Showing posts with label Archeology. Show all posts
Showing posts with label Archeology. Show all posts

Friday, 13 October 2017

Tulisan Allah pada pakaian pahlawan Viking

SATU daripada elemen pakaian pengebumian pahlawan Viking yang ditenun dengan benang emas dan perak.

STOCKHOLM - Para pengkaji di Sweden menemukan corak tulisan Arab yang ditenun pada pakaian-pakaian pengebumian pahlawan Viking, sekali gus mencetuskan persoalan berhubung pengaruh agama Islam di Scandinavia.

Kajian yang dilakukan terhadap pakaian-pakaian yang ditemukan daripada kubur berusia dari abad kesembilan dan ke-10 itu secara tidak langsung memberi gambaran mengenai hubu­ngan pahlawan Viking dengan dunia Islam.

Tulisan Arab yang ditenun dengan benang emas dan perak pada pakaian tersebut dieja sebagai Allah dan Ali.

Penemuan itu didedahkan selepas ahli arkeologi tekstil, Annika Larsson dari Universiti Uppsala meneliti semula kesemua sisa pakaian pengebumian yang ditemukan pada bot lelaki serta wanita Viking dan sebuah makam yang digali di Birka dan Gamla Uppsa pada akhir abad ke-19 dan 20.

Lapor BBC, Larsson mula meminati untuk mengkaji pakai­an tersebut selepas beliau menyedari bahan yang digunakan untuk membuat pakaian tersebut berasal dari tengah Asia, Parsi dan China.

Larsson menyatakan bahawa beliau tidak pernah melihat corak geometri kecil yang ditemukan pada pakaian tersebut dalam mana-mana penemuan di Scandinavia sebelum menyedari corak itu adalah tulisan purba.

CINCIN berlafaz ALLAH yang ditemukan dalam kubur pahlawan Viking.

“Corak tulisan pertama yang saya kenal pasti dengan bantuan rakan dari Iran adalah Ali dan satu lagi pada mulanya agak sukar untuk dilihat namun setelah diteliti dari pelbagai sudut, tulisan yang tertera adalah Allah,” katanya.

Larsson setakat ini sudah mene­mukan sekurang-kurang­nya 10 corak tulisan Arab pada 100 pakaian pengebumian dan setiap satunya saling berpasa­ngan iaitu Allah dan Ali.

Penemuan baharu itu juga mencetuskan persoalan mengenai agama dengan Larsson memaklumkan kemungkinan jasad-jasad di dalam semua kubur yang ditemukan adalah beragama Islam tidak boleh disangkal.

Hal demikian kerana keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan beberapa pahlawan Viking yang dikebumikan kebanyakannya berasal dari Parsi.

“Bagaimanapun, penemuan ini cenderung menunjukkan adat pengebumian Viking dipengaruhi idea Islam seperti hidup kekal abadi di dalam syur­ga selepas mati,” jelasnya.

Pasukannya kini menjalin kerjasama dengan­ Jabatan Imunologi, Genetik dan Patologi Universiti Uppsala untuk merungkai asal usul jasad-jasad yang dipakaikan dengan pakaian pengebumian Viking.

Monday, 25 September 2017

Rahsia pembinaan The Great Pyramid of Giza dibongkar

SEKUMPULAN ahli arkeologi akhirnya berjaya membongkar rahsia bagaimana The Great Pyramid of Giza dibina di Mesir.

KAHERAH – Selepas berabad-abad lamanya dianggap se­bagai misteri, sekumpulan ahli ar­­­­­­keologi akhirnya berjaya membongkar rahsia bagaimana The Great Pyramid of Giza dibina di Mesir.

Mail Online melaporkan, an­ta­ra rahsia tersebut termasuk bagaimana penduduk Mesir pada ketika itu mengangkut bongkah batu seberat dua setengah tan dengan menempuh perjalanan sejauh lebih 800 kilometer (km).

Difahamkan, bongkah ter­diri daripada batu kapur dan granit itu digunakan untuk membina makam buat Firaun Khufu sekitar tahun 2,600 sebelum Masehi.

Pada ketinggian melebihi 146 meter, makam tersebut dianggap sebagai piramid terbesar pernah dibina pada Zaman Pertengahan dan struktur binaan buatan manusia terbesar di muka bumi ketika itu.

Berdasarkan kajian kumpu­lan ahli arkeologi terbabit, ri­buan pekerja mahir dikerah untuk mengangkut kira-kira 170,000 tan bongkah batu di sepanjang Sungai Nil menggunakan bot kayu yang diikat dengan beberapa utas tali.

Satu terusan khas turut dibina bagi memudahkan bongkah batu itu diangkut terus ke kawasan pem­binaan piramid.

Selain itu, kumpulan ahli arkeo­logi tersebut juga menjumpai satu skrol daripada kertas papirus purba di jeti Wadi Al-Jarf yang menjelaskan peranan bot berkenaan dalam proses pembinaan piramid.


SKROL daripada kertas papirus purba yang menjelaskan mengenai peranan bot kayu dalam mengangkut bongkah batu untuk pembinaan piramid ditemukan di jeti Wadi Al-Jarf di Mesir.

Ditulis oleh Merer yang bertanggungjawab menyelia pasukan pembinaan yang terdiri daripada 40 pekerja elit, tulisan tersebut bukan sahaja menceritakan pembinaan The Great Pyramid, malah turut memperincikan bagaimana bongkah batu itu diangkut dari Tura ke Giza.

Dalam diarinya, Merer menjelaskan bagaimana pekerja itu terlibat dalam mentransformasikan landskap, membina tembok yang sangat besar bagi melencongkan air dari Sungai Nil sebelum menya­lurkan air itu ke arah piramid melalui terusan buatan manusia.

Penemuan baharu itu turut didedahkan menerusi rancangan dokumentari bertajuk Egypt’s Great Py­ramid: The New Evidence di Channel 4.

Wednesday, 26 October 2016

Kapal karam zaman Uthmaniyyah ditemui di dasar Laut Hitam

AHLI arkeologi menemui 40 kapal yang dipercayai karam semasa kerajaan Uthmaniyyah dan Byzantine.
LONDON – Sekumpulan pengkaji menemui bangkai 40 kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine ketika membuat kajian pemetaan Laut Hitam baru-baru ini.

Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam itu disertai oleh pasukan antarabangsa diketuai oleh Pusat Arkeologi dari Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut berada sehingga 1,800 meter di bawah Laut Hitam menggunakan sebuah kapal selam kawalan jauh dilengkapi dengan peralatan laut dalam paling canggih di dunia.



“Dengan menggunakan teknik rakaman tiga dimensi untuk struktur laut dalam, kami mampu mengambil imej-imej artifak tanpa mengganggu lantai laut,” ujar Ketua Projek, Prof. Jon Adams.

Menerusi penemuan tersebut, pengkaji berharap dapat mendalami aktiviti-aktiviti di perairan di Laut Hitam yang menjadi tumpuan empayar besar lain pada zaman dahulu termasuk Greece dan Rom.


Menurut sejarah, kerajaan Uthmaniyyah yang menakluk Constantinople (Istanbul) menutup Laut Hitam kepada kapal dagang pada tahun 1453dan dibuka semula 400 tahun kemudian iaitu pada tahun 1856. – Agensi

Tuesday, 24 May 2016

Sah Sungai Batu tamadun tertua


SUNGAI PETANI – Kompleks Arkeologi Sungai Batu yang menjadi sebahagian daripada Tamadun Kedah Tua di sini akhirnya diiktiraf dan disahkan secara rasmi sebagai tamadun terawal dan tertua di negara ini sekali gus mengalahkan candi Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.

Tapak Arkeologi Su­ngai Batu, Lembah Bujang itu disahkan oleh pakar berusia lebih 2,000 tahun, manakala candi Borobudur yang dibina pada abad ke-9 berusia sekitar 1,200 tahun dan Angkor Wat pada abad ke-12 berusia 900 tahun.

Acara bersejarah itu diabadikan melalui penyerahan plak pengisytiharan oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mokhtar Saidin (gambar kecil).

Ia berlangsung pada majlis penutupan Festival Kedah Tua 2016 di sini yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Kawasan tapak peleburan besi, pelabuhan dan lokasi ritual yang ditemui hasil kerja-kerja penggalian di Kompleks Arkeologi Sungai Batu mendapati ia berusia lebih 2,000 tahun.
Menurut Mokhtar lebih bermakna, pengiktirafan itu diperakui lima pakar arkeologi mewakili lima tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rom menandatangani plak pengisytiharan itu.

“Malangnya pakar arkeologi Mesir, Dr. Zahi Hawas, tidak hadir ke Persidangan Antarabangsa Kedah Tua menyebabkan kita tidak berjaya mendapatkan beliau untuk menandatangani plak itu.

“Beliau sepatutnya hadir sebagai pakar tamadun Mesir, tetapi tidak dapat dihubungi pada saat akhir. Sekiranya ada keperluan untuk kita ke Mesir dan dapatkan tandatangannya, kita akan ke sana,” kata Mokhtar kepada Bernama semalam. -Kosmo!

Friday, 20 May 2016

Pahang pernah dihuni dinosaur

Inilah fosil gigi dinosaur herbivor yang dijumpai sekumpulan penyelidik UM di satu lokasi di kawasan pedalaman Pahang pada 2014.
KUANTAN – Kerajaan ne­geri Pahang mengesahkan terdapat kesan pe­nemuan fosil dinosaur di negeri itu seperti yang sering diperkatakan beberapa tahun lalu, namun belum bercadang untuk mengisytiharkan di mana lokasi­nya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelanco­ngan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kesan penemuan fosil dinosaur itu telah disahkan oleh beberapa pakar dari dalam dan luar negara termasuk beberapa kajian berkaitan turut dijalankan.

“Pihak berkenaan juga telah memberikan taklimat, namun kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengisyti­harkan hasil kajian terma­suk mendedahkan di mana kawasan pe­nemuan itu.

“Kesan penemuan ini masih memerlukan beberapa kajian yang mendalam,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) yang ingin tahu bila kerajaan negeri bercadang untuk mengisytiharkan hasil kajian serta lokasi kesan penemuan tersebut. -KOSMO!