Showing posts with label System. Show all posts
Showing posts with label System. Show all posts

Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

Thursday, 28 September 2017

Pendaftaran pemilih secara dalam talian, media sosial tidak sah



PUTRAJAYA - Pendaftaran pemilih secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan dan tidak sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah.

Sejak kebelakangan ini, katanya, terdapat pihak menyebarkan maklumat kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya menghantar gambar kad pengenalan MyKad mereka ke nombor talian telefon tertentu dan mereka akan didaftarkan segera sebagai pemilih.

"SPR ingin menegaskan bahawa kaedah itu adalah tidak dibenarkan dan tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hashim menegaskan, bahawa kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR.

Mereka perlu membawa bersama MyKad yang asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang tersebut, katanya. - Bernama

Monday, 27 March 2017

Pengimport kaut untung dari GST


KUALA LUMPUR -  Pelbagai cara digunakan pengimport barangan di negara ini untuk mengaut keuntungan malah cukai barang dan perkhidmatan (GST) turut dikesan menjadi mekanisme penyelewengan golongan terbabit.

Kelicikan golongan terbabit memanipulasi sistem cukai itu bukan sahaja mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan berbilion ringgit setiap bulan pada masa sama meranapkan rantaian ekonomi peniaga di negara ini.

Menurut sumber, taktik penyelewengan itu kerap dilakukan pengimport dengan menipu pengisytiharan barangan yang dibawa masuk ke negara ini.

“Mereka menipu dari segi jenis, nilai dan gred barangan diimport bagi membolehkan kadar bayaran GST dibayar kurang berbanding kadar sepatutnya.

“Sebagai contoh, import barangan A (RM10) tetapi isytihar barang B (RM6). Jika isytihar barangan A, GST yang perlu dibayar 60sen sedangkan untuk barang B, GST hanya 36 sen, itu untuk satu unit, bayangkan ribuan atau jutaan unit yang diimport,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas sumber, ketamakan dan penipuan pengimport berkenaan bukan terhenti setakat itu sahaja malah berterusan sehingga kumpulan peniaga turut menjadi mangsa.

“Apa tidaknya, sudahlah kerajaan ditipu, kerajaan terpaksa pulang semula wang GST itu kepada pengimport.

“Kemudian mereka (pengimport) jual kepada peniaga pada kadar RM10 iaitu RM10.60 de­ngan GST dan mungkin lebih sedangkan isytihar kepada kerajaan barangan B pada harga RM6 (RM6.36) dengan GST, ini yang dinamakan penipuan dua kali” ujarnya.

Sumber memberitahu, selain menggunakan taktik menipu nilai, jenis dan gred, pengimport juga licik memanipulasi dokumen untuk tujuan itu.

“Ada juga yang menipu dengan mengisytiharkan barangan diimport dari negara yang mendapat pengecualian cukai. Contoh import dari negara lain isytihar negara dikecualikan cukai bagi mengelak membayar cukai itu.

“Ada pula yang memanipulasi kod tarif pada barangan import bagi mengurangkan bayaran GST yang akhirnya merugikan kerajaan,” ujarnya.

Mengulas bagaimana perbuatan itu boleh menjejaskan rantaian ekonomi negara, sumber menjelaskan, secara pasti ia boleh mempengaruhi harga barangan import di pasaran tempatan

“Sebagai contoh, peniaga A yang mengimport telefon bimbit secara jujur dan menjualnya pada harga RM1,060 termasuk GST walhal peniaga B jual pada harga RM900 tanpa perlu GST kerana dapat stok dari pengimport tidak bertanggungjawab.

“Sudah pasti, orang ramai akan membeli daripada peniaga B manakala perniagaan A tidak laku dan pasti tidak boleh bertahan lama kerana tidak mampu melawan harga peniaga B,” tambah sumber.

Sehubungan itu, sumber berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan drastik bagi menangani ketirisan tersebut.

Monday, 2 January 2017

Nasihat Robert Kiyosaki ini mungkin akan mengubah cara pemikiran anda


Pilihan Raya Amerika Syarikat telah berakhir, namun saya mahu berkongsi berita baik dan juga berita buruk untuk anda ...

Biar saya mulakan kata-kata saya dengan menyingkap realiti kehidupan sebenar pada masa kini. Tidak kira apa yang orang katakan tentang dunia ketika ini, hakikatnya keadaan semakin buruk di luar sana dan rata-rata dari mereka juga beranggapan hampir semua perkara hanya akan bertambah buruk dari masa ke semasa. Lihatlah, itulah realiti sebenar yang menyatakan bahawa dunia kita semakin berubah. Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat kita masih lagi mahu menggunapakai sistem yang lama dan sudah rosak ketika ini.

Ini memang suatu perkara yang gila dan tidak masuk akal!

Berikut adalah apa yang telah diajarkan kepada kita melalui "sistem dan  kaedah lapuk untuk menjadi orang yang kaya dan berjaya..."

  • # 1 - Anda pergi ke sekolah/kolej/universiti
  • # 2 - Dapatkan kerja 
  • # 3 - Kerja keras
  • # 4 - Bayar cukai anda
  • # 5 - Simpan wang anda
  • # 6 - Keluarkan diri daripada belenggu hutang
  • # 7 - Melabur untuk jangka panjang
  • # 8 - Bersara

Biar saya tanya anda sesuatu, adakah semua kaedah di atas jika ia dapat dilakukan oleh kita pada hari ini maka kita mampu untuk menjadi orang yang berjaya?

Jawapannya, TIDAK!

Sistem ini tidak boleh lagi lari dari berhadapan dengan realiti kehidupan yang sebenar.

Kita sering diberitahu  supaya melaburkan wang kita ke dalam Pasaran Saham dan biarlah Ekonomi semasa menentukan kadar keuntungan yang bakal di perolehi oleh kita nanti. Pelan ini memang selalu diamalkan oleh masyarakat kita kerana ia sangat mudah.

Kita akan buat pelaburan dan membiarkan orang lain melakukan kerja keras untuk kita. Kemudiannya, kita selalu berharap agar pelaburan itu dapat memberikan dividen keuntungan sebanyak 10% sebagai pendapatan yang PASIF hasil dari penat lelah bekerja dan simpanan yang telah dibuat oleh kita selama ini. Namun, realitinya ramai dari kita yang lupa dan tidak sedar tentang hakikat jenis pulangan pelaburan seperti ini. Sebenarnya kita sudah cukup bernasib baik jika pelaburan seperti ini tidak memberikan 0% dividen kepada kita, walaupun apa yang kita sering dapat selalunya lebih kecil dari 10%. Hal ini kerana, kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari peluang pelaburan bagi menggandakan wang kita. Biarkan sahaja para perunding saham bekerja keras untuk menggandakan wang kita.

Oleh hal yang demikian jugalah ramai daripada kita gemar membuat pelaburan dalam pasaran saham seperti ini. Tetapi hari ini, Dunia telah berubah. Sudah tiba masanya untuk kita berubah juga. Saya masih bersetuju bahawa untuk menjadi kaya, kita perlu memperbanyakkan pelaburan yang menghasilkan aliran pendapatan pasif, Walau bagaimanapun, pendekatan seperti itu sudah sangat biasa. Suatu perkara yang kita perlu tahu, dunia kita semakin berubah tatkala ini.

Berikut adalah nasihat # 1 yang saya boleh berikan kepada anda pada hari ini.

Hentikan bergantung kepada orang lain untuk menjaga dan mencorakkan masa depan anda.

  • Bukan ibu bapa anda.
  • Anak-anak anda.
  • Bukan Kerajaan.
  • Tiada sesiapa pun.


Menjimatkan wang dan berharap bahawa simpanan yang dilakukan mampu menjadikan kita KAYA adalah benar-benar satu pembaziran masa dan tenaga. Seperti yang kita sedia maklum, sikap membazir itu amat mudah dilakukan.

Jadi, apa yang perlu seseorang itu lakukan?

Hayatilah konsep  KEUSAHAWANAN.

Dengar baik-baik, sekarang ini kita berada dalam zaman yang baru. Dimana ketika ini kita berada dalam Zaman DIGITAL. Zaman Perindustrian sudah berakhir dan kini ia telah digantikan dengan Zaman Maklumat. Hal ini jugalah yang telah membuka beberapa peluang utama untuk diceburi oleh semua orang.

Persoalannya adakah anda akan mengambil peluang tersebut?

Memulakan sebuah perniagaan tidak pernah lebih mudah berbanding hari ini.

Sudah tiba saatnya di dalam dunia ini dan sudah menjadi satu bentuk keperluan iaitu di mana semua orang telah menerima konsep-konsep keusahawanan dan turut menyelitkannya di dalam setiap tindakan yang dibuat oleh mereka. Ia tidak boleh disangkal lagi.


Dunia semakin teruk.

Tiada pilihan raya yang mampu membaikinya. Kerajaan kita juga tidak boleh membaikinya lagi.

Bergantunglah hanya pada satu orang dan orang itu adalah diri anda sendiri!

*Ingin mencari pendapatan sampingan dengan cara yang mudah? Hanya daftar dan jawab soal selidik, melayari iklan atau bermain permainan dalam talian secara percuma, ganjaran diberikan berupa wang dalam nilai $USD. Daftar sekarang di link ini ----> http://csl.ink/2CG5


Wednesday, 12 October 2016

Facebook kembangkan platform M-dagang

KUALA LUMPUR: Facebook Inc, pengendali rangkaian sosial Facebook, meneruskan komitmen membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia meneroka pasaran maya menerusi platform perdagangan mudah alihnya, M-dagang.

Pengarah Negara - Malaysia, Nicole Tan, berkata M-dagang adalah platform berpotensi kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan menerusi media sosial terkemuka itu yang kini memiliki lebih 19 juta akaun di negara ini. 

"Lebih 19 juta akaun di Malaysia. Lebih 13 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setiap hari. Lebih 13 juta mengakses Facebook setiap bulan menerusi peranti mudah alih dan 6.5 juta pengguna aktif Instagram sebulan. 

"Ia data menarik dan PKS atau syarikat perniagaan berskala besar perlu mengubah aktiviti pemasaran kepada M-dagang yang memiliki potensi besar untuk mereka mengembangkan perniagaan," katanya kepada media selepas sesi 'Mobile Moves Commerce' di Malaysia menerusi Facebook dan Instagram di sini, hari ini. 

Nicole berkata, berdasarkan data yang diperoleh Facebook, perniagaan mudah alih berkembang 300 peratus berbanding e-dagang tahun ini, sekali gus membuktikan peranti mudah alih mengubah cara rakyat meneroka dan berhubung dengan perniagaan. 

Katanya, sebanyak 94 peratus rakyat Malaysia meninjau produk dan jenama menerusi Facebook dan tiga daripada lima rakyat Malaysia membuat pembelian selepas meninjau promosi yang ditawarkan menerusi rangkaian sosial itu. 

Beliau berkata, dengan pertumbuhan pesat budaya mudah alih di Malaysia yang menyaksikan satu daripada dua rakyat negara ini memiliki telefon mudah alih, ia sudah tentu membuka ruang kepada syarikat berkaitan meneroka peluang menerusi M-dagang. 

"Dengan kebanyakan rakyat Malaysia memperuntukkan lebih tiga jam sehari melayari internet, ia pasti sesuatu yang amat berpotensi kepada syarikat menggunakan platform kami untuk mempromosi dan 'menjual' produk," katanya. 

Info: 

* 1.7 bilion pengguna global menggunakan Facebook sebulan 
* 1 bilion guna Messenger sebulan 
* 1 bilion guna aplikasi Whatsapp sebulan 
* Sebahagian rakyat Malaysia peruntuk lebih tiga jam sehari melayari internet

Sunday, 2 October 2016

Lampu isyarat cetus kerugian ekonomi


UMUM mengetahui fungsi lampu isyarat pada dasarnya adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas agar lalu lintas bergerak dengan lebih teratur. Ia ditempatkan di persimpangan jalan, lintasan pejalan kaki dan lokasi yang dirasakan perlu.

Penggunaan sistem lampu isyarat pertama kali diperkenalkan di England, United Kingdom (UK) iaitu di daerah Westminster pada 10 Disember 1868 dan ketika itu ia menggunakan lampu gas dan perlu dikendalikan secara manual. 

Namun begitu, Institut Hal Ehwal Ekonomi (IEA) UK, baru-baru mengeluarkan laporan kajian 'Seeing Red: Traffic Controls and the Economy', mendapati UK mengalami kerugian ekonomi lebih dari 16 bilion pound (RM85 bilion) setahun berikutan kesesakan trafik akibat terlalu banyak lampu isyarat. 

Agensi pemantauan lalu lintas berkenaan mencadangkan, lapan daripada 10 lampu isyarat di UK perlu dihentikan kerana ia sebenarnya menggugat keselamatan jalan raya, ekonomi dan alam sekitar.

Laporan itu mencadangkan supaya alternatif baharu dicari jika lampu isyarat dihentikan, sistem jalan raya direka kembali agar ia lebih bersifat terbuka dan berkonsepkan perkongsian antara pengguna. Ia sebagai mekanisma memaksa pemandu, penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki supaya lebih bertanggung-jawab serta berwaspada dengan bergerak lebih perlahan di persimpangan jalan. 

Antara kes dirujuk adalah pekan kecil, Kent, Ashford yang menghentikan penggunaan lampu isyaratnya pada 2008 dan kemudian menstruktur semula jalan raya agar menjadi lebih mesra pengguna. 

Hasilnya, angka kemalangan susut 41 peratus dan kesesakan jalan raya berjaya dikurangkan walaupun pertambahan jumlah kenderaan di kawasan terbabit. Walau begitu di negara kita, masih belum ada kajian sebegini dibuat. 

Sebahagian besar daripada kita sendiri kadangkala terasa ada lampu isyarat yang ditempuhi setiap hari tidak sepatutnya diletakkan di lokasi berkenaan. Bahkan lebih meresahkan apabila menunggu di lampu merah terlalu lama menyebabkan kesesakan panjang sedangkan di jalan bertentangan yang lengang. Lihat saja berapa ramai yang melanggar lampu isyarat mungkin kerana tidak tahan menunggu lama di persimpangan kosong. Saya sering pulang ke kampung di Kangar, Perlis.

Seingat saya, pada sekitar tahun 80-an bandar Kangar hanya ada kurang daripada lima lampu isyarat, sehinggakan ia adakalanya menjadi bahan jenaka rakan warga bandar lain sewaktu saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi ibu kota. 

Namun itu bukan isunya. Kini berpuluh-puluh mungkin beratus lampu isyarat diletakkan di bandar kecil itu. Perkara ini sangat meresahkan dan ada daripadanya dirasakan membuang masa kerana ia tidak diperlukan di situ.

Banyak alternatif lain yang lebih sesuai seperti susur pusingan U atau bulatan, jika dirasakan jejambat itu terlalu mahal. Janganlah dijadikan lampu isyarat sebagai lambang kemajuan. Saya rasa banyak lagi tempat lain khususnya bandar kecil di negara ini berdepan situasi serupa. 

Mungkin tiba masanya pihak kerajaan, universiti tempatan dan pihak majlis bandaran memberi perhatian mengkaji alternatif kepada lampu isyarat serta struktur jalan raya tempatan yang lebih sesuai dan selamat untuk mengurangkan kesesakan.

Kamarulzaidi Kamis
Kolumnis Berita Harian (BH)