Showing posts with label Defense. Show all posts
Showing posts with label Defense. Show all posts

Wednesday, 24 January 2018

Kebangkitan semula tentera Jepun di Asia

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berdiri tengah, meninjau perbarisan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF).


JEPUN mempunyai bala tentera yang digeruni, lengkap dengan persenjataan serba canggih berbanding negara-negara lain di Asia lain semasa Tokyo terlibat dalam Perang Dunia Kedua beberapa dekad lalu.

Malah, siapa sangka, tentera Nippon juga memiliki dua buah kapal perang paling besar di dunia iaitu Yamato dan Mushashi. 

Kapal seberat 72,000 tan dan panjang lebih 260 meter itu menjadi simbol kekuatan  armada Jepun di laut.

Malah, Jepun ketika itu setanding dengan Amerika Syarikat (AS)  apabila mempunyai bukan satu atau dua tetapi 10 buah kapal pengangkut pesawat. Kapal induknya, Shinano adalah antara yang paling besar ketika itu. 

Umum juga  tahu bahawa letupan dua bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menjadi titik noktah cita-cita imperialisme Tokyo.

Selepas negara itu diduduki tentera AS dalam tahun 1945 hingga 1952, Jepun mendapatkan semula kemerdekaannya. Namun, tenteranya  yang kuat suatu masa dahulu hanya tinggal sejarah.

Di bawah perlembagaan pasca perang yang digubal, Jepun dilarang daripada melancarkan perang, manakala pada tahun 1954, tentera Jepun berwajah baharu dinamakan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) ditubuhkan. 

Jika dilihat pada namanya, tentera baharu itu hanya sekadar memenuhi syarat sebuah negara yang merdeka dan dipenuhi dengan kekangan. Rakyat Jepun amnya, sudah jelik dengan perang dan kuasa tentera Asia yang dahulunya gah ibarat harimau yang hilang taring. 

Sejak penubuhannya, JSDF bukan sahaja pasukan tentera yang tidak digeruni, malah tidak pernah menyertai sebarang pertempuran.

Dari aspek perlembagaan, tiada halangan untuk Jepun muncul semula sebagai kuasa tentera utama seperti beberapa dekad lalu, namun rakyat dan pemimpinnya memberi tumpuan untuk memacu negara itu untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia.

Namun, perkembangan di Asia termasuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sehingga menceroboh sempadan wilayah Jepun dan keberanian China dalam isu tuntutan bertindih membuka mata Tokyo bahawa ia tidak selamanya boleh bergantung kepada pakatan pertahanan dengan AS.

Jepun sebenarnya mempunyai teknologi dan kepakaran jika ia mahu mempersenjatai semula angkatan tenteranya. Negara itu mempunyai lebih 300,000 askar termasuk pasukan  simpanan, hampir 3,000 kereta kebal dan perisai, lebih 200 artileri, kira-kira 100 peluru berpandu, hampir 1,700 pesawat tentera, 129 kapal dan 17 kapal selam. 

Jepun juga mempunyai dua buah kapal induk, Izumo dan Kaga yang berselindung di sebalik nama kapal pengangkut helikopter. Tokyo merancang mengubah suai kedua-dua kapal itu untuk fungsi sebenarnya, sebagai pangkalan bergerak untuk pesawat tempur. 

Dari aspek peluru berpandu pula termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Jepun tidak memilikinya, namun, harus diingat, Tokyo mampu  melancarkan roket dan satelit sendiri ke angkasa lepas. 

Ia bermakna Tokyo hanya memerlukan masa beberapa bulan sahaja untuk mengubah suai teknologi itu untuk menghasilkan ICBM sendiri.

Perkembangan semasa di Semenanjung Korea dan Laut Timur mendorong kebangkitan semula angkatan tentera Jepun. Dasar pasif yang sinonim dengan JSDF juga akan dirombak menjelang tahun 2020.

Perkembangan itu bakal menyaksikan sebuah kuasa tentera baharu akan muncul di rantau Asia selain China, India, Pakistan dan Korea Utara. 

Kebangkitan semula itu sedikit sebanyak akan mengubah status quo di rantau itu, sama ada ke arah kestabilan ataupun sebaliknya.  

Kredit: Wan Azhar Wan Abdullah

Sunday, 29 October 2017

ATM terima aset ketenteraan baharu

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
PALOH - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima lebih 20 aset baharu menerusi pembentangan bajet 2018 yang diumumkan semalam bagi meningkatkan kesiapsiagaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menyambut baik dan berpuas hati dengan peruntukan RM14 bilion yang diumumkan bagi dimanfaatkan untuk melaksanakan perolehan aset-aset baharu serta menyelenggara dan menaik taraf aset sedia ada di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Menteri Tugas- Tugas Khas berkata, bagi perolehan aset baharu, TDM akan menerima enam helikopter 'Light Attack' (MD 530-G), meriam 155mm Self Propelled Howitzer, meriam 105mm Pack Howitzer dan peralatan khas bagi Getup Gerak Khas (GGK).

"Perolehan aset dan kelengkapan latihan GGK ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani ancaman keselamatan semasa terutamanya ancaman militan Daesh.

"Bagi TLDM, akan menerima enam Littioral Combat Ship (LCS) dan empat Littoral Mission Ship (LMS) yang mana masing-masing masih di dalam proses pembinaan.

"Kapal kelas kelima yang dirancang untuk diperolehi di bawah program Transformasi 15-to-15 ini pula adalah Multi Role Support Ship (MRSS) yang mana saya telah arah TLDM untuk mengkaji perolehan kapal tersebut.

"Manakala bagi TUDM, kerajaan telah meluluskan perolehan empat unit pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang akan digunakan untuk mengawasi perairan negara termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka di bawah program Malacca Straits Patrol," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Task Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Paloh.

Selain itu, Hishamuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan menggunakkan peruntukkan sebanyak RM22 juta untuk menaiktaraf pos kawalan sedia ada serta membina 18 pos kawalan baharu di sempadan Sabah, Sarawak dengan Kalimantan.

Katanya, penaiktarafan itu melibatkan lima POS kawalan sedia ada yang dinaik taraf menjadi POS Gabungan, iaitu dua di Sabah (Pos Saliliran dan Pos Serudong) serta tiga di Sarawak (Pos Kandie, Pos Tebedu dan Pos Serikin).

"Inisiatif ini diharap mampu memantapkan lagi tahap keselamatan di Sabah dan Sarawak serta menangani ancaman keselamatan semasa," katanya.

Friday, 16 June 2017

4 pelajar Malaysia di akademi tentera AS



KUALA LUMPUR – Empat pelajar Malaysia terpilih menerima tajaan melanjutkan pengajian ke akademi tentera di Amerika Syarikat (AS) bagi sesi pengambilan tahun ini.

Pemangku Duta AS di negara ini, Edgard Kagan berkata, dua daripada mereka, Wan Kamal Fitri Wan Kamal, 19, dan P.M. Sayniish, 19, akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera AS (USMA) di West Point, New York, Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 18, ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland manakala Muhammad Salihin Mohd. Sabri, 19, melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado.

“Seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dan tiga orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima tajaan penuh masing-masing bernilai RM2 juta untuk membia­yai pembelajaran dan mengikuti latihan di akademi-akademi yang terpilih itu.

“Saya tidak fikir ada negara yang mempunyai lebih daripada empat orang pegawai kadet layak ke akademi ketenteraan dengan tajaan penuh dalam satu tahun dan saya sangat kagum dengan prestasi calon-calon di Malaysia yang sangat dedikasi, berkualiti serta berkebolehan tinggi,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis menghargai keempat-empat pelajar itu di sini, hari ini.

Empat pelajar yang mempu­nyai latar belakang keluarga dalam bidang ketenteraan itu merupakan antara 50 pelajar antarabangsa bertuah yang layak menerima tajaan tersebut.

Sementara itu, Sayniish berkata, kejayaannya melanjutkan pelajaran ke akademi berprestij berkenaan didedikasi kepada mendiang bapa saudaranya, Mejar C. Kayamboo yang terkorban dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, tahun lalu.

“Walaupun agak gemuruh kerana pertama kali akan ke AS, tetapi saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menimba sebanyak mana pengalaman dan ilmu untuk dibawa balik dan dipraktikkan di Malaysia kelak,” katanya.

Muhammad Salihin pula memberitahu, penerimaannya ke USAFA umpama sudah selangkah untuk menjadi seperti idolanya yang juga merupakan bapa saudaranya, bekas Panglima TUDM, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz.

“Sejak umur lapan tahun, saya sudah bercita-cita menjadi seorang juruterbang tetapi saya mula mahu menjadi juruterbang TUDM apabila menginjak umur enam belas tahun dengan menjadikan bapa saudara sebagai inspirasi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamal Fitri menjelaskan, dia ingin mewarisi darah ketenteraan bapanya yang merupakan anggota TUDM.

“Sebagai seorang anak tentera, saya sudah didedahkan dengan dunia ketenteraan sejak kecil dan itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bidang ini,” ujarnya.

Tuesday, 23 May 2017

Bot KD Perdana hilang ditemui

Jenis bot yang dinaiki oleh sembilan anggota TLDM.

JOHOR BAHRU – Sebuah bot dinaiki oleh sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang sejak Sabtu lalu di perairan Sedili, Kota Tinggi dekat sini akhirnya ditemui di timur perairan Kuantan, Pahang semalam.

Bot itu berjaya dikesan oleh sebuah kapal dagang selepas terputus hubungan selama 51 jam dengan kapal KD Perdana.

Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, bot berkenaan telah dikesan oleh kapal dagang pada kedudukan kira-kira 90 batu nautika di timur perairan Kuantan pada pukul 4 petang semalam.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, sebuah pesawat Beechcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia telah dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk melakukan tinjauan.

“Kesemua kru dalam keadaan baik dan selamat,” ujar Ahmad Kamarulzzaman dalam laman Twitternya malam tadi.

Thursday, 23 March 2017

Kontrak perolehan pertahanan negara bernilai RM3.8 bilion dimeterai pada LIMA '17


LANGKAWI - Hari ketiga Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) menyaksikan kontrak dan perjanjian persefahaman (MoU) perolehan bernilai RM3.8 dimeterai.

Kontrak terbesar ialah bagi pembelian empat buah kapal misi pesisir untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dengan firma Boustead Naval Shipyard (BNS) bernilai RM1.1 bilion.

Ini merupakan projek usahasama antara kerajaan Malaysia dan China secara rundingan terus dengan BNS.

Turut dimeterai ialah Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf 10 pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia, perolehan peluru berpandu pesawat Sukhoi SU-30MKM dan senggaraan kereta kebal PT-91M Pendekar.

Ketiga-tiga LOI ini bernilai kira-kira RM532 juta.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak pagi tadi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Wednesday, 22 March 2017

TUDM lengkap penerimaan 4 pesawat A400M


LANGKAWI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sebuah lagi pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus, A400M menjadikan jumlah keseluruhan empat buah yang diterima pasukan keselamatan itu sejak 2015. 

Pesawat A400M adalah pesawat moden dari segi teknologi berbanding C130 yang berada dalam inventori TUDM. Berdasarkan rekod, A400M pertama diterima pada 9 Mac 2015 diikuti pesawat kedua dan ketiga masing-masing pada Januari dan Jun tahun lalu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerima plak daripada Ketua Pesawat Tentera Airbus Fernando Alonso sebagai simbolik penyerahan pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. Majlis penyerahan rasmi pesawat untuk kegunaan No 22 Skuadron TUDM itu adalah antara atur cara yang disusun bagi memeriahkan segmen aeroangkasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) yang memasuki hari kedua hari ini.

Wednesday, 14 December 2016

Rusia tawar teknologi antikeganasan canggih

Rusia sedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dan paling maju.

MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin memberitahu negaranya bersedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dengan dunia.

"Kami sedia menawarkan peralatan paling maju termasuk pesawat tempur, sistem pertahanan udara, sistem pelancaran roket berganda dan kereta perisai," katanya ketika mesyuarat Suruhanjaya bagi Kerjasama Teknikal Tentera Rusia dengan Negara Luar, kelmarin.

Menurutnya, pengganas di seluruh dunia telah membentuk kumpulan bersenjata terlatih yang besar dan menggunakan senjata buatan Barat.

Putin dalam satu kenyataan berkata, kononnya Rusia memberi sumbangan besar dalam peperangan menentang keganasan antarabangsa dan menduduki tangga kedua dalam pasaran senjata di dunia.

Difahamkan, portfolio eksport senjata Moscow kini bernilai lebih AS$50 bilion (RM221 bilion) dengan 100 negara menjadi menjadi rakan dagangan.

Tahun lalu, Rusia telah menjual senjata dan peluru kepada kira-kira 58 negara asing. - Press TV

Tuesday, 29 November 2016

Pasukan Elit COBRA Kastam Ditubuhkan Secara Rasmi

Khazali memakaikan lencana pada baju seragam salah seorang anggota Cobra pada majlis pelancaran pasukan itu di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu semalam.

SETIU – Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) akan ditugaskan untuk mengikuti setiap operasi berprofil dan berisiko tinggi bagi melindungi pegawai daripada ancaman dan ugutan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pasukan taktikal tersebut ditubuhkan berikutan terdapat beberapa ancaman dan gangguan yang sering menimpa anggota penguat kuasa sehingga melibatkan kehilangan nyawa sejak akhir-akhir ini.

“Setakat tahun ini sahaja, pegawai dan anggota JKDM termasuk saya sendiri telah menerima sekurang-kurangnya 15 ancaman. Paling serius apabila seorang pegawai kastam cawangan Rantau Panjang maut akibat dirempuh ke­nderaan milik tonto di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan pada awal Oktober lalu.

“Cobra akan ditugaskan untuk mengikuti setiap operasi berprofil dan berisiko tinggi bagi melindu­ngi pegawai JKDM terlibat selepas ini,” katanya pada majlis pelancaran Cobra di Lapang Sasar Lembah Bidong di sini semalam.

Wednesday, 2 November 2016

Malaysia sah beli kapal tentera laut dari China

Majlis menandatangani MoU kerjasama pertahanan antara Hishamuddin dengan Jeneral Chang Wanquan di Beijing, semalam.
Beijing: Lawatan rasmi ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bukan hanya bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan.

Perdana menteri berkata dari segi kejayaan perjanjian perdagangan, Malaysia dan syarikat China melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Pada sidang media bersama media Malaysia di sini, semalam, Najib berkata kerajaan Malaysia turut mencapai keputusan bersejarah membeli empat Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya dibina di China dan dua lagi di Malaysia.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah kapal itu akan ditambah jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpuas hati dengan kapal dihasilkan itu yang dijangka dapat disiapkan dalam masa dua tahun.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kali pertama Malaysia membeli peralatan tentera dari China dan ia dibuat atas cadangan TLDM berdasarkan harganya yang murah serta memenuhi keperluan mereka.

Menurutnya, pembelian itu menggunakan lebihan peruntukan TLDM untuk membaik pulih kapal bagi menggantikan Laksamana-class Corvettes yang perlu diganti.

Najib juga membangkitkan kesalinghubungan udara kepada rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, dengan berharap kerajaan China dapat mengkaji waktu penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines ke negara itu yang kini hanya pada lewat malam atau awal pagi kepada waktu yang lebih selesa kepada penumpang.

Ditanya mengenai jumlah pelaburan dan perjanjian perniagaan besar yang diperuntukkan kepada China berbanding negara lain, Najib berkata keputusan itu dibuat berdasarkan realiti ekonomi, malah sesetengah peluang perniagaan yang diberi kepada China turut ditawarkan kepada negara lain.

Bagaimanapun katanya, negara yang turut ditawarkan itu tidak mempunyai kemampuan kewangan dan kepakaran untuk menerima projek berkenaan.

"Kita turut mengambil kira kebaikan yang kita peroleh daripada perjanjian perniagaan itu," katanya.

Saturday, 8 October 2016

PDRM pantau pegawai, anggota obesiti

Datuk Seri Zulkifli Abdullah
GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil data untuk memantau pegawai dan anggotanya yang mengalami masalah obesiti mulai tahun depan bagi mencapai sasaran misi 'Rapi dan Cergas' menjelang 2018.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasti 10,000 pegawai serta anggota yang berdepan masalah berat badan dan berharap menjelang 2018, sebanyak 90 peratus daripada pasukan itu akan cergas.

"Kami mahu pegawai serta anggota yang aktif dan jika mereka gagal mencapai sasaran yang diberikan, ia akan memberi kesan kepada karier mereka dalam pasukan," katanya pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat PDRM di sini hari ini.

Beliau juga menggesa semua pegawai dan anggota untuk mengurangkan berat badan mulai sekarang atau mencapai berat badan yang sesuai bagi memenuhi sasaran yang diberikan.

Mulai 1 Januari 2018, PDRM akan menguatkuasakan syarat kepada pegawai dan anggota mereka untuk lulus ujian kecergasan sebelum dinaikkan pangkat atau disahkan jawatan. - Bernama

Monday, 26 September 2016

AS akan ganti 400 misil nuklear

Gambar fail tidak bertarikh menunjukkan sebuah misil antara benua Titan II diuji di Vandenberg, California.
WASHINGTON – Terlindung di dalam lubang konkrit ba­wah tanah di pedalaman Amerika Syarikat (AS), terdapat lebih 400 peluru berpandu balistik antara benua yang sedia untuk menghancurkan mana-mana bandar raya di dunia.

Dibina dalam tahun 1960-an semasa kemuncak Perang Dingin, armada senjata nuklear AS yang dikenali sebagai Minuteman III itu kini semakin usang dan alat ganti­nya sukar diperoleh ekoran ia direka pada era analog.

Lubang-lubang konkrit dan keluli yang menempatkan misil nuklear itu juga merekah dan berkarat akibat dimasuki air.

Dalam masa 20 tahun lagi, Tentera Udara AS mahu menukar keseluruhan armada Mi­nuteman III itu de­ngan peluru berpandu baharu yang belum lagi dinamakan dan hanya dikenali sebagai Pencegah Strategik Pangkalan Darat (GBSD).

Tentera Udara AS menganggarkan kos GBSD mencecah AS$86 bilion (RM354.8 bilion) sepanjang kitaran hayatnya selama 50 tahun. Senjata baharu itu akan diperkenalkan pada penghujung 2020-an.

Pengkritik-pengkritik bagaimanapun berkata, persenjataan itu terlalu mahal dan tidak efisien berdasarkan ancaman semasa yang dihadapi AS.

“Tentera Udara juga tidak tahu bagaimana kita dapat membiayai persenjataan ini,” kata pakar nuklear Washington, Laicie Heeley.

“Senjata nuklear menyemakkan sistem senjata konvensyen yang nyata lebih efisien untuk mena­ngani ancaman hari ini,” tambahnya.

Tentera Udara AS meminta vendor-vendor mengemukakan cadangan untuk menggantikan Minuteman. Senjata itu dinamakan sempena seorang militia berpangkat kolonel yang menentang British semasa Perang Revolusi Amerika.

Kontrak itu dijangka diberikan kepada salah satu daripada tiga gergasi pertahanan AS iaitu Lockheed Martin, Northrop Grumman atau Boeing.

Peluru berpandu antara be­nua AS merupakan satu dari­pada tiga kaedah serangan nuklear yang turut melibatkan armada kapal selam dan pesawat pengebom.

Pentagon mahu mengganti dan memodenkan ketiga-tiga persenjataan itu dalam tempoh 30 tahun lagi pada kos sekitar AS$1 trilion (RM4.1 trilion). – AFP 

Wednesday, 21 September 2016

Malaysia tidak akan jadi negara polis

Tan Sri Khalid Abu Bakar
SINTOK - Malaysia tidak mungkin menjadi sebuah negara polis memandangkan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Perlembagaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mempersoalkan sama ada Malaysia sudah menjadi negara polis apabila Khalid dikatakan seolah-olah tidak boleh ditegur, ternyata tidak berasas.

"Negara kita tidak boleh menjadi negara polis kerana jika kita tidak patuhi undang-undang kita akan diambil tindakan. Macam mana negara ini menjadi negara polis, kami juga subjek kepada peraturan Perlembagaan dan undang-undang begitu juga Anggota Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Dialog Bersama Ketua Polis Negara: Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Keselamatan Negara di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Semalam, Lim dalam sebuah portal berita mendakwa Khalid dengan angkuh memberi amaran kepada Teo Nie Ching yang mendesak polis menjalankan siasatan segera berhubung satu dakwaan ugutan terhadap pemimpin BERSIH 2 Maria Chin Abdullah, supaya tutup mulut.

Khalid berkata, beliau bukannya menghalang Teo daripada bersuara, sebaliknya hanya bertanya kembali kenapa Anggota Parlimen Kulai itu tidak mempersoalkan tindakan beliau (Khalid) yang tidak menahan Maria Chin yang turut melanggar undang-undang.

"Nampak dia (Teo) cuba politikkan isu ini, kalau nak tegur membina saya terima tapi kalau nak jatuhkan kita nak tuduh seperti berat sebelah itu saya tidak boleh terima," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau tidak menafikan terdapat usaha merekrut mahasiswa untuk menyertai militan Daesh namun pihaknya melalui pasukan khas Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi dalam membanteras cubaan tersebut.

"Mereka (Daesh) akan pengaruhi sesiapa sahaja seperti mahasiswa dan mereka yang mempunyai masalah, kerana mereka ini selalu memerlukan bahu untuk bersandar, kalau mereka (Daesh) bagi macam-macam, dia (mahasiswa) akan terpengaruh dengan apa jua dakyah," katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata kajian UUM melalui Institute for Youth Research (IYRES) yang dijalankan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) UUM mendapati bahawa wujud potensi penerimaan mahasiswa terhadap Daesh walaupun jumlahnya kecil.

"Kajian ini merupakan 'pioneer' (perintis) dalam bidang yang melibatkan Daesh dan ianya merangkumi jumlah responden seramai 2,000 orang yang dibahagikan mengikut empat zon di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Didapati 15.1 peratus responden menghormati fahaman Daesh, sanggup menyumbang tenaga (19.5 peratus), mengiktiraf balasan syurga untuk perjuangan Daesh (9.3 peratus) dan 7.9 peratus sanggup menderma untuk Daesh," katanya.

Justeru, beliau berkata ancaman Daesh perlu segera dibendung melalui langkah konkrit seperti memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai Daesh kerana mahasiswa tidak mempunyai gambaran yang sebenar mengenai bahaya ancaman tersebut. - Bernama

Thursday, 25 August 2016

Pak Din tempur komunis seorang diri


USIA Muhammad Nordin Tuah yang kini mencecah 76 tahun digolongkan sebagai warga emas. Kadang-kadang, individu yang menjangkau usia itu tidak mampu lagi mengingati banyak peristiwa lama.

Namun, detik-detik cemas berdepan pengganas komunis sering menerjah ingatan Muhammad Nordin. Peristiwa itu terpahat kukuh dalam mindanya setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara.

“Peluru datang bersimpang siur. Apa yang saya ingat, lima melekat di tubuh dan berbelas-belas lagi mencalar serta mengoyakkan kulit badan saya. Masa itu, saya hanya fikir Allah, matilah aku lepas ini,” kata bekas Sarjan Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi hari Jumaat, 8 Mac 1979 itu menjadi kenangan sepanjang hidupnya. Ini kerana, satu daripada peluru tembakan itu masih kekal terbenam pada paha kirinya.

Dia yang mesra dipanggil Pak Din lebih rela membiarkan peluru itu daripada menjalani pembedahan yang berisiko untuk lumpuh.

Menceritakan kembali detik berdepan serangan komunis itu, Pak Din yang ketika itu berusia 39 tahun ditugaskan berkonvoi tiga buah kenderaan dari Pekan Kroh (kini Pengkalan Hulu, Perak) menuju ke sebuah markas tentera berhampiran sempadan Malaysia-Thailand antara Air Panas dengan Betong untuk menghantar bekalan makanan.

Jarak Pekan Kroh dengan lokasi kejadian dianggarkan lima kilometer.

Getir

Malangnya, di satu selekoh berhampiran satu kawasan tanaman getah di Batu 135 Jalan Kroh-Betong, kenderaan yang dinaiki Pak Din bersama empat lagi anggota telah diserang hendap oleh pengganas komunis dari arah sisi kenderaan.

Sewaktu itu, konvoi tiga kenderaan tersebut terpaksa melalui jalan sempit yang kanan dan kirinya adalah berlereng tinggi. Hanya kereta perisai yang dinaiki Pak Din telah memasuki kawasan pengganas manakala dua buah kenderaan lagi terselamat kerana berada kira-kira 100 meter ke belakang.

Bagaimanapun, sudah terlewat untuk memberi amaran kepada mereka yang lain.

“Saya lihat dua rakan saya di belakang terbujur kaku terkena tembakan di kepala dan badan manakala pemandu parah terkena tembakan pada perut serta paha. Seorang lagi cedera teruk. Kemudiannya, saya terdengar sayup mereka (pengganas) bersorak kemenangan,” katanya.

Walaupun rasa geram, dia menunggu sehingga pihak musuh kehabisan peluru sebelum bertindak melompat keluar dari kenderaan itu bagi menuntut bela.

“Bila senjata automatik musuh berhenti (mungkin kerana kehabisan peluru), saya terus melompat keluar dan berlindung di sebalik kereta untuk berbalas tembakan menggunakan senjata Colt M16. Masa itu, rakan saya yang cedera parah berlari ke arah saya untuk membantu tetapi saya arahkan dia meniarap dan cari perlindungan,” katanya.

Pak Din berkata, 15 minit waktu getir itu bagaikan suatu masa yang dirasakan terlalu lama.

“Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan pengganas komunis mahu berhenti menembak ke arah kenderaan kami. Apabila saya mula melepaskan tembakan, selang beberapa minit kemudian saya terdengar sayup-sayup satu perkataan chow chow chow menyuruh pengganas lain berundur.

“Waktu itu, saya juga terbayang wajah isteri yang sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat di rumah emaknya,” kata Pak Din.

Tindakan nekad berbalas tembakan itu secara tidak langsung mengejutkan pengganas komunis dan memaksa mereka meninggalkan tempat kejadian.

Sebaik berasa yakin komunis masuk semula ke hutan, Pak Din yang mengalami kecederaan menggagahkan diri berjalan kira-kira 100 meter ke arah kereta perisai kedua untuk meminta bantuan. Kereta perisai kedua itu berhenti di belakang selepas mendengar tembakan.

Sebuah helikopter tiba selepas 45 minit daripada kejadian tembakan itu bagi menerbangkan Pak Din dan dua lagi yang cedera ke Hospital Pulau Pinang.

Dia terlantar beberapa hari di hospital bagi mengeluarkan peluru dan sehingga kini masih terdapat sebutir peluru terbenam pada pahanya.

“Saya meminta doktor mengeluarkan peluru ini tetapi mereka memberitahu mengenai risiko yang boleh mengakibatkan saya lumpuh kerana paha merupakan kawasan urat dan pembuluh darah,” katanya.

Menurutnya, sewaktu terlantar di hospital, dia meminta pegawai atasan agar tidak memberitahu isterinya, Fatimah Abd Rahman yang ketika itu berusia 36 tahun bagi mengelakkan kerisauan, namun bahagian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ipoh telah memberitahunya.

Terharu

“Isteri saya yang baru 10 hari berpantang sanggup datang bersama emaknya ke Pulau Pinang dengan menyewa teksi. Dia menangis apabila nampak saya. Saya terharu kerana dia dan keluarga sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melawat saya,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Kejadian serangan komunis di Kroh itu mendapat liputan media dan terpampang di beberapa dada akhbar tempatan apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh yang juga Pengarah Gerakan Negeri (MKN) melakukan lawatan ke daerah kecil itu sehari selepas kejadian tersebut.

Pak Din menyertai askar pada Oktober 1960 dan bersara pada Oktober 1984 sebagai Pegawai Waran II di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaya (UM).

“Tidak lama lepas kejadian itu, saya bertugas sebagai jurulatih pegawai kadet Maktab Tentera Sungai Besi dan dua tahun sebelum pencen, saya menjadi jurulatih Pegawai Kadet Palapes UM,” katanya yang kini mempunyai 10 cucu.

Dalam tempoh perkhidmatan selama 24 tahun, dia pernah ditugaskan ke Congo untuk menjalani misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Januari 1962 hingga April 1963.

Selepas pencen, beliau bersama isterinya berpindah ke Teluk Intan dan membina rumah di atas tanah milik keluarganya berhampiran Taman Padang Tembak, Perak. – Bernama

Friday, 12 August 2016

Ditangkap Kerana Cuba Memasuki Kem Tentera Untuk Mencari POKEMON

Lee Kan Seng ditahan oleh anggota tentera ketika cuba memasuki Kem Majidee, Batu Pahat.
Hasil siasatan mendapati punca sebenar untuk masuk kem tersebut ialah mencari pokemon..padah akibat taksub bermain Pokemon GO.

Assalamualaikum YBhg Dato'.

*Laporan awal tangkapan orang Awam berpakaian lengkap tentera untuk memasuki kem Tentera.*

1. Pasukan: 10 RAMD Kem Majidee, Batu Pahat.

2. Tarikh penangkapan: pada *10 Ogos 16.*

3. Lokasi penangkapan: Balai Pengawal Hadapan 10 RAMD Kem Majidee, Batu Pahat.

4. Ringkasan Tangkapan: Pada 10 1155H Ogos 2016. 1 x orang Awam berpakaian lengkap Tentera Darat Malaysia dengan menaiki motosikal Yamaha LC 135, warna merah No pendaftaran JMR 3251 telah Cuba memasuki kem melalui balai pengawal utama kem. Ketua Pengawal bertugas iaitu 1143500 Kpl Mohamad Rafidi bin Che Man telah menahan anggota tersebut dan mengarahkannya memperkenalkan diri. Anggota tersebut gagal memperkenalkan diri kerana tidak membawa My Kad bersamanya Dan memaklumkan tujuan hendak masuk kem adalah untuk belajar tentera. Anggota seterusnya telah ditahan untuk soal siasat.

5. Butiran penangkapan adalah seperti berikut:

a. Nama : Lee Kan Seng.
b. No My Kad : 990712-01-5119
c. Alamat : 1151 SP/5 Taman Sri Panchor, Japan Kluang Batu Pahat.
d. Umur : 17 Tahun.
e. Warganegara : Malaysia.
f. Bangsa : Cina.

6. Perkara telah dimaklumkan kepada DKM Kluang dan MIO Batu Pahat untuk siasatan selanjutnya.

Sekian untuk maklumat YBhg Dato'. Terima Kasih.

Sumber: Grup Gerak Khas

Wednesday, 27 July 2016

NATO diingat bersiap sedia lindungi Poland daripada ancaman Rusia

WARSAW – Satu kajian baharu memberi amaran bahawa Rusia cuma memerlukan semalaman untuk menakluki Poland pada bila-bila masa sahaja, manakala tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mesti bersedia untuk melindungi Poland.

Dasar luar agresif Rusia di bawah Presiden Vladimir Putin mendorong negara-negara serantau berwaspada selepas Moscow merampas Semenanjung Crimea daripada Ukraine, demikian me­nurut akhbar Sun.

Badan pemikir Eropah, Majlis Atlantik memberi amaran: “Walaupun Moscow ketika ini tidak berhasrat mencabar NATO secara terang-terangan, pendirian ini boleh berubah dalam masa singkat,”.

Badan itu menjelaskan bahawa operasi tentera Rusia amat pantas dan memberi amaran kepada Poland serta sekutunya supaya segera menambah persenjataan sebagai langkah pencegahan.

Malah, laporan itu turut mencadangkan beberapa sasaran serangan ke atas Rusia sekiranya situasi memaksa termasuk Kaliningrad dan infrastruktur Metro di Moscow.

Menurut kumpulan pemikir itu, lebih banyak peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) perlu ditempatkan di rantau ber­kenaan, manakala Poland pula perlu menghalang penghijrahan keluar belianya untuk mencari pekerjaan di luar negara.

Mereka sebaliknya perlu di­serap untuk mengukuhkan pasukan tentera Poland.

Pada awal bulan ini, Presiden AS, Barack Obama mengumumkan rancangan untuk mengerahkan seramai 1,000 askarnya ke Poland, persediaan terbesar NATO sejak Perang Dingin.

Timbalan Penasihat Ke­selamatan negara AS, Ben Rhodes, menafikan Washington meningkatkan ketegangan di Eropah timur.

“Kami mahu menunjukkan bahawa akan ada tindak balas dan lebih banyak askar dihantar ke Eropah timur sekiranya Rusia terus bersikap agresif,” katanya.

Selain AS, Britain yang merupakan antara 28 anggota NATO juga akan menghantar tenteranya ke Eropah timur pada bulan ini.

Seramai 500 askar Britain akan ditempatkan di Estonia dan 150 di Poland, manakala 3,000 lagi akan dihantar ke rantau itu sekiranya aktiviti Rusia di sempadan kedua-dua negara meningkat. – Agensi

Thursday, 7 July 2016

Pastikan anggota tentera tidak terpengaruh

Majlis Pemakaian pangkat anggota LLP KAGAT
Putrajaya: Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) diberi peranan untuk memastikan anggota tentera di negara ini tidak terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan Daish.

Pada masa sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pemantauan terhadap setiap anggota tentera melaui KAGAT akan dilaksanakan secara berterusan.

"Penularan pengaruh militan Daish di seluruh dunia adalah sangat kompleks, tetapi ia bukan sesuatu yang diluar pengetahuan kerajaan.

"Ia bukan sekadar ideologi semata-mata, tetapi turut berkait rapat dengan usaha memenangi hati dan fikiran.

"Dalam kes tertentu, seseorang itu menyertai kumpulan pengganas ini kerana kesedihan peribadi, tidak puas hati dengan sesuatu perkara," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Kabinet 2016 di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan pengaruh militan Daish dalam kalangan anggota polis serta inisiatif dilaksanakan ATM bagi memastikan anggotanya tidak terpengaruh.

Hishammuddin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan segala yang mampu, khususnya berkongsi amalan terbaik dan maklumat dengan pasukan tentera lain di seluruh dunia.

Sunday, 26 June 2016

Charlie TUDM dipintas jet pejuang Indonesia

CHARLIE C130
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengesahkan menerima laporan insiden sebuah pesawat Charlie C130 dipintas oleh dua jet pejuang Indonesia dalam ruang udara berhampiran Pulau Natuna hari ini. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dipintas ketika dalam penerbangan dari Pangkalan Udara TUDM Subang ke Labuan. 

"Kita ada menerima laporan berhubung kes berkenaan tapi maklumat lengkap secara sahih belum diperoleh. "Kita akan meneliti laporan ini memandangkan belum mendapat maklumat lengkap mengenai kes ini," katanya selepas majlis penyerahan bubur lambuk di Bazar Ramadan, Setiawangsa, di sini, hari ini. 

Hishammuddin berkata, insiden seperti itu sering berlaku di negara lain dan ia bergantung kepada hubungan dua hala negara berkenaan bagi menyelesaikannya. Katanya, beliau mempunyai hubungan erat dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Riacudu dan sekiranya berlaku insiden antara Indonesia dan Malaysia ia biasanya diselesaikan secara diplomasi.

"Bila sebut Indonesia, saya tak risau kerana kebiasaannya ia dapat diselesaikan dengan baik. Saya berharap media bertanggungjawab dalam membuat laporan supaya tidak mencetuskan emosi kedua-dua negara berjiran," katanya. -BH

Thursday, 23 June 2016

APPM peroleh sembilan kapal peronda termasuk tiga OPV

KUCHING 23 Jun - Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi membina sembilan lagi kapal peronda yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih bagi meningkatkan tahap keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
AHMAD PUZI

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Kahar berkata, kapal peronda pertama dijangka siap menjelang akhir tahun ini manakala selebihnya diperoleh secara berperingkat pada tahun-tahun berikutnya.

Beliau berkata, tiga daripadanya adalah kapal peronda luar pesisir (OPV) generasi baru yang lebih besar dan dilengkapi kemudahan pendaratan helikopter, pesawat pemintas dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

"Kesemua kapal ini akan dibina dalam negara dengan kerjasama syarikat dari Jerman. Malah kepakaran dan perpindahan teknologi itu membantu memanfaatkan industri perkapalan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran Ops Pagar Laut di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), di Muara Tebas, di sini hari ini. - BERNAMA

China kerah armada nelayan

Tentera Laut Indonesia kelmarin menunjukkan kapal perang Indonesia, KRI Imam Bonjol-363 mendekati sebuah bot nelayan China (kanan) di perairan Kepulauan Natuna.
MANILA – China menggunakan armada nelayan bersama pengiring bersenjata bagi mengukuhkan lagi tuntutan maritimnya di wilayah tuntutan bertindih, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat(AS) dalam satu amaran semalam dan menyifatkan tindakan Beijing sebagai membimbangkan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kapal perang Indonesia melepaskan tembakan amaran dan menahan sebuah bot nelayan China bersama tujuh kru di Kepulauan Natuna, Laut China Selatan pada minggu lalu. Tindakan itu dikecam Beijing.

“Saya fikir ini satu trend membimbangkan untuk melihat bot-bot nelayan China diiringi oleh kapal pengawal pantai. Cara ini kelihatan digunakan untuk mengukuhkan tuntutan yang mungkin tidak sah,” kata pegawai AS itu melalui sidang video kepada wartawan di Asia Tenggara.

“Saya fikir ia menunjukkan kehadiran China yang semakin meluas (pasukan tentera dan separa tentera) dan digunakan dengan cara provokatif serta berisiko untuk menggugat kestabilan,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.

Tidak seperti beberapa negara lain di rantau ini, Indonesia tidak mempunyai isu tuntutan bertindih dengan China melibatkan pulau-pulau kecil atau te­rumbu tetapi tuntutan Beijing untuk hak menangkap ikan berhampiran Kepulauan Natuna merangkumi zon ekonomi eksklusif Jakarta.

Susulan konfrontasi pada minggu lalu, panglima armada barat tentera laut Indonesia berkata, pencerobohan bot nelayan itu adalah ‘tersusun’, menunjukkan Beijing telah ‘memberikan restunya’.

“China memprotes kerana merasakan kawasan ini (Kepulauan Natuna) milik mereka,” kata Komander Achmad Taufiqoerrochman. - AFP

Friday, 10 June 2016

Kapal perang buatan anak jati Indonesia

KAPAL perang jenis Strategic Sealift Vessel buatan PT PAL Indonesia merupakan produk utama yang dilengkapi sistem persenjataan canggih dan terkini.
Sambil membawa buku catatan kecil dan pen hitam, seorang lelaki bertubuh sedikit berisi yang bertopi putih kelihatan melangkah laju menuju ke dek kapal.

Pemuda yang memakai baju seragam biru itu menghampiri dua pekerja yang sedang merapikan ikatan tali di sisi dek.

“Ikat kuat-kuat, jangan sampai tercabut. Pastikan ikatan-ikatan itu kemas,” ucap pemuda itu.

Pemuda yang dikenali sebagai Satriyo Bintoro itu merupakan seorang individu yang bertanggungjawab menyiapkan kapal perang BRC Tarlac 601 daripada syarikat Penataran Angkatan Laut Indonesia (PT PAL Indonesia) di Surabaya, Indonesia. Mereka perlu menghantarkan kapal itu ke Pelabuhan Manila di Filipina.

Kapal perang BRC Tarlac 601 berlepas dari Surabaya pada 8 Mei lalu dan tiba pada 13 Mei selepas membelah lautan selama kira-kira lima hari empat malam.

Sebelum belayar, Satriyo atau lebih mesra dipanggil Pak Bin menghimpunkan semua pegawai yang telah diberikan tugasan untuk menghantar kapal itu ke Filipina.

“Walaupun berasal daripada pelbagai bidang berlainan, kita di atas kapal ini merupakan satu kumpulan. Laksanakan tugas kamu dengan sebaik-baiknya, sesuai dengan peranan masing-masing agar kapal ini selamat tiba di Filipina,” ujarnya memberi semangat kepada ratusan pegawainya.

Setelah memeriksa identiti dan memastikan pasport semua awak-awak lengkap, dia kembali menjalankan tugas rutin di atas kapal.

Bagaimanapun, perasaan khuatir muncul daripada raut wajahnya apabila pasport milik lapan orang petugas di bahagian dapur masih belum diserahkan.

“Kita semua tidak akan berlepas sekiranya ada seorang yang tidak membawa pasport. Kita akan tunggu sehingga semuanya lengkap,” kata pemuda yang bertugas sebagai Pengurus Unit Niaga PT PAL Indonesia itu.

Tidak lama selepas itu, lapan pasport milik petugas bahagian dapur diserahkan kepadanya.

Sepanjang perjalanan, Pak Bin tetap mundar-mandir ke sana dan ke mari bagi memastikan semua kerja yang belum selesai dapat disempurnakan dengan baik sebelum mereka tiba di Pelabuhan Manila.

“Sangat penting untuk kita tunjukkan hasil kualiti kerja yang terbaik kepada Filipina,” kata Pak Bin.

Di bahagian mesin, bahagian dalaman dan setiap inci kapal perang BRC Tarlac 601 diperiksa Pak Bin dengan begitu teliti sehinggakan waktu rehatnya hanya selepas mesyuarat dengan pegawai.

Tindakan itu bagi memastikan tugasan kerja seharian sudah selesai dan rancangan untuk hari esok disiapkan.

Buatan tempatan

Kapal perang Tarlac jenis Strategic Sealift Vessel (SSV) merupakan kapal perang pertama buatan PT PAL Indonesia yang dieksport ke luar negara.

Keistimewaannya, kapal yang ditempah oleh Kementerian Pertahanan Filipina itu bukan dibuat oleh unit kapal perang PT PAL Indonesia tetapi ia dibina oleh unit kapal komersial.

“Walaupun kami bukan daripada unit kapal perang, kami tetap bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain. Apa yang penting, kapal ini adalah buatan anak Indonesia,” kata pemuda kelahiran Surabaya itu.

Menurut Pak Bin, pada awalnya, kapal jenis SSV itu sememangnya memerlukan dok atau limbungan yang panjang iaitu minimum 150 meter.

Bagaimanapun, di PT PAL Indonesia, dok seperti itu hanya dimiliki oleh unit kapal komersial. Berikutan masalah ini, projek berkenaan diserahkan kepada pihaknya.

Selain itu, disebabkan BRC Tarlac 601 memiliki panjang 123 meter dan lebar 21.8 meter, maka proses pembuatannya perlu dilakukan di Pelabuhan Semarang yang dimiliki oleh unit kapal komersial. 

Tetamu undangan memerhatikan kapal perang BRC Tarlac 601 sebelum belayar di Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.
“Terdapat satu lagi pelabuhan iaitu di Irian, namun ia berperanan untuk membaiki kapal komersial atau kapal perang yang rosak. Oleh itu, pihak syarikat memutuskan untuk menyiapkan kapal tersebut di Pelabuhan Semarang,” jelasnya.

Keputusan itu tidak mematahkan semangat unitnya, bahkan ia menjadi satu cabaran kepada mereka untuk mengeluarkan produk kapal perang.

Lulusan Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) PAL itu mengakui, projek yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun tersebut hampir terbengkalai seketika.

Seramai 936 pekerja dikerahkan untuk menyiapkan sebuah kapal perang dengan bantuan pihak ketiga daripada subkontraktor sehingga semua proses selesai.

“Subkontraktor diberikan tugas-tugas tertentu untuk pemasangan alat pemanas dan kebersihan. Kami sudah lama menjalinkan kerjasama dan sebelum ini, kami berpuas hati dengan kerja-kerja mereka,” jelasnya.

Tambah Pak Bin, sejak kewujudan unit kapal komersial pada 1990-an itu, sudah lebih daripada 100 kapal yang dibangunkan dan mendapat tempahan daripada pelbagai negara seperti Jerman, Turki, Hong Kong serta Indonesia.

Tepati waktu

Tempoh yang diberikan kerajaan Filipina untuk menyiapkan dan menghantar kapal perang BRC Tarlac 601 adalah selama dua tahun daripada tarikh tempahan iaitu pada 13 Mei 2014.

“Apa yang penting, sebelum pukul 12 tengah malam waktu tempatan, fizikal kapal itu perlu berada di Pelabuhan Manila. Selama lima hari dari Surabaya ke Manila, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Beliau sendiri mengakui mesin kapal perang BRC Tarlac 601 sememangnya dilengkapi dengan teknologi terbaharu sehinggakan semua jurumudi berasa lebih mudah mengendalikan.

“Produk kapal keluaran PT PAL Indonesia memang diakui mempunyai kualiti yang baik dalam dunia pelayaran, bahkan beberapa negara juga mengakui ketahanan mesinnya,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, pihak syarikat ingin membuktikan kepada dunia bahawa Indonesia mampu menyiapkan kapal dalam tempoh waktu yang ditetapkan dan menjadi kebanggaan jika berjaya.

Selain itu, syarikat juga berharap kejayaan pembuatan kapal perang BRC Tarlac 601 menjadi penggerak utama kebangkitan kepada kejayaan PT PAL Indonesia, sekali gus sebagai bukti bahawa Indonesia bukan sahaja hebat dalam menguruskan sumber laut tetapi cemerlang dalam menyediakan peralatan persenjataan di laut.

“Usaha ini sesuai dengan azam Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menggambarkan negara itu sebagai sebuah negara hab maritim,” kata Pak Bin yang menjawat jawatan nombor satu di unit kapal komersial itu pada tahun 2014.

Di satu sudut lain, meskipun belum genap dua tahun menggalas jawatan itu, kualiti kerjanya diakui sangat baik.

Berbekalkan pendidikan selama hampir empat tahun di SMK PAL, ditambah lagi pendidikan peringkat Sarjana Jurusan Elektrik di Jerman selama setahun setengah, keterampilannya mampu menjadikan ia sebagai seorang pemimpin yang disegani.

“Saya akui, kualiti kerja dan kepimpinan yang ditunjukkan Pak Bin memang hebat dan dia berjaya menggalas tugas dengan baik walaupun baru memegang jawatan itu,” kata Pengarah Produksi PT PAL Indonesia, Edi Widarto.

Bukan itu sahaja, pujian berdasarkan hasil produksi kapal yang diketuai Pak Bin juga diungkapkan perwakilan daripada Filipina, Francis Alexander R. Jose yang turut serta dalam rombongan penghantaran tersebut.

“Setelah mencuba kelajuan maksimum kapal iaitu 16 knot, kapal tetap stabil dan kami akui kapal ini memang canggih serta berkualiti tinggi,” kata Jose. -Kosmo!