ketabahan demi mengecap kejayaan.

Oleh itu, mereka punya kekuatan untuk terus berusaha tanpa henti. Namun, jika harapan yang tercetus tidak disusuli dengan usaha gigih maka ia hanya sekadar bermimpi bukannya berimpian. Selain itu, manusia yang punya harapan akan kuat berdoa kerana yakin doa adalah petunjuk dalam merealisasikan impian. Semakin tinggi harapan, semakin gigih doa dipanjatkan. 

Seterusnya, kebergantungan kepada Allah SWT juga mantap dalam kalangan manusia yang tinggi harapannya. Perlu yakin, kejayaan tidak hadir hanya pada kejituan usaha semata. Sesungguhnya, pada usaha yang sekelumit bakal menjemput pertolongan daripada langit. Bantuan Allah SWT akan hadir hasil daripada tawakal kepada-Nya. 

Lawan malas beribadah 


Manfaatkan masa yang ada dan terus bekerja dalam waktu kritikal dengan segera. Manusia yang punya harapan ada dorongan untuk bersegera melunaskan setiap yang dirancang. Tiada istilah bertangguh dalam diri mereka. 

Ada beberapa faktor manusia miliki angan-angan yang panjang. 

Pertama, kerana kesanggupan mereka berlumba mengejar kekayaan dunia tidak seiring rasa rakus mengejar kekayaan akhirat. Selain itu, mereka alpa mengenai kematian yang boleh datang tanpa mengira masa dan usia. 

Oleh itu, bermujahadahlah melawan rasa malas, jemu, letih dalam beribadah serta usirlah gangguan hawa nafsu dan syaitan. Cari ilmu dan amalkan sebaiknya setiap yang dipelajari. Katakan pada hati, diri ini bila-bila bisa mati bertemu Ilahi.

Norhayati Paradi
Kolumnis Berita Harian

Tuesday, 7 February 2017

Lindsay Lohan kongsi pengalaman berpuasa Ramadan

LINDSAY Lohan (kiri) di samping peminat.

JEDDAH: Pelakon Hollywood, Lindsay Lohan berkata bersolat, berpuasa dan mendengar bacaan al-Quran memberi ketenangan kepadanya. 

Baru-baru ini, dalam temu bual dengan Shoaib Rashid, pengacara rancangan hiburan TV Arab, Siwar Shoaib, pelakon Mean Girls itu menceritakan pengalamannya bersolat seperti umat Islam dan puasa selama tiga hari pada Ramadan yang lalu.

"Saya pernah berpuasa selama tiga hari dengan rakan di Kuwait. Memang susah tetapi ia bagus. Perasaan yang amat menyenangkan," katanya. 

Pelakon berusia 30 tahun ini juga memberitahu sudah membaca 15 laman al-Quran dan berlatih menulis beberapa ayat dalam bahasa Arab, malah mendengar bacaan ayat menerusi aplikasi telefon bimbit.

 Ketika ditanya jika beliau berasa sesuatu yang istimewa ketika membawa al-Quran, Lohan menjawab: "Saya rasa tenang." Mengenai kisah beliau memegang al-Quran dan menjadi viral di media sosial baru-baru ini, 

Lohan berkata bukan niatnya untuk berbuat begitu, sebaliknya beliau berasakan kitab itu 'memberi ketenangan dan rasa selamat.' Lohan meluahkan rasa kecewa terhadap peminat di negaranya yang mengutuknya selepas aksinya itu menjadi viral. 

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Shoaib berkata kepada Lohan: " Terima kasih Lindsay, dengan izin Tuhan, moga bertemu kamu di syurga." Lohan menjawab dengan berjenaka: "Harap tidak mati terlalu awal." - AGENSI

Sunday, 15 January 2017

Eropah bakal jadi negara Islam

GAMBAR fail sekumpulan masyarakat Islam berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di hadapan Colosseum di Rom, Itali pada 21 Oktober lalu.

POMPEII, Itali – Seorang ketua biskop dari sebuah gereja Katolik di sini memberi amaran bahawa Eropah dan Itali akan menjadi sebuah negara Islam di­sebabkan peningkatan rakyat di negara itu yang menjadi ateis, lapor MailOnline.

Carlo Liberati yang juga merupakan Biskop Emeritus Pompeii mendakwa, selain kejahilan beragama dalam kalangan penduduk, pertambahan imigran beragama Islam ke Eropah juga bakal menjadikan Islam menjadi agama utama di rantau ini.

“Dalam tempoh 10 tahun, kita semua akan jadi orang Islam kerana kebodohan dan kejahilan diri sendiri. Itali dan Eropah mengamalkan gaya hidup secara pagan dan ateis, mereka akan membuat undang-undang menentang tuhan dan mengamalkan tradisi fahaman jahiliah.

“Semua keruntuhan moral dan agama ini akan memberi kele­bihan kepada Islam. Kita mempunyai kepercayaan lemah terhadap agama Kristian. Gereja kini tidak berperanan dengan baik dan seminar yang diadakan sentiasa kurang mendapat sambutan,” katanya semasa berucap dalam satu seminar di sini kelmarin.

Itali menjadi destinasi utama imigran beragama Islam dengan ketibaan kira-kira 330,000 imigran melalui laluan laut dari Afrika, Asia Barat dan Asia sejak dua tahun lalu.

Jumlah penduduk beragama Islam di Itali juga meningkat dari­pada 2,000 orang pada 1970-an kepada lebih 2 juta pada akhir tahun 2015, menurut statistik pihak berkuasa tempatan.

Biskop itu juga menegur tindakan gereja-gereja Katolik ke­rana memberi sumbangan wang kepada kumpulan imigran baru-baru ini.

“Tindakan memberi wang kepada imigran yang berlegar-legar di kawasan bandar adalah salah dari segi moral kerana kita menggalakkan tingkah laku mereka dan mereka akan terbiasa dengan cara itu.

“Jangan lupa bahawa kita juga sudah memberi mereka makan,” katanya. – Agensi

Saturday, 14 January 2017

Hantaran perlu munasabah – Mufti

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.
PIHAK keluarga perempuan sebenarnya tidak boleh terlalu bergantung dengan wang hantaran yang dihadiahkan oleh pihak lelaki, sebaliknya wajar menggunakan simpanan sendiri untuk mengadakan kenduri perkahwinan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad (gambar) berkata, tindakan segelintir keluarga perempuan menetapkan jumlah hantaran yang terlalu tinggi terhadap pihak lelaki adalah tidak munasabah.

“Kita sedia maklum dalam Islam, hanya mas kahwin yang wajib dibayar oleh pihak lelaki kepada pengantin perempuan.

“Namun kebanyakan pihak keluarga meminta hantaran tinggi atas alasan mahu menampung perbelanjaan kos kenduri di sebelah keluarga perempuan sehingga ada yang terlalu membebankan pihak lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Beliau berkata, tidak wajar apabila ada yang menetapkan wang hantaran sehingga RM50,000 dengan alasan kos perbelanjaan majlis yang semakin meningkat.

Mohd. Yusof menambah, perbincangan terperinci dan kata sepakat antara keluarga perlu ada bagi mengelakkan masalah ketika majlis berlangsung.

“Elak buat bajet sendiri untuk meletakkan nilai hantaran kerana perkara ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati keluarga kedua-dua pihak. Pastikan pasangan pengantin berbincang bersama keluarga semasa rombongan merisik tentang nilai wang hantaran yang ditetapkan.

“Kita mempunyai adat. Ambil peluang untuk berbincang nilai wang hantaran yang dipersetujui kedua-dua belah pihak agar majlis perkahwinan sempurna,” katanya.

Berkahwin bukan untuk sehari. Peruntukan untuk hidup berumahtangga sehingga akhir hayat lebih utama daripada mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang dengan kos yang membebankan.

Wednesday, 30 November 2016

Memeluk Islam Kerana Mengkaji Wudhu


Prof Leopold Werner von Ehrenfels, seorang psikiater dan sekaligus neurology dari Austria, menemui sesuatu yang menakjubkan terhadap wudhu. Ia mengemukakan satu fakta yang sangat mengejutkan.

Bahawa pusat-pusat saraf yang paling peka dari tubuh manusia ternyata berada di sebelah dahi, tangan, dan kaki.

Baron Omar Rolf von Ehrenfels.
Pusat-pusat saraf tersebut sangat sensitif terhadap air segar. Dari sini ia menemui hikmah di sebalik wudhu yang membasuh pusat-pusat saraf tersebut. Malah ia mencadangkan agar wudhu bukan hanya milik dan kebiasaan umat Islam, tetapi untuk umat manusia secara keseluruhan. Dengan sentiasa membasuh air segar pada pusat-pusat saraf tersebut, maka bererti orang akan memelihara kesihatan dan keselarasan pusat sarafnya. Pada akhirnya Leopold memeluk agama Islam dan mengganti fakta nama menjadi Baron Omar Rolf Ehrenfels.

Hikmah Wudhu


Ulama Fekah juga menjelaskan hikmah wudhu sebagai bahagian dari usaha untuk memelihara kebersihan fizikal dan rohani. Anggota badan yang dibasuh dalam air wudhu, seperti tangan, kawasan muka termasuk mulut, dan kaki memang paling banyak bersentuhan dengan benda-benda asing termasuk kotoran. Kerana itu, wajar kalau anggota badan itu yang harus dibasuh.

Ulama tasawuf menjelaskan hikmah wudhu dengan menjelaskan bahawa anggota badan yang dibasuh air wudhu memang daerah yang paling sering berdosa. Kita tidak tahu apa yang pernah diraba, dipegang, dan dilakukan tangan kita. Banyak pancaindera tersimpul di bagian muka.

Berapa orang yang jadi korban setiap hari dari mulut kita, berapa kali berbohong, memaki, dan membicarakan aib orang lain. Apa saja yang dimakan dan diminum. Apa saja yang baru diintip mata ini, apa yang didengar oleh telinga ini, dan apa saja yang baru dicium hidung ini? Ke mana sahaja kaki ini berjalan setiap hari?

Tegasnya, anggota badan yang dibasuh dalam wudhu ialah anggota yang paling berisiko untuk melakukan dosa.Fakta Organ tubuh yang menjadi anggota wudhu disebutkan dalam ayat al-Maidah [5]:6, adalah wajah, tangan sehingga siku, dan kaki sehingga hujung kaki.

Kalangan ulama melarang mengeringkan air wudhu dengan kain kerana dalam redaksi hadis itu dikatakan bahawa proses pembersihan itu sampai titisan terakhir dari air wudhu itu (ma’a akhir qathr al-ma’).

Wudhu dalam Islam masuk di dalam Bab al-Thaharah (penyucian rohani), seperti halnya tayammum, syarth, dan mandi junub. Tidak disebutkan Bab al-Nadhafah (pembersihan secara fisik). Rasulullah SAW selalu berusaha mempertahankan keabsahan wudhunya.

Yang paling penting dari wudhu ialah kekuatan simboliknya, yakni memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang ‘bersih’ dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan, seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca mushaf Al-Quran.

Wallah hu a'lam.

Friday, 21 October 2016

Beri kepercayaan kepada Jakim

Dr Zaharuddin Abdul Rahman
SHAH ALAM - Masyarakat disaran memberi lebih autoriti dan kepercayaan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim)  dalam menentukan urusan prosedur operasi standard (SOP) yang terbaik bagi penganugerahan logo halal.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, campur tangan khususnya kritikan tidak membina  pelbagai pihak boleh menimbulkan kekeliruan sekaligus menyebabkan jabatan itu diperlekehkan.

“Biar Jakim buat kerja mereka mengikut garis panduan terbaik yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, sesebuah syarikat mempunyai pilihan sama ada untuk membuat permohonan mendapatkan sijil halal daripada jabatan itu.

“Jelas ia tidak wajib, namun, tentunya kita sarankan mereka berbuat demikian bagi meningkatkan keyakinan pengguna Muslim,” katanya.

Menyentuh mengenai isu penggunaan nama ‘dog’ pada makanan, beliau berkata, isu tersebut adalah yang terpencil.

“Sebagai contoh 'pretzel dog' yang dijual oleh sebuah francais yang viral baru-baru ini, jika pihak mereka memohon sijil halal dari Jakim, maka ia perlu difahami dan mengikuti garis panduan pihak pengeluar logo. Jadi keperluan menukar nama jelas hanyalah isu administrasi,” katanya.

Beliau berkata, isu kecil tersebut telah diperbesarkan sehingga mencarik kredibiliti status halal Jakim.

“Ia ‘disambut’ pula oleh media antarabangsa seolah-olah memperlekehkan jabatan itu,” katanya.

Friday, 16 September 2016

Langkah akhir seorang tokoh agama


LANGKAH ulama tersohor, Datuk Dr Haron Din meninggalkan Malaysia pada minggu lalu nyata langkahnya yang terakhir di tanah air tercinta ini.

Sudah tertulis, perjalanannya berakhir awal pagi Jumaat di negara Uncle Sam ketika sedang menerima rawatan bagi masalah jantung yang dihidapinya sejak sekian lama.

Menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 76 tahun, Haron Din meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima orang anak.

Allahyarham lahir pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis dan merupakan anak ketiga daripada 10 orang adik-beradik manakala ibu bapanya merupakan guru al-Quran di kampung tersebut.

Beliau menerima pendidikan awal dengan kedua ibu bapanya sebelum ditempatkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan Kolej al-Islamiah, Klang, Selangor.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965) dan ditawarkan Biasiswa Persekutuan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (1966-1968).

Setelah memperoleh Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran sebelum kembali ke Mesir untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah.

Beliau pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB; Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia; Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Perjalanan politik Allahyarham bermula ketika berusia 34 tahun sekitar tahun 1974 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1975-1983).

Beliau turut  pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak Pas; Timbalan Mursyidul Am Pas dan yang terakhir ialah sebagai Mursyidul Am Pas hingga ke akhir hayatnya.

Allahyarham juga merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam kalangan umat Islam.

Darussyifa', yang ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi kini memiliki lebih daripada lima cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Pada 2010, Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.

Mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan Hudud dalam Perundangan Islam.

Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu” - “Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia.”